Koleksi tulisan Blog Warung Idea Diskopi adalah hasil dari sembang-sembang selonggok kaki lepak yang diadakan secara konsisten (awalnya sahaja) setiap Rabu malam di warung sekitar Bangi. Isunya sering berpindah dan berjangkit dari politik, budaya, falsafah hingga ke gossip panas artis hiburan! Bauran antara identity kaum – Melayu, Cina dan India – ditambah lagi dengan kerencaman disiplin ilmu – politik, undang-undang, sosiologi, ekonomi dan fasik – menerbitkan wacana yang tetap lumayan meski hanya dengan secawan kopi – bayar sendiri – kerana di sinilah keberagaman idea bertemu dan diraikan!
Isinya lebih banyak menjurus kepada pendapat peribadi para penulis. Walaupun begitu, sekurang-kurangnya buku ini merupakan satu pojok yang membuka ruang kepada golongan muda meluahkan pendapat dan hasrat. Para politikus dan pemerintah sepatutnya mendapatkan buku ini. Selami dan fahami kelompok muda ini demi menuju Malaysia yang lebih baik dan terbuka.