Hanom Taib's Blog
October 1, 2016
Review: Hang Nadim
Hang Nadim by Abdul Latip TalibMy rating: 5 of 5 stars
Membaca Hang Nadim Laksamana Jihad mengubah persepsi saya terhadap novel sejarah. Sangkaan saya ia seperti buku teks sejarah jauh menyimpang sama sekali. Malahan ia juga mengubah pemahaman saya terhadap sejarah tanah air. Melalui tulisan Tuan Abdul Latip Talib ini saya dapat simpulkan beberapa perkara :
1. Ada dua watak penting yang diberi nama Hang Nadim, iaitu ketika peristiwa Singapura dilanggar todak dan Hang Nadim dalam kisah ini adalah anak kepada Hang Tuah yang juga berkhidmat kepada Sultan Melaka sebagai Laksamana.
2. Kedua-dua watak ini mempunyai keistimewaan yang sama iaitu bijak dalam berfikir.
3. Ketaatan kepada sultan yang dimiliki Hang Nadim saling tak tumpah seperti Laksamana Hang Tuah iaitu bapanya.
4. Sultan Melaka tidak putus-putus melancarkan serangan kepada Portugis hingga kepada beberapa orang raja selepas Sultan Mahmud untuk merampas semula Melaka.
Laksamana Hang Nadim diberikan rezeki dengan umur yang panjang hingga berpeluang berkhidmat kepada Kesultanan Melayu Melaka hinggalah kepada pemerintahan Kerajaan Johor-Riau. Namun cita-citanya untuk menakhluki semula Melaka daripada Portugis tidak kesampaian kerana Sultan Ali Jalla pada ketika itu sudah mengambil keputusan tidak mahu berperang dengan Portugis kerana sayangkan rakyat yang akan terkorban akibat peperangan. Beliau akhirnya menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua.
Laksamana Hang Nadim umpama hero filem yang tidak pernah kalah terhadap apa sahaja situasi. Malah kebijaksanaan beliau seringkali membuatkan Portugis `frust'. Namun ia bukanlah satu kebetulan, ia adalah hasil daripada perancangan dan strategi yang tersusun, cekap membaca situasi, tidak membelakangkan sultan, taat, setia, bersungguh-sungguh mempunyai semangat jihad yang tinggi untuk memerdekakan negeri daripada penjajah yang sangat tinggi dalam diri beliau. Inilah pahlawan melayu sebenar dan sikap melayu yang sepatutnya ada dalam setiap diri setiap warga tanah air tercinta ini.
Bugarkan semangat cintakan negara dan bangsa.
Jom baca!
View all my reviews
Published on October 01, 2016 09:14
September 30, 2016
Review: Berguru Pada Binatang
Berguru Pada Binatang by Baharuddin ZainalMy rating: 5 of 5 stars
Setiap sesuatu kejadian Allah SWT di atas muka bumi ini pasti ada manfaatnya walaupun sebesar zarah bagi orang yang mahu berfikir.
Kumpulan Cerpen Berguru Pada Binatang ini membawa pembaca berfikir sejenak terhadap seni pemerhatian. Betapa halusnya jiwa seorang pencinta seni yang memerhati setiap satu tabiat haiwan atau binatang yang ada di persekitaran untuk dijadikan satu analogi serta sindiran kepada sikap dan watak negatif manusia.
Ambillah pengajaran agar kita tidak menyimpan banyak sifat kebinatangan.
Jom baca!
View all my reviews
Published on September 30, 2016 04:54
September 29, 2016
Review: Cerita Rakyat Sabah Puteri Bongsu Dan Suluwaden
Cerita Rakyat Sabah Puteri Bongsu Dan Suluwaden by Ruhaini MatdarinMy rating: 3 of 5 stars
Apabila menyebut `cerita rakyat' sekitar nusantara, ia tidak jauh berbeza sebenarnya. Merujuk kepada Puteri Bongsu dan Suluwaden yang merupakan kisah rakyat Sabah, ia tidak jauh beza dengan kisah Malim Deman. Jalan cerita, perwatakan, latar belakang dan kisahnya. Hanya berubah nama watak sahaja. Namun ini menunjukkan bahawa seluruh anak bumi di nusantara ini membesar dengan suntikan nilai murni yang sama.
Sesekali membugarkan warisan rakyat dan bangsa.
jom baca!
View all my reviews
Published on September 29, 2016 20:08
Review: Biografi Abu Hasan al-Asy`ari
Biografi Abu Hasan al-Asy`ari by Abu Hasan Ali al-NadwiMy rating: 5 of 5 stars
Fahaman Mu`tazilah mendasar kepada pemikiran umat Islam pada zaman pemerintahan khalifah ke 8 dan 9 Kerajaan Abbasiyyah. Namun Khalifah kesepuluhnya iaitu Al-Mutawakkil telah menentang fahaman tersebut dan berusaha mengembalikan fahaman sebenar. Beliau mengisytiharkan golongan Mu`tazilah yang berfikiran bebas itu sebagai sesat. Golongan ini masih bertenaga kerana pendukung-pendukung mahir dalam bidang kesusasteraan,perdebatan, perundangan dan ilmu-ilmu lain serta memegang jawatan penting dalam negara.
Abu Hasan al-Asya`ri atau nama sebenarnya Abu Hasan adalah seorang insan yang dipilih Allah untuk menegakkan kebenaran. Kelebihan ilmu, kuat ingatan, fasih berucap dan menulis serta seorang pendebat yang mahir umpama satu pakej istimewa untuk beliau. Ditakdirkan sebagai anak tiri kepada Abu Ali al-Juba`ie yang meruapakan pendukung kuat fahaman Mu`tazilah yang terakhir namun semasa usianya 40 tahun beliau mula sedar tentang kecetekan dan keremehan hujah-hujah Mu`tazilah menyebabkan beliau hilang keyakinan terhadap fahaman tersebut dan mula menghuraikan Mazhab Ahli Sunnah.
Apa yang menarik perhatian pembaca ialah beliau menerangkan dan merungkaikan kekeliruan fahaman masyarakat sekiranya ditanya sahaja. Beliau tidak mengadakan majlis perdebatan untuk menghukum atau menyalahkan puak Mu`tazilah. Beliau menggunakan kaedah dakwah yang sangat berhikmah dan menunjukkan tawaduk yang tinggi. Sebagaimana katanya `` Saya menganggap adalah tidak halal walaupun menyebut ajaran dan akidah mereka, tetapi sebaik sahaja ada orang yang menyebut perkara-perkara itu, maka wajiblah ahli kebenaran menjawab serta menolak fahaman tersebut''.
Susunan hidup Abu Hasan al-Asy`ari ini saling tidak tumpah kisah Nabi Musa a.s yang perlu berdakwah kepada bapa angkatnya yang mengingkari kekuasaan Allah, cuba bezanya tokoh tidak mendapat tentangan daripada bapa tirinya. (tiada dinyatakan).
Melalui biografi ini juga pembaca dapat mengambil pelajaran bahawa untuk mencapai kemanisan kita perlu melalui kepahitan dan kadangkala berada dalam kegelapan itu mengajar kita untuk mencari cahaya melalui ilmu dan kefahaman yang mendalam.
Moga Allah pelihara akidah kita. Insya Allah.
Jom baca!
View all my reviews
Published on September 29, 2016 19:50
August 28, 2016
Review: Panduan Penulisan Berkesan Menggarap Cerpen Berpandukan Teori & Kaedah
Panduan Penulisan Berkesan Menggarap Cerpen Berpandukan Teori & Kaedah by Lim Swee TinMy rating: 5 of 5 stars
Bismillahirrahmanirrahim
Seingat saya pernah juga membaca banyak buku rujukan dan panduan berkaitan penulisan cerpen sebelum ini. Namun membaca panduan yang disusun Dr Lim sangat membantu dan tidak membosankan. Tambahan pula setiap penerangan akan dibantu dengan contoh cerpen dan latihan. Sangat sesuai dengan sasarannya `bimbingan untuk pelajar sekolah menengah, pengarang baharu dan bacaan masyarakat umum'.
Jadikan buku ini rujukan untuk penghasilan karya terbaik.
Jom baca!
View all my reviews
Published on August 28, 2016 06:50
August 24, 2016
Review: Kisah Dua Beradik Ibrim & Towa Ular Gergasi Tasik Raga
Kisah Dua Beradik Ibrim & Towa Ular Gergasi Tasik Raga by Amiene RevMy rating: 4 of 5 stars
Bismillahirrahmanirrahim
Anda tidak memerlukan masa yang lama untuk membaca novel ini. Plot yang tersusun serta pengembangan cerita dengan watak yang agak ramai namun ia sedikitpun tidak mengganggu pembacaan. Konflik yang diwujudkan penulis dirungkaikan dengan sangat baik. Nilai-nilai murni seperti semangat berlumba, persaingan sihat, menghormati, kasihu sayang, cintakan tanah air sangat jelas dalam watak utamanya. Kemajuan dan teknologi bersifat futuristik juga tidak ditinggalkan dengan wujudnya kapal masa silam yang dipsnggil 'Oro-orok' yang berjaya merentas masa. Sekaligus menjadikan novel ini sangat sesuai menjadi bahan bacaan santai remaja.
Antara hail karya Program Pengkarya Guru yang terbaik.
Jom baca!
View all my reviews
Published on August 24, 2016 09:38
August 13, 2016
Review: Ma Yan
Ma Yan by Sanie B. KuncoroMy rating: 5 of 5 stars
بسم الله الرحمن الرحيم
Kisah rencah kemiskinan di sebuah wilayah paling miskin di China. Wilayah yang ketandusan air selalu mengalami kemarau yang dahsyat. Majoriti mereka adalah petani dengan pendapatan tahunan 400 Yuan sedangkan purata pendapatan masyarakat China adalah 6000 Yuan. Ma Yan lahir di dalam masyarakat ini. Ibunya Bai Juhua adalah seorang wanita tabah yang ingin mengubah tradisi masyarakat desa tersebut bahawa anak perempuan tidak perlu diberi pelajaran, tidak diutamakan malahan sebagai alat untuk menanggung beban keluarga dan akhirnya berkahwin.
Ma Yan telah diberi pelajaran oleh ibunya dengan sejuta keperitan dan kepayahan. Jarak ke sekolah ialah 20 kilometer berjalan kaki mengambil ebih kurang empat atau lima jam. Kerana jarak itu kerajaan telah menyediakan asrama dengan bayaran. Bayaran yuran juga tidak dapat dijelaskan hingga Ma Yan berlapar di asrama dan ibunya berlapar di rumah kerana terpaksa membayar yuran sekolah dia dan adiknya. Keputusan sukar yang perlu dibuat Ma Yan ialah apabila dia terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mampu membayar yuran dan adik lelakinya meneruskan pelajaran kerana dia lelaki. itulah yang berlaku kepada ibunya yang perlu berhenti sekolah sebelum tahu membaca.
Kemiskinan dan kesusahan ibarat sesuatu yang diwarisi. jika ia tidak diubah maka ia akan terus bertali arus. Saya pernah mendengar kisah seumpama ini daripada ibu saya. Ibu saya terpaksa berhenti sekolah pada tahun 60-an kerana memberi peluang kepada adik-adik untuk bersekolah. Maka tindakan semua ibu adalah sama iaitu tidak mahu sejarah kesusahan hidupnya diwarisi. Bezanya kemiskinan di negara China akibat muka bumi yang tidak boleh diubah melainkan mereka berhijrah. Tetapi kita mempunyai bumi yang sangat kaya dan subur. Kesusahan dan kemiskinan boleh diubah dengan berusaha, rajin dan tekun maka berusahalah.
Membaca Ma Yan membawa kita bersyukur dengan apa yang kita ada.
Jom baca!
View all my reviews
Published on August 13, 2016 02:36
June 22, 2016
Review: Urana Exham
Urana Exham by Kursyi HirdanMy rating: 4 of 5 stars
Bismillahirrahmanirrahim
Urana Exham antara karya yang cepat peroses pembacaannya kerana penceritaan yang pantas dan rasa tidak sabar untuk mengetahui kesudahannya. Kejutan-kejutan dan beberapa tanda tanya membuatkan pembaca tidak akan berhenti membaca untuk mencari jawapannya. Penulis menggunakan latar tahun 4050 dengan lancar dan sangat sesuai tanpa sebarang kecacatan seperti kawasan perumahan mewah seperti bongkah-bongkah panjuang kristal, kenderaan awam menggunakan tiub di atas rel tergantung dengan kelajuan 70 meter sesaat makala makanan pula daripada tiub bijirin.
Namun kisah pergolakan tiga bangsa besar di dalam sebuah dunia yang diberi nama Oshab, dengan setiap satu bangsa mempunyai watak-watak utama dan watak sampingan iaitu 16 watak sekali sekala mengganggu pembacaan kerana pembaca perlu merujuk bab sebelumnya untuk mengelakkan kekeliruan. Namun penulis sebenarnya telah bersedia dengan isu watak ini kerana beliau telah menyediakan senarai glosari watak dan istilah yang digunakan pada muka surat akhir.
Bagi peminat novel fantasi dan sains fiksyen amat sesuai menjadikan novel ini sebagai bacaan anda kerana idea yang diketengahkan amat mengujakan seperti mengimplan hidraulik dalam badan manusia, manusia boleh mengecas diri untuk menambah tenaga juga kemajuan gerbang portal cermin yang membolehkan manusia pergi ke satu-satu tempat dengan cepat.
Perebutan kuasa, pertembungan politik, tamakkan kuasa menjadikan latar novel ini seperti sebuah filem aksi dengan banyak pertempuran ala adiwira. Namun tidak ketinggalan juga nilai-nilai murni seperti kekeluargaan, kasih sayang antara adik-beradik, serta cinta yang seringkali tersepit antara tugasan dan tanggungjawab terhadap bangsa dan menjadikannya dilema kepada watak-wataknya. Itulah yang berlaku kepada watak utama Exham setelah mengetahui siapakah Urana yang sebenarnya yang hanya diketahui setelah dia mempertisterikan Urana.
Membaca Urana Exham membuatkan saya kagum dengan penulisnya, Kusyi Hirdan yang mempunyai idea yang sangat segar hingga membacanya pada tahun 2016 ini sedikitpun tidak terasa kejanggalan mahupun ketinggalan zaman. Beliau juga membuatkan minat saya bertambah untuk mencari novel-novel fantasi dan sains fiksyen!
Jom baca!
View all my reviews
Published on June 22, 2016 06:25
June 18, 2016
Review: S.P.I.D.E.R.
S.P.I.D.E.R. by Nazri HusseinMy rating: 4 of 5 stars
Bismillahirrahmanirrahim
Membaca S.P.I.D.E.R (Teori Sang Labah-labah) membawa pembaca bersama-sama Muhammad Amsyar Naim mencari rahsia di sebalik akronimnya. Penemuan-penemuan yang bukan sekadar kebetulan dengan sokongan fakta yang sangat sarat dan padat sesekali pembaca merasakan ianya konspirasi realiti yang sedang berlaku.
Persoalan penjajahan wang dan ekonomi oleh satu bangsa yang bercita-cita mendirikan kerajaan utopia agung dengan menjadikan seluruh manusia di dunia tunduk dan sujud di bawah kaki mereka. Persoalan demi persoalan dirungkaikan termasuk tragedi serangan 11 September. Pengkajian dan pemerhatian Muhammad Amsyar Naim yang bersifat antarabangsa berkesinambungan kepada pelbagai isu yang berlaku di Malaysia.
S.P.I.D.E.R adalah karya yang perlu dibaca oleh semua lapisan masyarakat walaupun ia agak berat namun isu yang diangkat adalah bersifat universal supaya pembaca berfikir dan merenung sejenak tentang apa yang berlaku di sekeliling kita.
Jom baca!
View all my reviews
Published on June 18, 2016 07:39
June 16, 2016
Sofa Putih PBAKL 2016
Assalamualaikum
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) adalah satu pesta yang amat dinantikan oleh semua pencinta buku di Malaysia. Himpunan buku secara besar-besaran semua syarikat buku di Malaysia dan luar negara ini adalah peluang yang dinantikan sama ada untuk mencari buku baru atau pun untuk menambah koleksi buku dengan mendapatkan buku-buku lama dengan potongan harga yang sangat menarik.
Namun bagi saya PBAKL 2016 adalah satu lakaran sejarah terindah buat saya apabila saya berpeluang untuk mempromosikan buku saya dalam salah satu slot yang diberikan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada hari Jumaat 5 Mei 2016 yang lalu pada jam 11.00-12.00 tengahari di Slot Wawancara Sofa Putih. Jika sebelum ini saya hanya menyaksikan penulis-penulis hebat berada di sofa tersebut, kini saya mencipta sejarah saya sendiri. Alhamdulillah. Walaupun `Hanom Taib' dan `Kumpulan Cerpen Dongeng Manusia Biawak' bukanlah sesiapa di pentas penulisan di Malaysia, namun ia menjadi titik permulaan pemacu semangat untuk saya melakarkan sesuatu yang indah dalam penghasilan karya.
Semoga saya terus diberi ilham dan kekuatan serta ruang dan peluang untuk terus berkarya!
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) adalah satu pesta yang amat dinantikan oleh semua pencinta buku di Malaysia. Himpunan buku secara besar-besaran semua syarikat buku di Malaysia dan luar negara ini adalah peluang yang dinantikan sama ada untuk mencari buku baru atau pun untuk menambah koleksi buku dengan mendapatkan buku-buku lama dengan potongan harga yang sangat menarik.
Namun bagi saya PBAKL 2016 adalah satu lakaran sejarah terindah buat saya apabila saya berpeluang untuk mempromosikan buku saya dalam salah satu slot yang diberikan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) pada hari Jumaat 5 Mei 2016 yang lalu pada jam 11.00-12.00 tengahari di Slot Wawancara Sofa Putih. Jika sebelum ini saya hanya menyaksikan penulis-penulis hebat berada di sofa tersebut, kini saya mencipta sejarah saya sendiri. Alhamdulillah. Walaupun `Hanom Taib' dan `Kumpulan Cerpen Dongeng Manusia Biawak' bukanlah sesiapa di pentas penulisan di Malaysia, namun ia menjadi titik permulaan pemacu semangat untuk saya melakarkan sesuatu yang indah dalam penghasilan karya.
Semoga saya terus diberi ilham dan kekuatan serta ruang dan peluang untuk terus berkarya!
Published on June 16, 2016 19:09


