Jump to ratings and reviews
Rate this book
Rate this book
Lima ela dari tempat saya mendakap tanah lembap di pangkal sebatang pohon yang sepemeluk besarnya, kelihatan Dol tertiarap dengan tangan kanannya menekup rusuk kirinya. Tidak jauh daripadanya, kelihatan pula Wak Berahim terlentang. Senapangnya ikut terbaring di sebelahnya. Itulah yang saya lihat - yang dapat saya lihat dalam suasana yang samar-samar antara dinihari menjelang subuh.

Benarlah...peluru memang tidak bermata. Tidak mengenal sama ada kawan mahupun lawan.Dol dan Wak Berahim yang tidak bersalah telah terkorban dalam kejadian itu. Mereka sebenarnya menjadi mangsa kecuaian. Akan tetapi, mengapa mereka yang menjadi mangsa? DAn, apakah sebenarnya yang telah terjadi pada dinihari itu?

Kami Yang Terlibat, sebuah kumpulan cerpen oleh Sasterawan Negara Usman Awang memuatkan sebanyak 20 buah cerpen yang memaparkan pelbagai tema dan persoalan, secara tersirat dan tersuratnya, sejalur dengan gelora perjalanan sejarah tanah air. Elemen dalaman cerpen-cerpen ini merupakan rakaman kreatif persekitaran beliau yang sekaligus memancarkan citra, cita-cita dan minda sepanjang seabad perjalanan sejarah tanah air yang dilewati. Kumpulan cerpen ini merupakan perada warisan yang mengilaukan tamadun bangsa dan sekaligus menjadi mercu tanda klasik arena percerpenan yang terakam dalam bahasa Melayu.

Kandungan:

01) Untuk Jadi Isteri Orang Bangsawan
02) Uda dan Dara
03) Turunnya Sebuah Bendera
04) Surat daripada Seorang Mata-mata
05) Setelah 1948
06) Sebuah Khemah Didirikan
07) Rimbaku, Air Mataku
08) Pertemuan
09) Menonton
10) Peristiwa Bunga Telur
11) Matinya Seorang Perempuan
12) Koperal Tua
13) Koktel
14) Kenangan Jauh
15) Kami Yang Terlibat
16) Ini Saya Punya Kerja
17) Haslina
18) Harga Hidup
19) Budi
20) Betisnya Bunting Padi

181 pages, Paperback

First published January 1, 2006

8 people are currently reading
103 people want to read

About the author

Usman Awang

40 books103 followers
Dato' Usman Awang (12 Julai 1929 - 29 November 2001) adalah seorang Sasterawan Negara Malaysia yang dikurniakan gelaran tersebut pada tahun 1983. Terkenal dengan nama penanya Tongkat Warrant, beliau adalah seorang penyair dan ahli drama yang prolifik ketika hayatnya. Usman Awang juga dikenali dengan nama Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., Zaini dan mungkin lain-lain. Dalam tahun 1991, beliau telah di anugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Sultan Perak Darul Ridzuan yang membawa gelaran Dato’.

Pada tanggal 29 November 2001, pada bulan Ramadhan, beliau meninggal dunia setelah lama menghidap penyakit jantung. Beliau ketika itu berusia 72 tahun.


Usman lahir di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, pada 12 Julai 1929. Beliau diberi nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar namanya ke Usman Awang. Ibunya bernama Halimah, telah meninggal dunia sewaktu beliau kecil lagi. Ayahnya seorang nelayan yang mencari& menjual rotan pada waktu musim tengkujuh.Usman melalui alam kemiskinan semasa alam kanak-kanaknya yang menyebabkan beliau hanya mampu belajar setakat darjah enam sahaja.

Pendidikan yang diterima oleh Usman Awang hanyalah setakat Darjah 6 Sekolah Melayu sahaja. Kemiskinan tidak membenarkannya mengecap kejayaan dengan lebih jauh dalam bidang pendidikan walaupun dia sangat gemar membaca dari kecil lagi. Bersekolah di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) hingga lulus Darjah 6.

Ketika Jepun menjajah Malaya bermula pada tahun 1942, Usman Awang adalah seorang anak tani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama 6 bulan di Singapura. Beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Taliair Segamat. Kemudian beliau memasuki Botai iaitu pasukan polis Jepun, tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah.

Usman Awang menjadi anggota polis bila Inggeris kembali memerintah semula pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun 1951, beliau berhenti dan berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan, kemudian menjadi pemberita. Sesudah itu bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang.

Pada tahun 1952, Usman Awang mendapat tawaran bekerja di Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Beliau diangkat menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu. Pada tahun Malaya mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur. Usman Awang turut serta berhijrah dengan memegang jawatan yang sama. Dalam tahun 1961, beliau terlibat dalam peristiwa pemogokan Utusan Melayu. Akibatnya beliau berhenti dan menganggur seketika.

Pada tahun 1962,Usman Awang bekerja di Penerbitan Federal selama lapan bulan. Kemudian beliau berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan pertamanya adalah sebagai sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Kemudian beliau menjadi pengarang untuk majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Jawatan yang disandang beliau ketika itu ialah Pegawai Penyelidik Kanan. Usman kemudian di tukarkan ke Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982 beliau menjadi ketua bahagian ini sehingga bersara pada bulan Julai 1985.

Selepas bersara dari Dewan Bahasa Dan Pustaka, Usman Awang bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat. Antaranya ialah Persatuan Persahabatan Malaysia-Cina. Sementara itu dalam tahun 1991, beliau di lantik sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan. Perlantikan ini di sifatkan oleh beliau sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam proses pembentukan satu bangsa Malaysia. Jawatan ini di pegang hingga tahun 2001. Selain itu beliau dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank mulai 1991 hingga 2001.

(sumber: wikipedia)

Ratings & Reviews

What do you think?
Rate this book

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
29 (41%)
4 stars
29 (41%)
3 stars
6 (8%)
2 stars
3 (4%)
1 star
3 (4%)
Displaying 1 - 14 of 14 reviews
Profile Image for ainisreading.
86 reviews11 followers
January 10, 2024
Apa yang menarik bagi saya apabila membaca hasil karya Usman Awang adalah kata-kata yang digunakan dalam coretannya, sungguh cantik pada pandangan saya.
Untuk koleksi cerpen ini juga tidak terlepas dari kata-kata yang indah itu di samping diselitkan juga nasihat dan pedoman buat pembaca bagi setiap alkisah dalam buku ini.
Profile Image for hans.
1,164 reviews152 followers
January 6, 2020
Suka idea setiap cerpen-- kisah masyarakat (umumnya) sekitar 50an dan 60an. Fokusnya terhadap watak utama yang gemar bercerita tentang watak-watak sampingan. Kelok kata dan bahasanya bagus, beritma dan cara berceritanya sangat menarik--terasa sedang duduk santai minum kopi dan ada seseorang sedang berkisah hal masa lalu beliau kepada saya. Isi ceritanya dikembang kemas, naratifnya mudah dihadam dan beberapanya seakan boleh dihubung dengan hal harian sendiri. Ada cerita fetisy betis yang saya suka, that witty part of Usman Awang yang sedikit lucu. Ada satu cerpen berjudul 'Menonton' yang saya suka juga-- kisah random tentang orang-orang yang beratur mahu menonton satu acara di panggung. Cerpen 'Peristiwa Bunga Telur' agak melankolik (banyak juga cerpen lain yang melankolik tapi paling suka yang ini)-- suka sekali dengan deskripsi emosi karakter utama yang penulis cuba sampaikan. Ada beberapa sisipan hal sejarah sekitar darurat dan perang, tentang pegawai-pegawai dan isi kerja (ada satu cerpen tentang pegawai kebajikan yang agak menarik juga lucu sebab isi ceritanya relevan sungguh dengan masa sekarang), selainnya lebih menumpu ke arah perjuangan, hal rakyat yang 'terancam', budaya dan hal keluarga. Klasik!
Profile Image for Sue Oshin.
Author 10 books56 followers
June 4, 2021

Buku ini adalah buku perjuangan.
Buku ini adalah buku pengorbanan.
Buku ini adalah buku tangisan.
Buku ini adalah buku kemasyarakat.
Akhir sekali, buku ini adalah sebuah cerpen yang mengumpulkan kesemua nilai-nilai kemausiaan tadi di dalamnya.

Di dalam kehidupan ini, banyak perkara yang menjadi titik tolak sebuah perjuangan dan pengorbanan. Jika ingin berjuang untuk sesuatu matlamat, haruslah pula kita berkorban untuk sebuah perjuangan itu. Jika ingin berkorban perlu jugalah seiring dengan sebuah perjuangan. Inilah kesimpulan yang boleh saya rumuskan daripada keseluruhan cerpen yg ada di dalam buku ini.

Yang meninggalkan kesan dalam jiwa saya adalah sebuah cerpen Uda dan Dara di mana kedua-dua remaja ini terpaksa berkorban kasih atas ketidaksamaan taraf dan darjat. Jika kalian pernah membaca karya Hamka di bawah tajuk Di Bawah Lindungan Kaabah, begitu jugalah dengan karya ini tetapi latar masyarakat dan masa yang membezakan. Si Uda dan Dara saling menyayangi tapi saya ibu si Dara tidak merestui mereka kerana si Uda seorang yg miskin lagi hina. Maka, si Uda berhijrah ke kota untuk menyahut cabaran mengumpul bekalan untuk meminang si Dara dan sekembalinya dia di kampung, si Dara pula telah ditunangkan dengan hartawan lain. Akhirnya, si Uda mati kerana tahap kesihatan makin merosot manakala si Dara pula mula mengekori si Uda. Gaya bahasa di dalam kisah ini seperti gaya bahasa istana dan melayu lama.

Kisah kedua yang saya minati adalah sebuah pengorbanan para pejuang untuk menjemput kemerdekaan tanah air. Saya dapat bayangkan bagaimana rakyat ketika itu bersungguh-sungguh menyambut kemerdakaan tanah air dengan pekikan yang gemuruh seperti halilintar dan bersulamkan air mata kegembiraan. Berbeza sungguh dengan kita yakni hanya datang untuk berpesta sosial dan melepak.

Jadi, buat rakan-rakan yang gemarkan cerpen bertema patriotik, inilah bukunya yang akan saya cadangkan untuk dibaca.
Profile Image for ⠀.
119 reviews35 followers
September 7, 2020
Sejujurnya, kebanyakan cerpen dalam buku ini aku rasa agak membosankan dan selepas selesai membaca begitu mudah dilupakan. Entahlah. Mungkin sebab telah berturut-turut baca karya-karya sasterawan negara yang diterbitkan semula untuk Edisi Malaysia Membaca yang beberapa darinya lebih baik sebelum ini ataupun mungkin kebanyakan cerpen-cerpen yang dikumpul dalam buku ini tidak cukup menarik ceritanya bagi aku. Bagaimanapun, tidak dinafikan jugalah gaya penulisan penulis sedap dibaca. Rasa lancar cerita bila membaca ayat-ayat yang ditulis. Cerita-ceritanya meskipun ada yang menyentuh subjek serius tidak disampaikan dengan berat, jadi terasa mudah untuk dihadam.

Apapun, antara cerpen yang aku rasa lebih baik dan menonjol daripada cerpen-cerpen lain dalam buku ini:

• Uda dan Dara
• Rimbaku, Air Mataku
• Ini Saya Punya Kerja
• Haslina
Profile Image for Miyuke.
198 reviews2 followers
December 2, 2024
20 cerpen yang semuanya bagus termuat di dalam naskah ini. Cerpen yang memperlihatkan kehidupan masyarakat sebelum, semasa dan selepas kemerdekaan tulisan Usman Awang.

Sepanjang pembacaan, latar tempat yang digambarkan dalam setiap cerpen dapat dihayati dengan baik memandangkan olahan penceritaan yang baik, jelas dan kemas oleh penulis.

Mahukan cerpen yang berplot tidak terjangka? - Cerpen Pertemuan dan Betisnya Bunting Padi boleh menjadi pilihan.

Berminat dengan cerpen bersifat cinta yang tidak kesampaian - boleh meneliti cerpen Untuk Jadi Isteri Orang Bangsawan atau Uda dan Dara.

Selainnya cerpen-cerpen bersifat patriotik dan cintakan tanah air juga boleh merangsang adrenalin pembaca.

NOTA :

Naskah ini juga merupakan naskah terpakai yang diperolehi hasil ‘selaman’ di halaman Facebook.
Profile Image for Yazlina Saduri.
1,552 reviews41 followers
February 11, 2022
Cerpen cerpen terpilih yang kebanyakannya berkisar kisah-kisah era 1950an. Dimulakan dengan luahan kecewa seorang pemuda kepada Salbiah bekas kekasihnya yang berpaling dari cinta yang telah terbaja sejak zaman anak-anak kerana telah menerima pinangan lelaki lain yang lebih tinggi martabatnya. "Kini kau telah dilamar orang-orang bangsawan - yang menurut kata teman-temanku, penuntut seperti Kau ini dididik untuk jadi isteri orang-orang bangsawan, orang yang berhidung tinggi. Aku yang tidak 'berbangsa' dan tidak 'berhidung tinggi' tidak usahlah bercita-cita menghampiri orang yang seperti kau".

Yang paling saya ingat dari beberapa cerpen, kesulitan hidup dan kesusahan dek pendapatan kais pagi makan pagi kais petang makan petang ramai pada orang Melayu. Pemuda Melayu juga ramai kurang berpendidikan. Mata-mata dan anggota tentera yang kebanyakannya dari kalangan orang Melayu, gajinya sekitar seratus lebih sebulan.

Apa ini?

Cerita terakhir, satu-satunya yang lucu - Betisnya Bunting Padi. Mujur.
Profile Image for Nur Elvina.
70 reviews20 followers
April 15, 2021
Kami yang Terlibat merakamkan sisi jelek dan kepincangan masyarakat merangkumi tema penindasan, kekeluargaan, antara dua darjat dan alam sekitar. 20 cerpen Usman Awang yang pernah diterbitkan di pelbagai media cetak dan disusun semula ini membuka mata pembaca bahawa masalah penindasan antara kelas ekonomi, pembalakan haram, salah guna kuasa dan sikap pilih bulu ibarat kaset yang diulang-ulang sejak sebelum merdeka lagi disebabkan sikap pentingkan diri sendiri dan nafsu tamak haloba yang gagal dijinakan di setiap lapis masyarakat.
Profile Image for Ema.
1,120 reviews
July 29, 2018
Aku pernah baca buku ni dulu. Bila bertambah usia, persepsi kita pun lain. Selayaknya dipanggil Sasterawan Negara.
Profile Image for Hadi Muss.
148 reviews20 followers
August 4, 2021
Ada kepuasan yang istimewa apabila membaca karya seorang sasterawan, tak dapat kita dapati pada tulisan-tulisan kini yang selalunya simplistik dan pop. Sebenarnya buku ini adalah hadiah dari kawan ayah kepada aku pada tahun 2006 bersama-sama dua lagi buah buku edisi khas sasterawan negara, tapi aku simpan sampailah tahun 2021 baru tergerak atma nak baca. Sebabnya terlintas Ogos sebagai bulan kebangsaan dan bacaan kali ini tersangatlah mengena dengan tema, kan?

Kumpulan cerpen pilihan sebanyak dua puluh karya ini menyentuh latar masyarakat Melayu dan Malaya amnya disamping cerita-cerita berbentuk teguran, kritikan dan pada aku juga lucu apabila dibaca terutamanya cerpen Menonton dan Betisnya Bunting Padi. Antara lain yang membekas pada aku adalah tajuk buku sendiri, Matinya Seorang Perempuan dan Haslina, ketiga-tiganya punya nilai yang membawa pembaca untuk bermain dengan perasaan dalam memahami karakter-karakter yang membina rangka cerita; meskipun hanyalah sebuah cerpen.
Profile Image for Nuruddin Azri.
385 reviews172 followers
September 8, 2020
Cerpen yang belum pernah diterbitkan dalam buku lain adalah cerpen Untuk Jadi Isteri Bangsawan, Sebuah Khemah Didirikan, Rimbamu, Air Mataku, Matinya Seorang Perempuan, Ini Saya Punya Kerja, Haslina dan Harga Hidup.

Sebahagian cerpen yang selebihnya pernah diterbitkan dalam buku Uda dan Dara, Turunnya Sebuah Bendera dan Yang Nakal-Nakal.

Tusukan mesej yang dipahat oleh Usman Awang sentiasa akrab dengan denyut nadi masyarakat baik dari sudut melankolik, spiritualisme vis-a-vis materialisme dan patriotisme.
Profile Image for Syadzuwan.
60 reviews
September 13, 2021
Malar segar - kesedaran vaksin, scam derma dan isu seputar kemasyarakatan yang berlaku pada 2021, dah dihurai lebih awal lagi oleh SN Usman Awang seawal 1950an-1960an
Profile Image for Natasha.
363 reviews186 followers
September 10, 2022
Tujuan asal mendapatkan buku ini adalah untuk dihadiahkan pada anak tapi terdapat beberapa unsur-unsur seperti minum 'selamat', berjoget di kelab tari dan perhubungan bebas yang saya kira kurang sesuai untuk bacaan kanak-kanak. Yang pasti lenggok bahasa karya sasterawan negara ini sangat puitis dan romantis. Di sebalik monolog kisah-kisah cinta tak kesampaian serta perjuangan di era kemerdekaan, terdapat juga karya yang menyentuh mengenai alam sekitar. Mengambil kira kebanyakan cerita-cerita pendek ini ditulis berlatar belakangkan Malaysia pada beberapa dekad yang lalu, generasi muda sebenarnya dapat merasai bagaimana keadaan kehidupan zaman lampau.

Displaying 1 - 14 of 14 reviews

Can't find what you're looking for?

Get help and learn more about the design.