Aku rasa, ini sebuah buku yang begitu menyentuh hati. Hingga ke halaman terakhir, watak Naim terus kekal sebagai seorang anak sampah yang bergemerlapan sinarnya. Bayi yang dibuang dan ditinggalkan di atas longgokan sampah itu, terus memberi kesan yang tidak mungkin seorang pembaca akan lupakan.
Kisah ini bermula ketika suatu pagi yang hening. Aki yang tidak boleh melelapkan mata, bangun untuk melihat keluar. Ada bunyi yang menggangu telinga tuanya. Pagi itu, bermulalah kisah seorang anak sampah yang diberi nama Naim.
Aki dan Wan, pasangan tua yang sudah lama inginkan cahaya mata dan doa mereka dimakbulkan dengan kehadiran si kecil Naim. Aki dan Wan menjaga dan mendidik Naim dengan penuh kasih sayang, walaupun serba kekurangan. Betul kata-kata, anak itu pembawa rezeki.
Susah macam mana pun, rezeki anak tetap ada. Kadang, datang tanpa diduga. Naim, anak kecil yang mengerti kesusahan, tidak dia pernah meminta-minta, seperti yang sentiasa diajar oleh Aki dan Wan.
Fasa pertama cerita ini adalah asas kepada membentuk sikap dan jati diri Naim. Bila asas sudah kukuh, campaklah ke mana, insya Allah dia akan mampu terus berpegang pada asas yang kukuh itu. Begitulah Naim, didikan Aki dan Wan sentiasa menjadi ingatan dan ikutannya.
Perjalanan hidup Naim tidaklah semudah yang disangka. Satu demi satu, dia lalui dengan penuh ketabahan. Anak yang tidak ada ibu dan ayah, tapi sentiasa berpegang teguh dengan pertolongan Allah S.W.T. Sebagai hambanya, kita sentiasa percaya, Allah tidak pernah meninggalkan hambanya tanpa sebarang bantuan dan pertolongan, kerana perancangan Allah itu sentiasa tepat.
Jika ketika kecil, kawan karibnya Taufiq. Di alam remaja, Naim bertemu dengan Farhan, Ikram dan Hakimi. Awalnya memang geram dengan mereka bertiga ni, tapi Naim tidak mudah mengalah. Dia akhirnya menemui cara untuk melembutkan apa yang keras. Dan kita akan melihat, bagaimana persahabatan mereka menjadi erat.
Akhirnya, aku cuma nak beritahu, sediakan mental dan emosi anda sebelum mula membaca novel ini. Aku kagum dengan budi pekerti Naim, sebak dengan apa yang dilalui serta bangga dengan setiap tindakan yang diambil. Alhamdulillah, Naim bakal menemui bahagia dalam kehidupannya.