Semalam, aku usung wajah yang bertopengkan senyuman palsu beserta kostum yang tersarung di badan gempal – sehelai vest cerah pantul cahaya bewarna hijau fluorescent. Ini adalah identiti aku sebagai seorang adiwira yang hebat menyembunyikan ranap hati. Tetapi telahan aku silap. Mata-mata jujur tampaknya berjaya menembusi persona alter-ego aku yang murahan ini. Di balik kepalsuan senyum dan nipis vestkeselamatan, terlihatlah diri aku yang rosak dan terus merosak di setiap keberadaan dia. Seumpama kryptoniteyang bisa; meracun setiap salur jiwa sehingga aku melumpuh. Hingar ruang yang luas tetapi sempit; menyesakkan. Apakah kecintaan aku bakal menjadi punca kematian sendiri? Ataupun kamu?
Lantas di kepulangan, aku telan ubat untuk memulihkan diri. Mereka bilang, ubat itu pahit dan pahit ubat, tandanya ia akan mujarab, atau sekurang-kurangnya ia bakal cuba mengubat. Tetapi ubat yang aku telan terasa hambar saat melewati tenggorok. Aku tidak sembuh dari parah jiwa ini kerana aku tersedar akan suatu perkara; sudah bertahun-tahun lamanya aku menelan sesuatu yang lain yang lebih pahit. Dan itu adalah kekecewaan.
Published on June 12, 2013 10:41