Masharakat Chantek: Enigma Penyisihan OKU membicarakan perihal kehidupan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dengan mengumpulkan sekelumit kecil beban penyisihan sosial yang sentiasa dilalui sepanjang perjalanan kehidupan. OKU sudah lama dijadikan objek inspirasi (inspirational porn) ketika mereka bertarung sendirian dengan ‘tangan’ dan ‘kaki’ terikat untuk meneruskan kelangsungan hidup. Naskhah ini membawakan persoalan demi persoalan, daripada sang penulis yang juga merupakan seorang OKU. Mengapakah OKU dicitrakan dalam perihal ‘tidak cantik’? Adakah kekurangupayaan telah menghilangkan sifat cantik seorang manusia? Sudahkah yang ‘cantik’ dapat menghindari segala kekurangan?
Selalunya OKU dianggap sebagai sumber inspirasi hanya karena mereka sedang berjuang untuk bertahan hidup meski dengan kekurangupayaan. Namun, pandangan ini mengabaikan realiti kelemahan sosial yang mereka alami tatkala masyarakat pula seringkali gagal mendukung mereka. Masyarakat mendabik bahawa mereka sangat menyantuni OKU. Mereka sudah menyediakan imaginasi ‘istimewa’, ‘khas’, ‘penuh inspirasi’. OKU yang tidak berupaya hanyalah mereka yang malas berusaha. ‘Masyarakat cantik’ hanya menanggapi OKU dalam imej-imej kekurangupayaan dan mengabaikan ketidakupayaan sosial yang dialami oleh mereka. Kehadiran buku ini sedang menzahirkan fikiran-fikiran yang melangkaui zamannya. Penulis sedang merebut kembali wacana kekurangupayaan dan ketidakupayaan yang selama ini menjadi milik hegemoni ‘masyarakat cantik’.
Naratif semasa mengenai OKU sedang diperdebatkan kembali dalam laras-laras popular dengan disertai perspektif mendalam penelitian akademik. Buku kecil ini menggarap segala permasalahan selingkar OKU dengan bersahaja. Semua persoalan-persoalan rumit ini akan cuba ditelanjangi secara jelas dan tanpa disembunyikan lagi. Hal demikian kerana ada beberapa sisi yang masih tersembunyi daripada pemahaman khalayak awam mengenainya. Kehadiran buku kecil ini cuba memberikan suatu pemetaan baharu kepada kefahaman sedia ada berkaitan OKU. Analisisnya masih boleh diperdebatkan secara ilmiah. Semoga para pembaca yang budiman berhenti sejenak dan merenung sedalam-dalamnya setiap pandangan yang dilontarkan oleh penulis.
Semasa membaca Masharakat Chantek, penulis banyak menyedarkan saya tentang penyisihan sosial yang berlaku terhadap OKU. Ia merangkumi semua aspek kehidupan, terutamanya dalam pendidikan dan hak pengupayaan potensi.
Mentaliti simpati sebenarnya penghalang untuk kita mengenali dunia realiti OKU. Simpati itu kemudian menjadi bayang-bayang sombong masyarakat cantik. Menakluk keselesaan dan cabaran dunia yang hanya dianggap untuk kelompok sendiri. _____________________ Penafian hak terhadap OKU berlaku pada setiap hari, bukan sahaja dari masyarakat awam, pihak kerajaan malah dari kaum keluarga. Walhal OKU juga manusia yang punya isi semangat yang sama seperti yang lain.
Terasa ketegasan penulis bila menyoal pelbagai ketulusan prospek sosial, ekonomi, politik dan agama dari sudut pemerkasaan OKU. Kerajaan terlalu banyak melopong sahaja dalam parlimen!
Bahagian 𝙊𝙆𝙐 𝘿𝙖𝙡𝙖𝙢 𝙏𝙧𝙖𝙙𝙞𝙨𝙞 𝙄𝙨𝙡𝙖𝙢 pula melenyapkan fantasi 'kemurkaan Tuhan', 'keberkatan doa' dan 'amal sedekah' yang ditunggang selama ini. Dimana OKU dalam diri manusia beragama? Apakah mereka hanya beg pahala untuk masyarakat cantik? _____________________ Penulisan Abang Rosli cukup teratur dan ada ketika bermain dengan bunga berduri. Mencucuk pengetahuan saya tentang keadaan OKU di Malaysia yang selama ini saya fikir baik-baik sahaja. Silap!
Mudah sahaja bagi kita menghambur kata OKU, cacat, tak sempurna kepada mereka.
Apakah kita juga tidak begitu? Turut kurang upaya untuk memahami komuniti ini, apatah lagi mengetahuinya.
Bacalah Masharakat Cantek, sedarilah sikap sombong (dan bodoh) kita terhadap OKU.
Terima kasih Abang Rosli kerana menulis. Terima kasih!
Ditulis dengan sangat baik. Saya jarang ada pertembungan komunikasi dengan OKU, jadi membaca Rosli Ibrahim seperti tengah dengar kawan berkongsi hujah. Selancar itu tulisannya.
Saya cuma harap saya lebih faham apa yang disebut dalam 30 muka surat epilog tersebut. Jargon akademik dilongokkan, jadi khilaf saya banyak untuk faham.