Every child should be a wanted child

Aku tidak dilahirkan dalam keluarga senang. Tetapi, berbeza dengan penduduk miskin bandar, aku tidak merasa terbeban dengan kesusahan. Sebab aku orang susah yang dibesarkan di kalangan orang yang susah. Malahan untuk mengaku aku susah juga malu sebab ada ramai lagi jiran-jiran aku yang jauh lebih susah….

Kampung aku letaknya berdekatan hulu Sungai Perai yang airnya kelam kerana pencemaran. Aku tinggal di penghujung Kampung Bagan Dalam dan bersebelahan dengan Kampung Ujong Batu. Semasa aku dibesarkan, kawasan Ujong Batu memang popular dengan aktiviti jenayah; pecah rumah, dadah dan sebagainya. Sehinggakan semasa aku menceritakan lokasi kampung aku kepada seseorang yang juga dari Butterworth semasa aku bekerja di Kuala Lumpur, dia terus mengeluarkan statement, “Oh, tu kawasan gangster!”. Rumah aku juga pernah dipecah masuk. Almaklumlah, tingkat atas rumah aku diperbuat dari papan yang banyak anai-anai, senang nak kopek dinding. Tetapi, Alhamdulillah, anak-anak perempuan mak seramai tiga orang selamat membesar.

Sejak kecil, mak pelihara aku, abang, kakak dan adik aku yang OKU seorang diri. Ayah tinggalkan kami sejak aku kecil. Tak usahlah rasanya aku ungkit kenapa sebab seolah-olah buka pekung di dada. Walaupun susah, mak usahakan juga supaya kami cukup makan dan pakai dan yang paling utama sekali, cukup pelajaran. Prinsip mak, makan cacing sekalipun, kami semua kena pergi sekolah.

Aku selalu baca dan tonton kes buang anak di televisyen sejak kecil. Dan adakalanya mak akan mengungkit yang dia tak buang anak-anaknya walaupun terpaksa bekerja berhempas-pulas. Kekadang kes-kes begini buat kami sekeluarga terasa hendak menangis. Terutama apabila ada bayi-bayi yang dibuang ni meninggal dunia kerana dicampak di dalam toilet dan ada yang digigit anjing. Mak sampai pernah keluarkan ayat, “Awatlah depa pi buang kat situ? Kalau dah tak mau sangat, awat tak mai buang kat rumah kita? Kalau aku dapat, susah macam mana pun, aku belalah sampai besaq”. Aku membesar dengan falsafah mak dalam pelbagai bentuk.

Aku harap ada orang beri kami anak yang mereka tak nak daripada dibuang bagaikan sampah. Kalau aku terdengar bunyi kucing malam-malam, aku akan paranoid dan terfikir barangkali ada bayi dibuang orang. Aku akan keluar rumah dengan torch light untuk periksa kalau ada bayi di sekitar rumah. Begitulah rutin yang kerap aku lakukan walaupun aku hanya budak mentah. Dari kecil sampai besar, aku terus terbaca artikel-artikel tentang pembuangan bayi. Pengalaman mengajar aku, perkara paling menyedihkan bagi seorang anak adalah apabila dia rasa‘unwanted’ oleh ibubapanya sendiri. Dan aku sedih membayangkan keadaan ini berlaku berulang-ulang di dalam masyarakat kita. For me, every child should be a wanted child.

Mak bersara awal selepas aku mula bekerja. Alhamdulillah, walaupun mak ada duit pencen, aku dan kakak dimurahkan rezeki untuk menjaga mak dan menanggung perbelanjaannya. Lepas beli sebuah rumah dan kereta, aku menyuarakan hasrat kepada mak untuk mengambil anak angkat. Tetapi mak membantah. Kata mak, “Toksah, achik. Mak tau kalau hang ambik anak angkat, nanti hang tak mau menikah dah”. Aku ungkit pada mak, mak pun boleh besarkan kami tanpa suami. Memang teruklah aku kena marah dengan mak. Dush! Dush!

Semasa umur aku menjangkau 28 tahun, aku dipinang oleh kawan baik aku sendiri, Megat. Aku beritahu Megat nawaitu aku untuk mengambil anak angkat. Dia menerima dengan lapang dada. Bermulalah cabaran aku untuk mencari jalan untuk mengambil anak angkat dan mempelajari prosedur-prosedur yang perlu aku ikut.

Selepas melahirkan Alya, aku semakin serius dengan pencarian aku. Tiap kali aku berpeluang melawat pusat kebajikan, aku akan berikan kad nama aku dan memberitahu penjaga di situ kalau ada sesiapa yang mahu memberi anak mereka sebagai anak angkat, mohon hubungi aku. Aku juga pm selebriti yang kononnya membantu orang mengambil anak angkat, tetapi tiada balasan. Aku tak menyalahkan sesiapa kerana aku tahu aku mampu mendapat anak sendiri. Mungkin mereka akan mendahulukan individu yang tidak mampu melahirkan zuriat sendiri.

Allah perancang terbaik. Semasa menghadiri kursus, aku sempat berbual dengan rakan yang telah lama aku kenali. Aku menyuarakan niat untuk mengambil anak angkat. Dia memberitahu aku tentang kawan emaknya yang banyak melakukan aktiviti kebajikan. Penghujung 2018, aku bersedih dengan kehilangan adik aku, arwah Liana yang meninggal dunia selepas bertarung dengan sakit kronik seumur hidupnya. Aku menghubungi kawan kepada emak kawanku (biar aku panggilnya Kak A di sini) dan bertanya soal pengambilan anak angkat. Tak lama kemudian, aku dihubungi semula Kak A. Kak A menceritakan yang ada seorang ibu yang sedang sarat mengandung hendak menyerahkan anaknya sebagai anak angkat. Ada keluarga yang sudah berjanji hendak mengambil anaknya tetapi bertukar fikiran di saat-saat akhir kerana si isteri tiba-tiba saja mengandung. Aku terus menawarkan diri untuk menggantikan mereka. 

Aku kena buat persediaan cepat kerana si ibu due lagi dua minggu. Pertama, aku ke hospital untuk mengambil suntikan dan pil untuk mengeluarkan susu supaya aku mampu menjadi ibu susuan kepada anak itu. Kerana anak sulung aku perempuan dan bayi ini lelaki, aku mahu menghalalkan hubungan mereka. Tiap hari aku akan curi masa ke bilik air dan bawa pam susu manual untuk digunakan supaya dapat stimulate pengeluaran susu. Dua minggu kemudian, aku diberitahu ada kemungkinan aku takkan mendapat anak tersebut kalau keluarga ibu kandungnya menghalang. Aku reda kerana niat aku hanya untuk membantu. Kalau bukan rezeki aku, maknanya bukanlah.

Beberapa hari lepas tu, aku mendapat panggilan yang ibu kandung anak tersebut baru selamat bersalin. Aku menanggung kos si ibu bersalin di hospital swasta dan kemudian kos untuk menjaga dia sehingga tamat pantang termasuk makanan, tempat tinggal dan tukang urut. Megat terpinga-pinga semasa aku cakap baby dah selamat lahir dan suruh dia pergi azankan. Dia pun terus ke hospital untuk mengazankan bayi. Aku pun semakin aktif pam susu dan kumpul apa saja yang ada di dalam peti sejuk. Lepas buat pendaftaran kelahiran di JPN, pengakuan sumpah mengambil anak angkat di suruhanjaya sumpah dan membuat laporan polis, kami susuli pula dengan membuat laporan di JKM & hadiri proses temuduga untuk memastikan kami mengikut prosedur yang betul.

Alhamdulillah, beruntungnya aku. Aku berjaya susukan anak yang kami namakan Adam. Alya menerima kehadiran adik baru dengan excited. Balik dari playschool, dia terus teruja apabila diberitahu adiknya dah lahir. Alya sibuk kongsi toys walaupun adik tak tau main lagi. Sejak ada Adam, aku lebih hargai Megat. Mengambil anak angkat adalah perancangan aku sejak kecil. Tetapi, Megat… dia masukkan diri dalam setiap perancangan aku dan play role seorang ayah dengan sangat baik. Kami tak pernah bezakan Alya dan Adam. Kalau mana-mana nakal, akan kena marah. Dua-dua diajar berkongsi dan saling menjaga antara satu sama lain.

Dua tahun kemudian, aku mengandung sekali lagi. Alhamdulillah, Arif melengkapkan keluarga kecil kami. Kami mengambil keputusan berhenti di sini supaya dapat beri lebih perhatian kepada anak-anak kami.

Ada macam-macam spesis manusia yang terlebih ‘prihatin’ yang mempersoalkan keputusan aku. Jadi, biar aku beri pencerahan tentang pendapat aku mengenai isu-isu yang mereka bangkitkan:

i)                    Golongan yang mengatakan nanti terkahwin adik-beradik sendiri : Kalau Adam nak kahwin suatu nanti, InsyaAllah aku suruh buat ujian DNA. Sains ada untuk memudahkan. Kenapa perlu wujudkan masalah yang tak ada?

ii)                   Ada orang kata nanti timbul masalah dengan anak-anak kandung aku: Aku ibu susuan Adam. Even sampai susu Arif sekarang pun Adam kongsi sekali walaupun dia dah besar. Kalau aku pam susu, datang aje dia dengan botol dia nak tadah sekali. Hubungan ibu susuan ni dengan anak takkan terputus.

iii)                 Ada juga yang menempelak, hang tak risau ke nanti mak dia ambil balik: Aku ikhlas nak tolong. Aku tak dapat menidakkan hak ibu kandung. Tapi kalau ibu kandung Adam terbaca post ni, aku mohon izinkan aku besarkan Adam dengan baik dan berikan dia pendidikan yang sewajarnya dulu. Lepas Adam dah berjaya nanti, InsyaAllah aku dan suami takkan halang Adam berbakti pada ibu bapa kandung.

iv)                 Ada orang berpendapat kalau bela anak bukan anak kandung ni nakal dia lain macam: Aku nak balas pendapat golongan macam ni dengan soalan semula, “Ada ke budak kecil yang tak nakal? Kau ingat kau lahir-lahir dulu terus sopan, tertib?”.

Tujuan perkongsian ini adalah untuk memberi semangat kepada sesiapa yang berhajat untuk mengambil anak angkat. Don’t worry too much. Kalau kau rasa nak buat sesuatu, jangan biarkan cakap-cakap orang dan perspektif negatif mereka ganggu nawaitu kau. Nawaitu kau, kau perbetulkan dan perkemaskan. Nawaitu orang di luar kawalan kau. Jadi, abaikan!

Action speaks louder than words.

(Update from previous post: Ya Misi Hujung Tahun 2018 liza nur berjaya)

Love,

~liza nur

 

 

 •  0 comments  •  flag
Share on Twitter
Published on November 29, 2021 17:09
No comments have been added yet.