Serigala dan Sekuntum Tulip menghimpunkan 20 buah cerpen S.M. Zakir yang membawa persoalan yang pelbagai serta menelusuri pergolakan semasa dunia. Cerpen-cerpen tersebut mengutarakan pelbagai isu dalam masyarakat seperti konflik antarabangsa, kontradiksi antara arus kemodenan dengan keinginan mengekalkan akar budaya tradisi serta kasih sayang yang bersifat sejagat. Persoalan-persoalan yang dikemukakan menadjikan Serigala dan Sekuntum Tulip sarat dengan pemikiran dan falsafah yang menjadi gaya S.M. Zakir lewat penciptaan karya-karyanya.
S.M. Zakir nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Dibesarkan di Pulau Pinang dan Selangor. Kini menetap di Selangor. Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra, Kota Bharu, Kelantan hingga darjah empat; Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor, Pulau Pinang; seterusnya ke sekolah menengah Penang Free School, Pulau Pinang; Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi dan menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Tinggi Kajang. Melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi MARA dan Institute of Commercial Management, Bournemouth, England.
Mula menulis pada tahun 1990 dan sehingga sekarang telah menerima puluhan anugerah sastera termasuk Hadiah Sastera Perdana kategori kumpulan cerpen 1994/95 (Merengkuh Langit, DBP 1995) dan Anugerah Sastera Kelantan kategori Buku Kumpulan Cerpen (Sekuntum Kembang di Sayap Jibril, PPN 2001). Antara anugerah sastera tersebut ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBKL, Hadiah Formula Malaysia dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan.
Pernah dihantar oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai peserta ke ASEAN Youth Writer’s Conference/Workshop di Bayview Hotel. Pulau Pinang, Disember 1992 dan Bengkel Cerpen MASTERA di Bogor, Indonesia 11-17 Oktober 1998.
Bidang penulisan yang diceburi ialah cerpen, esei, sajak dan novel yang antaranya disiarkan di majalah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Pelita Bahasa, Bahasa, Dewan Siswa, Jurnal Perisa, Jurnal Malay Literature, Jurnal Pangsura, Milenia Muslim, Pentas, akhbar Berita Minggu, Berita Harian, Utusan Melayu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan pelbagai akhbar serta majalah lagi.
Buku-buku yang diterbitkan ialah novel remaja Di Bawah Lembayung (DBP. 1991), novel klasik Kembang Kanigara (DBP. 1992), kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP. 1995), kumpulan cerpen-mini Fatamorgana (Sasbadi. 1997), kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril (Penerbitan Pustaka Nusa. 2001), kumpulan cerpen Menyirat Nirmala (DBP. 2004), kumpulan cerpen Sekeping Ruh di Atas Bantal (PPN2005), kumpulan sajak Memburu Malaikat (PPN 2007), kumpulan sajak Sajak-sajak Petualang: Manusia Cinta (PPN, 2009) dan sebuah buku biografi edisi mewah iaitu Seniman Negara ke-7 Datuk (Dr) Ahmad Nawab (JKKN. 2008).
MEMANG agak payah untuk mengunyah Serigala dan Sekuntum Tulip kumpulan cerpen SM Zakir kerana ada kala wacananya terlalu liat, manakala rasa kreatifnya seolah-olah sengaja dinipiskan.
Namun di sebalik persoalan bangsa Melayu secara simbolik yang teradun kental dalam 20 cerpen dalam buku itu, sesekali kita akan tergigit cili berupa satira dan sinisme terutama terhadap politikus licik dan bangsa yang naif.
Antara helaian kumpulan cerpen setebal 317 halaman itu, kita menyedari Syed Mohd Zakir Syed Othman mempunyai wit atau kebolehan berjenaka pintar di sebalik kesatuan fikirannya terhadap sejarah, realiti dan masa depan bangsa Melayu.
Cerpen Angin di dalam Telinga mendekati aliran surealisme adalah contoh unsur wit bergaul dalam wacana bangsa pada perlambangan kampung di tanah besar orang Melayu dengan Singapura disimbolkan sebagai Pulau Kepala Penyu, Pulau Lanun atau Pulau Batu yang kemudian ditukar nama Isle of Queen.
Mulya sebagai watak utama pula tidak sukar ditafsirkan apalagi sering bertelingkah dengan datuknya tentang ‘sejarah kampung yang dibunuh’ ketika mengimbaunya sepanjang perjalanan kapal terbang yang ditamsilkan sebagai ‘negara bangsa yang sedang terapung di atas sebuah kenderaan moden - melayah menuju ke landasan pendaratannya’.
Ada kalanya SM Zakir menipiskan wacana dan menyendatkan karyanya dengan wit serta sinisme seperti cerpen, Ahli Politik, tentang hubungan parasit antara korporat dengan politikus dengan budayawan terhimpit di tengah-tengah.
Sifat yang sama juga terserlah pada Kisah Si Lugu, tentang manusia naif dididik sebagai bangsa yang mahu menjadi ‘sejujur nabi’, tetapi malangnya terlupa mengenai ‘sebijaksana rasul’ sehingga satu demi satu kisah Lebai Malang menimpanya.
Sinisme pengarang sangat membuak-buak terhadap kenaifan itu apabila akhirnya Lugu pulang ke kampung halaman, tetapi mendapatinya sudah bertukar menjadi ladang babi, manakala tanah sekangkang kera milik datuknya terhimpit di aliran keluar najis ladang berkenaan.
Sesekali kita juga terasa ‘kenakalan’ pengarang diseludupkan ke dalam karyanya seperti Lelaki Bersayap Putih, tentang perdebatan antara lelaki yang sering menaburkan cinta dengan penceramah muda ayu yang bersemangat mengembalikan romantisme bangsa Melayu yang agung.
Sebahagian karya seperti Parrette dan Pokok memang boleh dianggap sebagai cerpen sarat wacana bangsa, tetapi kedua-duanya bergerak ke arah berbeza, iaitu cerpen pertama menyusur masa depan, manakala cerita kedua menuruni asal usul bangsa.
Dalam Parrette, kita dibawa masuk ke kota yang kepupusan bahasa lantaran imperialisme bahasa dan minda bangsa tertawan, manakala Pokok mengingatkan kita terhadap kebudayaan atau akal budi bangsa yang dijelmakan melalui pohon tua.
Cerpen Pokok adalah karya wacana terbaik dalam menuruni asal usul dan sejarah pembinaan bangsa serta negara ini, selain kritis terhadap realiti semasa dalam konteks cacamarba politik dan budaya.
Karyanya juga melintas sempadan apabila mengungkapkan latar luar negara secara nipis dalam Kisah Anak-anak yang berlatar Palestin, Iraq dan Afghanistan, manakala latar Aceh terasa lebih hidup dalam Pasir di Bawah Belati serta Kemboja dan Vietnam (Cerita untuk Teman-teman).
Serigala dan Sekuntum Tulip mungkin muncul pada masa yang sesuai di tengah-tengah kemelut jati diri bangsa, tetapi tidak mustahil ia diterbitkan sebagai kemuncak sinisme pengarang terhadap kenaifan bangsanya selepas puas berwacana tentang asal usul dan sejarahnya.