Birsilah Bakar's Blog - Posts Tagged "bm"
Cerita Pendek: Langit Disember
Nama aku memecah kicau merdu burung-burung terbang berkawan. Petang itu langkahnya lapar menjejak kami. Tidak menoleh ke belakang, sepasang selipar biru menghentam Bumi bertubi-tubi. Wajahnya ketat mengumpul bait-bait kesat. Mengesan ribut yang bakal melanda, sebarisan itik dan sekumpulan ayam bertempiaran lari ke arah semak. Aku mendongak memandang awan yang perlahan-lahan menebarkan perca selimut kelabunya ke serata langit. Serak cahaya petang bertukar jingga. Nun di ufuk timur, kilat menerpa dan guruh bersahutan.
Tak lama lagi, baliklah dia.
Titis-titis air tumpah ke atap zink reban ayam diselang-seli irama sumbang atap rumah Makcik Limah. Angin bayu mencuri ceroboh masuk ikut celah-celah anyaman rumbia. Pokok-pokok terhoyong-hayang. Amaran sudah jelas. Sila pulang atau disimbah dengan air,kata Langit Disember. Aku berkeras menunggu.
“Kakak!”
Berdentam-dentum jantung ini bertempik ke telinga. Takut berbisik di telinga. Suara itu semakin jelas, bererti dia semakin dekat. Aku membalas dengan meniarap ke tanah dengan mulut terkatup rapat. Baju kurung putih yang melekat ke tubuh kini bertompok-tompok coklat dibasahi air keruh yang mengalir ke belakang busut semut.
Ini bukan tempat persembunyian paling strategik, aku membuat kesimpulan sendiri.
Pertama sekali, komuniti semut api tidak suka orang asing dan berusaha mempertahankan tempat tinggal mereka dengan menggigit sepenuh hati mana-mana bahagian tubuh Si Penceroboh yang berjaya dicapai. Sesungut mereka mungkin kecil tetapi sakitnya tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata.
Aku hampir menggelepar di dalam hujan.
Pedihnya lebih dahsyat daripada melecur. Nafas aku sesak menahan sabar.
Bertahan!
Naluri aku diam, akur dengan azam yang meluap-luap ingin terbang. Kami ada misi yang tidak boleh gagal. Pengorbanan ini akan direkodkan dalam lipatan sejarah dan pastinya tidak sia-sia.
“Midah, kenapa terjerit-jerit?”
“Aku mencari Kakak dan Adik. Tadi masa kenduri ada. Sekarang sudah lesap. Kau ada nampak budak berdua itu?”
Aku berdoa rabun Makcik Limah semakin teruk. Menggelatuk kesejukan di celah-celah ketuk ayam, aku senyum apabila sahabat baik Emak menggeleng.
Kami lebih teliti. Majlis bersunat Muhammad Daniel bagaikan satu kebetulan yang indah. Perhatian Emak dan Pakcik akan terpalit kesemuanya di dahi jendul intan payung, buah hati pengarang jantung.
“Sakit, nak? Mari Emak sapukan ubat,” manis disapa perempuan itu.
Adik dan aku mencebik di sebalik pintu. Telinga kami sakit, hati kami perit.
Jika diikutkan, hati kami ini sepatutnya sudah kebal. Buktinya kami langsung tidak kisah dikeji. Tidak ada bisa, luka atau lebam dengan bertikam lidah. Bosan, mereka menukar strategi. Beg sekolah kami hilang, kasut kami dibuang dari tingkat tiga dan kotak pensel kami pecah dipijak ketua darjah. Itu kelakar, mereka beramai-ramai ketawa pecah perut. Soalan hiba kami dibalas ‘aku tak tahu.’
Semua berakhir apabila muncul Cikgu Rohana. Kami bukan lagi budak-budak yang patah jiwanya. Dia bukan cikgu disiplin yang biasa.
“Awak berdua tak boleh hidup begini selamanya. Cikgu akan fikirkan sesuatu. Jangan risau, semuanya akan selamat.”
Cerita keluarga kami rupanya bukan rahsia lagi. Sepetang di bilik kaunseling, Cikgu Rohana bangun dan meminta kami berjanji. Dia merayu supaya kami menjadi orang yang berani. Sedar tak sedar, itu kelas pertama dia mengajar kami bermimpi.
“Fikir tentang masa depan. Kamu boleh ubah nasib kamu.”
Aku dan Adik berpandangan sesama sendiri. Ini bagaikan kisah pengembaraan filem koboi dulu-dulu. Kami sama sekali tidak tahu budak-budak perempuan comotpun boleh jadi berani. Bukankah hero sahaja yang selalunya tidak takut mati?
“Hari Sabtu kita jumpa di jeti. Cikgu boleh temankan awak berdua sampai ke seberang sana.”
Kami betul-betul teruja. Masa untuk pergi.
Aku dan Adik banyak berfikir semenjak berkenalan dengan Cikgu Rohana. Kali ini kami tak boleh tertangkap lagi. Bulan lepas, seminggu aku kencing berdiri. Adik ada lebam biru di rusuk kanan yang mencengkam dada setiap kali bernafas. Sudah banyak malam kami bermimpi tentang rancangan baru.
“Akhirnya kita akan bahagia, Kak!” mata Adik berkaca.
“Bayangkan, kita berjalan masuk ke kedai membeli buku. Seronoknya! Sudah berapa lama kita tak membaca. Otak Kakak sudah berkarat,” aku berbisik.
“Kakak rasa kita boleh menonton kartun?”
“Mestilah boleh! Abah masih orang yang sama di telefon. Dia sayangkan kita.”
“Kenapa Emak berubah, Kak?”
“Entahlah. Mungkin Pakcik lebih suka Emak apabila dia benci kita begitu.”
Kami diam sepanjang malam tetapi mata kami terang. Subuh lagi kami sudah berkemas. Hati kami cergas, darah kami deras. Kenduri akan bermula awal. Semua mestilah siap sebelum feri terakhir berangkat. Di belakang pokok kelapa tua, Adik menyembunyikan satu beg plastik berisi hartanya. Gumpal merah berisi dua pasang seluar dan tiga helai baju. Beg aku tidak bernasib baik. Semua empat helai baju hanyut ke muara sungai, balasan akibat terlalu rakus berlari dan mengabaikan sepemeluk ranting kering yang tergantung di jambatan. Walaupun semuanya sudah koyak, susah untuk menelan rasa kesal dek kesilapan sendiri.
Hawa masin air laut membanjiri udara. Aku ada setengah kilometer untuk ke jeti. Melangkah ke hadapan aku sedar yang ini kali terakhir kami merakamkan imej rumah kayu dua tingkat, tempat bercambahnya tunas memori zaman kanak-kanak. Aku bertekad tidak mahu berpaling. Biarlah semuanya reput di pulau ini.
Selamat tinggal, Emak. Pakcik, pergi matilah!
Bagus juga aku berjaya mengusir Adik setengah jam lalu. Lama juga Adik berkira-kira. Dia lebih suka kami pergi bersama.
“Lekas! Tinggalkan saja semua gelas sementara tak ada orang di sini. Kita jumpa nanti.”
Adik tersengih dan hilang diantara rimbunan pokok pisang. Aku yakin Adik sudah selamat sampai tanpa banyak masalah. Aku percaya dengan janji Cikgu Rohana.
Aku lebih selesa seksa ini ditanggung seorang diri. Bermula dengan bermain sorok-sorok dengan Emak sehingga menggagahkan diri berkubang di dalam longkang dengan betis melecur kesakitan. Aku rela. Entah berapa lama aku pegun dan masa seolah-olah ikut terhenti sama. Sempat lagikah? Kepala aku terjengul sedikit mencari Emak. Gigih aku mencari ruang diantara dawai-dawai besi untuk mengintai tanpa menyedari yang seisi penghuni reban memerhati Si Penceroboh dengan ekspresi tidak puas hati. Seekor dua ayam betina mula berbisik-bisik antara satu sama lain.
Diamlah! Aku bukannya musuh.
Dilihat Emak masih berpusing-pusing di kawasan berdekatan. Dia di bawah pokok jambu sambil menikam rimbun pokok serai dengan rotan di tangan kirinya.
Ini kes berat. Hujan lebatpun masih tak berputus asa.
Menghembus nafas perlahan-lahan, penumbuk aku jatuh ke tanah. Masa terlalu suntuk. Mungkin jika aku berlari sekuat hati, Emak tidak sempat untuk berbuat apa-apa. Aku mencabut selipar. Ya, mesti berani kali ini!
Sedia, mu…
Pada ketika itu jugalah ayam jantan paling besar di dalam reban berketuk dengan kuatnya. Aku tersentak, begitu juga Emak. Mata Emak meliar ke reban dan kelibat baju putih ini membuatkan kakinya pantas berlari ke tempat kejadian. Matanya merah berjelaga dengan api, hidungnya kembang kempis berhutang udara, rotannya dihunus ke langit sementara sepasang kakinya seakan terapung di atas tanah.
“Budak tak guna!”
Aku ingin sekali menyelinap keluar dari bawah reban ke jalan besar dan terus memecut tanpa berhenti tetapi semua impian itu bolos di tengah jalan. Dawai karat yang terjuntai memasang perangkap bisu buat kaki kebas ini.
“Ke mana kau nak lari, hah?”
Kali terakhir aku sedar, langit Disember merekah dengan merah. Sedu sedannya berhamburan. Air mata kami bercampur di dalam lumpur. Pokok-pokok kelapa tunduk simpati. Rumput kering di sekeliling berubah warna. Kepala aku panas, cecair merah mengalir membasahi alam. Kelam datang meragut sedar.
Mati bermukadimah perlahan tetapi jelas. Lembaga itu tinggi menggalah tetapi di manapun dia berada, bagaimanapun keadaannya, rupa syaitan tetap mirip Pakcik.
“Jangan!”
Satu tangan sejuk menggenggam siku. Suara aku tenggelam timbul meminta tolong. Satu lagi tangan mencekup mulut. Dia kuat tetapi aku tidak putus asa. Aku meronta, menendang dan menolak.
“Tolong!” suara aku lemas di tapak tangannya.
“Jangan sentuh, Pakcik! Tolong berhenti!”
Satu tubuh berat menghempap tanpa belas kasihan. Aku terkunci. Kudrat aku tidak sama dengan kudrat Pakcik.
“Sayang, bangun,”suara itu bergema di hujung terowong. Pakcik? Semerbak bau rokok daun samar-samar bercampur dengan masam peluh. Nafas aku sesak dengan takut. Aku mesti lawan untuk hidup!
Kemudian berlaku sesuatu yang tidak masuk akal. Tangan asing itu menyapu peluh dingin di dahi. Anak-anak rambut dibelai dan diselak ke belakang. Buat pertama kali aku berani membuka mata dan bertentang dengan sepasang mata bulat dengan simpati.
“Mimpi yang sama?”
Aku angguk.
“Haus? Saya ambilkan air.”
“Terima kasih,” kerikil di tekak bergeseran.
Cinta Hati duduk dengan segelas air.
“Awak tahu, saya sedia mendengar…kalau awak sudi nak berkongsi.”
“Be..belum lagi. Bukan sekarang,” sedak tadi hilang mendengar cadangannya.
Dia senyum kelat. Aku masih ingat janji kami untuk berkongsi kebahagiaan dan kesedihan bersama. Aku tidak bangga jadi orang yang memungkiri janji. Tak sanggup rasanya dia kenal Aku Yang Satu Lagi dan berubah hati. Bagaimana hendak berkongsi hitam apabila dia cuma kenal pelangi?
Keluarga Syeikh Muhammad Al Masri Nur-ul Huda sudah mendiami Wast Al Balad semenjak 1890-an. Kabilah mereka besar dengan hampir 50 keluarga yang tinggal berdekatan. Tidak mempercayai orang lain, perniagaan keluarga diamanahkan kepada setiap anak sulung lelaki. Walid anak kedua tetapi abangnya meninggal dunia di dalam Perang September Hitam pada tahun 1970 membuatkan tanggungjawab itu beralih kepada Walid yang baru berumur 16 tahun. Bijak menaakul situasi yang semakin buruk, Walid menjual semua harta pusaka di Marka, Amman dan beberapa lagi kedai di Jaras dan Jafer untuk laluan selamat ke dunia baru.
Mereka semua hampir mati sesak nafas di dalam trak guni gandum. Itu sahaja cara untuk keluar ke negara jiran. Tidak tahu sengsara baru bermula, rancangan Walid dituruti sehingga bulan ketiga di mana semua orang kurus tak bermaya. Waktu itu sesiapapun tidak tahu di mana letaknya Rio de Janeiro, Walid ketawa sambil bercerita. Jordan sudah lebur dalam asap meriam.
Aku kagum dengan Walid. Dia lambang lelaki cekal, gagah dan tidak pernah berputus asa. Cinta Hati anak pertamanya dengan orang tempatan. Semua pelajaran hidup disemat cermat ke dada. Walid berkerja keras di kedai kebab sahabat sepupu jiran mereka semasa di tanah air sementara mengumpul duit untuk menyambung perniagaan keluarga. Dia tidak minat memintal doh, memotong sayur atau mengangkat guni-guni tepung. Tangannya halus dan licin, sudah biasa dengan ratna mutu. Dia bekas tuan punya rangkaian kedai emas terbesar di Jordan dan tidur malamnya tidak nyenyak mengingatkan kata yang masih belum dikota.
Bukan senang menyatukan semula keluarga besar dengan empayar perniagaan mereka.
Dilema Walid panjang. Keluarga Syeikh Muhammad Al Masri Nur-ul Huda ialah pewaris jauhari terkenal di Jordan tetapi di negara asing, mereka tidak lebih daripada sekumpulan pelarian.
Tiga puluh tahun berlalu dan impian Walid terkabul. Kini anaknya pula mengambil giliran. Aku juga pelik kenapa Cinta Hati memilih aku. Bukankah jauhari sepatutnya mengenal manikam?
Aku melangkah perlahan-lahan ke dapur. Teh pudina penuh di dalam laci paling tinggi akibat keputusan aku yang mendadak berhenti minum kopi. Kepala aku ligat memikirkan sesuatu tetapi aku tidak begitu pasti tentang apa. Mimpi ngeri sudah berakhir. Aku sudah selamat di alam nyata.
Berita itu.
Aku bohong. Aku bukan pelupa, cuma tidak mahu berfikir dengan lebih lanjut. Aku terlalu takut, keliru dan cemas. Kebetulan jugakah mimpi ini bermula dengan hari Doktor Azura mengucapkan tahniah? Kening kiri aku mula berdenyut tanpa kawalan.
Duduk di ruang tamu kosong dengan teh panas di tangan membuatkan aku tenang seketika. Di luar, angin menggesek ruang diantara jendela membawa muzik sayu. Aku bangkit dan begitu juga bayang di cermin. Awan hitam menderam. Bala tentera di awan barat menghampiri satu lagi awan di sebelah timur, bersedia untuk menyerang. Kuda-kuda berladam guruh menghentakkan kaki mereka ke lantai langit. Tanduk petir di dahi mereka terhunus ke mata musuh. Perang bakal berlangsung.
Penunggang-penunggang mereka menunggu isyarat. Aku boleh lihat mata-mata merah mereka menyala. Tombak ais mereka tajam dan melintang mencari sasaran. Mana-mana bayang-bayang yang ditikam, larut serta merta menjadi buih. Gendang perang berhenti dan Bumi kuyup dengan darah jernih. Persembahan Langit Disember pertama semenjak aku pulang ke ibu kota. Kali ini lebih hebat daripada 25 tahun lalu.
“Kakak!”
Suara itu! Minda aku berulang-ulang mencari rakaman lama tetapi tidak berjumpa. Mungkin terlalu jauh terbenam di dalam laci kenangan.
“Kau ingat kau boleh lari daripada kami?” wajah-wajah itu menari di balkoni.
Jantung aku bergolek jatuh ke lantai. Ketawa liar mereka bergema.
“Anak derhaka macam kau akan dapat balasan!” pekik Emak.
“Aku simpati dengan anak kau,” Pakcik menyampuk dan ketawa lagi.
“Diam! Kau semua sudah mati! Aku bukan orang jahat!” aku membela diri.
“Kau ingat bagaimana kau bencikan aku? Macam itulah juga anak kau akan benci Mamanya,” gigi taring Emak bersinar di dalam gelap.
Tidak menghiraukan ribut di luar, aku membuka tingkap kaca di balkoni. Tirai yang berjerambai meliuk-lentuk dipukul bayu.
“Pergi! Jangan kacau aku lagi!” aku menjerit di dalam kelam. Hujan semakin menggila. Secebis cahaya mencantas pokok di tepi pagar. Aku tidak peduli. Wajah-wajah ini mesti pergi!
“Kau ingat si Pak Syeikh di dalam akan terima kau seadanya? Kau budak miskin yang tak ada apa-apa. Kenapa kau tak mati saja dalam perut aku dulu?” Emak meludah.
Tangisan aku semakin kuat. Aku tak mampu melawan. Parut lama yang aku balut kini koyak seperti perca kain buruk. Mereka berdua melompat-lompat girang. Mereka menang.
“Sayang?”
“Pergi! Kau nak sangat aku mati, kan?”
“Sayang!”
Tubuh aku dipeluk erat dari belakang. Kami berdua terhumban ke palang. Aku berpusing dan bertembung dengan si penyelamat. Segaris selumbar kilat mengejutkan kami berdua. Wajah orang-orang gila tadi hilang dimamah bayang-bayang. Seluruh ruang tamu basah tetapi Langit Disember belum habis beraksi.
“Jom masuk.”
Esak aku belum habis ketika masuk. Aku memerlukan alasan. Tentu banyak soalan bermain di kepalanya. Adakah Cinta Hati sudah menerima hakikat yang isterinya gila?
“Sayang mandi dulu, ya? Guna air panas.”
Lama aku berfikir di dalam bilik air. Tidak ada faedahnya aku berbohong. Aku keluar apabila jari-jemari sudah lama kecut dan pucat, sedia dengan ringkasan cerita lama. Cinta Hati membaca majalah di kepala katil, menunggu dan menunggu jawapan yang tidak pasti.
“Saya berhutang banyak penjelasan,” aku bermula dengan gugup.
“Sayang, tak perlulah kita bincang tentang perkara tadi. Esok saja kita sambung.”
“Tak boleh. Awak kena faham semuanya sekarang. Saya betul-betul nak awak dengar cerita ini.”
Sebelah keningnya terangkat. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang emosi. Majalah diletakkan ke tepi.
“Awak ingat lagi kali pertama kita berjumpa?” soalan pertama aku membuatkan dia tersenyum lebar.
“Sudah tentu. Musim luruh 2009. Saya ingat lagi selendang pashmina biru laut itu, dan bau vanilla. Bidadari turun dari kayangan dan saya ada di tengah jalan. Tuah badan.”
Pipi aku sedikit hangat. Si mulut manis.
”Waktu itu saya baru sampai bersama Adik, Abah dan Mama Hana.”
“Ya, saya ingat. Mama Hana menyambung pelajarannya kalau tak silap.”
Rancangan petang itu untuk meneman kami bertemu Abah sekaligus membawa Cikgu Rohana bertemu dengan jodohnya. Dengan hak penjagaan penuh ke atas aku dan Adik, Emak dan pihak berkuasa berhak mengambil tindakan sepatutnya. Sebelum mahkamah mengeluarkan apa-apa arahan, kami sekeluarga sudah jauh di perantauan. London tempat paling bagus untuk masa depan yang baru, kata Abah. Mama Hana menyokong.
“Kita boleh jadi orang yang baru,” tambahnya.
Malu untuk dinyatakan tetapi London membuatkan kami rindu. Rindu pada bahang matahari, riuh burung layang-layang terbang petang, miang buluh, pasir halus melekat di kaki, ikan masin Makcik Limah, keriuk lantai papan, bau ikan reput di jeti, kokok ayam jantan malah tahi-tahi kambing kering di pinggir jalan tanah merah.
Kami rindu sebahagian daripada hidup lama kami. Sebahagian lagi kami ikat ke sauh dan junamkan ke gaung Masa. Kami tunggu masa sauh itu menyembah dasar dengan harapan luka kami boleh sembuh.
Kami masih menunggu.
Hidup baru ini terlalu berbeza. Pertama, sejuknya mencengkam ke tulang. Dinginnya sehingga bulu mata kami kebas di bawah takat beku. Hujannya tidak pernah ikhlas. Gerimis 90 hari musim luruh berbaloi untuk sehari curahan hujan langit Disember. Anginnya kasar, sejuk dan kuat membuatkan semua payung kami cacat dan pipi kami merah dicakar.
Kami berjalan ke sekolah. Sebelah petang pula Adik ke kelas fotografi digital. Mulanya aku panik sementara mencari ruang untuk menyesuaikan diri. Tidak lama kemudian aku menyedari yang muzik ialah ubat penenang yang bagus untuk aku berfungsi seperti orang lain. Bermula lewat untuk menari, getaran di jiwa ini tidak boleh berhenti.
Waktu itu kami sentiasa berhati-hati. Setiap pagi sebuah kereta limusin bercermin gelap akan berlalu pergi dan balik sebelum aku ke kelas tarian pada waktu petang. Aku dan Adik akan melihat kalau-kalau ada wajah yang boleh diintai tetapi tidak berjaya. Khabarnya kereta itu kepunyaan anak tauke kedai emas di lorong belakang.
Anak orang kaya, begitulah agaknya.
Persepsi kami dibuktikan salah apabila peti pos rumah dihujani jemputan ke perasmian bangunan baru Kedai Emas Al-Masri.
Cinta Hati tidak berkongsi yang selebihnya.
Yang aku tahu pada hari perasmian kami sekeluarga datang untuk memberikan sokongan (bau kambing golek Arab membuatkan sesiapapun sanggup) dan seorang budak lelaki berambut ikal sedia menyiapkan berpuluh-puluh pinggan nasi biryani.
“Awak suka kambing?” soalan pertama Cinta Hati.
Aku ketawa.
“Mestilah saya ingat. Awak selamba tanya kalau saya suka sangat binatang-binatang tak mandi.”
“Saya gugup sangat. Selalu saya tengok awak dari jauh.”
“Selalu?”
“Awak ingat siapa di dalam limusin itu? Awak rasa siapa yang meletakkan risalah bertimbun-timbun di peti pos nombor 27-B setiap hari? Awak rasa kenapa kedai emas Al-Masri dibuka betul-betul di belakang rumah awak?”
Mata aku bulat. Cerita ini kedengaran seperti agak melampau tetapi sekurang-kurangnya dia berusaha.
“Awak beli 5 blok bangunan untuk saya?”
“Saya cuba beli bangunan bersebelahan tetapi Puan Scofield sudah mewasiatkan hartanya kepada anak lelaki yang sedang bekerja di China. Jika dia dapat dihubungi, kita mungkin sudah berjiran dan jimat lima tahun masa suai-kenal.”
Sebelum ini aku selalu menganggap Cinta Hati seperti seorang budak manja yang sentiasa dapat apa yang diminta. Sedikitpun tidak terlintas yang dia boleh berusaha keras mendapatkan apa yang dihajati. Aku bagaikan tidak percaya yang remaja pemalu berambut ikal itu masih ada tersembunyi di bawah kulit lelaki tegap di hadapan aku ini. Selepas lima tahun kenal, barulah aku tahu yang inilah anak tauke kedai emas yang menerima liputan hebat makcik-makcik kepoh di kawasan kejiranan kami selama ini atau mengikut tajuk akhbar semasa, ‘Anak Lelaki Tunggal Mogul Emas Amerika Latin dan Eropah Barat.’
Apabila fakta itu diketahui, sudah terlambat untuk aku menyesali semua keputusan yang diambil. Tarikh perkahwinan sudah ditetapkan dan ketika itulah baru aku tahu keluarga Syeikh Muhammad Al Masri Nur-ul Huda betul-betul serius tentang majlis yang melibatkan makanan dan tarian.
Kad jemputan sahaja sudah melebihi 30 mukasurat untuk hampir 5000 orang, hampir 80% tetamu tidak tinggal di Eropah dan lima buah jet peribadi memenuhi ruang legar Lapangan Terbang Heathrow. Kami sekeluarga terkesima dengan pesta 7 hari 7 malam yang dianjurkan oleh pihak lelaki, pesta karaoke lagu Amr Diab dan peraturan menghentak kaki menari Dabke. Sebagai hadiah utama, Walid telah menghadiahkan sebuah pulau sempena perkahwinan anak tunggal lelakinya. Cinta Hati senyum malu-malu membuka sampul geran tanah tetapi aku hampir pengsan mendengar perkataan itu.
Pulau?
Betul agaknya hidup ini bagaikan roda. Penat aku berlari keliling dunia, sudahnya dihantar ke pulau juga.
“Kakak bahagia?” tanya Abah. Semua rakan dan kaum keluarga duduk di tepi dan memerhati.
Minda aku membuat kira-kira mudah. Satu; aku berkahwin dengan Cinta Hati, dua; aku mengajar kanak-kanak menari dan tiga; semua keluarga ada di sini untuk meraikan cinta kami.
Semua kecuali Emak, Pakcik dan Muhammad Daniel.
Bolehkah ini dikatakan bahagia?
Aku hanya mampu tersenyum dan mengangguk.
Ada bahagian dalam gumpalan darah aku yang seram sejuk memikirkan tentang mereka sekeluarga. Mama Hana ada mencari kenalan lama, mencari jalan untuk membina jambatan kasih semula. Denyut nanah aku masih ada tetapi kikir kemaafan tidak memberi pulangan apa-apa.
Berdosa rasanya berperasaan gembira diberitahu yang Emak dan Pakcik tidak selamat dalam satu kemalangan bot memancing. Muhammad Daniel diserahkan kepada rumah kebajikan dan jasadnya sejak hari itu ditelan kabus.
“Ada satu perkara yang awak perlu tahu tentang saya,” aku sedia untuk memuntahkan semuanya.
“Awak mengandung, kan?”
“Eh? Mana awak tahu?”
“Banyak perkara tentang awak yang saya sudah lama tahu tapi pura-pura tak tahu,” wajahnya berahsia.
“Contoh?”
“Saya tahu awak ada 3 parut di dahi. Satu dari bucu meja, satu sebab terhentak ke batu dan satu lagi dari gunting besi Emak awak,” suaranya bertukar muram.
“Awak rasuah Adik?” suara aku sedikit tinggi.
“Itu saja pilihan yang saya ada, sayang. Kami betul-betul risau. Kalau awak perasan, sebab itulah berat Adik naik 5 kilogram. Pizza Empat Keju bukannya susah nak dicari di bandar ini,” Cinta Hati cuba membuat kelakar.
Aku mengambil masa memproses maklumat ini. Adakah aku punya hak untuk marah? Aku mengaku bersalah kerana membiarkan suami sendiri di dalam kelam. Apakah tindakan Cinta Hati itu betul? Jadi ini bermaksud setiap hujung minggu alasan untuk bermain bola selama 2 jam ialah masa bergosip bersama Adik di restoran Itali?
“Sudah berapa lama awak tahu?”
“Sejak kita berkahwin. Awak bercakap sewaktu tidur. 2 minggu kebelakangan ini saja awak mula meracau benda-benda pelik.”
“Awak tak marah?”
“Tentang apa?”
“Tentang…tentang anak kita,” mata aku berair.
“Saya fikir awak tak bersedia lagi. Tiap-tiap kali keluarga saya menyebut tentang anak, awak jadi tak selesa. Tangan awak pucat menggenggam sofa kadang-kadang. Saya tahu awak suka budak-budak di kelas balet jadi mungkin setahun dua lagi hati awak akan terbuka untuk ada anak sendiri.”
“Saya takut.” Pengakuan itu keluar secara tidak sengaja.
“Ceritalah dengan saya kenapa.”
“Saya tak layak jadi seorang ibu. Derhaka dengan Emak sendiri, Tuhan akan memberi balasan setimpal. Anak ini akan benci saya,” kali ini aku menekup muka, tidak sanggup memandang Cinta Hati. Mungkin aku lebih suka lemas dengan air mata.
“Apa yang awak cakapkan ini? Saya ada. Adik, Mama Hana, Abah, Ummi, Walid, semua orang ada untuk tolong. Saya percaya awak ibu terbaik untuk anak saya. Kalau saya budak berumur tiga tahun di kelas awak, tak ada ibu lain yang saya pilih melainkan awak.”
Nampak sangat berat sebelahnya.
“Tapi Emak dan Pakcik kata…”aku menyambung sedu yang terbengkalai.
“Mereka kan sudah tak ada, sayang.”
“Mereka ada di balkoni memanggil-manggil nama saya. Mesti awak ingat saya gila, kan?”
“Jom ke balkoni.”
Gelengan aku diabaikan. Aku ditarik keluar. Gerimis pagi subuh membasahi kepala kami. Bayu laut menepuk embun di dahan jatuh ke tanah. Fajar menyingsing di ufuk timur. Rusuk kami bertaut.
“Anak ini hadiah Tuhan untuk kita. Bagilah dia peluang untuk buat keputusan. Awak takkan menyesal.”
Jika sebelum ini aku terlalu risau tentang diri aku yang kekurangan itu dan ini, yang tiada teladan untuk jadi ibu yang baik, yang terlalu takut untuk melangkah ke hadapan kerana terikat dengan rantai besi karat memori zaman kanak-kanak, barulah aku sedar yang aku terlalu mementingkan diri sendiri. Siapa aku untuk menentukan jika aku ibu yang baik atau tidak?
“Tapi semua mimpi ngeri saya bercakap tentang perkara yang sama…”
“Janganlah ambil hati kata-kata orang mati. Maafkanlah mereka.”
Aku tak sedar sama ada aku ketawa atau menangis mendengar ayat seterusnya.
“Sayang tunggu dan lihat. Anak ini akan jadi orang paling bertuah kerana ada 100 orang keluarga gila Syeikh Amr Faruq Al-Masri bin Syeikh Muhammad Al Masri Nur-ul Huda akan mengajar bagaimana hendak menghentak kaki sambil berkaraoke di kenduri kahwin sanak saudara.”
Pagi itu kami singgah lama di balkoni. Langit Disember dan aku akhirnya berhenti menangis. Pulau kami tidak pernah kelihatan lebih indah.
Aku boleh dengar sauh itu berlabuh dengan bunyi ‘Mama’.

Published on April 11, 2014 04:26
•
Tags:
birsilah, bm, cerita-pendek, cerpen, langit-disember