Ada seorang penulis yang putus asa, seorang pelajar 10 tahun yang taat kepada bapa, seorang gadis yang berada di hujung usia, tiga pendatang tanpa izin yang hidupnya disalut kecewa dan lima bekas penulis yang penuh rahsia.
Siapa penulis yang disayang Tuhan? Namun kisah ini lebih daripada sekadar itu....
Judul buku: Penulis Yang Disayangi Tuhan Penulis: Bahruddin Bekri Terbitan: JIWA Jumlah halaman: 388 Tarikh baca: 25 Ogos 2021 ~ 1 Sep 2021 Pengulas: NORSAMILA SAMSUDIN
Sebuah buku fiksyen yang terkandung maklumat non-fiksyen. Buku yang bukan sahaja menyajikan cerita hidup watak bernama Usamah, tetapi juga mendedahkan rahsia penulisan melalui kehidupan watak yang mengajarkan penulisan itu sendiri.
Usamah, watak utama cerita ini yang mendukung profesion sebagai seorang penulis, bila jatuh dek kritikan Joe Penapi, mula hilang arah. Mencari pekerjaan lain dan cuba melupakan dunia penulisan.
Tetapi, masih tidak dapat lari bila ada orang lain yang ingin mempelajari ilmu penulisan itu. Usamah tidak menulis, tetapi mula mengajarkan ilmu penulisan. Diajar kepada dua kelompok pelajar:
1) Anak seorang hartawan yang sakit 2) Pendatang tanpa izin yang tinggal berjiran
Murid-muridnya mendapat ilmu penulisan, Usamah mendapat ilmu kehidupan daripada setiap seorang daripada mereka. Kehidupan dan pandangan anak-anak muridnya terhadap satu-satu perkara, serba sedikit membangkitkan kembali jiwa Usamah.
Penceritaan buku ini sangat lancar. Bahasanya bukan sahaja mudah difahami, tetapi juga amat berseni. Plot tersusun rapi. Tema besar diangkat bagi membuka mata penulis masa kini. Penulisan bukan hanya sebagai cara menulis perasaan, tetapi juga sebagai medium yang akan:
Sama ada mendekat atau menjauhkan diri penulis itu dengan Tuhan.
Saya tertarik dengan dialog watak bernama Johari Salim. Katanya, "Penulis yang mahal harga karyanya di akhirat."
Jika semua penulis memegang ayat ini sebelum meluncurkan karya mereka kepada masyarakat, insya-Allah, masyarakat akan terdidik melalui ilmu persuratan. Jiwa terbelai dek kata-kata penceritaan.
Banyak sebenarnya yang ingin saya sentuh mengenai buku ini. Tentang ceritanya yang punya alur lancar dan bertema. Tentang bahasanya yang banyak memerikan suasana atau dikatakan sebagai 'babak'. Juga majas perbandingan yang tidak kurang menarik bila diumpamakan seperti sesuatu. Penulisan begini mengingatkan saya kepada penulisan Sasterawan Negara, Keris Mas. 'Seperti' yang sering dinaikkan bila menggambarkan sesuatu keadaan. membuatkan pembaca menyelam pandang kepada persoalan atau gambaran penceritaan.
Bila pembacaan mulai ke tengah, saya seperti berada di dalam kelas penulisan. Terlalu banyak ilmu yang dititipkan oleh Usamah selaku watak yang mengajarkan penulisan. Malah, ilmu itu sempat saya praktikkan sewaktu pembacaan dilakukan. Bila Usamah bercerita tentang 'ending cerita', saya bandingkan jenis-jenis 'ending' yang dibicara Usamah itu dengan buku ini sendiri.
Suka bila watak yang menuntut ilmu penulisan, memberikan jawapan yang unik kepada setiap persoalan yang Usamah kemukakan. Watak-watak pendatang asing tanpa izin dengan pengalaman dan perasaan berbeza, mampu mewujudkan kekaguman kepada kita yang membaca. Jelas, walau tidak berpendidikan tinggi, watak-watak ini punya pandangan tirus dan mendalam melalui pengalaman hidup dan keikhlasan perasaan.
Saya gemarkan jawapan John Stalone bila ditanya Usamah tentang destinasi yang mereka ingin turun bila mereka menaiki bas.
Adinda Aisyah ingin turun di taman yang indah. Suparno ingin turun di hadapan rumah ibu dan ayahnya. Ya, mungkin kerana rindu pada orang tua. Tetapi, John Stalone ingin turun di tempat dia naik! Sungguh, saya tertarik dengan jawapan yang punya makna ini.
Dan, soalan-soalan begini ditanya oleh watak Usamah ketika kelas penulisan. Ia bukanlah tentang sebuah perjalananan percutian menaiki bas, tetapi ia ada kaitan dengan penulisan. Pengajaran yang dikaitkan dengan kehidupan. Yang membuatkan anak muridnya itu mudah faham. Malah, sebagai seorang watak yang mengajar penulisan, Usamah dapat membaca minda watak lain melalui jawapan. Bukankah itu sesuatu yang hebat bila seorang penulis dapat memikirkan plot yang sedemikian?
Satu perkara lagi yang mengikat pembacaan saya adalah bila Bahruddin Bekri mewujudkan unsur thriller dengan tugasan misteri. Usamah yang 'tiada ekonomi', setelah kritikan menghumbannya jauh daripada kemewahan hasil menulis, bertekad untuk bekerja dalam apa jua bidang asalkan ada rezeki halal. Dan, bidang itu tidak termasuk untuk dia kembali menulis. Tetapi, Johari Salim, seorang penulis lama, meminta Usamah mencari lima nama yang disenaraikannya dan bertanyakan satu soalan kepada setiap mereka. Hanya satu soalan. Tidak boleh lebih.
Soalannya:
"Mengapa kamu lakukan perkara yang kamu lakukan sekarang?"
Kita yang membaca turut berfikir sama sebagaimana Usamah yang terpinga-pinga. Tugasan yang pelik dengan syarat yang pelik. Jadi, demi mengetahui rahsia di sebalik tugasan ini, saya membaca tanpa menghindar mana-mana kata, apatah lagi melangkau muka.
Ya, di akhir cerita, saya sebagai pembaca memperolehi banyak pemikiran dan pengajaran. Kehidupan ini bukan hanya ikutan. Yang kita lihat seolah-olah benar, mungkin satu penipuan. Yang menipu dengan tujuan, lebih menghidupkan.
Tahniah kepada penulis, Bahruddin Bekri. Sebuah cerita di dalam cerita yang mengandungi rahsia kehidupan dan pemikiran manusia yang ingin terus hidup.
Ulasan dalam bentuk video tersedia di saluran YouTube NORSAMILA SAMSUDIN.
Buku ini boleh dibeli melalui Jejak Tarbiah atau melalui Shopee sebagaimana pautan di bawah:
Konsep yang sungguh menarik, tak pernah lagi saya baca novel seumpama ini, ada sindiran halus dalam isi ceritanya, namun sungguh sedap dibaca. Percayalah, bermula daripada prolog lagi anda akan jatuh cinta dengan novel ini!
Usamah, seorang penulis novel laku keras, namun kehidupannya berubah apabila novel kedua dan ketiganya dikritik hebat oleh Joe Penapi. Kesannya, jualan novelnya merosot sehingga beliau jatuh miskin dan terpaksa hidup di kawasan setinggan!
Novel ini bertempo perlahan, namun sangat menarik, penuh nasihat dan pedoman terutamanya buat mereka yang berada dalam bidang penulisan. Berkisarkan kehidupan Usamah yang patah semangat untuk kembali menulis, Johari Salim yang sudi membantu namun perlunya Usamah menempuh proses yang panjang, juga jiran-jiran warga Indonesianya yang kelakar! Di samping itu, serba sedikit kita dapat belajar teknik-teknik yang digunakan dalam penulisan novel melalui kelas Usamah bersama jiran Indonesianya, dan juga kelas bersama Dinie Nurul Iman.
Nasihat dan teguran halus dalam buku ini sangat bermakna, memberi kesan dan menyentuh jiwa. Sangat sesuai dibaca untuk mereka yang mencari inspirasi dalam menulis, mencari diri sendiri, menambah semangat menulis mahupun yang baru ingin bermula! Pokoknya, bukan sekadar mahu menjadi penulis biasa, tetapi penulis yang disayangi Tuhan.
"Setiap tulisan yang bermula dari hati, akan senang dibaca oleh hati"
Saya capai novel ini. Bahruddin Bekri memang antara penulis yang saya kira mampu menarik minat saya. Plot berkisarkan cerita Usamah, seorang penulis novel yang novel pertamanya meletup, namun novel kedua & ketiga merupakan novel yang gagal di dalam pasaran. Orang putih kata flop. Penangan pengkritik Abu Penapi. Di dalam kegawatan yang berlaku, Usamah terpaksa kais pagi makan pagi, apa sangat yang boleh diperolehinya dengan sijil STPM untuk mencari kerja. Kebetulan, seorang penulis veteran, Johari Salim menawarkan kerja, namun dengan beberapa syarat - Usamah perlu mencari 5 bekas penulis dan mengajar seorang gadis di hujung usia untuk menyintai dunia penulisan.
Novel ini, merupakan usaha penulis menulis secara serius. Banyak cerita tentang bagaimana penceritaan novel bermula, prosesnya dan bagaimana untuk mengakhirkan sebuah cerita ditulis di sini, secara bersahaja, dan padat dengan ilmu. Bahruddin tetap Bahruddin, masih ada lawak yang melucukan terutamanya di kawasan rumah setinggan Usamah yang turut dihuni 5 orang pendatang tanpa izin. Banyak juga ilmu baru yang saya dapat dari sini, tentang falsafah kehidupan, dan cara menulis novel. Sudah pasti, rujukan penulis turut termasuk Karya Nan Indah tulisan Faisal Tehrani. Tulisan Bahruddin kali ini, agak serius tetapi masih menghiburkan. Saya rekomendasi buku ini dibeli untuk bakal penulis ataupun sesiapa sahaja yang pernah/sedang berhasrat mengasah bakat untuk menjadi penulis.
Bahasa yang cantik dan teratur. Jalan cerita yang menarik dan diiringi ilmu-ilmu yang bermanfaat. Watak-watak yang meninggalkan kesan mendalam. What else could I ask for?
Alhamdulillah kerana saya berjaya menghabiskan novel ini dalam masa kurang daripada sehari. Syukur juga kerana saya diketemukan dengan novel yang penuh falsafah dan mengubah persepsi saya terhadap dunia ini. Kebetulan saya baru habis baca karya abang Bahruddin Bekri yang bertajuk 'Hanya di Seberang Jalan' yang mempunyai genre yang berbeza dengan novel ini, saya mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Semakin dalam cinta saya terhadap falsafah apabila saya menerokai setiap halaman buku ini. Semoga penulis juga jatuh dalam kategori 'Penulis yang Disayang Tuhan'.
Buku Penulis yang Disayangi Tuhan oleh Bahruddin Bekri
MasyaAllah, A++++ untuk buku ni. Terima kasih sahabat dari Cabaran 30 Hari Menulis yang mencadangkan buku ini dalam group. Salah satu buku kegemaran saya, dan rasanya akan jadi BFF selepas ini. Jangan engkau jauh dari mejaku, kerana aku perlukan dirimu untuk sambung penulisan pada masa-masa akan datang.
Kenapa saya suka sangat buku ni? Kerana kita seolah-olah dibawa mengembara bersama watak utama, Usamah, dalam menyelesaikan misinya yang diberikan oleh Johari Salim.
Pada masa yang sama, kita turut diajar bagaimana mahu menulis menerusi dua kumpulan dalam cerita ini.
Jalan ceritanya juga diselit dengan watak-watak menghiburkan yang muncul bila kita mula "penat" mendengar Usamah mengajar.
Memang kelakar dengan rancangan-rancangan mereka! Rasa macam nak masuk dalam cerita tu dan cakap: “Hei, tak boleh ke tanya direct je? Kesianlah orang yang kena menyamar tu.” 🤣🤣🤣
Antara bahagian yang paling saya tak boleh lupakan ialah apabila ada watak terpaksa buat suara Suparni. Aduh, memang penat ketawa! Nasib baik Jelmal bocorkan semua rahsia. Terus selesai masalah mereka. 🫰 Penat mereka berpusing-pusing, akhirnya Jelmal yang “matikan” semua.
Kesimpulannya: Sangat menarik — jalan cerita penuh adventure, sambil kita belajar bersama Cikgu Usamah tentang cara menjadi penulis. Paling bermanfaat, saya boleh gunakan ilmu daripada buku ini untuk ajar anak saya pula bagaimana nak jawab soalan kertas kedua BM dan BI. 🫣🤣🫰
Aku baru dapat rasa emosi bila puisi Dinie Nurul Iman dibaca buat kali kedua iaitu diakhir cerita. Awal-awal dulu aku tak faham so we wait till ending. Faham ikut gaya diri sendiri yang membaca..🥰
Penulis Yang Disayangi Tuhan - @bahruddin.bekri Rating: 3.9/5 🌟
Novel ini betul-betul meninggalkan kesan, terutamanya bagi sesiapa yang meminati dunia penulisan. Ia mengisahkan kejatuhan Usamah, seorang penulis popular yang terpaksa bangkit dari kegagalan dan secara tidak langsung, 'terpaksa mengajar' orang lain sebagai syarat untuk memulihkan semangat menulisnya.
Bagi saya, kelebihan novel ini adalah kelas penulisan yang saya dapat secara percuma. 🤭 Daripada teknik membina plot dan mengolah gaya bahasa, sehinggalah kepada panduan untuk menjadi penulis yang berjiwa dan mencari keredhaan Tuhan, semua diselitkan dengan lancar dalam cerita.
Walau bagaimanapun, terdapat dua perkara yang saya kurang gemar dalam novel ini. Pertama, rentak penceritaannya agak perlahan kerana terlalu sarat dengan teori penulisan. Kedua, saya rasa janggal dengan watak yang terlalu ramai, terutama sekali watak-watak PATI yang tiba-tiba mendapat kelas penulisan secara percuma. Bukan saya tak setuju mereka belajar, tetapi dalam konteks mereka sebagai PATI, penglibatan mereka dalam kelas penulisan secara tiba-tiba itu terasa tidak logik dan mengganggu flow cerita. 🥲
Meskipun ada kelemahan pada slow pace dan isu logik watak, nilai ilmu penulisan dan didikan spiritual yang saya peroleh jauh mengatasi kekurangan itu. Ini adalah buku yang menuntut kesabaran pembaca, tetapi berbaloi untuk sesiapa yang ingin mendalami teknik menulis! 💯
1/ Penulis bagaimana yang disayang tuhan? Tentulah, penulis yang mencari keredhaan tuhan dan patuh kepada kesukaan tuhan.
2/ Bahruddin Bekri (BB) berkongsi kisah kegagalan seorang penulis bernama Usamah, dan kemudian dibimbing semula untuk menjadi penulis yang baik (sudah semestinya disayangi tuhan) oleh seorang penulis berpengalaman.
3/ Untuk mengenali diri, Usamah dibawa mengembara dan berkenalan dengan penulis-penulis yang melalui pengalaman hidup penuh pengajaran.
4/ Kisah mereka dikutip dan dirungkaikan bagaimana boleh dijadikan panduan kepada Usamah agar semangat menulisnya kembali pulih, dan semestinya menjadi lebih baik.
5/ Sambil belajar, Usamah juga mengajar. Sememangnya kalau mahu mempertajamkan kemahiran, itulah kaedah yang betul. Belajar dan praktikan, seperti mengajar.
6/ Banyak ilmu boleh dikorek melalui cerita ini. Sama ada yang tersurat (hal-hal teknikal penulisan) mahupun yang bersifat tersirat yakni makna dan tujuan penulisan itu sendiri.
7/ Teknik yang saya rasa bukan lagi asing (perkongsian ilmu melalui buku cerita), tapi agak langka dalam pasaran Malaysia.
8/ Keseluruhannya bagus. Saya suka, cuma watak-watak yang diketengahkan bagi saya tidak seimbang. Pada pandangan saya, golongan pendatang tanpa izin yang ingin belajar ilmu penulisan sedikit janggal. Memang lah tak mustahil, tapi mungkin sedikit pelik. Bagi saya, penyampaian hal ini agak kurang meyakinkan.
9/ Setiap watak boleh dikatakan semuanya "setaraf" daripada segi pemikiran. Perwatakan pula tidak ada yang menonjol atau yang menarik minat saya untuk "menyukai" mana-mana watak yang ramai itu. Keramaian ini mengingatkan saya dengan Orang-orang Biasa karangan Andrea Hirata. 10 watak yang bermacam ragam dan ada kekuatan tersendiri.
10/ Buku setebal 380 muka surat ini mempunyai kelebihan penyusunan bab cerita. Pendek tak melewah, paling sedikit mungkin 3-4 muka surat. Paling banyak, mungkin 7-9 muka surat. Jadi ketebalan buku dengan bab-bab pendek, memudahkan pembacaan.
Saya tidak salah beli novel . Saya tak pernah baca tulisan tuan Bahruddin Bekri, tapi saya sengaja mencuba nasib untuk membelinya. Dan boleh saya kata novel ini memang 'taste' saya.
Ia adalah tentang perjalanan seorang penulis, usamah yang ingin berhenti menulis setelah karyanya mendapat kritikan hebat dari seorang pengkritik hebat yang dikenali sebagai Joe Penapi.
Saya suka kerana buku ini bercerita tentang proses yang perlu usamah lalui untuk mengembalikan semangat menulisnya. Saya percaya untuk menghadirkan semula sesuatu yang pernah hilang dari kita memerlukan proses yang panjang dan ia diceritakan dalam buku ini dengan baik bahkan saya sendiri menjadi tidak sabar ingin mengetahui di titik manakah usamah akan kembali menulis .
Begitulah kita, suka kepada hasil tapi tidak mahu melalui proses 😌
Novel ini juga diselitkan dengan babak warga indonesia, yang menjadi pendatang tanpa izin mencuba untuk mendapatkan bantuan Usamah yang disangka polis yang menyamar.
Dialog dan perwatakan mereka yang polos selalu berjaya mencuit hati saya dan membuatkan saya ketawa berdekah.
Antara proses yang Usamah lalui adalh menjadi guru penulisan kepada Dinie dan 3 orang warga indonesia .Di sini, penulis banyak berkongsi tips dan cara untuk menulis novel . Ini juga antara faktor yang menjadikan saya sangat tertarik dengan novel ini.
Dalam novel ini juga, penulis secara tidak langsung memberi nasihat kepada penulis lain ataupun orang yang mahu mula menulis supaya menghasilkan karya yang mengandungi nilai dan isi moralnya dan tidak menjadikan kata hati semata-mata sebagai kata putus
Secara keseluruhan, Novel ini adalah novel yang penuh dengan ilmu penulisan, sarat dengan nasihat, dan kaya dengan emosi .
Kalau nak belajar menulis, tetapi tak suka baca buku yang 'skema', novel ini jawapannya.
Bagi penggemar buku, pembaca tegar, penulis, serta yang bercita-cita ingin menulis, bacalah buku ini. Ada hikmah dalam setiap bab.
"Sabar dalam menulis, sabar dalam menerima kritikan, dan sabar dalam segala-galanya. Itu yang akan membuatkan kamu kekal menjadi penulis. Ibaratnya, sabar ialah sampan yang kukuh dan bakat ialah pendayung. Kamu akan tetap sampai ke destinasi walaupun tanpa pendayung, sama ada lambat ataupun cepat. Tetapi kamu tidak akan ke mana-mana sekiranya kamu tidak ada sampan, ataupun sampan kamu bocor. Namun sekarang, kamu sudah seperti hilang semua itu dan kerana itulah saya mahu membina kembali kesabaran kamu. Mengerti?"
“Tuhan itu Maha Adil. Adil pula bukan bermakna sama rata, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya."
Baru sahaja selesai membaca buku tetapi saya masih berada dalam buku ini. Tidak dapat melarikan diri dari berfikir tentang Usamah.
Pada awalnya, saya merasakan buku ini mengandungi gaya penulisan yang sama dengan karya Diari Matdespatch pada beberapa perkara: 1) Surat 2) Nasihat dengan imbas kembali 3) Memperoleh jawapan dengan bertanya 4) Pengajaran dan Pembelajaran yang ditampilkan 5) Falsafah
Namun pada akhir pembacaan, sejujurnya saya tidak menyangka pengakhiran sebegitu dibawa oleh penulis. Saya masih terkedu, tergamam dan masih tidak boleh ‘move on’. Bacaan yang sangat berharga saya kira. Tidak merugikan. Alhamdulillah.
"Mengapa kamu buat apa yang kamu lakukan sekarang?"
Soalan yang sangat menarik. Buku ini menceritakan kisah seorang penulis yang cuba menanam rasa minat menulis kepada seorang gadis, walhal dia sendiri telah hilang rasa minat pada bidang penulisan. Berjayakah misinya? Dan kenapa dia perlu laksanakan misi tersebut.
Jalan cerita sangat best, dan boleh belajar buat novel sendiri. Hihi. Besarnya sumbangan dan pahala penulis andai ada orang di luar sana benar2 praktikan apa yang diajarnya sehingga terhasil cerpen atau novel :')
Apapun tahniah dan terima kasih kepada penulis atas karya yang sangat menyentuh hati dan penuh pengajaran ini.
Sesuatu perkara yang paling aku takuti selepas membaca sesebuah novel adalah kekosongan. Rasa kosong selepas membaca sesebuah novel. Apatah lagi apabila novel itu novel yang bagus.
Tapi tidak kali ini.
Setelah aku membaca novel ini, aku mula bertanyakan apakah tujuan sebenarnya aku menulis dalam hidup ini. Apakah menulis ini hanya sekadar cara aku mengekspressikan diri? Atau lebih dari itu? Sesuatu yang patut aku fikir sebelum memulakan impianku sebagai penulis. Yah, penulis.
Apapun, banyak yang aku belajar tentang penulisan dari novel yang dikarang saudara Bahruddin Bekri ini. Jika anda memang minat bidang penulisan dan ingin menceburi bidang penulisan, mungkin novel ini sesuai sebagai penggerak atau penjana momentum anda. Membaca ini selepas 3 bulan setengah tidak membelek buku teks memang mencabar namun aku gagahi juga demi ilmu yang bakal diterima haha.
Membaca kisah usamah dan para PATI juga cerita yang menggelikan hati. Siapa sangka cadangan 'ke langit' Ahamad Rani berakhir dgn penyesalan yang memalukan. Inilah akibat dari sikap serkap jarang mereka yang menyangka Usamah ialah polis yang menyamar dan bakal menjalankan operasinya. Belum lagi disebut kejutan diakhir cerita. Usamah akhirnya mengetahui siapa Abu Penapi yang sebenarnya.
Kesimpulannya, aku suka buku ini atas ilmu, pengalaman dan imaginasinya. Cumanya unsur humor sahaja yang aku lihat berkurangan sebagai gantian ilmu yang bertambah berbanding karya2 beliau yang lain. Walau bagaimanapun,novel ini tetap mencengkam. Mencengkam dalam kesederhanaan.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Saya memang jenis membaca buku kerana penulisnya. Tn Bahruddin memang sudah lama saya ikuti penulisannya. Cuma kali ini, saya tertarik dengan tajuk dan isinya (dan juga rekemen dari ummi semasa pulang ke malaysia tahun lepas bahawa buku ini sangat harus dibaca).
Sewaktu talk kerjaya di sekolah dulu, saya memberikan jawapan 'penulis' sbg jawapan kerjaya alternatif saya. Waktu itu saya masih semangat. cuma apabila menginjak ke alam universiti (medik), saya banyak memberi alasan untuk terus menulis dan akhirnya saya membuat konklusi mudah bahawa blogger bukan penulis dan berhenti menulis di blog.
Membaca novel ini, tahulah saya akan elemen paling penting dalam dunia penulisan; sabar.
"Kenapa kamu lakukan apa yang kamu lakukan sekarang?"
Klu soalannya berkenaan 'penggantungan' pena, mudah sahaja jawapan saya; saya masib belum rajin. Dan juga saya masih belum cukup sabar melalui 'proses-proses' penulisan.
Kita semua penulis. Hidup kita merupakan tulisan(mesej) kita kepada dunia. Mudah-mudahan kita semua menjadi penulis yang disayang Tuhan.
Kira-kira 10 kini sebelum waktu Asar menjelma, novel penuh hikmah, pelajaran dan inspirasi ini berjayaku tamatkan. Sebuah lagi novel yang penuh dengan lipatan serta contengan hampir selang 1-2 mukasurat. (memang stail pembacaan aku begitu, sebab rugi kalau info/quotes/pelajaran yang bermanfaat dibiar ibarat angin lalu). Pengembaraan seorang penulis bangkit dari luka perit. Sebuah perjalanan mencari kejayaan yang dicari oleh seorang penulis.
Tuhan tidak akan membiarkan hujan terus membasahi bumi, membiarkan simbol kesedihan ini terus meliputi. Tuhan sentiasa menghadirkan pelangi selepas hujan kepada hambaNya.
Emosi tatkala membaca novel ini sama hangatnya seperti membaca Rembulan Tenggelam Di Wajahmu karya Tere Liye suatu masa dahulu.
Terima kasih Tuan Bahruddin Bekri atas persoalan-persoalan yang menghidupkan jiwa sepanjang penceritaan kisah seorang Usamah. :) Aku Mahu Menjadi Penulis Yang Disayang Allah!
- Tips penulisan. - Walaupun buku ini seakan berat kerana banyak mesej yang hendak disampaikan kepada para penulis untuk menjadi "Penulis Yang Disayangi Tuhan", ia tetap diselangi dengan nilai humor. - Eratnya hubungan keluarga-keluarga di rumah setinggan. - Membawa kita memahami perasaan terdesak pendatang tanpa permit untuk melarikan diri daripada tertangkap. Menghantar duit untuk keluarga di negara asal, membayar sewa rumah dan membayar duit kepada orang yang menyeludup mereka. Apabila terdesak, mulalah datang idea yang bersimpang-siur. Walhal boleh sahaja duduk sebentar bertenang dan memikirkan rancangan yang rasional.
Jadi, adakah Usamah berjaya menjadi "Penulis Yang Disayangi Tuhan"? Bacalah buku ni, seronok. Banyak nilai baik yang penulis ketengahkan🤍. Semoga para penulis diseluruh dunia dapat menjadi Penulis Yang Disayangi Tuhan 🥰!
Tak tergambar dengan kata-kata betapa bagusnya novel ini.... Sudahlah kronologi ceritanya bagus, malah diberikan pula panduan menulis & panduan mendapatkan kembali minat menulis. Tiada kata yang tepat untuk saya ulas kesempurnaan novel ini, melainkan hanya mengucapkan terima kasih buat penulis. Kerana novel ini, saya dapat banyak ilham mencari proses minat menulis itu semula. Berbulan-bulan saya ambil masa untuk habiskan novel ini kerana saya cuba membaca sambil mempraktikkan segala panduan beliau. Alhamdulillah semangat agak mendaki sedikit-sedikit.
Terima kasih di atas usaha tuan menulis karya teragung, yang semestinya menjadi harta karun buat penulis bebas yang kehilangan semangat menulis seperti saya.
Buku yang menarik. Walaupun disampaikan secara fiksi, ia memuatkan teknik-teknik penulisan novel/cerpen kepada pembaca yang ingin bergelar penulis. Menarik!
Novel ini sama dengan karya Faisal Tehrani Tuhan Manusia. Penulisnya berkhutbah tapi dengan dialog surealistik. Khutbahnya tidak terasa bosan. Ia menaikkan ghairah untuk membaca. :D
Mengisahkan tentang Usamah yang dah putus asa nak meneruskan kerjaya sebagai penulis disebabkan 2 bukunya gagal setelah buku debutnya bestseller. Dia yakin novelnya gagal kerana kritikan yang diberikan oleh Joe Penapi.
Dalam keadaan dia ingin berputus asa itu, tuhan hantarkan Johari Salim, mantan penulis terkenal. Johari meminta Usamah untuk pergi ke 5 orang mantan penulis dan tanyakan kepada mereka, 'kenapa mereka lakukan apa yang mereka lakukan sekarang'. -------
Buku ni sangat sarat dengan pengajaran. Setiap plot yang ditulis ada nilai. Macam aku yang sukakan ilmu baru, aku belajar banyak tentang penulisan. Mungkin sesetangah orang akan rasa bosan sebab macam baca buku non fiction, tapi aku rasa seronok.
Banyak yang aku tak tahu. Tapi cara penulis menerangkan setiap tajuk tu kelihatan macam mudah. Ada teori bersama contoh. Untuk aku yang bukan penulis, aku belajar macam mana seorang penulis membina plot, mengembangkan watak, menerangkan latar dan banyak lagi.
Selain dari ilmu penulisan, penulis juga menekankan tentang penulisan yang membawa kepada Allah. Penulisan yang bermanfaat dan tidak sia-sia dan menjadikan penulisan sebagai medan dakwah.
Aku pernah baca buku penulis sebelum ni. Aku jatuh cinta dengan karya dia pun disebabkan gaya bahasa yang sempoi tapi berfalsafah. Berbeza dengan buku kali ni, gaya penulisannya lebih serius. Ada beberapa bahagian yang buat aku tergelak, selebihnya aku kena lebih fokus tentang ilmu penulisan yang nak disampaikan. Gaya penulisan yang berbeza tapi tetap di hati.
Aku recommend buku ni pada semua. Tak kira penulis atau bukan.
Akhir sekali persoalan yang buat aku terfikir lepas baca buku ni adalah..
"Kenapa aku lakukan apa yang aku lakukan sekarang"
This story follows Usamah, a brilliant writer who was brought down to his knees by a critique, Joe Penapi. From riches to rags, Usamah lost interest in writing and is now struggling to eke out a living. Circumstances pushed him to the slum, his mobile phone the priciest thing in his house.
He reached out to an acquaintance, hoping to get a job as an editor. He was directed to Johari Salim instead, a master writer who's retired from the writing scene. Johari Salim gave him a task of meeting 5 ex-writers, with the catch of just asking one question - no matter how curious he was - why they're doing what they're doing right now. Johari promised to help Usamah after the quest is completed.
Now, I cried buckets reading this book. Cackled like a witch too! Usamah's journey struck a chord with me. We're both pulling a phoenix rising from the ashes, Usamah and I. His journey to find his lost passion for writing is fun and sobering to read. Colourful characters he met along the way served as not only comic reliefs, but also teachers in navigating the intricacies of life.
I highly recommend this title to those struggling to get back on their feet in life, those trying to find courage, and those inspiring to be writers (this novel is also a writing guide, I kid you not!) It was a spectacular read. I'm happy I picked this up as the first work I read from Bahruddin Bekri. I'm a fan now, sir. Excited to catch up with your other works!
Membaca sebagai seorang yang terlupa apa ending buku ni sebab kali terakhir saya baca, sewaktu darjah 5 atau 6. Selain daripada design kulit buku yang cool (saya beli yang 1+1, terbitan tahun 2013), masa tu saya sangat nak jadi penulis. Bahkan ini juga buku pertama karya Bahruddin Bekri yang saya punya. Saya ingat lagi masa kecil tu saya rasa macam berat gila isi buku ni. Saya langsung tak faham apa yang baca. Saya juga tak faham kewujudan penulis tua itu dan apa yang dia nak sampaikan.
Kini saya dah besar dan dah masuk universiti, saya ulang baca semula. Saya masih tak tahu kalau saya nak jadi penulis ke tak, tapi saya mula faham buku ni. Buku ni berat masa saya kecil dulu sebab sarat teori dan falsafah penulisan yang diselit dalam penceritaan. Semua orang boleh jadi penulis, tapi adakah mereka jenis penulis yang Tuhan sayang? Buku ini ada ajarkan. Saya terfikir, apalah perkara yang ilhamkan si penulis untuk tulis karya ni.
Mungkin saya tak patut baca sewaktu darjah 5. Patut dah masuk sekolah menengah dulu atau bila rasa otak dah berkembang dulu, baru baca?
Recommended? Yes, terutamanya bagi yang berimpian nak jadi penulis. Yang sudah jadi penulis pun, patut baca juga untuk peringatan berkala. Sangat sesuai juga untuk dihadiahkan kepada yang nak berkecimpung dunia penulisan. Kalau saya berjaya jadi penulis buku, saya harap saya tak lupa untuk bagi kredit pada buku ini
'Tidak ada manusia yang wajahnya cantik sepanjang waktu, pasti tua juga akhirnya. Tidak ada manusia yang gagah sepanjang hidup, pasti lemah juga dia nanti. Tidak ada juga manusia yang selamanya akan keras hati, ada waktu akan lembut juga. Itulah manusia.'
Sebenarnya plot agak menarik. Cuma saya agak kurang gemar apabila diselitkan teknikal cara penulisan. Mungkin ia sesuai untuk market tertentu. Contohnya mereka yang benar ingin belajar teknik menulis. Tapi tidak untuk saya yang membaca sekadar untuk melepas tekanan. Saya suka bila bilangan mukasurat tidak terlalu banyak untuk setiap bab. Ini sangat membantu memberi motivasi bagi pembaca yang mempunyai reading span yang agak singkat seperti saya. Tambahan juga, ia sangat memberi motivasi bagi pembaca yang baru saja hendak keluar daripada fasa reading slump.
Perkembangan agak perlahan, but still bearable. Siapa yang mahu membaca bahan bacaan ringan tapi dalam masa yang sama mahu belajar teknik menulis, saya rekomen untuk membaca ini.
Menyelak helaian naskah ini seolah berguru dengan penulis tersohor bagi mempersiapkan diri menjadi seorang penulis. Isi naskah yang sarat dengan ilmu penulisan turut disulami dengan kisah nakal jiran-jiran pendatang yang mendiami kediaman setinggan di sekitar kawasan rumah penulis sebagai latarnya.
Watak Dinie Nurul Iman juga antara sebagai penguat dalam naskah ini yang boleh diandalkan sebagai penggerak kepada kata putus oleh watak utama.
NOTA : Saya pernah membaca naskah berjudul DOA UNTUK AKU daripada penulis yang sama dan agak kurang menggemari cara penulisan beliau. Tidak disangkal tulisan beliau dalam naskah ini lebih menyentuh hati berbanding naskah tersebut.
Naskah ini sedikit sebanyak (secara tidak langsung) dapat dijadikan sebagai rujukan yang baik bagi saya serta individu-individu yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang penulisan.
Asas-asas penulisan dengan penerangan yang jelas juga ditonjolkan supaya kefahaman itu sampai kepada pembaca.
Mampukah kita menjadi sebagai PENULIS YANG DISAYANGI TUHAN sebagaimana yang disarankan oleh Johari Salim? Hanya masa dan hasil nukilan yang akan menentukan!
Menyesal pula tamat baca buku ini di luar rumah. Jika di rumah, saya sudah terbaring di katil, menghadap siling dan membiarkan air mata mengalir menggambarkan emosi saya.
Cerita Usamah ini sangat terkesan. Buku ini penuh dengan tips dan teknik penulisan. Saya seperti mengikuti kuliah bersama Usamah. Dan membaca ayat-ayat tulisan Bahruddin Bekri, saya nampak cara mengaplikasinya.
Selain tips dan teknik, buku ini tak lari juga dari kisah Usamah mencari tujuan penulisan.
"Mengapa perlu mengapa?" Terkedu saya dengan soalan ini. Kadangkala kita terlalu mempersoal sehingga menafikan yang hak.
Penulis Yang Disayang Tuhan. Saya teringat kata-kata Cikpuan Azzah AR. Dia pernah memberitahu di FB, penulis baru sangat bagus baca novel ini.
Saya sedikit menyesal tidak membeli karya ini beberapa tahun dahulu. Namun, bersyukur kepada sahabat yang menghadiahkan saya naskhah ini.
Terlalu banyak ilmu dan falsafah sehingga penuh sticky note di buku saya.
"Penulis Yang Disayangi Tuhan" karya Bahruddin Bekri membawa pembaca menyelami dunia penulisan dengan pendekatan yang mendalam dan reflektif. Novel ini bukan hanya sekadar naratif, tetapi juga sebuah panduan untuk penulis yang sedang mencari jati diri dalam dunia seni. Melalui watak Usamah, yang berjuang untuk mengembalikan semangat menulisnya, kita diajak merenung tentang tujuan dan makna di sebalik setiap kata yang ditulis. Setiap nasihat yang disampaikan penuh kelembutan, menjadikan pengalaman membaca seolah-olah berada dalam kelas penulisan yang memikat. Dari petikan-petikan yang menyentuh hati hingga renungan tentang keikhlasan dalam penulisan, buku ini mencabar pembaca untuk bermuhasabah dan menghargai proses kreatif. Walaupun perkembangan plotnya perlahan, ia tetap menawarkan pelbagai teknik dan panduan yang berharga bagi sesiapa yang ingin memperkasa gaya penulisan mereka. Bagi pencinta penulisan, karya ini adalah sebuah khazanah yang perlu dibaca.
Buku ni patut jadi panduan untuk semua penulis, bakal penulis dan orang yang minat menulis. Aku bukan penulis tapi boleh kata banyakk sangat input yang aku dapat. Aku ambil masa nak baca buku ni agak lama sebab nak kena dengan mood tapi berbaloi.
Aku rasa macam tak pernah lagi lepas habis baca buku rasa macam terharu dan tenang macam ni. Banyakk sangat benda yang aku belajar. Walaupun sebelum nak ke ending bahagian sesi kelas dengan Dinie tu buat aku rasa agak sedikit ngantuk tapi boleh je baca sikit-sikit tak perlu rushing.
Rasa berbaloi spend duit dan masa untuk buku ni, walaupun pada mulanya aku tak bersungguh pon nak beli buku ni tapi sebab ada penulis dia masa tu (kat PBAKL) rasa macam nak beli. And it turns out so GOOD, like I'm not lying at all.
Btw, macam biasa la ni pendapat aku sendiri je, lain orang mungkin lain pendapat. Tapi aku puas hati. Terima kasih, tuan penulis untuk penulisan ni 👍🏻
Buku yang terbaik n recommended untuk semua penulis, orang yang minat nak menulis, n orang yang minat membaca jugaa
Buku ni macam gabungan antara fiksyen dan non-fiksyen.
Non-fiksyen sebab buku ni banyak cerita tentang tips2 dan teknik2 untuk menjadi seorang penulis, jadi mungkin agak berat untuk dihadam mereka yang tiada minat atau cenderung terhadap bidang ini.
Bahagian fiksyen pula, agak perlahan, sebab buku ni pun tebal,,, tapi padat sangat dengan mesej2 yang menarikk! Tiga-empat bab terakhir adalah bahagian yang saya kira wajib dibaca semua orang ! Sangat menarikk. Mesej yang sangat2 penting untuk seorang penulis mahupun pembaca yang ingin disayangi Tuhan. Dan juga apa pekerjaan kita sekalipun… biarlah menjadi yang disayangi Tuhan 💕.
Buku tentang tips penulisan, lebih tepat lagi buku yang punya cara untuk menjadi penulis yang disayang Tuhan. Seperti juga tuan Tere, tuan Bahruddin juga seorang penulis yang suka selitkan unsur humor di samping jalan cerita yang mantap serta isi bukunya yang cukup bermanfaat. Penulis dalam erti kata lain sedang berdakwah kepada para penulis atau bakal penulis untuk menulis dengan formula berpandukan tauhid. Tidak melebih-lebih dalam menekankan sifat jahat dan fokus kepada kebaikan. Bagi saya, buku ni sangat MANTAP!