Ini adalah satu hasil kerja yang sangat hebat daripada seorang penulis kelahiran Iran.
Melalui karya agung ini, penulis membawa pembaca menyingkap khazanah intelektual dalam tradisi Islam khususnya karya-karya klasik aliran Syiah. Dalam khazanah turath aliran Sunni, Syeikh Ali Jumuah merupakan antara ilmuwan yang telah menyenaraikan ratusan karya klasik dalam setiap cabang ilmu melalui karyanya 'al-Kutub al-Mukawwinah li al-Fikr al-Islamiy' yang sempat saya uliti beberapa tahun lepas.
Tetapi karya ini cukup jauh berbeza kerana ia juga diadun dengan kajian meluas lagi rinci akan falsafah melalui kaca mata Islam, jalur-jalur tokoh falsafah daripada setiap aliran (Sunni, Syiah, Barat, Eropah dsb.), huraian berkenaan mazhab tradisional/klasik, apa fungsinya dan bagaimana untuk terus bernafas di dalamnya dalam arus modernisme yang kian menjarah nilai-nilai penting ini.
Ini adalah buku ketiga tulisan SH Nasr yang pernah saya baca (selepas Ideals and Realities in Islam dan A Young Muslim's Guide to The Modern World) dan ternyata kajiannya di sini merentas semua aliran pemikiran dan begitu memuaskan. Penulis boleh dikatakan telah menyebut semua tokoh falsafah Islam (daripada tahap yang berbeza-beza) dan juga tokoh-tokoh falsafah bukan Islam dan menyusun satu kerangka bagi pembaca untuk mengkategorikan mereka daripada aliran mana.
Penulis tampak sekali telah menyelam ke dalam lautan falsafah apabila menyebut nama-nama seperti Plato, Aristotle, al-Kindi, al-Farabi, as-Sijistani, Ibnu Sina, al-Ghazali, as-Shahrastani, al-Razi, Ibnu Rusyd, Nasir al-Din at-Tusi, at-Tabatabai, Sahrawardi, Mulla Sadra, Foucault, Goethe, Sartre, Marx, Descartes, Kant, Heidegger, Wittgenstein, Mutahhari, Ali Shariati, Fazlur Rahman, Naquib al-Attas, Syed Hussein al-Atas, Osman Bakar, Majid Fakhry, Arkoun, Iqbal, Dr. Muhammad Imarah, Dr. Abdul Halim Mahmoud dan ramai lagi secara bersahaja.
Tokoh-tokoh spiritual dan sejarah juga turut dijadikan rujukan silang dalam karya ini seperti Martin Lings, Corbin, Rumi, Ibnu Arabi, Huston Smith, Albert Hourani, George Makdisi, Karen Armstrong dan Hamza Yusuf.
Baik, banyak tema yang diangkat oleh penulis dalam buku ini. Dibahagikan kepada empat bab besar iaitu;
1. Isu yang diperdebatkan dalam dunia Islam hari ini (jihad, lelaki dan wanita, etika bekerja Islam serta tradisi Syiah Imam 12)
2. Tradisional Islam dan Modenisme (spiritual dan pembangunan)
3. Ketegangan antara Tradisi, Modenisme dan Fundamentalisme (dari sudut pendidikan, falsafah dan sains serta kesenian dan arkitektur).
4. Postscript (Dunia Islam)
Bagi memudahkan rantaian mesej yang cuba disampaikan oleh penulis, mungkin kita boleh kategorikan buku ini di bawah tiga payung iaitu Islam, Falsafah dan Modenisme.
Di bawah payung Islam, penulis membawa pembaca ke alam budaya di Iran, hierarki ulama' (bukan politikal) di sana serta kehebatan tokoh wanita Islam terdahulu. Selain itu, fungsi teks-teks tradisional, apakah yang dihadapi oleh tradisional Islam, grey area dalam gelaran Islam serta sumbangan penterjemahan juga turut disentuh oleh penulis. Penulis juga berjaya mengharmonikan antara nilai intelek dan nilai spiritual melalui model tokoh-tokoh yang cukup relevan selain menawarkan solusi terhadap utopia 'negara Islam'.
Di bawah payung falsafah pula, penulis menyorot sejarah falsafah Islam, memberikan pandangan yang tuntas terhadap falsafah serta cara-cara untuk mempelajari falsafah Islam dan falsafah Barat. Falsafah perlu dilihat sebagai salah satu silibus pendidikan Islam yang harus dipelajari secara adil. Ketakutan umat Islam dalam memahami modenisme dan falsafah daripada acuan Barat itu sendiri ibarat memberi peluang kepada pihak Barat untuk menyelinap masuk ke dalam pemikiran umat Islam melalui pintu belakang dengan begitu mudah. Lebih membimbangkan, ia membawa kepada sikap anti-intelektual dan kelahiran fahaman Islam dan ideologi moden yang separa masak.
Payung yang terakhir ialah modenisme. Pasca abad ke-14, ilmu sains 'aqli mula menyusut dalam dunia Islam dan luka ini bertambah parah menjelang infiltrasi Barat pada abad ke-19 dengan ketiadaan madrasah yang memelihara pelbagai lapangan ilmu terutamanya dalam bidang ilmu matematik, perubatan dan sains. Daripada sudut kesenian, era globalisasi dan dunia perindustrian telah merobek nilai kesenian, etika and estetika manusia. Misalnya, penghasilan produk melalui mesin telah mengambil alih nilai kecintaan dan kehalusan tangan manusia terhadap sesebuah seni.
Pada empat lampiran terakhir yang disisipkan dalam buku ini, penulis berkongsi dengan lebih mendalam lagi rihlah keilmuan beliau bersama-sama ramai tokoh. Pengalaman beliau yang pernah menghirup udara tanah Arab dan dunia Barat turut menambahkan rencah dalam buku ini.
Usai membaca tulisan SH Nasr ini, saya masih tertanya-tanya, wujudkah karya ilmuwan tanah Melayu yang setaraf dengan hasil kajian graduan Harvard ini dan sejauh manakah pula tahap pengkajiannya?