Buku kecil tulisan Tan Sri Dato' Dr. Hj Abdul Mubin (Mervyn) Cecil Sheppard ini bertujuan untuk memperkenalkan amalan adat resam bangsa Melayu yang diilustrasikan melalui kehidupan seharian Enche' Othman dan keluarganya.
Adab sopan ketika bertemu di jalanan, tatasusila di rumah serta adat-adat perkahwinan, kelahiran dan kematian telah digambarkan dengan begitu ringkas tetapi padat. Ada sebahagian kecil daripada adat ini telah pun ditinggalkan oleh generasi muda pada hari ini sama ada kerana rasa tidak peduli ataupun dilihat sebagai menyalahi batas-batas hukum syarak. Sungguhpun begitu, keunikan dan ketinggian adat resam Melayu yang sarat dengan simbolik dan rahsia amat wajar dikekalkan dan dipertahankan.