Syed Ahmad Fathi's Blog
November 29, 2025
Kisah Pelombong Melayu Perak Yang Hilang Dari Historiografi
Forgotten History of Perak: Tribute to Syed Mohd Jiplus The Malay Tin Miner in Kinta Valley, Perak.Hari ini akhirnya MINDEN: Journal of History and Archaeology telah menerbitkan artikel saya yang bertajuk “Tinjauan Awal Terhadap Penglibatan Orang Melayu Dalam Industri Perlombongan Bijih Timah di Perak, 1874–1941″ dalam versi digital.
Artikel ini mempunyai pautan peribadi dengan saya, maka di sini saya ingin menceritakan sedikit backstory-nya. Seperti yang saya kisahkan dalam buku saya Homo Historikus: Perkembangan Kesedaran Sejarah di Malaysia terbitan Cakna, saya menceburi bidang sejarah atas sebab-sebab peribadi. Saya selalu melihat sejarah sebagai satu bidang yang personal. Walaupun ahli sejarah sering mengangkat keperluan “objektiviti”, bagi saya itu sering menjadikan bidang sejarah kering, tiada tarikan emosional dan pertalian perasaan di dalamnya. Bagi saya, nilai perasaan dan emosi itulah yang menjadikan bidang kemanusiaan itu menarik untuk dibaca dan diterokai.
Sejarah yang menarik bagi saya pasti ada hubungan dengan penulis sejarah. Itu tidak dapat dielakkan, walaupun sering cuba dinafikan. Saya berminat membaca sejarah perlombongan bijih timah di Perak kerana atuk saya, Syed Mohd Jiplus bekerja sebagai pelombong bijih timah di Syarikat Southern Kinta Consolidated Ltd. Beliau bekerja sebagai buruh di atas Kapal Korek SK-2. Nama kapal korek ini biasanya ada kaitan dengan tempat dan syarikat. SK-2 merujuk kepada kapal korek Southern Kinta kedua. Kapal TT5 yang dipelihara di Batu Gajah bagi tujuan pelancongan misalnya merujuk kepada Tanjung Tualang kelima.
Syarikat Southern Kinta kemudian telah bergabung dengan syarikat-syarikat perlombongan lain membentuk Malayan Tin Dredging (MTD) berhad dan kemudian membentuk Malaysia Mining Corporation (MMC) Berhad. MMC kini sudah menjadi syarikat konglomerat yang menjalankan aktiviti perniagaan tenaga, utiliti, dan infrastruktur.
Namun apabila saya membaca historiografi perihal perlombongan bijih timah di Perak. Hampir keseluruhannya hanya berkisar perihal pelombong Cina yang merupakan majoriti buruh lombong bijih timah. Pelombong Melayu hilang dalam historiografi. Perkara ini menimbulkan persoalan yang sangat kuat dalam diri saya. Ke manakah pelombong Melayu itu hilang?
Syed Ahmad Fathi. “Tinjauan Awal Terhadap Penglibatan Orang Melayu Dalam Industri Perlombongan Bijih Timah di Perak, 1874–1941: Preliminary Survey on the Involvement of the Malay in the Tin Mining Industry in Perak, 1874-1941”. MINDEN Journal of History and Archaeology 2 (2): 115-134, 2025.Kajian-kajian awal perihal pelombong bijih timah hampir eksklusif hanya menyebut tentang buruh Cina sahaja. Ini boleh dilihat dalam penulisan Wong Lin Ken, Nim Chee Siew, dan Francis Loh Kok Wah antaranya. Membuatkan saya bertanya-tanya betulkah atuk saya bekerja sebagai buruh di lombong bijih timah? Atuk saya bukan orang Cina, beliau adalah imam masjid di Kampung Changkat Tin.
Maka ini telah menolak saya untuk membaca rekod-rekod statistik British, saya dapati orang Melayu memang disenaraikan dalam jumlah buruh setiap tahun. Saya juga menjumpai rekod di mana orang Melayu bekerja di lombong milik orang Cina, mereka dibayar lebih mahal kerana makanan tidak disediakan bagi mereka di lombong. Mungkin pelombong Melayu mahukan makanan halal jadi mereka bawa makanan sendiri dan gaji mereka dilebihkan. Saya juga ke arkib melihat rekod-rekod Pejabat Tanah, saya tertarik melihat orang-orang Melayu termasuk wanita memohon tanah untuk melombong.
Malah catatan British ketika mereka mula masuk secara langsung dalam pemerintahan negeri-negeri Melayu menyatakan bahawa aktiviti melombong itu menjadi amalan hampir keseluruhan masyarakat Melayu. Malah budak-budak Melayu di kampung pedalaman juga melombong di sungai. Terdapat juga catatan yang menyatakan orang Melayu dipaksa menjual tanah lombong mereka kepada Syarikat Eropah. Banyak lagi sebenarnya fakta-fakta menarik yang saya jumpa sepanjang kajian saya. Semuanya saya kumpulkan dalam kertas kajian di dalam jurnal tersebut.
Tajuk ini sememangnya dekat di hati saya. Saya pernah membentangkannya di Seminar Kebangsaan Sejarah Sosioekonomi Malaysia, 1874-1990 (SKSSM 2024) anjuran Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM. Saya sebenarnya hendak mengangkatnya sebagai tajuk disertasi akhir saya. Namun saya merasakan masa yang diperuntukkan dalam disertasi terlalu singkat untuk saya menyiapkannya. Maka saya terbitkan dapatan awal saya di dalam jurnal MJHA dengan harapan satu hari nanti, mungkin akan ada pengkaji yang mampu mengkajinya dengan lebih dalam dan mungkin menghasilkan tesis sarjana atau monograf. Saya merasakan sejarah kita memang masih banyak belum digali, ia masih menunggu pengkaji yang bersungguh-sungguh, passionate, dan setia.
Kajian ini saya abadikan buat arwah atuk saya, Syed Mohd Jiplus, pelombong Melayu yang sumbangannya hilang dari historiografi.
The post Kisah Pelombong Melayu Perak Yang Hilang Dari Historiografi appeared first on The Independent Insight.
November 25, 2025
Memanusiakan Semula Pendidikan Yang Dikurung

Tulisan Suhaib Zahir perihal “ilmu yang terkurung” dipagari institusi ini merupakan satu refleksi yang sangat penting untuk difahami oleh manusia-manusia yang bergelut dalam industri ilmu. Terutamanya di peringkat universiti atau yang lebih tinggi. Mungkin ada yang mengatakan, alah kritikan ini sudah biasa didengari, namun bagi saya ia perlu dikembangkan dan diperhalusi, kerana ideanya belum meluas. Saya teringat akan sebuah penulisan yang menyatakan ilmu itu akan mati jika universiti mati, saya termenung sekejap selepas itu, saya terfikir, adakah sebelum wujudnya universiti, ilmu itu tidak wujud? Begitulah sebenarnya pemikiran kita yang masih “terkurung”.
Tetapi ini tidaklah bermakna universiti itu langsung tidak berguna. Jika difahami ilmu dengan betul, universiti sebenarnya boleh menyumbang secara positif kepada pembentukan manusia. Bukan sekadar menjadi sub-kontraktor kepada industri untuk melahirkan “graduan pasar” untuk dipasarkan selepas tamat mengaji. Teringat saya tentang sebuah dialog, apabila ditanya, apakah pekerjaan yang tidak banyak dihasilkan? Kita sudah banyak guru, doktor, jurutera, ahli politik, apa yang kurang? Dalam masyarakat, pekerjaan yang kurang adalah menjadi manusia yang baik. Baik imannya, pekertinya, moralnya, adabnya, ibadahnya, hidupnya.
Aspek manusiawi dalam pendidikan inilah yang bagi saya sangat mahal dalam penulisan Suhaib Zahir. Beliau telah membuat analisis hasil pengalamannya menjadi guru di sekolah agama, menjadi pensyarah di institusi pengajian tinggi, menjadi guru ganti, menjadi tutor, dan melibatkan diri dalam pendidikan masyarakat marginal di Sabah. Semua ini telah digunakannya untuk melihat kelompongan sisi-sisi manusiawi yang sering hilang dalam sistem pendidikan hari ini yang mengejar markah peperiksaan, ranking, kebolehpasaran, dan seribu satu indeks-indeks lain yang akhirnya menghilangkan nilai manusiawi dalam pendidikan dan melihat pelajar sekadar sebagai statistik dan data untuk dimasukkan rekod mereka di dalam sistem. Naskah refleksi dari Suhaib Zahir ini jika dihadam dengan betul, saya pasti akan dapat membantu kita memanusiakan semula keilmuan kita di watan kita yang tercinta ini.
The post Memanusiakan Semula Pendidikan Yang Dikurung appeared first on The Independent Insight.
October 30, 2025
Forum Warisan Pulau Pinang Singkap Asal-Usul Sejarah Awal Pulau Pinang

PULAU PINANG, 30 Okt — Forum Warisan Pulau Pinang 2025 bertemakan “Sejarah Awal Pulau Pinang: Arkeologi, Persejarahan dan Komuniti” telah berlangsung dengan jayanya pada Khamis, bertempat di Dewan Utama, Desasiswa M08 RST, Universiti Sains Malaysia (USM). Forum yang bermula jam 8:30 pagi hingga 2:00 petang itu menghimpunkan para sarjana dan pengkaji warisan bagi menyelusuri lapisan sejarah awal Pulau Pinang dari perspektif arkeologi, kolonial dan kemasyarakatan.
Program ilmiah anjuran Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM ini menampilkan empat pembentangan utama oleh tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang masing-masing, yang memperkukuh pemahaman terhadap asal-usul Pulau Pinang sebagai sebuah wilayah yang kaya dengan sejarah pelbagai tamadun dan bangsa.

Penemuan Arkeologi Guar Kepah
Pembentangan pertama bertajuk “Kronologi Sejarah Awal Pulau Pinang” disampaikan oleh Prof. Dr. Stephen Chia Ming Soon, yang menelusuri aspek arkeologi penting di Guar Kepah, Seberang Perai Utara. Beliau menjelaskan tentang penemuan rangka manusia yang dianggarkan berusia antara 4,000 hingga 5,000 tahun, sekali gus membuktikan kewujudan komuniti prasejarah di kawasan berkenaan.
Prof. Chia turut memperincikan penyelidikan terdahulu oleh beberapa arkeologis ternama seperti George Winsor Earl, F.W. Huxley, I.H.N. Evans, P.V. Van Stein Callenfels, W.A. Mijsberg dan J.M. Matthews, serta membandingkan penemuan di Guar Kepah dengan lokasi lain di Malaysia termasuk penemuan terkenal “Deep Skull” berusia 40,000 tahun dari Gua Niah, Miri, Sarawak.
Hubungan Awal Pulau Pinang–Kedah Berdasarkan Surat-Surat Francis Light
Kertas kedua oleh Prof. Datin Dr. Mahani Musa pula menumpukan kepada hubungan diplomatik dan sejarah antara Pulau Pinang dan Kedah dari tahun 1786 hingga 1794, berdasarkan surat-surat Francis Light. Kajian ini menyingkap sudut pandang sejarah yang jarang dibicarakan mengenai rundingan, peranan serta impak kehadiran British terhadap Kedah dan pembentukan identiti awal Pulau Pinang.
Menurut Prof. Mahani, persoalan yang ingin dijawabnya adalah apabila Kedah kehilangan satu kawasan yang sangat signifikan seperti Pulau Pinang, apakah yang dilakukan Sultan dan apakah yang ditulis oleh orang Kedah perihal kehilangan besar ini. Dalam rekod sejarah, sebenarnya rampasan Pulau Pinang yang dilakukan oleh Francis Light sebenarnya telah dikutuk oleh pentadbir British seperti Anderson dan Swettenham. Dalam bukunya British Malaya, Swettenham menyifatkan tindakan Light sebagai “pengecut”. Antara perkara menarik yang diterangkan oleh Prof. Mahani adalah perihal R. Bonney yang merupakan pengkaji awal perihal peristiwa rampasan Pulau Pinang dari Kedah. Bonney bukanlah seorang berketurunan British, tetapi seorang Ceylonese. Dalam analisisnya, Prof. Mahani Musa mendapati bahawa Sultan Kedah bertahan dengan perangai buruk Francis Light sebagai satu imbangan yang perlu dilakukan bagi melindunginya dari ancaman Siam.
Bahagian Sejarah USM bergambar dengan Prof. Mahani Musa. Dari kiri, Dr. Abdul Rahman bin Mad Ali, Syed Ahmad Fathi, Dr. Tan Chee Seng, Dr. Dunita Nabila A. Rahimin, Prof. Mahani, Dr. Siti Noor Hafizah binti Mohamed Sharif, dan Dr. Norasmahani binti Hussain.Era Presidency East India Company (1805–1830)
Sesi ketiga menampilkan Marcus Langdon, seorang penyelidik sejarah kolonial yang membentangkan topik bertajuk “East India Company Penang – The Presidency Era (1805–1830)”. Beliau menghuraikan tentang Regulating Act 1773 yang meletakkan Syarikat Hindia Timur sebagai wakil kedaulatan British di Timur, serta mengupas perkembangan politik dan sosial Pulau Pinang ketika di bawah pentadbiran Presidency.
Marcus turut berkongsi dapatan menarik daripada bancian tahun 1809 dan 1828 yang mencatatkan pertumbuhan populasi Pulau Pinang dan Seberang Perai (Province Wellesley), serta meneliti lakaran tahun 1830 oleh Lt. Woore R.N. yang menggambarkan landskap awal Pulau pinang termasuk Kuil Kuan Yin di Pitt Street, Kuil Siam di Burmah Lane, Makam Chewan (Koh Lay Huan) di Batu Lanchang, serta perkampungan nelayan Melayu dan pelabuhan awal di sekitar George Town.
Kepelbagaian Komuniti Awal di Pulau Pinang
Forum diakhiri dengan pembentangan oleh Clement Liang dari Penang Heritage Trust bertajuk “Settling in Penang: The Story of Migration”. Beliau menelusuri sejarah kemasukan pelbagai bangsa dan komuniti ke Pulau Pinang, termasuk masyarakat Cina Laokeh dan Sinkeh, serta komuniti Jepun, Armenia, Yahudi, Siam, Jerman, Perancis, Acheh, dan India. Pembentangan ini menonjolkan Pulau Pinang sebagai sebuah titik pertemuan budaya yang unik dan inklusif sejak abad ke-18.
Forum Warisan Pulau Pinang 2025 bukan sahaja memperkukuh wacana akademik tentang sejarah awal negeri ini, malah membuka ruang baharu untuk memahami kepelbagaian identiti, peradaban dan warisan Pulau Pinang sebagai sebuah entiti sejarah yang terus hidup hingga kini.
The post Forum Warisan Pulau Pinang Singkap Asal-Usul Sejarah Awal Pulau Pinang appeared first on The Independent Insight.
October 29, 2025
Teks Penuh Perjanjian Dagang Amerika Syarikat – Malaysia 26 Oktober 2025
Anwar Ibrahim berjoget dengan penjenayah perang, Donald trump yang membekalkan bom membunuh rakyat Gaza (26/10/2025).Pada zaman British dahulu, antara kaedah yang digunakan untuk menjajah Tanah Melayu adalah menggunakan perjanjian yang berbentuk berat sebelah. Ini boleh dilihat dalam Perjanjian Pangkor 1874 yang menyaksikan British campur tangan secara langsung di negeri-negeri Melayu. Di sinilah perlunya kita mempelajari sejarah, kita akan memahami bagaimana perjanjian berat sebelah digunakan sebagai alat penjajahan. Pada tahun 2025, kelihatan seperti Malaysia masih belum betul-betul merdeka apabila negara menandatangani perjanjian dagang yang dilihat berbentuk berat sebelah. Perjanjian ini dilihat sebagai imperialisme baharu Amerika Syarikat dan membayangkan Malaysia seperti sebuah vassal state.
Perkara ini telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menyatakan perjanjian ini adalah satu penggadaian negara kepada Amerika Syarikat. Beliau menyatakan:
“Bagaimana ini, Yang Amat Berhormat Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) apa sudah jadi?
“Beratus tahun negara kita mempertahankan melawan Belanda, Portugis, Inggeris, kita merdeka, tapi hari ini Trump datang yang telah menjahanamkan Gaza bumi Palestin, kita sambut mereka dan kita serahkan kekayaan kita.
“Ini pemunggahan harta negara miskin Malaysia kepada Amerika,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan pada 28 Oktober 2025.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim .Berkenaan penjualan nadir bumi negara kepada Amerika Syarikat beliau berkata:
“Mana boleh dia (AS) mengenakan syarat sedemikian. Yang perunding-perunding ini menteri MITI, apa yang mereka rundingkan. Ini Penggadaian negara kita, ini memalukan,” tempelaknya.
“Betullah, kita memang ada sopan santun, berbudi bahasa, tetapi, tanpa sebutir bom, tanpa senapang, tanpa apa-apa, Trump turun ke bawah ini, kita menyerahkan ekonomi kita, menyerahkan kekayaan negara kita.
“Satu trilion ringgit (perjanjian LNG) sedangkan setiap tahun kita berhempas pulas, Lembaga Hasil Dalam negeri kena kutip, Kastam kena kutip semuanya nanti kita bagi kepada Amerika.
“Petronas bergaduh dengan sesetengah negeri tak bayar royalti kepada Kelantan, tak bayar royalti kepada Terengganu, mungkin pada Sabah, mungkin pada Sarawak, kita bergaduh sesama sendiri, tapi berbilion kita bagi kepada Amerika, saya tidak bersetuju,” katanya lagi.
Bersama laporan ini dilampirkan teks penuh perjanjian ini yang dikeluarkan oleh Rumah Putih termasuk annex dan appendix.
Agreement-Between-the-United-States-of-America-and-Malaysia-on-Reciprocal-Trade-–-The-White-HouseDownloadAnnex-I-Schedule-1-Tariff-Schedule-of-Malaysia-General-NotesDownloadThe post Teks Penuh Perjanjian Dagang Amerika Syarikat – Malaysia 26 Oktober 2025 appeared first on The Independent Insight.
October 20, 2025
Book Review: A Short Mental Break with Ibnu Khaldun

Taking advantage of the short Diwali break, I decided to give myself a brief mental break, and what better way to do that than with a small book? A big book during a mental break is a dangerous idea: it takes too long to finish, drags you into endless reading sessions, and ultimately leads to a mental breakdown, not a break!
This book by Egyptian scholar Mohammad Abdullah Enan, a lecturer at Fouad University, Cairo is a concise and brief introduction to life and thought of a great historiographer. Enan’s writing is captivating, offering a penetrating look into the life of the world-renowned historiographer ‘Abd al-Rahman Ibnu Khaldun al-Hadhrami, better known simply as Ibnu Khaldun. The name Khaldun, interestingly, derives from Khalid, a noble Arab clan originating from Yemen. Born into an aristocratic family, Ibnu Khaldun found himself caught in the intricate political webs of Andalusia and North Africa. Reading about his political entanglements reminded me of Elizabeth Drayson’s work on the fall of the Nasrid dynasty in Granada, a period where royal families and nobles schemed and slaughtered one another, paving the way for the rise of Castilian and Aragonese Christian powers.
Eventually, weary of palace intrigues, Ibnu Khaldun withdrew from political life to dedicate himself fully to scholarship. He finally found solace and solitude in Salamah Fort, near Tujin, where he completed his monumental masterpiece, the Muqaddimah (Prolegomena). Yet political instability once again forced him to migrate, this time to Egypt, where he became both a lecturer and a judge. However, his status as an outsider in Cairo’s intellectual circles stirred tension among local scholars. Even there, politics found its way back into his life when the Sultan commanded him to join an expedition to Damascus to face the invasion of Tamerlane (Timur). The meeting between Ibnu Khaldun and Tamerlane stands as one of the most remarkable episodes in Islamic historical literature.
Ibnu Khaldun was not without his critics. Prominent scholars such as Ibn Hajar al-‘Asqalani, Jamal al-Din al-Bishbishi, and Badr al-Din al-Ayntabi voiced their criticism about his ideas. Interestingly, despite his criticisms, Ibn Hajar once attended Ibnu Khaldun’s lectures. His own student, al-Sakhawi, who also critiqued Ibnu Khaldun, nonetheless absorbed many of his insights and Ibnu Khaldun’s influence can clearly be seen in al-Sakhawi’s writings. At the same time, several leading Egyptian intellectuals, including al-Maqrizi and Abu al-Mahasin Ibn Taghri Birdi, deeply admired Ibnu Khaldun’s intellect and methodology.
What makes this book particularly engaging is its balanced approach. It doesn’t rely solely on Ibnu Khaldun’s own works, the Muqaddimah and Kitab al-‘Ibar, but places his life and thought in conversation with other contemporary sources, many of which survive only in fragments. Ultimately, M.A. Enan’s study offers an illuminating glimpse into how political culture shaped intellectual culture in the medieval Islamic world. It reminds us that the great scholars we revere were not perfect, but rather products of their time, molded by the historical and political forces that surrounded them.
At the end of the book, Enan discusses how Western scholars and scholarship have interacted with Ibnu Khaldun’s works and ideas. He also offers a comparative analysis between the philosophies of Ibnu Khaldun and Machiavelli.
A-Brief-Introduction-to-the-Life-and-Works-of-Ibnu-KhaldunDownloadThe post Book Review: A Short Mental Break with Ibnu Khaldun appeared first on The Independent Insight.
October 15, 2025
Diskusi Ilmiah dan Pelancaran Buku “Dari Orientalisma Hingga Ke Genosida” di Astaka Fikir

Bandar Baru Bangi, 13 Oktober – Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR) baru-baru ini menjadi tuan rumah kepada satu sesi diskusi ilmiah yang menghimpunkan para pemikir dari pelbagai latar belakang dari seluruh pelusuk negara. Program ini turut diserikan dengan pelancaran buku terbaharu bertajuk “Dari Orientalisma Hingga Ke Genosida” karya penulis dan pengkaji, Syed Ahmad Fathi.
Diskusi tersebut turut dihadiri dan disusun oleh beberapa tokoh pemikir muda seperti Ustaz Muhammad Firdaus Zalani, Ustaz Amar Ismat, Ustaz Sheikh Afiq, dan Ustaz Ahmad Shueib Bin Sulaiman, yang memainkan peranan penting dalam menjayakan majlis berkenaan.
Menurut penulis buku tersebut, Syed Ahmad Fathi, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk pasukan The Bibliophile Bookshop yang diketuai oleh Tuan Kiridaren Jayakumar. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada editor, pembaca pruf, pereka letak, dan pereka grafik yang telah bekerja dengan penuh dedikasi memastikan penerbitan buku ini disempurnakan dengan baik.
“Buku ini akhirnya dapat saya pegang sendiri, hasil kerja keras ramai pihak yang bertungkus-lumus siang dan malam. Moga karya ini menjadi satu sumbangan kecil dalam sejarah panjang perjuangan peribumi menuntut kebebasan dan kemerdekaan,” katanya.

Buku “Dari Orientalisma Hingga Ke Genosida” menghimpunkan kupasan kritis mengenai warisan pemikiran kolonial, orientalisme, dan kesannya terhadap dunia Islam moden serta perjuangan masyarakat peribumi terutamanya di Palestin. Antara inti penting yang dibahaskan termasuk bagaimana hegemoni wacana Barat membentuk naratif global tentang kuasa, agama, dan kemanusiaan.
Buku ini diterbitkan oleh The Bibliophile Bookshop dan kini boleh didapati di kedai buku tersebut serta melalui platform dalam talian rasmi mereka. Diharap diskusi seperti ini dapat diteruskan sebagai wadah pertukaran ilmu dan wacana yang membina antara para sarjana, pemikir, dan masyarakat umum.
The post Diskusi Ilmiah dan Pelancaran Buku “Dari Orientalisma Hingga Ke Genosida” di Astaka Fikir appeared first on The Independent Insight.
October 2, 2025
Kita Tidak Akan Sujud Mencium Kaki Anjing Imperial Jahiliyah

Kita berasa amat pelik apabila mufti menjadi propagandis untuk memberi legitimasi kepada jemputan kepada Donald Trump, seorang penjenayah yang membekalkan bom kepada zionis yang telah membunuh 66,000 rakyat Gaza termasuk anak-anak kecil. Amat pelik apabila maqasid syariah digunakan untuk membela bapak genosida yang membunuh orang Islam. Adakah itu tujuan agama?
Sepatutnya maqasid syariah itu digunakan untuk berjihad memelihara nyawa umat Islam di Gaza! Sebab itu kita melihat sistem yang ada ini adalah sistem jahiliyah. Letaklah nama jawatan dan gelaran itu apa pun, mufti agung, mufti langit dan bumi, hatta mufti sekalian alam sekali pun, sepatutnya tidak menyilaukan kita. Mulut dan fatwa mereka digunakan untuk melindungi sistem imperial jahiliyah yang membunuh umat Islam. Fatwa mereka bukan untuk jihad mempertahankan nyawa umat, sebaliknya untuk memberi legitimasi kepada anjing imperialis yang membunuh ribuan nyawa umat. Anjing-anjing imperialis yang membakar dan menghancurkan negara-negara umat Islam.

Golongan orientalis lama sudah boleh berpencen dengan tenang, kerana mereka sudah berjaya menanam neo-orientalis dalam kalangan umat Islam, yang memakai fez merah dan berjubah. Bahasa mereka hanya mengguna ulang bahasa Orientalis lama, tiada idea baru. Imperialis yang membunuh 66,000 nyawa umat itu tidak ekstrem, tetapi yang menentang penjajahan dan pembunuhan itulah yang dituduh radikal, ekstrem, takfiri. Kita kenal benar dengan idea orientalis yang mahu kita menjadi hamba yang taat kepada anjing imperialis, tidak kira jubah apa yang mereka pakai. Kita melihat anak seperti Greta Thunberg itu lebih berfungsi dari mufti yang memakai fez merah yang menjadi propagandis untuk memberi legitimasi pada bapak pengganas pembunuh anak-anak Gaza. Kemudian ada yang menyuruh kita menghormati mufti seperti ini. Yang ingin menjemput pembunuh umat Islam menggunakan dalil-dalil maqasid syariah? Kita katakan maaf. Kita tidak akan sujud di kaki manusia, biar pun mereka berjubah dan memakai fez merah.
Kita tidak perlu takut berkata benar dalam hal ini, kerana Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution telah memberi kebenaran berjihad bercakap benar. Maka, ayuh kita berjihad berkata benar, ulil amri sudah mengeluarkan kebenaran untuk kita berjihad berkata benar. Kita katakan kita tidak bersetuju dengan jemputan kepada Donald Trump, bapak pengganas yang membunuh umat Islam. Jika tidak dibatalkan jemputan kepada bapak pengganas ini, kita perlu berhimpun menjadi lautan, menolak Donald Trump.
Mungkin ada yang mengatakan tindakan kita menolak kehadiran pengganas seperti Trump satu tindakan radikal. Kita katakan pada mereka, jika pembunuhan 66,000 manusia tidak menjadikan kalian radikal, mungkin kalianlah puncanya genosida ini berterusan. Kerana kalian membiarkan ia berlalu tanpa tentangan.
Kita bukan sahaja menolak kedatangan Trump, kita juga menolak pelan penjajahan Trump yang beliau gelar sebagai “20 Points Peace Plan”. Dua tahun sistem jahiliyah imperial tidak dapat menewaskan para pejuang, senjata mereka tidak berjaya dipadamkan. Maka musuh membuat rancangan baru, memaksa melalui perjanjian apa yang tidak berjaya dicapai melalui peperangan senjata. Thoghut yang membunuh anak-anak umat ini kemudian hendak dijemput dengan penuh kehormatan oleh para penjilat imperialis. Jika pun maruah itu satu yang asing bagi mereka, tidakkah mereka ada perasaan malu? Tidak malukah mereka dengan negara Colombia yang mengusir diplomat Israel dari negara mereka? Pemimpin-pemimpin Islam dan Arab itu pun tidak halau diplomat Israel, sebab itu kita katakan mereka ini mengamalkan amalan jahiliyah.
Kita perlu menentang penjajahan dan imperialisme dengan apa cara pun. Bak kata Yasser Arafat: “The revolution is not merely the rifle of a fighter; it is also the farmer’s hoe, the doctor’s scalpel, the writer’s pen, and the artist’s brush.”
The post Kita Tidak Akan Sujud Mencium Kaki Anjing Imperial Jahiliyah appeared first on The Independent Insight.
September 15, 2025
Perbahasan Konservatisme Melayu Dari Perspektif Pertengahan Yang Rasional

Pendahuluan
Tulisan ini merupakan hadaman saya terhadap naskah bertajuk Melayu & Konservatisme: Wacana Kritis Terhadap Agama, Politik dan Ekonomi tulisan Mohd Jamizal Zainol. Saya mula berminat membaca secara serius pada zaman pasca-siswazah sebelum mula tenggelam dalam alam pekerjaan. Pada peringkat awal, saya suka membaca buku-buku dalam bahasa Inggeris. Hingga sampai ke satu tahap, saya merasakan seperti ada kekosongan besar dalam kotak fikir saya, saya sedar bahawa saya mempunyai kelompongan tentang lanskap pemikiran masyarakat saya sendiri. Maka, ini telah menolak saya untuk melakukan perubahan, saya mula membaca buku-buku tempatan dalam bahasa Melayu. Baik tulisan sarjana, aktivis, atau sesiapa sahaja. Sepanjang pembacaan saya dalam helaian buku tempatan, sudah lama rasanya saya tidak menjumpai satu naskah yang membawa idea yang segar, dengan laras aksara yang indah, dalam masa yang sama membawa ma’ana yang mendalam.
Sehinggalah saya membaca buku Melayu & Konservatisme tulisan Mohd Jamizal. Membaca bahagian awal buku ini sangat mengasyikkan hingga menyebabkan saya melekat dengannya. Jamizal membawakan wacana konservatisme dalam bentuk yang wasatiyah, tidak ekstrem ke kiri atau kanan. Tidak memotong akar tradisi, tidak juga membungkam pemikiran dalam kejumudan. Idea ini saya kira segar, dan perlu dihadam di zaman kita yang memperlihatkan manusia itu hilang rasionaliti dan hanyut dengan fanatisme politik warna masing-masing. Naskah ini turut memperhalusi persoalan falsafah, agama, politik, ekonomi, dan kenegaraan yang dibahaskan dalam konteks konservatisme Melayu. Bahasa dan ulasannya malar dan segar membuatkan buku ini satu naskah pemula yang baik dalam memahami wacana konservatisme Melayu dalam rangka yang sederhana dan rasional.
Pandangan Alam Konservatisme Melayu
Apabila membahaskan perihal konservatisme Melayu, di dalam bukunya, Jamizal banyak menekankan aspek pentingnya pandangan alam (worldview) yang betul apabila kita menimbang sesuatu itu baik atau buruk. Ini merupakan tema yang beliau ulang-ulangkan agar pembaca benar-benar menghadami perkara ini. Sebagai contoh, apabila memperkatakan perihal ketempangan pandangan alam Barat, beliau menyatakan hal ini berlaku kerana mereka tidak mempunyai model kehidupan yang tetap untuk diikuti. Beliau memetik pandangan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menyatakan bahawa umat Islam tidak mempunyai krisis identiti kerana mereka mempunyai Nabi Muhammad SAW sebagai model kehidupan untuk dicontohi dalam setiap kata-kata dan perbuatan.[1]
Jamizal dalam wacananya banyak melihat perkaitan Melayu dan sifat konservatifnya dengan agama Islam. Disebabkan itu, kita melihat, banyak isu-isu yang dibahaskan akan dimasukkan perspektif agama Islam di dalamnya. Dalam kata lain, dalam wacana konservatisme Melayu, aspek Islam itu adalah aspek utama yang tidak boleh dipisahkan dari orang Melayu. Namun tidaklah berma’na dengan wujudnya aspek agama yang kuat, aspek akal dan rasional diketepikan. Islam sememangnya mengiktiraf peranan akal manusia dalam kehidupan. Kepentingan akal ini dapat dilihat apabila Jamizal membahaskan persoalan penafsiran teks al-Qur’an. Beliau menulis:
“…falsafah merupakan qa’idah kritis rasional dalam mencari kebenaran haqiqi dalam agama. Ini dinamakan kaedah “Burhan”, kerana melalui ‘aqal, manusia dapat membuat kesimpulan…Begitu juga dalam memahami teks al-Qur’an – kerana tanpa akal – teks hanya tinggal teks.”[2]
Walaupun Islam mempunyai pandangan alam yang mengiktiraf akal dan mempunyai tradisi falsafah yang panjang dan dalam, peranannya sering disingkirkan, dipadamkan, dan disenyapkan. Hal ini disebut sebagai “universalisme yang palsu” oleh Prof. Syed Farid al-Attas di mana orang-orang Eropah menggunakan kaedah penyenyapan (silencing) dalam merendahkan orang-orang Timur.[3] Di dalam bukunya, Jamizal mengkritik pengabaian falsafah Islam sejak Hegel hingga ke Coplestone dan Russell, yang hanya melihat falsafah Islam sebagai kulturvermittler dari Zaman Gelap ke Zaman Pencerahan.[4] Pengabaian ini melihat sumbangan falsafah Islam sekadar penghubung, bukannya satu sumbangan pemikiran yang original dan tersendiri.
Membahaskan fahaman konservatisme Melayu dalam kerangka Islam ini bagi saya mirip dengan apa yang ditulis oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy perihal kebangsaan Melayu. Bagi beliau, asas politik Melayu adalah Islam. Beliau menulis bahawa politik Melayu mesti dipandu oleh al-Qur’an, beliau menulis:
“Dalam kita memperjuangkan kemerdekaan bangsa kita, kebangsaan Melayu sekarang, pedoman kita al-Qur’an, jalan kita al-sirat al-mustaqim. Hendaklah tiap diri yang beriman itu, hendaklah menjadi angkatan pelopor kebangsaan hari ini, kebangsaan untuk kemerdekaan, kemanusiaan dan kesejahteraan abadi.”[5]
Jamizal dalam wacananya menolak fahaman-fahaman sekularisme, liberalisme, dan relativisme yang memisahkan kehidupan dari agama serta menolak hierarki dan autoriti. Beliau menolak hujah sebahagian parti politik yang menyatakan Malaysia adalah negara sekular. Bagi beliau, Malaysia tidak boleh dikatakan sebagai negara sekular kerana Malaysia menggunakan wang rakyat untuk memajukan agama Islam, ini berbeza dengan negara sekular yang tidak memihak kepada mana-mana agama. Beliau juga menolak amalan takfiri dalam beragama, bagi beliau kedua-dua “ekstrem kanan dan ekstrem kiri” wajar ditolak dalam ufuk politik.[6] Oleh itu, menurut beliau, fahaman konservatisme Melayu itu perlu duduk di jalan tengah yang sederhana.
Dalam membawakan pandangan politik konservatisme Melayu, bagi Jamizal tidak ada satu falsafah politik yang dianggap tetap dan boleh diaplikasikan secara universal. Falsafah politik perlu mengambil kira kesesuaian tradisi, adat, dan budaya setempat. Oleh itu, falsafah politik untuk menyelesaikan masalah masyarakat di Hijaz atau di Amerika Syarikat tidak boleh ditempelkan ke Malaysia.[7] Sebaliknya falsafah politik Malaysia perlulah bersifat tempatan dalam menyelesaikan masalah politik tempatan.
Wacana Demokrasi Konservatisme Melayu
Dalam membincangkan persoalan struktur politik Melayu moden, Jamizal menerima demokrasi sebagai satu sistem untuk diamalkan. Malah beliau berpandangan sistem demokrasi itu “ibarat sistem shura”.[8] Saya tidak bersetuju dengan hal ini, bagi saya sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia ini adalah legasi kolonial, maka ia melahirkan masalah-masalah yang sama seperti yang kita lihat di metropole kolonial seperti di London dan Washington. Saya telah menghuraikan dengan terperinci penolakan saya kepada sistem demokrasi melalui buku saya DemokRasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi.[9] Terutamanya selepas melihat bagaimana sistem-sistem demokrasi membenarkan jenayah genosida belaku di Gaza bermula 2023, saya merasakan ia adalah sistem yang korup dan tidak bermoral, serta tidak harus diyakini. Ada beberapa masalah apabila kita mahu mengatakan bahawa sistem demokrasi itu ibarat sistem shura.
Pertama, asas shura adalah perbincangan yang menggunakan al-Qur’an dan Sunnah sebagai sumber utama pandangan alam dalam kita menilai baik dan buruk bagi menentukan hukum yang sesuai untuk dilaksanakan. Namun apakah sumber utama yang digunakan dalam demokrasi kita hari ini? Perlembagaan yang dirangka oleh British. Ya, hatta perlembagaan kita pun adalah apa yang diberikan oleh British dan bukan kita sendiri yang menggubalnya. Kita pernah menggubal perlembagaan kita sendiri yang dinamakan Perlembagaan Rakyat pada tahun 1947, berbeza dengan perlembagaan kita sekarang yang merupakan warisan British, Perlembagaan Rakyat itu digubal oleh anak peribumi Melayu seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ishak haji Muhammad, dan Ahmad Boestamam. Ia juga dirunding dan disokong oleh bangsa lain seperti Tan Cheng Lock, J.A. Thivy, Chan Loo, dan Gerald de Cruz. Namun perlembagaan ini telah ditolak.[10]
Kedua, dalam sistem shura, ahlinya merupakan ahli-ahli yang dipilih dalam kalangan ilmuan, bijak pandai dan mempunyai kepakaran. Tetapi dalam demokrasi yang kita guna hari ini, ahlinya merupakan ahli yang naik dengan usaha lobi-melobi, politik wang, juga tangan-tangan ghaib pemodal. Sebenarnya ahli parlimen itu bukan dipilih oleh rakyat pun. Proses ini dinamakan tweedism di mana calon-calon telah dipilih awal dan pilihanraya hanyalah menjadi wayang untuk mempersembahkan satu pilihan palsu.[11] Dalam kata lain, sukar sebenarnya kita hendak mengatakan bahawa sistem demokrasi itu persis shura kerana kita sendiri tidak tahu siapa sebenarnya yang memilih wakil rakyat tersebut. Malah dalam polisi-polisi yang digubal itu, adakah ia benar-benar menguntungkan rakyat atau hanya sebahagian kecil pemodal.
Jamizal sendiri bersetuju bahawa ahli parlimen yang dipilih tidak mempunyai kriteria objektif perihal ilmu dan kemahiran yang diperlukan. Ini menyebabkan banyak yang terpilih adalah dari kalangan pembodek dan pengampu, bukan mereka yang berilmu dan berkemahiran. Oleh itu bagaimana kita boleh mengatakan bahawa segerombolan pembodek ini sebagai ahli sistem shura? Jamizal dalam usahanya untuk meleraikan permasalahan ini mencadangkan undang-undang digubal supaya secara minima, ahli parlimen itu mempunyai ijazah sarjana muda. Beliau memberikan rasional bahawa sedang yang memandu kapal terbang pun memerlukan ilmu dan kemahiran, bagaimana pemandu sesebuah negara boleh diserahkan kepada sesiapa sahaja walaupun kepada mereka yang tidak berkemahiran? Selain pemimpin, bagi Jamizal, pengundi juga perlu dari kalangan mereka yang berilmu, ini bagi menghasilkan pilihan yang berilmu. Untuk rakyat mendapat hak seperti mengundi, menurut beliau, rakyat perlu terlebih dahulu bersedia untuk memikul tanggungjawab.[12]
Kesan Undang-Undang Antarabangsa Terhadap Konservatisme Melayu
Politik orang Melayu di Malaysia merupakan politik yang unik dengan cabarannya yang tersendiri. Oleh itu, ia memerlukan pendekatan yang sesuai dengan permasalahannya. Dalam wacana konservatisme Melayu, Jamizal melihat tidak semua undang-undang antarabangsa itu sesuai untuk diaplikasikan di Malaysia. Bagi beliau, ratifikasi terhadap undang-undang antarabangsa perlu dilakukan dengan berhati-hati agar ia tidak berlawanan dengan perlembagaan sedia ada. Ratifikasi ini juga mungkin boleh menggugat kedaulatan negara, oleh itu, tidak kesemuanya sesuai untuk diratifikasi.[13] Jamizal melihat penerimaan undang-undang antarabangsa itu, jika tidak dilakukan dengan berhati-hati, berpotensi menggugat kedaulatan Malaysia.
Beliau juga mengkritik mereka yang memperjuangkan hak asasi manusia melalui konvensi antarabangsa dengan perspektif yang selektif. Beliau memberi contoh Artikel 29 (2) di dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat PBB yang mengiktiraf tugas kerajaan menjaga kepentingan awam dan memastikan rakyat hidup di dalam kompas moral yang betul.[14] Artikel ini membolehkan kerajaan mengambil langkah-langkah bagi menjaga moral masyarakat. Namun hal ini sering disenyapkan oleh golongan yang sering menuntut hak asasi itu dilaksanakan.
Konservatisme Melayu Dalam Menanggapi Ekonomi
Apabila disebut keadilan dan kesaksamaan, bagi Jamizal kesaksamaan ini harus diberikan juga kepada golongan peniaga dan pemodal. Menurut beliau:
“Walhal peniaga dan pemodal juga ialah rakyat yang juga mempunyai hak untuk menikmati polisi yang baik dan menguntungkan mereka.”[15]
Hal ini saya kira sangat menarik kerana jika kita melihat perbahasan ekonomi dari sudut pandang alam Marxis, sosialis dan kaum kiri, golongan peniaga dan pemodal sering dikonotasikan sebagai musuh yang sentiasa perlu ditentang. Walhal Jamizal menyatakan bahawa mereka juga merupakan rakyat yang layak mendapat hasil kenikmatan dari pembangunan ekonomi. Cuma mungkin khilaf yang patut kita bahaskan adalah sejauh mana kebebasan itu wajar kita berikan. Adakah kita tidak patut meletakkan apa-apa halangan sehingga wujud jurang perbezaan kekayaan yang sangat besar antara yang miskin dan kaya? Apakah kita tidak patut meletakkan sebarang halangan bagi amalan monopoli yang membebankan rakyat kebanyakan? Ini merupakan khilaf yang perlu diperincikan, agar kesamaan hak yang kita berikan itu tidak menjerumus kepada jurang yang sangat besar, atau kepada amalan monopoli menindas, yang akhirnya akan melahirkan penentangan dan ketidakstabilan negara.
Dalam hal ini, Jamizal memilih untuk mengetengahkan keperluan untuk mengutamakan kepentingan golongan majoriti dan pihak yang ramai. Mustahil kerajaan dapat memuskan hati semua pihak. Beliau meminjam idea utilitarianisme seperti yang dihuraikan oleh ahli falsafah Inggeris, Jeremy Bentham.[16] Oleh itu, bagi Jamizal, apa yang penting bukan ideologi ekonomi yang ketat, tetapi mengamalkan polisi ekonomi yang berkesan. Beliau membawakan kalam mantan Perdana Menteri China, Deng Xiao Ping:
“Tidak kiralah sama ada kucing itu berwarna putih atau hitam, yang penting adalah kucing itu boleh menangkap tikus.”[17]
Dalam kata yang lain, apabila sampai pada persoalan ekonomi, apa yang harus diutamakan adalah pengurangan jurang kekayaan, dan polisi yang berkesan. Bukan ideologi yang sempit dan utopia.
Khilaf Feudalisme Melayu & Teori Perubahan
Dalam wacana konservatismenya, Jamizal dilihat masih memaparkan masyarakat Melayu sebagai pengamal sistem feudal. Pemaparan ini saya lihat sebagai saki baki pemikiran kolonial yang belum betul-betul dibersihkan dalam pemikiran inteligensia masyarakat Melayu walaupun sudah banyak kajian-kajian baharu yang menolak teori feudal Melayu itu.[18] Menurut Jamizal, orang Melayu itu feudal kerana mereka menjunjung tinggi pemerintah dan menyanjungi mereka.[19] Namun apabila memperihalkan tentang teori perubahan masyarakat, bagi beliau “perubahan mestilah bermula daripada pemimpin Melayu”.[20] Bagi saya di sini ada satu simpulan yang agak ironik yang harus dileraikan, di mana dibawakan teori bahawa orang Melayu feudal kerana menyanjung pemimpin mereka dalam masa yang sama menganjurkan pemimpin dahulu yang berubah.
Bagi saya, sepatutnya jika kita menganjurkan bahawa pemimpin itu tidak harus disanjung tinggi, masyarakat seharusnya dianjurkan berubah tanpa perlu menunggu pemimpin mereka berubah. Bagi saya teori perubahan yang lebih effektif adalah perubahan dari bawah seperti yang dianjurkan oleh pemikir Islam seperti Sayyid Qutb.[21] Menganjurkan diadakan program tarbiyah dan pendidikan yang berkesan dalam masyarakat untuk menghapuskan kejahilan. Jika kita menunggu pemimpin untuk berubah baru kita mahu berubah, kita mungkin terpaksa menunggu selama-lamanya.
Namun Jamizal juga tidaklah menolak bahawa keperluan kepada masyarakat yang “faham” untuk sesuatu perubahan itu berjaya, ini dapat dilihat apabila beliau menyatakan bahawa apa-apa gagasan yang dibawa oleh perdana menteri tidak akan bermakna jika masyarakat tidak memahaminya.[22] Oleh itu, pandangan saya dalam menanggapi teori perubahan, ia memerlukan kepada kedua-duanya. Perubahan pemimpin dan masyarakat, namun untuk memastikan perubahan itu bertahan lama, ia mesti mengutamakan perubahan masyarakat. Kerana siapa pun memerintah, mereka tidak akan dapat bertahan jika tiada satu mass base yang menyokongnya.
Beberapa Penambahbaikan Teknikal
Sepanjang pembacaan buku tulisan Jamizal, saya mendapati kesalahan yang minima dalam aspek-aspek teknikal. Namun ada juga yang berjaya saya kesan terutamanya di bahagian akhir. Mungkin di peringkat akhir editornya sudah keletihan. Misalnya di halaman 205, ada pengulangan “Melayu Melayu”. Di halaman 213, ayat “…perbincangan hangat tentang keperluan dan keperluan merotan pesalah…”, selain pengulangan, di halaman ini reka letak aksaranya dilihat berubah saiznya. Di halaman 221, ada kesalahan ejaan “autonaminya”. Kesalahan ejaan juga berlaku di halaman 227, iaitu perkataan “berraja” dan “hli parlimen”.
Saya juga merasakan beberapa perbahasan di dalam buku ini sedikit Covid-19-centric, oleh itu ia kedengaran seperti sudah outdated perbahasan itu, namun mungkin ia sesuai untuk rujukan dari sudut sejarah dan juga latar perbahasan.[23] Namun ini tidaklah mengurangkan keenakan buku ini untuk dibaca.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya saya merasakan gagasan yang dibawakan oleh Jamizal merupakan satu gagasan yang baik untuk Malaysia. Ia adalah satu perbahasan yang memberi kepentingan yang tinggi untuk mempunyai sebuah pandangan alam yang benar. Ini kerana pandangan alam ini yang akhirnya akan meresap kepada polisi dan pemerintahan. Saya juga sangat bersetuju dengan gagasan kesederhanaan yang dibawakan oleh Jamizal. Perlu kita bersifat terbuka, terutamanya dalam soal ekonomi, apa yang penting bukan ideologi tetapi apa yang baik dan memberi kebaikan kepada manusia kebanyakan. Disebabkan itulah sebenarnya saya sendiri menulis buku Lalang di Lautan Ideologi, untuk menanggapi bahawa kebenaran itu sentiasa lebih besar dari ideologi. Saya berfikiran bahawa Jamizal berjaya membawa satu wacana konservatisme Melayu yang baik, tidak ekstrem dan sederhana.
BibliografiAzmi Arifin. 2023. Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Burhanuddin Al-Helmy. 2024. Falsafah Kebangsaan Melayu. Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia.
Ishak Saat. 2010. “Caturan politik pelbagai kaum di Tanah Melayu 1946-1957.” Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies 37 68-85.
Maksudoglu, Mehmet. 2023. The Untold History of Ottoman. Jakarta Timur: Pustaka Al-Kautsar.
Mohd Jamizal Zainol. 2025. Melayu & Konservatisme: Wacana Kritis Terhadap Agama, Politik dan Ekonomi. Petaling Jaya: The Biblio Press.
Sayyid Qutb. 2012. Milestones (Ma’alim fi’l-tareeq). Kuala Lumpur: Dar Al Wahi Publication.
Syed Ahmad Fathi. 2025. Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi. Seremban: Rabak-Lit.
—. 2023. Lalang di Lautan Ideologi (Edisi Kemaskini). Cukong Press.
Syed Farid al-Attas. 2025. “Kuliah Nyahjajah Ilmu Pengetahuan.” Menganyam Nusa anjuran Kawah Buku, Team Selangor, dan MyCatalyz. 06 September. https://www.facebook.com/kawahbuku/vi....
[1] Mohd Jamizal Zainol. Melayu & Konservatisme: Wacana Kritis Terhadap Agama, Politik dan Ekonomi (Petaling Jaya: The Biblio Press, 2025)., hlm. 42.
[2] Ibid., hlm. 49-50.
[3] Huraian Prof. Syed Farid al-Attas perihal universalisme palsu oleh orang-orang Eropah serta kaedah penyenyapan ini boleh diteliti melalui wacana yang disampaikan beliau dalam siri Menganyam Nusa yang bertajuk “Kuliah Nyahjajah Ilmu Pengetahuan” pada 06 September 2025 anjuran Kawah Buku, Team Selangor, dan MyCatalyz. Pautan rakaman wacana: https://www.facebook.com/kawahbuku/videos/24401693786124279
[4] Kulturvermittler bermaksud jambatan peradaban, lihat penerangan oleh Mohd Jamizal Zainol di dalam Melayu & Konservatisme., hlm. 52.
[5] Burhanuddin Al-Helmy. Falsafah Kebangsaan Melayu. (Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 2024)., hlm. 100.
[6] Mohd Jamizal Zainol. Melayu & Konservatisme., hlm. 232.
[7] Ibid., hlm. 234.
[8] Ibid., hlm. 100.
[9] Syed Ahmad Fathi, Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi (Seremban: Rabak-Lit, 2025).
[10] Ishak Saat. “Caturan politik pelbagai kaum di Tanah Melayu 1946-1957.” Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies 37 (2010): 68-85.
[11] Perihal proses tweedism dalam demokrasi, lihat tulisan saya dalam Demokrasisma: Masalah-Masalah Dalam Sistem Demokrasi (Seremban: Rabak-Lit, 2025)., hlm. 57-68.
[12] Mohd Jamizal Zainol. Melayu & Konservatisme., hlm. 100-102.
[13] Ibid., hlm. 103.
[14] Ibid., hlm. 223.
[15] Ibid., hlm. 121-122.
[16] Ibid., hlm. 129.
[17] Ibid., hlm. 171.
[18] Antara yang terkenal menolak teori feudalisme Melayu adalah Azmi Arifin, lihat tulisannya Feudalisme: Sejarah dan Persejarahan (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2023). Teori feudalisme sebenarnya ditolak juga oleh masyarakat Islam lain, Prof. Mehmet Maksudoglu misalnya menolak pandangan yang menyatakan masyarakat Uthmaniyah mengamalkan sistem feudal, menurut beliau sistem timar yang diamalkan Uthmaniyah tidak mempunyai kaitan dengan sistem feudal Eropah seperti yang didakwa. Lihat tulisannya The Untold History of Ottoman (Jakarta Timur: Pustaka Al-Kautsar, 2023)., hlm 7-8. Judul asalnya bertajuk Osmanly History and Institutions (Ensar, 2011).
[19] Mohd Jamizal Zainol. Melayu & Konservatisme., hlm. 178.
[20] Ibid., hlm. 178.
[21] Lihat tulisan Sayyid Qutb. Milestones (Ma’alim fi’l-tareeq) (Kuala Lumpur: Dar Al Wahi Publication, 2012)
[22] Mohd Jamizal Zainol. Melayu & Konservatisme., hlm. 194.
[23] Ibid., hlm. 219.
Perbahasan-Konservatisme-Melayu-Dari-Perspektif-Pertengahan-Yang-RasionalDownloadThe post Perbahasan Konservatisme Melayu Dari Perspektif Pertengahan Yang Rasional appeared first on The Independent Insight.
August 7, 2025
Mahasiswa UIN Malang Gelar Pelatihan Pidato Bahasa Arab dan Melayu di Thailand

Chana, Thailand — Empat mahasiswa Fakultas Humaniora UIN Malang yaitu Muhammad Nur, Asep Adli Azhari Nur Syahbani, Zaqhlul Ammar dan Frandika Arung Amoekti yang mengikuti program I-SMASH (International Student Mobility and Sharing) sukses menyelenggarakan hari pertama pelatihan pidato berbahasa Arab dan Melayu di Rungrote Wittaya School, Chana, Thailand.
Kegiatan yang diinisiasi oleh Muhammad Nur sekaligus ia menjadi narasumber dalam kegiatan ini, yang bertujuan untuk membangkitkan kembali semangat siswa dalam berani berbicara di depan umum.
Pelatihan yang akan berlangsung mulai 6 hingga 11 Agustus 2025 ini merupakan inisiatif tambahan dari para mahasiswa selain mengajar di kelas. Setelah berdiskusi dengan pihak sekolah.
Muhammad Nur, yang biasa dipanggil Nur, mahasiswa Jurusan Bahasa dan Sastra Arab UIN Malang, menjelaskan bahwa program I-SMASH yang berlangsung selama tiga minggu ini dimanfaatkan secara maksimal untuk memberikan dampak positif.
“Setelah berdiskusi, kami mengajukan beberapa pelatihan tambahan yang bermanfaat, seperti kaligrafi, tilawah, kepenulisan kreatif, dan pidato. Saya menjadi inisiator untuk pelatihan pidato bahasa Arab dan Melayu, dan alhamdulillah, kami sangat didukung oleh pihak sekolah,” ungkapnya.
Kegiatan ini mendapat sambutan hangat dari pihak sekolah. Hayati, guru pendamping Muhammad Nur, menyatakan bahwa ini adalah pelatihan pidato pertama setelah beberapa tahun vakum.
“Saya mewakili pihak sekolah sangat mendukung kegiatan ini. Apalagi saya mendapat informasi dari dosennya bahwa Muhammad Nur sering menjuarai lomba pidato dan kepenulisan, bahkan baru-baru ini menjadi juara 2 Lomba Karya Tulis Ilmiah Internasional. Saya berharap kegiatan ini dapat bermanfaat bagi sekolah dan khususnya siswa Rungrote Wittaya School,” tuturnya.
Sebelum seminar dimulai, Muhammad Nur—telah memberikan materi dasar pidato di delapan kelas yang berbeda selama beberapa minggu sebelumnya.
“Setelah itu, saya memilih anak-anak yang memiliki kesungguhan dan minat yang kuat untuk mengikuti kegiatan pelatihan tambahan. Tujuan utama saya adalah memunculkan keberanian mereka dalam berbicara di depan umum. Karena keberanian bukanlah anugerah yang datang tiba-tiba, tetapi lahir karena dipupuk, dilatih, dan dibiasakan secara bertahap,” tambah Muhammad Nur.
Pada hari pertama, estimasi peserta sebanyak 50 santri putra mengikuti seminar, dan selanjutnya akan dilanjutkan dengan pelatihan untuk santriwati juga diproyeksikan sebanyak 50 orang peserta dan pendaftar dari kalangan siswa lainnya.
“Menurut kami, kegiatan ini diharapkan menjadi inkubasi ningkatin pemahaman budaya dan agama, peluang pendidikan dan karir, peningkatan keterampilan komunikasi, termasuk menurut saya itu kemampuan dan peningkatan kepercayaan diri, peluang jaringan, termasuk interaksi dan akses ke masyarakat lokal baik bagi kami sebagai manusia Indonesia, maupun porsi besarnya untuk adik-adik kita dan peserta program yang berasal dari Negeri Gajah Putih.” Jelas Nur.
Sehingga, menurutnya akan ada banyak siswa dan siswi asal Thailand yang mendaftar dan belajar dalam program tersebut. Selain juga terjadinya pertukaran, dan pemahaman budaya yang beragam antar Indonesia dan Thailand melalui kegiatan yang diinisiasi oleh Nur tersebut.
Kegiatan ini tidak hanya menjadi wadah bagi siswa untuk mengasah kemampuan bahasa, tetapi juga menjadi bukti nyata kontribusi mahasiswa UIN Malang di kancah internasional melalui program I-SMASH.
Kegiatan ini mendapat sambutan luar biasa dari siswa, salah satunya, Sakeef. Sakeef, siswa Thailand tersebut mengungkapkan kegembiraannya setelah mengikuti pelatihan.
“Perasaan saya setelah belajar pidato, saya sangat gembira dan semakin mencintai bahasa. Saya juga sudah memahami apa itu pidato,” ucap Sakeef, dalam bahasa Thailand yang telah diterjemahkan atas keterangannya.
The post Mahasiswa UIN Malang Gelar Pelatihan Pidato Bahasa Arab dan Melayu di Thailand appeared first on The Independent Insight.
July 25, 2025
Anak-Anak Kebuluran di Gaza: Neo-Orientalis & Kepalsuan Institusi Islam Moden

Ketika anak-anak Gaza mati kebuluran disebabkan kepungan Zionis dan talibarut pemimpin Arab, kita merasakan satu desakan akan keperluan institusi Islam yang dikatakan agung seperti al-Azhar dan Ummul Quro untuk mendesak pemimpin mereka membuka kepungan dan membenarkan anak-anak ini mendapat makanan. Namun ulamak neo-orientalis yang menduduki takhta akademik ini gagal melaksanakan tanggungjawab mereka. Maka kita fahami bahawa institusi-institusi ini adalah institusi palsu. Sekadar perabot imperialisme berlakon sebagai institusi Islam.
Pakaian kealiman mereka itu hanya palsu. Jubah dan fez merah mereka itu seharusnya dibuang ke longkang sahaja apabila anak-anak Gaza yang mati kering kebuluran itu dibiarkan tanpa ada fatwa yang boleh dikeluarkan untuk menyelamatkan mereka. Memalukan. Elok mereka pakai tshirt sahaja.
Kita tertanya, siapa yang lebih radikal? Siapa yang lebih radikal sebenarnya? Syed Qutb yang menolak sistem jahiliyah atau sheikh al-Azhar yang membiarkan anak Gaza mati kering kebuluran? Kalau betul Al-Azhar itu institusi Islam, dia akan desak Mesir buka sempadan. Bukan bersekongkol dengan pemimpin zalim Mesir menutup sempadan Rafah dan menghalang umat Islam yang ingin membantu.
Kenapa Umat Islam Lemah?
Kita lemah kerana kita menghantar anak-anak kita belajar di institusi yang salah seperti Al Azhar dan Ummul Quro. Umat yang lemah dan pemimpin yang penakut itu lahir dari ulamak-ulamak yang palsu. Kita perlu berhenti menghantar anak-anak belajar di institusi Islam palsu ini. Kita kena hantar anak-anak belajar dengan ulamak yang benar, misalnya seperti Ali al-Qaradaghi. Walaupun beliau merupakan produk al-Azhar beliau adalah ilmuan yang benar, sedang al-Azhar institusi lamanya telah menjadi korup dan talibarut kepada zionis.
Anak-Anak Gaza Dan Tulang Mereka
Mesir sepatutnya sudah lama membuka sempadan mereka. Apabila mereka menghalang rombongan umat Islam yang mahu menghantar makanan, kita tahu mereka khianat. Rakyat Mesir juga tahu, sebab itu ada yang mengunci kedutaan mereka sendiri di luar negara tanda protes. Ulamak yang tidak bersuara juga khianat, walaupun mereka mengaku mereka ilmuan “Islam” yang suci dan agung. Tipu, palsu.
Murid dan penyokong kepalsuan ini melompat bagai kera yang kepanasan punggung apabila perkara ini disebut dan diperkatakan. Namun apa yang aneh? Imej anak-anak Gaza yang mati kelaparan tidak menggegarkan punggung mereka. Anak-anak ini mati, mereka tidak bersuara. Ulamak mereka tak bersuara. Bila dikritik kebisuan mereka. Pup! Pungung mereka terbakar.
Lihatlah akaun dan media sosial mereka. Ada mereka kisah dengan anak-anak Gaza yang mati kelaparan? Apa yang mereka kongsikan hari-hari? Kemarahan mereka palsu sahaja.
Mereka tak pernah kongsi kesengsaraan anak-anak Gaza yang tinggal tulang! Senyap! Bila kritik ulamak mereka! Pup! Tiba-tiba punggung mereka bergerak. Bagus, biar punggung mereka terbakar di dunia, harap punggung itu nanti selamat di akhirat!
Bila kita mengkritik institusi dan ulamak palsu ini, ada yang menyatakan kita merupakan pemikir palsu. Kita mengaku satu perkara! Demi Allah, kita memang pemikir palsu. Malah, hendak mengaku sebagai pemikir depan Allah pun kita malu.
Tapi!
Cuba lihat media sosial pengkritik kita ini yang kononnya pemikir agung umat. Adakah dia ada berkongsi satu sahaja gambar anak Gaza yang kebuluran? Tak perlu seratus, satu pun jadi. Satu pun tiada? Mengapa? Sebab mereka ini kononnya mahir berfalsafah, konon peminat ilmu, namun anak-anak Gaza yang mati kebuluran itu sedikit pun mereka tidak kisah. Benarkah ilmu mereka ini? Falsafah apa ini yang membiarkan anak-anak mati kebuluran?
Tidaklah Satu Yang Aneh

Tidaklah satu yang aneh apabila seseorang yang dahulunya beriya-riya mempertahankan sarjana kolonial menuduh orang yang bersuara agar anak-anak Gaza dibenarkan makan sebagai ekstrem dan radikal. Orang yang sama itu juga dulu mencaci As-Shahid Ismail Haniyeh dan keluarganya. Tidak aneh juga orang yang mengaku Al Azhar itu kiblat ilmunya tanpa segan silu memperaga gambar perempuan bogel sebagai banner profile Facebooknya. Kerana kita kenal minda yang akarnya adalah kolonialisme dan orientalisme.
Penentangan kepada penjajahan akan sentiasa dituduh sebagai radikal dan ekstrem. Ulamak yang membisu membiarkan anak-anak lapar dikatakan agung dan suci. Bagi yang membaca sejarah, mereka akan menjumpai perkara ini berulang-ulang. Mereka akan menangis berkali-kali mengenang nasib umat yang selalu kalah dan akan cuba mahu mengubahnya. Kita mahu ulamak bersuara, menggunakan ilmu mereka agar mendesak pemimpin membuka kepungan, kita akan dicop radikal. Itu terlalu biasa. Sedikit pun ia tidak patut memudarkan keazaman kita untuk terus bersuara agar anak-anak Gaza diberi makanan.
Dr. Burhanuddin al-Helmy antara ilmuan awal yang sangat hebat kritikannya kepada penjajahan Israel ke atas Palestin. Biografinya sangat mengasyikkan. Beliau pernah menziarahi Palestin semasa hidupnya. Pulang ke Tanah Melayu, beliau aktif menyedarkan bangsanya untuk merdeka dari penjajahan British. Maka tidak hairanlah jika kita membaca catatan British (dan juga catatan sarjana tempatan yang mencedok idea British), beliau dipaparkan sebagai radikal dan ekstremis. Namun tetap idea dan perjuangan beliau terus subur. Pejuang itu hanya akan diiktiraf selepas menang, atau selepas mereka sudah mati.
Maka tidak hairan bila orang yang berfikiran kolonial menuduh kita radikal atau ekstremis. Kalam mereka tiada bezanya dengan tuduhan penjenayah seperti Benjamin Netanyahu yang menuduh pejuang pembebasan Gaza sebagai pengganas. Mereka dari aliran pemikiran orientalis yang sama. Kita harus melihat mereka sebagai debu sahaja di tapak kasut kita.
Maka itu tidaklah aneh bagi kita.
Tangisan Anak-Anak Kelaparan Di Syurga

Umat Islam itu besar sekali kuasa dan pengaruhnya meski pun mereka tidak duduk di kerusi takhta, jika mereka menyedarinya. Jika mereka berdehem sekali pun, akan bergegar kerusi penjajah taghut dan penyokong mereka. Sebab itu setiap kali umat mengangkat suara, mereka akan disuruh diam. Mereka yang bersuara itu digelar ekstrim dan radikal. Mereka akan dimaki “hingaq” dan “useless”.
Tetapi mana mungkin orang Islam yang diberi nikmat iman itu diam ketika anak-anak Gaza mati kebuluran. Air mata mereka tetap juga akan terbit dan mengalir melihat sungai darah saudaranya yang mengalir deras. Dia hanya menipu dirinya sendiri jika dia cuba menutup hatinya dari bersedih. Tangisan anak-anak kelaparan tetap akan bergiang dalam hati mereka. Ketika mereka makan dan tidur. Itu anugerah Allah pada mereka.
Maka ketika pseudo-intelektual pro-kolonial dan berminda orientalis menyuruh kita diam sahaja melihat anak-anak kita mati dibakar dalam lapar, iman kita akan sentiasa menjerit dan memberontak. Tangisan lapar anak-anak ini menggegarkan langit, tetapi kita disuruh jangan “hingaq”. Jangan menjadi suara anak-anak lapar. Jangan percaya iman di hati kita yang mengasihi mereka.
Betulkah kita mampu membuka pintu syurga dengan meninggalkan tangisan anak-anak kelaparan yang mati kering ini?
The post Anak-Anak Kebuluran di Gaza: Neo-Orientalis & Kepalsuan Institusi Islam Moden appeared first on The Independent Insight.


