Menarik melihat liku-liku hidup tokoh kelahiran Pulau Pinang ini terutamanya pendirian beliau dalam politik ketika bergelumang dalam gerakan PAS. Shahnon seorang yang berprinsip dan mencari-cari ma'na, nilai, faham dan praktikaliti Islam itu sendiri apabila memilih untuk terlibat dalam PAS selepas gerakan al-Arqam yang – baginya – merupakan platform ideal menyuburkan faham Islam di dunia dari segenap aspek baik ekonomi (boleh lihat restoran Nur Malaysia yang merata-rata di seluruh dunia), pendidikan, politik dan sebagainya diharamkan oleh pihak kerajaan kerana ajaran tariqat yang menyeleweng.
Prinsip Shahnon iaitu aqidah di atas politik (bukan sebaliknya), perlunya kepimpinan Islam tulen yang "polymath", peri pentingnya kembali kepada rujukan-rujukan ilmiah Islam dan tidak gemarkan politik kepartian akhirnya membuatkan Shahnon mencari semula erti hidupnya yang baru iaitu dalam dunia kesusasteraan dan penulisan kerana ianya jauh daripada sepak terajang kemaruk kuasa yang kian merajai ranah siasah. Fasa ini berlaku selepas beliau diserang "neuromuscular autoimmune disease" – "myasthenia gravis" yang membuatkan otot-otot kerongkongnya lumpuh dan menyukarkannya untuk makan dan minum.
Shahnon mungkin seorang muslim yang jujur dan penulis yang berani tetapi alangkah indahnya sekiranya Shahnon mengkaji dan menggali dengan lebih teliti lagi terhadap tradisi intelektual Islam itu sendiri yang melimpah ruah dan tidak terhad pada satu-satu sumber rujukan sahaja.
Menjelang bab terakhir, pembaca pasti akan dirundung kebosanan kerana refleksi penulis yang berulang dan berjela terhadap alam lebih-lebih lagi jika pembaca pernah menelaah karya-karyanya yang lain seperti Detik-Detik Diri di Daerah Naif dan Ranjau Sepanjang Jalan kerana penulis akan melantunkan latar dan refleksi yang mirip-mirip sahaja.
Penerbit buku ini iaitu Yusran Publishing House juga kelihatannya tidak menyunting ejaan buku ini dengan baik. Mujur Shahnon menitipkan semua judul karyanya pada penghujung buku dan respons dunia terhadap karyanya yang kontroversial. Setidak-tidaknya pembaca dapat menangkap tema-tema utama yang diangkat oleh Shahnon seperti kesan modenisasi terhadap alam, gejala sosial, korupsi kuasawan dan bagaimana latar masyarakat kampung mampu mengayakan pengalaman dan mematangkan pemikiran.