Sudin dan Karim merupakan dua orang budak kampung yang nakal. Kedua-duanya gagal dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran. Akibat kegagalan ini, Sudin dibawa oleh pak ciknya ke Kuala Lumpur dan diasuh dengan disiplin yang ketat.
Manakala Karim pula terus membesar di kampung tetapi kurang mendapat perhatian daripada kedua-dua orang tuanya.
Sudin akhirnya berjaya dalam kehidupannya dan kejayaan inilah yang patut anda ketahui. Apa pula yang terjadi kepada Karim yang semakin liar itu? Bacalah novel Anak Titiwangsa ini untuk mengetahui jawapannya.
Keris Mas atau nama sebenarnya Kamaluddin Muhamad adalah Sasterawan Negara Malaysia 1981. Beliau seorang wartawan, editor, pentadbir sastera, sasterawan, dan pengkritik. Juga dikenali dengan nama samaran seperti Pejuang Sastera Negara, Aku, KM, Kamal Kamludin M dan Mister X.
Dilahirkan pada 10 Jun 1922 di Kampung Ketari, Bentong, Pahang.
PENDIDIKAN : (1). Sekolah Melayu Bentong, Pahang, 1929 – 1933. (2). Tawalib School, Sumatera, Indonesia. (3). Kolej Kulliahtul Muallimin al-Islamiah, Sumatera, dan lulus dalam bidang Ilmu Umum, 1940. (4). Pitman College, Singapura. (5). Mengikuti kursus matrikulasi di Unversity of London di Singapura. Tidak tamat akibat terhalang oleh Perang Dunia Kedua.
KERJAYA: (1). Pegawai Penerangan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (PKMM). (2). Anggota Sidang Pengarang akhbar Utusan Melayu, Singapura, 1947. (3). Wartawan, Melayu Raya, Singapura, 1953. (4). Wartaawan Warta Negara, Pulau Pinang, 1954 – 1955. (5). Pengarang Umum, Dewan Bahasa dan Pustaka, Johor Bahru, 1956. (6). Ketua Pengarang DBP, 1962 – 1971. (7). Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera, DBP, 1971 – 1977.
ANUGERAH/GELARAN: (1). Anugerah Pejuang Sastera yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Hussein Onn, 1976. (2) Anugerah Sastera Negara oleh Seri Paduka Baginda yang Dipertuan Agong yang membawa gelaran Sasterawan Negara, 1981. (3) Anugerah bintang kebesaran Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, 1968. (4). Anugerah bintang kebesaran Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, 1982. (5). Anugerah SEA Write Award oleh Raja Thailand diBangkok, 1987. (6). Anugerah Kehormat ijazah tertinggi Doktor Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia, Pulau PInang, 1989.
KEGIATAN/PERLANTIKAN: Antaranya: (1). Setiausaha Panel Hadiah Karya Sastera, 1971 – 1976. (2). Anggota panel Anugerah Sastera Negara, 1979. (3). Penulis Tamu, DBP, 1977 – 1978. (4). Karyawan Seni, Universiti Malaya, 1979. (5). Pengasas ASAS ’50 di Singapura berkonsepkan “Seni Untuk Masyarakat”. (6) Salah seorang pengasas Persatuan Penulis Nasional (PENA).
Beliau meninggal dunia di Hospital Besar Kuala Lumpur pada 9 Mac 1992 kerana sakit jantung. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Penceritaan plotnya sangat kemas dan bunyinya amat bersahaja. Sudin si anak muda kematian ayah ibu yang tinggal berdua dengan pakciknya, masih ragu-ragu dengan cita-cita dan masa depan, menjalani hidup bawah ajaran Pak Cik Samad sehingga dia dapat khabar tentang Karim, teman sekampung yang mencuri dan lari dari rumah. Arah jalanan harian Sudin mula tertumpu dalam hal mencari Karim, sambil menjadi pembantu wartawan bahagian jenayah di syarikat akhbar tempat pakciknya bekerja. Aku tertarik dengan watak Karim ini sebab dia seakan tulang dan fokus cerita tapi wujudnya dalam naratif sekadar sebutan nama sahaja dari awal hingga 3 bab akhir baru karakternya menghias cerita. Sudin banyak menjadi tukang kata dan menarasi plot, kisah berlegar dalam hal perhubungan dan persahabatan, tentang tujuan dan matlamat. Moral keseluruhannya bagus sekali. Kiasan bahasa dan larasnya sedap dibaca, cerita tak meleret malah santai saja. "Engkau kerja, engkau belajar, engkau mengalami dan engkau mengetahui. Teruskan begitu lama-lama tercapailah cita-cita. Tetapi cita-cita mesti ada. Cita-cita bukan angan-angan."
Buku ni nipis je tapi sepanjang tempoh pembacaan tu menebal juga la rasa bosan dan menjengkelkan baca buku ni. Ceritanya tentang si Sudin ni yang mentah dan naif – atau secara kasarnya, tolol menurut rakan sekerjanya – yang obses mencari kawan sekampungnya dulu, Karim yang hilang. Sepanjang cerita terpaksa la dengar si Sudin ni merengek dan merungut tak habis-habis tentang banyak perkara, terutama sekali tentang Pak Cik Samad, pakciknya yang setelah kematian orang tua Sudin membawa Sudin ke Kuala Lumpur untuk diberi peluang mengejar masa depan yang cerah. Remaja dengan jiwa berontak barangkali Sudin ni, yang tak reti nak bersyukur dan hanya tahu memanjang merengek kebosanan sekalipun telah diberi peluang keemasan yang tak semua orang boleh dapat. Sementara di sekelilingnya orang-orang sibuk mengharungi kepayahan hidup atau berusaha sedaya-upaya untuk memajukan diri tetapi Sudin tanpa cita-cita yang jelas sekadar mengisi kekosongan hari-harinya dengan merungut tentang orang sekeliling atau merengek mahu mencari Karim tanpa rancangan yang jelas dan bijak dan akhirnya terpaksa dibantu oleh orang lain. Sudin yang kebosanan ni membosankan wataknya. Sudin sebagai watak utama kebanyakan masa hanya sekadar menumpang dan bergantung kepada imbas kembali tentang watak-watak lain ataupun kemunculan watak-watak lain yang jelas sekali mempunyai perwatakan dan cerita yang lebih menarik.
Entah la. Mungkin ada yang aku terlepas pandang tentang cerita ni. Mungkin sebenarnya cerita ni nak ceritakan tentang seseorang yang tiada cita-cita atau tujuan hidup lalu mengisi kekosongannya dengan satu obsesi yang lain yang mana mengingatkan aku kepada buku No Longer Human karya Dazai Osamu dengan watak utamanya yang betul-betul menjengkelkan, apatah lagi apabila diadaptasi kepada versi komik menjadi semakin jelas menjengkelkan wataknya yang rasa terputus talian dengan dunia dan seterusnya menyebabkan dia menjurus ke arah kemusnahan diri. Cuma bezanya, cerita Sudin ni disampaikan dalam cerita yang lebih mudah difahami dan lebih bersesuaian untuk pembaca remaja di Malaysia. Tetapi itu la, watak menjengkelkan tetap menjengkelkan sepertimana watak membosankan tetap membosankan sekalipun berjuta lemon mesej tersirat yang boleh di-KOMSAS-kan terselit di celah-celah cerita.
Tetapi tak dinafikan la, ada juga bahagian yang aku suka dalam buku ni. Terutama sekali satu petikan dalam buku ni yang buat aku terfikir tentang situasi zaman sekarang:
"Encik Sudin," katanya. "Dunia kita ni dah lain macam. Kalau kita tak degil, tak mahu buat nakal-nakal atau kurang ajar sikit, orang lanyak saja kita." Saya dengarkan dengan sungguh-sungguh sebab dia bercakap itu dengan sungguh-sungguh nampaknya.
"Saya cakap tentang orang macam saya. Orang miskin, orang tak ada pelajaran macam saya ini mesti buat gila-gila sikit. Kalau tidak orang tidak tahu kita ini ada. Ini zaman kemakmuran. Orang miskin jadi kudis yang memalukan. Jadi kita bising-bisinglah tunjukkan kudis kita. Dedahkan pekung, nanti adalah orang yang malu dan lekas-lekas beri ubat."
Terasa dekat dengan situasi zaman sekarang di mana mereka yang tidak berkemampuan dan bernasib baik meskipun telah berusaha keras kadang-kala perlu membuat kecoh atau menularkan masalah mereka bagi mendapatkan perhatian dan seterusnya bantuan yang diperlukan. Sesuatu yang malangnya masih tak berubah dari dahulu lagi.
Tapi bahagian tu je la yang menarik dan masih bermain-main di fikiran selepas selesai baca. Kebanyakan bahagian cerita yang lain memang tak berapa menarik perhatian sangat, terutama sekali rengekan dan rungutan Sudin yang tak habis-habis tu. Jadi, salahkanlah Sudin untuk bintang-bintang yang hilang.
Novel yang mengisahkan perjalanan hidup dua orang remaja di Kuala Lumpur dari kampung yang sama, namun berbeza sekali jalan hidup kedua-duanya. Sudin diasuh oleh Pak ciknya sambil dia mengambil peperiksaan HSC dan menjadi pembantu wartawan. Karim pula, setelah mencuri wang di kampung, lalu melarikan diri ke Kuala Lumpur, hidup dalam keadaan terumbang-ambing.
Misi Sudin dalam mencari Karim bermula dengan bantuan Pak Cik Samad, Ah Kawan dan Malik. Bagaimana agaknya nasib Karim ketika dijumpai?
Cerita yang straight forward dan mudah difahami. Cerita juga agak mendatar sehingga ke hujungnya. Watak Sudin dan Karim memaparkan dua remaja yang hidup dengan cara yang berbeza - baik dan buruk. Akibat dari dua perbuatan ini diterangkan dengan jelas dan seharusnya dijadikan pengajaran dan sempadan buat pembaca terutamanya remaja.
Setting 1960-an dalam novel ini begitu menarik, dengan fokus yang diberikan dalam kerjaya wartawan pada zaman itu melalui watak Malik terutamanya, membawa pembaca melalui time travel serta memahami perbezaan zaman yang ketara berbanding masa kini, 2020-an.
Walaupun novel ini nipis , namun sarat dengan pengajaran bermakna dalam meniti kehidupan yang mencabar, masih relevan untuk pembaca masa kini.
Watak utama dalam Anak Titiwangsa, Sudin mempelajari makna dewasa apabila kehilangan ayah yang meninggal dihempap batang pokok. Bekerja sambil belajar untuk HSC amat mencabar. Anak Titiwangsa membawa kisah kasih sayang dan kesetiakawanan dalam latar tahun 70an.
Naskah terakhir yang dibaca sebagai penutup tahun 2024. Memperihalkan Sudin yang berusaha menjejak sahabatnya Karim yang hampir terjerumus dalam lembah kejahatan yang lebih berbahaya di bandar.
Dalam pencarian Karim, pelbagai kisah masyarakat serta ragam manusia diketengahkan oleh Tuan Penulis sebagai kesinambungan dalam usaha yang dilaksanakan oleh Sudin.
Naskah ini ringkas dan mudah diikuti. Kisahnya juga lebih menjurus dan tidak tersasar dari landasan. Dalam naskah ini, Tuan Penulis juga turut menyentuh serba sedikit berhubung tugas dan peranan wartawan dalam masyarakat.
Anak Titiwangsa -barangkali- ialah antara karya Keris Mas, sasterawan negara yang pertama, yang agak masyhur. Dalam senarai Goodreads, karya ini menduduki carta ketiga berdasarkan bilangan pembaca yang mengulas (atau menilai) iaitu sebanyak 86 penilaian. Yang pertama dalam carta ialah Saudagar Besar dari Kuala Lumpur dan Rimba Harapan pula pada kedudukan yang kedua.
Cerita ini terbina berdasarkan plot utama: Sudin ingin mencari kawannya, Karim yang berada di Kuala Lumpur. Karim melarikan diri dari kampung setelah mencuri duit ibunya sebanyak beberapa ratus, jumlah yang agak besar andai diukur pada zaman tersebut, 60-an. Plot bergerak dengan sangat perlahan dan banyak babak yang saya rasakan tidak perlu dimuatkan—hanya berfungsi sebagai filler; dijadikan sebagai antara babak dalam cerita, sekadar untuk memanjangkan cerita dan tiada pula pengajaran yang diperoleh daripadanya. Dalam cerita ini, watak Hanim ialah salah satu filler.
Walaupun cerita ini bergerak dengan sangat perlahan, ia mulai menjadi rancak apabila Sudin bertemu dengan Malik, salah seorang rakan wartawan di tempat dirinya bekerja. Malik—walau perwatakannya kasar—namun banyak mengejar Sudin akan sepak terajang dunia, terutamanya dalam hal-hal kewartawanan. Berkawan dengan semua orang, sentiasa mencatat dan peka dengan keadaan sekeliling, harus pandai berbohong dan pandai mereka-reka cerita—antara nasihat Malik. ‘Etika’ seorang wartawan yang masih tidak berubah sejak daripada dahulu hingga kini. Pencarian Karim semakin membuahkan hasil dengan bantuan Malik, walau Sudin sering kali diolok-olokkan. Di akhir cerita, Karim berjaya ditemui oleh Pak Cik Samad, YB Ah Kaw dan Inspektor Razi. Syukurlah Karim berjaya diselamatkan sebelum terjerumus lebih dalam ke dalam ‘dunia orang jahat’.
Saya tidak berniat sebenarnya ingin mengulas plot cerita, tapi sudah terlajak pula. Cuma, ada beberapa hal yang menarik perhatian saya.
Pertama, mengenai apa yang dikatakan Sudin terhadap peribadi Pak Cik Samad: “Sangkanya dia benar-benar orang besar yang tugasnya memberi syarahan dan membentangkan berbagai bagai teori tentang masyarakat. Yang berhak menentukan tugas-tugas orang dalam dunia ini hanya dia. Dia mahu menyelamatkan dunia. Dia mahu menyelamatkan orang kampung, orang bandar, budak-budak sekolah, anak-anak muda dan kaum perempuan juga. Tetapi apakah yang dia rasakan tentang Karim? Kosong.” (h. 40).
Babak ini menarik kerana turut membuatkan saya berasa terpukul. Kelompok terpelajar atau intelektual ini begitu giat sekali berteori perihal masyarakat. Ribuan, bahkan jutaan perbincangan, diskusi, teori dan wacana yang menghiasi bibir mereka. Namun, persoalannya, adakah mereka benar-benar tulus untuk menyelamatkan masyakarat, atau mereka hanya digemar dilihat sebagai ‘pakar’ masyarakat? Andai ada gelandangan yang menguis-mengemis meminta dibelikan makanan kerana sudah tiga hari tidak makan, adakah kelompok ini sanggup membawa dan menemani pengemis tersebut makan sementara dirinya memakai pakaian yang bersih, kemas, bertali leher dan berkasut kulit? Atau adakah, sekurang-kurangnya, mereka masih ada sisa empati untuk menghulurkan sekeping wang 10 ringgit agar pengemis tersebut boleh membeli sesuap untuk untuk menampung hari-hari seterusnya yang kejam terhadap manusia terbuang?
Kedua, Karim yang terlibat dengan pelbagai jenayah seperti mencuri, merompak, memeras ugut dan berkelahi—hakikatnya kerana tidak mendapat penjagaan, perhatian dan pendidikan yang selayaknya. Manusia seperti Karim masih berlambak lagi di luar sana. Siapakah yang bakal menjadi penyelamat mereka?
Ketiga, sikap Sudin yang mencerminkan darah pemuda yang bergemuruh—terburu-buru, lekas naik darah, tidak bersabar, mudah berprasangka, lurus dan masih tidak merasai sepak terajang dunia sebenar. Begitulah fasa-fasa yang akan dihadapi oleh setiap pemuda. Namun, sedikit demi sedikit, dirinya mulai matang. Sepanjang penceritaan hingga ke akhir, Sudin akur dengan nasihat yang diberikan Malik dan kagum dengan keupayaan Pak Cik Samad yang berjaya membantu pencarian Karim walau hanya duduk di pejabat sahaja.
Berdasarkan perkara ini, tergambar jugalah perkara keempat dan terakhir yang mencetuskan perhatian saya iaitu kuasa itu segala-segalanya. Sama ada kuasa dalam bentuk kenalan, jawatan, wang, peribadi dan pengetahuan—persis takrifan ‘kuasa’ yang diberikan oleh Harrison (2011) dalam Power & Society: bagaimana satu pihak mempengaruhi satu pihak yang lain untuk menuruti kehendaknya.
Karya ini pada awalnya hanya akan dinilai sebagai dua bintang. Namun, pembacaan pada babak-babak akhir merubah fikiran saya. Tiga bintang lebih layak. Masih ada pengajaran yang berjaya disampaikan oleh Keris Mas pada akhir cerita.
Judul buku: Anak Titiwangsa Penulis: Keris Mas Terbitan: DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) Cetakan: Cetakan kedua 2010 / Cetakan pertama bagi Edisi Malaysia Membaca Jumlah muka surat: 108 muka surat Tempoh bacaan: 13 Jan 2021 ~ 14 Jan 2021 Pengulas: Norsamila Samsudin
Resensi buku: Plot berkisar tentang usaha Sudin (watak utama), yang menjejaki kawan sekampungnya, Karim. Karim dikatakan lari ke Kuala Lumpur setelah mencuri duit emak sendiri. Sudin yang sudah berpindah tinggal di Kuala Lumpur, didatangi Usop memberitahukan hal Karim. Kerana tidak mahu rakannya itu menjadi jahat lagi, Sudin nekad mencari Karim.
Ulasan buku: Selain daripada nilai persahabatan yang cuba ditonjolkan oleh Keris Mas di dalam ‘Anak Titiwangsa’, perjalanan hidup anak bangsa itu sendiri, turut diangkat oleh Keris Mas. Banyak dialog yang dibina dengan unsur sindiran, nasihat, malah membuka minda kita sebagai anak bangsa untuk melihat sesuatu perkara itu dengan lebih mendalam. Bukan hanya di permukaan sahaja.
Pada saya, kekuatan cerita ‘Anak Titiwangsa’ ini adalah pada setiap dialog dan monolog yang dilafazkan oleh watak-wataknya. Dalam usaha Sudin menemui watak-watak lain, untuk menjejaki Karim, banyak pelajaran hidup yang didapatinya.
Saya petik babak ketika Sudin menemui YB Ah Kaw: “Sekarang Kuala Lumpur penuh dengan orang-orang macam Karim. Orang-orang muda datang dari kampung mahu hidup main-main, senang-senang, seronok-seronok.”
Kata-kata YB Ah Kaw ini pada saya adalah sindiran Keris Mas sendiri kepada anak bangsa kita yang suka hidup bersenang-lenang.
Babak lain yang menarik perhatian saya adalah monolog Sudin itu sendiri bila dia rasa seolah-olah gagal mendapatkan bantuan YB Ah Kaw dalam hal pencarian Karim.
‘Dia orang politik, ahli Parlimen. Persoalannya, persoalan negara, bukan persoalan orang perseorangan yang hilang dari kampung dan sebagainya.’
Sindiran terhadap wakil rakyat yang melihat isu atau masalah orang perseorangan itu bukan masalahnya. Sedangkan dia adalah pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat.
Sudin melepas rasa kecewa dengan Pak Cik Samadnya, yang dianggap oleh Sudin sebagai orang yang sering memperjuangkan anak bangsa dalam penulisannya di akhbar, tetapi meremehkan hal Karim, melalui monolognya:
‘Kalau di pejabat surat khabar itu, dia selalu sahaja menyuruh pemberita-pemberita supaya lekas dewasa, supaya melihat masyarakat dari dekat. Sedekat mana? Apakah dia mahu mendekati soal Karim? … Tetapi mengapa orang macam Karim tidak dipedulikan?’
Di dalam monolog watak Sudin ini, jelas Keris Mas menujukannya kepada orang-orang - pemimpin dan pejuang masyarakat, pejuang rakyat yang hanya nampak isu besar, dan menolak isu kecil. Sedangkan daripada isu kecil rakyatlah jika tidak diatasi akan jadi isu besar, iaitu isu negara.
Di sini, kita lihat bagaimana sebuah karya fiksyen menjadi medium teguran, luahan, malah serangan daripada penulis dalam mengingatkan masyarakat, tidak kira pemimpin atau rakyat itu sendiri tentang peranan masing-masing.
Tajam mata penulis memerhatikan keadaan masyarakat, setajam itu jugalah mata penanya menukilkan segala ketidakpuasan hatinya pada pemimpin dan pada anak bangsa. Jelas, penulis mahu agar bila penulisannya dibaca oleh anak bangsa, yang mungkin satu hari akan bergelar pemimpin, perkara ini dapat diubah.
Selain daripada isu anak bangsa yang tergelincir laku, Keris Mas juga turut menyindir anak muda seperti Sudin yang kurang pergaulan. Sikap anak muda yang hanya menghadap buku, menyempitkan pergaulan. Membuatkan hidupnya jadi tidak seimbang di antara teori dan praktikal hidup.
Hanya melihat dunia kecilnya, membuatkan mereka sukar menjadi matang. Tidak berfikir panjang. Punya cita-cita, tetapi tidak punya rancangan. Punya keinginan ingin menyelesaikan satu-satu perkara, tetapi tidak bijak dalam mencari sumbernya. Malah cara mendekati sumber itu juga, gagal.
Banyak lagi isu yang dibangkitkan oleh Keris Mas di dalam ‘Anak Titiwangsa’, walaupun ia hanya ada 108 muka surat. Ya, ia padat. Tetapi, walaupun begitu, bahasa yang digunakan oleh Keris Mas, adalah bahasa mudah yang mesejnya, mudah difahami.
Pada saya, ‘Anak Titiwangsa’ merupakan sebuah buku sarat ilmu dan motivasi, tetapi masih menghiburkan.
Bacaan ulangan. Bacaan zaman kanak-kanak saya sebenarnya. Cuma zaman itu saya tidak begitu menghayati makna tersirat cerita ini, hanya fokus kepada plot cerita sahaja.
Mengisahkan Sudin yang masih kabur tentang masa depannya dan dalam masa yang sama risau dengan keadaan sahabatnya Karim yang terhanyut dalam gejala sosial. Berlatarbelakangkan zaman bermulanya pembangunan negara Malaysia, Keris Mas mengungkap masalah yang dihadapi oleh pemuda pemudi pada zaman itu yang hanya mahu bekerja senang dan asyik dengan hiburan.
Saya suka dengan lapisan watak yang diketengahkan. Watak yang berusaha dan sangat fokus dan akhirnya berjaya mendapat tempat dalam masyarakat seperti YB Ah Kaw dan Pak Cik Samad, watak yang gagal dalam pelajaran namun mendapat bantuan seperti Sudin dan juga watak Karim yang gagal dalam pelajaran tetapi tidak mendapat bimbingan dan terlibat dalam masalah sosial. Ada juga watak-watak kecil yang masing-masing mewakili peranannya dalam masyarakat setempat.
Saya sebenarnya rindukan novel atau buku cerita seperti ini, dengan bahasa percakapan seharian namun tiada kata-kata kesat yang digunakan. Latar belakang kampung atau bandar dan masyarakat yang bergelut mengejar cita-cita hidup.
#bukubuku #bacaansantaihanis Wokeh buku ni aii kasi hashtag #bukuretrohanis...hahaha😆berkisarkan ttg perjalanan hidup pemuda2 yg sdg meniti alam kedewasaan yg cuba mencari perubahan dlm hidup💫...yg mana dr kampung dtg ke kota dgn harapan nak jadi lebih baik walaupun akhirnya berubah menjadi lebih teruk(aisemannnn😟) semuanya adalah kesan pengaruh kawan & persekitaran yg tak membantu dlm merealisasikan impian asal si pemuda ni tadi...tapi terima kasih sbb masih ada sahabat yang masih menjaga sahabat2nya ini drpd terus hanyut...ditariknya perlahan2 tanpa berputus asa dan akhirnya pemuda2 ini bagai tersedar dari lena bahawa kemajuan yg diimpikan itu bukan sahaja boleh dinikmati di kota seperti yg dikata2kan, tapi dimana2 jua asal sahaja ada usaha bagi menuju ke arah kejayaan ituwwww....hidupppp anak muda! Buatlah apa yg disukai dan kejarlah cita2...selain itu, penting bagi org sekeliling yg lebih tua utk membimbing org yg lebih muda, kerana yang lebih makan garam itu lebih dahulu mengetahui rencah kehidupan yang beraneka rasa, dan daripada pengalaman itulah datangnya pelajaran yg pertama...Haaa gituuwww...selamat mencari dan mendapatkan senaskah ya...😁
Cerita ringkas mengenai 3 sekawan yang mencari salah seorang sahabat mereka yang hilang. Hidup dalam kemiskinan di ladang pertanian tanpa pendidikan tinggi, Sudin dibawa pakciknya ke bandar untuk belajar secara serius dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Sepanjang pencarian temannya, Sudin melihat pelbagai karakter masyarakat sekitarnya dan banyak monolog Sudin sendiri.
Cerita ini memaparkan pendidikan dan network dapat membantu kita dalam kehidupan. Namun pertama, pendidikan harus diutamakan kerana dengan ilmu kita dapat menjalani hidup lebih amanah dan bertanggungjawab
“Hidup lama dan hidup baharu dibatasi oleh Titiwangsa yang gagah perkasa ini. Ia telah memerhatikan anak-anak pergi dengan harapan dan pulang dengan harapan, zaman berganti zaman. Kekecewaan tidak ada lalu di gunung ini. Yang pergi berharap akan berjaya di dunia moden, yang pulang berharap akan berjaya mengulangi hidup lama yang dahulu ditinggalkan.”
Not so strong structure-wise but soooo many wisdom as always from the Sasterawan Negara collection!!!
This book is centered around Sudin who struggling about his future, his days, his missing friend and what he really want. Sudin from rural area and move out to city by following his uncle who worked as reporter at newpapers company. The language easy to understand and enjoyable.
Kisah yang ringkas tentang bagaimana seorang sahabat mencari sahabatnya yang hilang. Walaupun banyak khabar angin yang tidak baik didengarinya dia tetap tidak menghakimi dan tidam berputus asa mencari kembali sahabatnya. Sarat dengan elemen kekeluargaan dan erti kehilangan.