Pecah merupakan sebuah novel terbitan FIXI yang ditulis oleh Khairulnizam Bakeri. Pecah mengisahkan sekumpulan manusia yang bekerjasama dan berpakat untuk melakukan rompakan di Bank CIMB Shah Alam. Pakatan ini melibatkan Herman,Lidya,Alan,Don dan Radi. Masing-masing mempunyai motif yang tersendiri untuk melakukan rompakan tersebut. Bukan sahaja wang tunai yang menjadi sasaran,tetapi,juga sebuah peti kecil yang disimpan di dalam bank tersebut.
Bermula dengan Alan yang cedera ditembak oleh pengurus bank yang bernama Kazim dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah,rakan-rakannya yang lain menyembunyikan wang hasil rompakan di sekitar kawasan hospital tersebut. Usaha mereka untuk menyembunyikan dan membawa keluar wang rompakan serta membawa keluar Alan menemui jalan sukar kerana mereka menjadi sasaran siasatan oleh Inspektor Paul yang bertanggungjawab menyiasat kejadian rompakan bank CIMB.
Pada masa yang sama,Bakar dari Rumah Seri Memori jatuh koma dan dihantar ke hospital yang sama untuk menjalani rawatan. Tanpa diduga,takdir telah menetapkan bahawa Herman,Lidya,Alan,Don,Radi,Kazim dan Bakar mempunyai perkaitan antara mereka dari segi sejarah dan latar belakang kehidupan masing-masing. Dapatkan jawapannya dengan mendapatkan novel yang hebat ini di pasaran dengan segera!
Pecah! Sesuai dengan tajuk novelnya,persoalan-persoalan yang berkaitan dengan jalan cerita novel ini terbongkar satu demi satu apabila kita semakin mencapai ke halaman muka surat terakhir. Pada saya,Pecah merupakan antara novel terbaik terbitan FIXI kerana tema atau jalan ceritanya yang lain dari yang lain jika kita bandingkan dengan novel-novel yang lain. Pada pendapat saya,Pecah merupakan sebuah novel bergenrekan 'crime-thriller' berbahasa Melayu terbaik pernah dihasilkan setakat ini.
Corak penceritaan (naratif)novel ini juga agak berlainan dan tidak tipikal. Penceritaan bukan secara terus (direct to the point),tapi menggunakan konsep 'imbas kembali' atau 'flash back' di dalam beberapa bab. Sebaik-baiknya,jangan lakukan 'skip' atau melakukan pintasan beberapa muka surat ketika sesi pembacaan. Bacalah dari muka surat pertama sehingga akhir untuk memastikan kita sebagai pembaca memahami jalan ceritanya. Tambahan pula,lenggok penulisan penulis yang kreatif juga perlu dihayati dengan 100 peratus kerana penggunaan bahasa Melayunya yang agak kompleks,terutamanya di bahagian naratif. Terdapat beberapa perkataan yang agak asing dan jarang digunakan. Sediakan Kamus Dewan di sisi ketika membaca novel ini! Selain itu,gaya penceritaan dan deskriptifnya juga agak berbeza. Kadang-kadang,saya merasakan penulis sedang berpuisi dengan pembaca! Perkara ini dapat dilihat melalui susunan bahasanya yang baik dan berpuitis.
Terdapat juga unsur-unsur 18SX di dalam novel ini. Namun,unsur tersebut bukanlah unsur utama penceritaan novel Pecah. Secara keseluruhannya,saya amat berpuas hati dengan mutu penghasilan Pecah. Bukan hanya menghiburkan,tetapi terdapat juga beberapa mesej yang cuba disampaikan melaluinya. Bahaya arak,kecurangan,kasih sayang dan lain-lain perkara berkaitan menjadi mesejnya. Saya mengesyorkan novel ini kepada mereka yang sukakan novel berkonsepkan 'crime-thriller' di dalam bahasa Melayu.