Alien Itu Jodohku: Bab Satu

Bab 1: KELABU

Waktu aku mula-mula sampai di Betelgeuse III, mata aku hampir melecet dek gosokan belakang tangan. Masa itu kira Subuh heninglah, waktu tempatan – tiga pagi. Dalam kebanyakan buku, slaid pembentangan, berita dan peta sepatutnya kumpulan kami akan nampak bulan sabit warna biru membelah langit. Di arah bertentangan, bulan warna sirap bunga ros akan tergantung bersahaja, macam langit yang merangkum dua bulan itu perkara biasa. Atas kepala kami, bintang-bintang berkerlipan – selonggok berlian dalam almari kaca bersampul baldu hitam. Semuanya nampak lebih jelas dan lebih dekat dari sini.

Lain benar dengan Bumi.

Kapal angkasa yang membawa kami ke galaksi bersebelahan dengan Bima Sakti ini boleh memecut ke kelajuan cahaya dalam masa kurang 30 saat. Teknologi ini bukan teknologi manusia (semestinya!) dan usahasama serantau ini segera dipatenkan oleh Presiden kedua-dua wakil galaksi. Kalau 200 tahun dahulu kita ada ASEAN, kini Projek Baktiraya 1Galaksi (PB1M) yang jadi galang ganti. Katanya tender 60 megatrilion ini menjanjikan modernisasi teragung abad ini.

Aku tak mahu bongkaklah tapi (sila baca dengan nada riak dan takbur) sebab projek keramat itulah aku dan 80 orang orang diplomat pelbagai negara dihantar ke sini. Kamilah tukang perati, perisik dan teladan untuk Betelgeuse III atau menurut ketua kontijen, B3. Rombongan diplomat dari B3 barangkali sudah sampai pada masa yang sama di Kuala Lumpur dan aku boleh bayangkan sakit kepala yang sedang mencengkam kepala mereka walaupun sebab kami tak sama.

Sebaik sahaja aku pijak tanah berkerak kaca hitam di Lapangan Terbang Antaragalaksi Keretoum, aku sedar ada sesuatu yang cukup berbeza. Bangunan pencakar langitnya menjulang ke bintang paling dekat, bagaikan cakar helang botak yang sipi menggenggam kumulus tipis. Halilintar menyerang bukit paling dekat. Puncaknya dihapus dalam masa kurang dua saat. Dentumannya menggegar tulang-temulang dan menerbangkan debu di tapak but kami. Budak perempuan di hadapan kami berpusing ke belakang mendengar beberapa rakan kami melatah. Mengekek ketawa, sepasang telinganya yang tadi kembang bak melur kini menguncup, lebih kecil daripada tunas bunga raya.

Aku terhenti seketika.

Entah kenapa tapi dengar saja suaranya aku langsung teringat sebatang mancis kecil yang dipadam di hujung lidah. Asap karbonnya dirasakan dekat sangat dengan hidung aku sampaikan terlupa yang barisan hadapan sekali sudah membelok untuk masuk ke dalam bangunan utama.

Beg oksigen di belakang aku beratnya dalam lima kilogram sahaja tapi disebabkan graviti B3 yang lebih tumpat maka setiap langkah aku dirasakan seolah-olah mendukung seekor beruang kutub di kawasan pasir jerlus. Replikasi padang latihan intensif kami di NASA sebenarnya saling tak tumpah pemandangan di hadapan aku kini – padang jarak padang tekukur, bangunan tinggi warna raksa, bukit-bukau yang berubah ketinggiannya, pokok renek paras buku lali – kering, berduri dan beracun, awan berapi dan makhluk tinggi lampai yang boleh berubah rupa sekelip mata.

Rakyat B3 sangat bangga dengan kebolehan ini. Macam air yang mengikut rupa bentuk bekas, begitulah jua wajah mereka dan tubuh badan mereka. Pendek kata, tidak pernah wujud bilik yang terlalu kecil atau bumbung yang terlalu tinggi. Cantik dan hodoh tiada dalam istilah kamus mereka. Yang bertanduk, bersisik, bermata tujuh, berkaki tiga, berkepak, berlubang, berinsang, berlampu, berdada heksagon, berbulu afro 3 depa, beropol, berlendir, bertingkat-tingkat, mengengsot, melayang, melingkar, melompat, menggali, menari, semuanya dilayan sama rata. Semuanya makhluk bernyawa yang indah. Mengikut istilah yang ditulis utusan atas talian, Metamorfagi ialah nama yang dirasakan cukup sesuai bagi warga B3.

"Siti, mana awak?" bisik cip nano dalam topi keledar. Mungkin sakit kepala aku berpunca daripada saiznya yang terlalu kecil tapi aku yakin sebabnya lain. Suara Setiausaha Satu, Encik Khalid memenuhi ruang-ruang kosong dalam topi ketat aku. Belum sempat aku mengatur langkah yang seterusnya, bau popcorn karamel menerpa – panas, manis dan melekit. Perut aku mula mogok. Sebelum turun, kami cuma diberi makan spageti alfredo dalam tiub ubat gigi. Mengikut jadual, juadah ditukar kepada goulash atau sup cendawan atau nasi briyani kambing atau ayam panggang atau kebab daging atau puding susu tapi teksturnya semua sama – bubur sejuk untuk bayi yang sedang tumbuh gigi. Sekarang gigi aku merayu nak gigit sebakul dua popcorn rangup dan kenyal dan penuh krim.

Dari mana datang bau pelik-pelik ni semua?

"Saya datang, Encik Khalid!"

"Khalid saja."

"Err..."

"Siti, awak perasan tak?"

"Perasan apa?"

"Sekejap. Awak ada bau halia aiskrim soda tak?"

"Hah?"

"Tak apalah. Kami tengah tunggu depan kaunter imigresen. Cepat sikit, ya? Kita daftar masuk sama-sama. Semua dokumen ada dengan saya."

"OK. OK. Bagi saya dua minit."

"Terima kasih."

Aku boleh bau senyum dia di muka. Sama macam seperiuk karamel yang tertumpah.

"Encik Khalid?"

"Khalid!"

"Ya. Mestilah saya perasan. Gila tak perasan?"

"Kenapa tak ada orang beritahu kita?"

"Entah."

"Kenapa tak ada orang pernah cerita yang planet ni tak ada warna?"

Bangun saja dari tidur selama tiga bulan, semua warna yang aku pernah kenal luntur macam blaus dicelup pewarna murah di sempadan. Lima minit sebelum mendarat, warna itu perlahan-lahan pudar, menyorok dalam skirt Lohong Hitam. Sia-sia saja aku pakai seluar dalam bertuah.

Kepala aku mula berdenyut bila aku sedar yang mulai sekarang dan tiga tahun akan datang, kami hanya ada putih, hitam dan kelabu.

Sakitnya hati. Penat aku padankan semua kemeja, skirt, baju, gaun, seluar, beg, skaf, kasut, anting-anting, tali pinggang dan legging. Segala biru laut, kuning lemak ketam, hijau pucuk pisang, jingga bunga matahari, ungu kulit kerang, merah kereta bomba, putih batu kapur, semua lesap. Yang tinggal hanyalah pemandangan dalam televisyen lama zaman batu. Kami tak ubah macam ekstra dalam filem Seniman Bujang Lapok. Emak mesti tak percaya bila aku cerita dengan dia malam nanti.

Aku lelah mengheret bagasi kelabu seberat 30 kg. Nasib baiklah tulisan cakar ayam aku itu senang nak dicam. Adik aku kata macam cacing yang menggelepar dalam ketuhar. Serius, kepala aku macam lampu kalimantang separa rosak. Sekejap menyala, sekejap tidak. Merah kot. Ke biru? Kuning agaknya. Apa agaknya warna dia sebelum dia melantun atas kepala aku pagi tadi?

Oh. Patutlah kepala sakit.

TAMAT BAB 1: KELABU

Link ke Wattpad -
https://www.wattpad.com/myworks/96483636/write/359638929
1 like ·   •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on September 07, 2017 03:49 Tags: alienitujodohku, bab1, bahasamelayu, birsilahbakar, kelabu, sainsfiksyen
No comments have been added yet.