Dengan membaca kita berbicara dengan generasi lalu, dengan menulis kita berbicara dengan generasi akan datang. Untuk sesuatu ilmu, idea, atau pengetahuan itu diketengahkan kepada masyarakat ia memerlukan dua komponen, yang pertama, penulis perlu membaca tulisan-tulisan sebelumnya agar dia boleh membentuk satu idea. Kedua, dia mestilah menulis supaya ideanya tadi sampai kepada masyarakat. Jadi, inilah dua sayap kepada ilmu, membaca dan menulis. Buku ini merupakan kumpulan esei berkenaan dengan dua sayap ini. Sayap pertama adalah membaca, yang merupakan metodologi zaman berzaman untuk menimba ilmu. Kedua, untuk ilmu itu mengalir dalam sungai zaman, ia memerlukan sayap kedua, iaitu penulisan. Di akhir esei-esei berkenaan dengan dua sayap besar ini dikongsikan beberapa bacaan pilihan yang dikira relevan dan bermanfaat untuk dikongsikan. Buku ini lahir dari pengalaman-pengalaman peribadi, melalui pembacaan, juga melalui satu proses yang dipanggil “kehidupan”. Ia ditulis untuk menyuntik semangat membaca dikalangan rakyat Malaysia juga bagi memberi motivasi dan semangat kepada penulis baharu, penulis yang masih belum yakin untuk menerbitkan karya mereka, agar mereka segera turun ke medan dengan mata pena mereka untuk menintakan ilmu kepada bangsa.
Syed Ahmad Fathi is an author and editor based in Malaysia. His writing regularly appeared on local online portals and in prints. He authored several non-fiction books and has edited numerous anthologies. He runs the blog Meniti Jambatan Masa.
Saya mula mengenali penulis adalah pada tahun 2008, iaitu ketika kami sama-sama mengikuti program persediaan untuk ke Rusia. Setahun kemudian kami melanjutkan pelajaran ke Saint Petersburg dan menghabiskan masa selama 4 tahun disana. Di sepanjang waktu itu, saya tidak begitu mengenali beliau dan begitu juga beliau tidak begitu mengenali saya. Mungkin personaliti kami yang begitu berbeza (Penulis adalah ketua pelajar kami dan pengerusi usrah yang outgoing, manakala saya pula seorang introvert-metalhead yang penuh amarah dan tidak peduli dengan dunia sekeliling pada waktu itu). Disebalik kontra itu, ada satu persamaan antara kami yang tidak kami sedar sehinggalah berjumpa kembali di alam pekerjaan; kami masing-masing suka membaca.
Jika diingat kembali, titik dimana kami betul-betul bersemuka dan berbual adalah mungkin di suatu petang ketika saya pulang ke rumah dari kuliah. Masuk sahaja ke bilik, penulis sudah berada di dalamnya dan dia sedang membelek-belek buku yang saya letakkan di tepi tingkap. Ketika itu banyak buku berkenaan perang; perang yang melibatkan Rusia ketika dibawah pemerintahan Joseph Stalin khususnya kerana subjek ini menjadi subjek ‘interest’ saya pada ketika itu. Selepas saya bertanyakan tujuan kenapa beliau berada di bilik saya itu, jawabnya ringkas sahaja, hendak belajar bermain gitar. Sungguh aneh dan saya mulanya ingatkan beliau sekadar melawak namun penulis ada datang ke bilik saya lagi selepas itu sebanyak dua kali untuk belajar kord gitar sebelum lenyap tanpa khabar.
Sehingga kini, sudah hampir 15 tahun saya mengenali penulis namun banyak perkara yang mungkin saya tidak tahu sehinggalah saya membaca naskah yang bertajuk Dua Sayap Ilmu ini.
Membaca dan menulis bukanlah perkara asing bagi beliau kerana sebelum ini beliau telah berjaya menerbitkan beberapa buah buku yang membuatkan pembaca untuk berfikir secara kritis terhadap falsafah dan ideologi yang diketengahkan hasil dari menyelidik dan memerhati keadaaan sekeliling yang berlaku terutamanya di negara ini. Berbeza dengan reviu yang lepas, saya tidak akan mengulas dengan terperinci tentang apa yang beliau tulis di dalam buku ini kerana saya lihat sudah banyak yang telah menulis reviu untuk buku ini dengan sangat panjang lebar. Oleh itu saya akan mengulas isi penting buku ini dari kaca mata peribadi saya.
Buku ini merangkumi dua bahagian iaitu membaca dan menulis, dua perkara yang kalau digabungkan boleh diumpamakan sepasang sayap yang memikul dan menggerakkan ilmu dikalangan manusia sejagat. Pada bahagian yang pertama, penulis telah menyentuh tentang pentingnya membaca. Kemahiran membaca ini saya kira sudah menjadi kemahiran wajib untuk kebolehmandirian seorang manusia yang hidup di zaman ini. Pentingnya membaca ini sehinggakan ia perkara pertama yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Kenapa bukan solat atau berpuasa atau zakat? Bukankah itu perkara yang menjadi rukun Islam? Bak kata penulis, lafaz “iqra” ini mengiktiraf dan menjamin kedudukan ilmu dalam agama Islam. Tanpa kemahiran ini, proses penyampaian ilmu akan terencat dan boleh terpesong dari landasannya.
Memetik perihal kemahiran membaca dari buku Misquoting Jesus tulisan Bart D. Ehrman, beliau berkata antara sebab utama mengapa ahli akademik dan agamawan tidak dapat memelihara kandungan asal Kitab Perjanjian Baru, contohnya kandungan asal dari surat-surat yang diutuskan oleh Paul the Apostle pada abad pertama dahulu adalah kerana pengikut-pengikut agama mereka pada waktu itu kebanyakannya tidak boleh membaca dan proses penyampaian mesej atau ilmu kepada menjadi sukar, lari dari makna asalnya dan tidak bertahan lama.
Bagi saya, di zaman ini persoalan kemahiran membaca ini sudah tidak lagi relevan kerana hampir semua dari generasi ini sudah boleh membaca. Persoalan yang patut diambil kira adalah kemahiran memilih sumber bacaan yang baik. Sumber bacaan yang baik boleh dianggap seperti yang dikatakan oleh penulis; yang boleh menjentik pemikiran kita, yang membuatkan kita berhenti sejenak untuk berfikir. Pada saya, sumber bacaan yang bagus bukan berkitar tentang buku yang membawa identiti akademik sahaja. Ia boleh jadi novel ataupun manga selagi mana kandungannya tidak melawan hukum moral yang baik dan bermanfaat.
Pada bahagian kedua pula, penulis menyentuh tentang pentingnya menulis. Jika tiada orang yang mahu menulis, bagaimana orang hendak membaca? Jadi kedua-dua sayap ilmu ini perlu seimbang dalam kitaran memperkembangkan ilmu. Saya bersetuju dengan saranan penulis yang memupuk pembacanya untuk cuba menulis walaupun ia hanya sekadar aktiviti hariannya yang mungkin tidak ada kena mengena dengan kehidupan orang lain. Saya mengambil contoh Geoffrey of Monmouth, seorang pendeta dari Wales yang hidup di penghujung abad ke-11. Beliau suatu hari tanpa sengaja menemukan segulung skrol yang ditulis dalam bahasa latin di ruang kerjanya. Skrol itu lalu diterjemah oleh beliau dalam bahasa Inggeris kuno lalu terhasilnya buku yang bertajuk Sejarah Raja-Raja Britain yang kekal dibaca, dirujuk, dan dikaji keabsahannya sehingga hari ini. Segulung skrol yang dilupakan oleh orang ramai, menunggu mati dimamah usia itu diberikan nafas baru oleh Geoffrey atas usahanya menerjemah dan menulis semula kandungannya tanpa ada yang memaksanya untuk melakukan sedemikian, akhirnya membuatkan kita hari ini tahu tentang legenda seorang raja yang popular di Britain - Raja Arthur.
Perkara yang sama juga boleh dilihat pada Raden Adjeng Kartini, figura penting dalam masyarakat Indonesia yang memperjuangkan emansipasi wanita. Oleh kerana Kartini tidak mendapatkan peluang akademik yang selayaknya kerana keterbatasan budaya masyarakat Jawa pada waktu itu, kita hari ini tidak dapat melihat karya tulisannya di kedai-kedai buku berbeza dengan buku yang saya sedang reviu ini yang boleh didapatkan secara mudah di kedai buku The Bibliophile (bagi promo la sikit). Hanya surat-suratnya yang dikirim ke teman-teman berbangsa Belanda itu dikumpulkan, diterjemah bahasanya dan dibukukan lalu terwujudlah sebuah naskah yang diberi nama Habis Gelap Terbitlah Terang yang pada pendapat saya sangat luar biasa dan membuka minda walaupun ditulis lebih 100 tahun yang lampau. Benar kata Syed Ahmad Fathi, dengan buku kita boleh berbicara dengan orang dari masa lampau.
Ya, saya kira tidak terlalu keterlaluan jika dikatakan menulis dan membaca dapat menghubungkan kita dengan orang yang wujud dari zaman silam sebagai buku menjadi medium perantaranya. Tanpa menulis bukan sahaja individu malah sebuah ketamadunan yang besar juga akan hilang dimata dunia. Pernah dengar tentang sebuah kota purba di Mexico yang bernama Teotihuacán? Kota ini begitu kompleks dan teratur dan para saintis sering mengatakan bahawa teknologi perancangan kota ini melangkaui usianya lebih dari satu alaf. Namun hingga kini bangsa hebat yang mula-mula membina kota purba ini masih kekal misteri dan tidak diketahui kerana tiada langsung bentuk penulisan yang dijumpai oleh para saintis untuk dikaji dan dikenal pasti.
Tidak dinafikan buku Dua Sayap Ilmu ini mungkin isinya ada yang berulang-ulang kerana menurut penulis, beliau menulis sebagai peringatan untuk dirinya sendiri seperti mana yang pernah dibuat oleh Maharaja Rom Marcus Aurelius pada suatu ketika dahulu. Saya juga difahamkan yang buku ini juga buku pertama beliau yang menggunakan teknologi AI dalam menghasilkan reka bentuk kulitnya. Akhir kalam, bak kata orang Amerika “put the friendship aside”, sebagai pembaca biasa, saya merasakan buku ini sangat sesuai untuk mereka yang mempunyai minat yang sama iaitu membaca dan menulis. Saya juga sangat mengesyorkan buat mereka yang masih tercari-cari rekomendasi bahan pembacaan yang berkualiti kerana penulis juga meletakkan beberapa buku menarik di bahagian terakhir buku ini.
Tahniah atas bukunya Syed Ahmad Fathi. Semoga anda terus menulis dan menulis.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Buku ini dimulakan dengan pandangan penulis terhadap buku fiksi (fiksyen) yang mengubah landskap pandangannya oleh tulisan Khaled Hosseini. Bagaimana Khalid Hosseini berjaya mengubah sisi pandangan beliau terhadap karya-karya fiksyen sehingga beliau terusan mengumpul karya-karya lain Khalid.
Tajuk buku ini bertunjangkan jalan Surah Al-Alaq yang menghamparkan dua petala penting ilmu, yakni Membaca dan Menulis. Pada permulaan bahagian, penulis membuka langkah dengan menghamparkan falsafah membaca dan intisari membaca. Pemerhatian penulis terhadap ramai pembaca yang meromantiskan sejarah tanpa mengambil kira pengajaran dan sisi kelemahan yang wajar masyarakat tekuni untuk diulang semula kesilapan tersebut.
Sementelahan itu, membaca ini merupakan satu proses pengamatan yang panjang. Membaca membuatkan kita sentiasa berfikir. Malah, ada cakap-cakap yang menyatakan bahawa membaca dapat mengelak manusia daripada terkena Alzheimer. Proses membaca perlu disusuli dengan proses mencatat serta mencerna segala maklumat melalui idea pemikiran tersendiri.
Aku bersetuju dengan penulis bahawa untuk membaca dan mendalami sesuatu isu mahupun ideologi, perlu dibaca terlebih dahulu sumber sekunder ataupun kritikan terhadap perkara itu. Barulah sumber primer atau buku yang mendapat kritikan itu menjadi seimbang dalam menekuni makna penyampaiannya. Teringat akan nukilan Ustaz Hasrizal di dalam 3 buku siri Yang Hilang, beliau banyak menekankan betapa peri pentingnya untuk kita mendalami perkara dan ilmu baharu.
Sebagai contoh, Dr. Maza di dalam buku Aku Ingin Kembara Lagi juga membaca karya atheis terkenal, The God Delusion. Hal ini penting, bagi menajamkan pemikiran, membudayakan amalan kritis dalam pembacaan serta berani untuk menilai daripada pelbagai aspek terutamanya daripada sudut agama.
Sayap kedua yang penulis nyatakan adalah menulis. Menulis ini boleh ditonjolkan di pelbagai medium, sama ada berbentuk sebuah buku, makalah mahupun menulis di blog. Menulis bagi menyampaikan sisi pandangan kita terhadap sesuatu perkara tidak kira ia berbentuk eceran, esei, novel mahupun puisi. Ia tetap berputar pada paksi idelogi yang memacu terciptanya penulisan tersebut.
Akhir bab pada Dua Sayap Ilmu, penulis mengemukakan bahan bacaan yang menggugah dan mengubah landskap pemikiran beliau sekaligus menjadi mercu dalam mentarbiah diri beliau. Banyak buku yang dinyatakan merupakan tulisan dan karya tersohor dari Prof. Kamil, Muhammad Abduh dan beberapa karya yang jarang/ tidak pernah didendangkan akan kehadirannya.
Akhir sekali, buku ini banyak menceritakan asas-asas terhadap ilmu yang terkait dengan amalan membaca sekaligus memberi satu konotasi kepada kata kunci buku itu sendiri. Penulis melampiaskan segala pengalaman, pembacaan, onak duri beliau dalam dunia penerbitan sama ada menerbitkan buku di bawah rumah penerbitan mahupun swaterbit. Ia juga menjadi satu iltizam bagi seorang penulis yang memerlukan candu semangat untuk terus menulis.
Namun, tidak dapat dinafikan beberapa pengulangan ayat terutamanya penulis mengisahkan tentang cerita beliau bermula dalam menulis blog hampir diulang lebih kurang pada 3 bab kecil. Ia agak menganggu tempo pembacaan kerana aku berasa seolah-olah mengulangi bab kecil itu berulang kali. Tapi, penulis sudah menyatakan tujuan beliau menulis berulang ini kerana buku ini ditulis kepada beliau sendiri dalam mengikut jejak langkah Marcus Aurelius.
Terima kasih kepada Syed Ahmad Fathi kerana membangkitkan keghairahan untuk mengaktifkan blog yang usang ditelan tahun untuk mengemaskini segala tulisan-tulisan secara amnya ulasan-ulasan buku.
Buku ini saya kira sangat baik dan sarat dengan idea baharu yang mencorak pemikiran saya sebagai pembaca. Setiap helaian membuka perspektif baharu terhadap cara pandang mengenai pembacaan dan penulisan, yang menjadi tema dalam buku ini sebagai dua sayap ilmu yang tak dapat dipisahkan.
Bagi saya secara peribadi, terdapat tiga poin menarik yang dapat saya ambil daripada buku ini. Yang pertama, penulis mengajak pembaca untuk melihat dan mengkaji sejarah Islam dari sudut yang tidak romantis, iaitu dari sisi yang kebanyakan orang tidak mahu atau tidak senang untuk membacanya, antaranya termasuklah era kejatuhan, kekalahan, pembunuhan khalifah dan perang saudara sepanjang zaman pemerintahan Islam.
Yang kedua, penulis ada mengutarakan pandangan beliau terhadap segelintir masyarakat yang takut untuk membaca karya-karya dari sarjana Barat, dengan alasan kerana bimbang akan terpengaruh dengan ideologi dan fahaman mereka. Di sini, penulis ingin menjustifikasi bahawa perasaan tersebut tidak sepatutnya ada jika kita benar-benar yakin akan fahaman Islam yang kita anuti ini adalah sememangnya benar. Malah dengan membaca karya dari Barat, kita dapat memahami dengan lebih jelas konteks kehidupan di sana yang akhirnya mencorak pemikiran mereka.
Yang ketiga, penulis juga berulang kali menekankan bahawa dengan membaca, kita seolah-olah sedang berdialog dengan manusia di zaman silam, hidup bersama mereka, menyelami kehidupan mereka dan berbicara serta berinteraksi dengan mereka. Hal ini bagi saya satu perkara yang sangat mengujakan, kerana ianya berjaya mengubah cara saya memandang sesuatu bacaan. Jika sebelum ini saya membaca hanya sekadar membaca, sekarang saya mula membaca seakan-akan sedang bersembang dengan individu dari serata dunia. Ada yang masih hidup dan ada yang telah meninggal selama puluhan malah ratusan atau ribuan tahun yang lalu, semuanya dapat dihubungkan dengan satu objek bernama 'buku'.
Saya kira cukuplah sekadar ini sahaja perkongsian saya, saya yang menulis ni pun dah tak larat nak baca, entah siapa yang nak baca pun saya tidak tahu. Terima kasih kepada penulis, Syed Ahmad Fathi atas karya yang bermanfaat ini :)
Dua sayap ilmu merupakan esei perihal membaca dan menulis.
Berbezanya buku ini dgn koleksi buku perihal buku dan membaca yg aku miliki ialah apabila penulis mengetengahkan kepentingan menulis.
Menurut penulis, semua orang boleh jadi penulis. Kita boleh tulis ulasan buku, pengalaman hidup atau apa sahaja yang boleh difikirkan/diimaginasikan.
Tidak kiralah idea kita bernas atau tidak, signifikan mungkin tidak, atau merasakan tiada apa yg istimewanya tentang pengalaman hidup yg perlu ditulis, yg penting ia perlu ditulis.
Mungkin kita akan rasa “ada ke orang nak baca?”. Maka menurut penulis, tak usahlah memikirkan perkara tersebut dan serahkan sahaja kpd pembaca utk menentukannya.
Penulis banyak kongsikan artikel yg boleh dijadikan motivasi untuk kita menulis. Antaranya ialah kisah Anne Frank. Dalam kalangan bookstagramer mesti ada yg pernah membaca Diari seorang Gadis – Anne Frank. Beliau hanya menulis diari perihal perkara harian sepanjang Perang Dunia Kedua seperti memotong kentang, bertengkar dengan emaknya dan hal-hal biasa yang mungkin bagi beliau tidak signifikan untuk dikongsikan. Namun, sehingga kini bukunya telah dibaca oleh jutaan orang di seluruh dunia dan telah diterjemah hingga ke lebih 70 bahasa. Malah, masih dicetak dan dibaca hingga ke hari ini.
Cerita ini membuktikan yang kita tidak perlu risau tentang banyak perkara dan kita hanya perlu menulis.
Buku ini sesuai untuk:
❤️ mereka yang sedang mencari suntikan semangat untuk membaca; dan
❤️ mereka yang ingin menjadi penulis, penulis baharu, atau kepada penulis yang masih belum yakin untuk menerbitkan karya mereka.
Pada bab terakhir, penulis turut berkongsi perihal buku-buku bergenre Islamik yang dibaca oleh beliau. Sedikit sebanyak boleh menambah koleksi buku di rumah kita.
Saya bagi 5 bintang sebab banyak kata-kata yang saya ambil daripada buku ini. Seperti yang diingini penulis, sememangnya buku ini memberi semangat untuk saya agar berani menulis. Persetankan segala hal, cuba, cuba dan terus mencuba untuk menulis. . . "Buku yang terbaik adalah buku yang mengeluarkan kita daripada zon selesa. Terhenti pada helaian buku, berfikir dan bermuhasabah. Menganalisis maklumat yang dibaca, 'memeningkan kepala' dengan hujah yang ditulis. Apakah aku bersetuju dengan penulis atau tidak? Kalau aku tidak bersetuju, apa hujahku? Penulis A berkata begitu tetapi penulis buku ini menukilkan begini. Apakah aku perlu memilih salah satu pendapat, atau aku bisa menggabungkan idea-idea yang disampaikan oleh kedua-dua penulis? Aku rasa aku punya jawapannya."
Terima kasih buat sang penulis. . . Disini saya sertakan "puisi" yang saya ambil daripada buku ini.
"SEORANG PUISI"
Waspadalah dengan seorang puisi, sengatnya boleh kekal beberapa generasi. Idea yang dibawa ada potensi menjadi api, menghidupkan hati-hati yang telah mati, atau menyirami akal-akal yang kehausan imaginasi.
Jika sejarah kita jadikan murabbi, bukan sedikit impak seorang puisi dalam membangun peradaban, dalam membina ketamadunan, dalam pembentukan karakter dan identiti. Jadi, jangan berhenti di sini. Jangan bunuh puisi dalam kandungan, lahirkanlah dia, dia harus diberi peluang untuk hidup. Biar masa dan sejarah yang menjadi hakim, bagaimana dia akan hidup dan bermukim.
Agak kurang puas sebab baca hanya dengan cereka app. Tak keterlaluan kalau dikatakan buku ni telah mengubah bagaimana cara saya memandang membaca dan menulis.
Sangat tertarik bagaimana penulis membawa idea tentang membaca bukan hanya soal seberapa banyak buku yang kita baca, tapi ukuran sebenar adalah pada sebanyak mana kita mengambil istifadah dari buku. Idea ini yang menjadikan saya lebih fokus dalam pembacaan dengan tidak hanya kalut menghabiskan pembacaan, namun menyelami setiap idea sebuah penulisan.
Tentang menulis, ianya bukan terhad kepada golongan khusus. Berapa banyak pengalaman yang dapat dimanfaatkan oleh orang lain dengan penulisan "orang biasa-biasa". Berapa banyak latar masyarakat, latar zaman dapat dirakam dengan penulisan "orang biasa-biasa", yang akhirnya dibaca dan diteladani oleh generasi kemudian. Idea ini mengubah pemikiran saya bahawa penulisan yang asalnya dilakukan oleh golongan khusus, kepada setiap orang perlu menulis untuk manfaat generasi kemudian.
2 sayap ilmu bagi saya sebuah naskhah idea yang sangat unik dalam membentuk pemahaman yang baik tentang membaca dan menulis.
Buku ini membincangkan 2 aspek penting dalam perkembangan ilmu: membaca dan menulis — 2 aktiviti yang menjadi tulang belakang kepada tradisi intelektual dan pembinaan masyarakat berilmu.
Ini tema yang agak klishe.
Tapi dalam konteks Malaysia, budaya membaca dan menulis bukanlah arus perdana, jadi aku rasa OK, ia agak relevan sebagai seruan untuk membina semula budaya ilmu. SAF juga menyentuh isu pemilihan bahan bacaan yang berkualiti sebagai 1 perkara yang sangat penting dalam era maklumat yang berselerak dan penuh disrupsi.
Dia banyak menggunakan contoh -contoh sejarah dan tokoh seperti Bart D. Ehrman, Geoffrey of Monmouth, dan Raden Adjeng Kartini untuk menunjukkan bagaimana membaca dan menulis boleh mengubah sejarah dan masyarakat. Walaupun buku ini bukan kajian akademik formal, fakta - fakta yang digunakan agak kontekstual, disampaikan dengan analisis yang reflektif. Dia juga mengaitkan konsep membaca dengan wahyu pertama dalam Islam - Iqra’ - sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan ilmu dalam tradisi keagamaan. Part yang aku suka ialah bagaimana dia menghujahkan kes kota purba Teotihuacan yang tidak meninggalkan rekod bertulis. Ini kali pertama aku dengar nama kota purba ini.
Ada part - part yang berulang, tapi saudara SAF telah memberi jawapan bahawa ini adalah sebahagian daripada proses refleksi peribadi, seperti yang dilakukan oleh Marcus Aurelius dalam Meditations.
Walaubagaimanapun,
1. SAF menyebut Bart D. Ehrman dan Geoffrey of Monmouth, tapi tak pula sertakan rujukan akademik seperti nota kaki, bibliografi, atau analisis sumber primer. Mungkin niat dia adalah untuk jadikan buku ini sebagai bahan reflektif dan eseistik, bukan kajian ilmiah, jadi aku faham. 2. Buku ini ditulis dengan semangat untuk menyuntik motivasi membaca dan menulis, terutama kepada penulis baru dan pembaca umum. Niat ini mulia, cuma analisis falsafah dan teori ilmu dalam buku ini terasa sedikit surface untuk aku yang mencari ketajaman epistemologi dan kerangka teori, jadi pada aku, buku ini sedikit kurang mencabar. 3. Buku ini menyentuh kepentingan membaca dan menulis dalam konteks tamadun dan sejarah, tapi kurang mengaitkan secara mendalam dengan isu sosial kontemporari seperti kemiskinan ilmu, hegemoni media, atau sistem pendidikan semasa.
Ini pendapat peribadi, kalau dilengkapi dengan analisis sosial, buku ini harus dijadikan buku kajian ilmiah penting dalam "membaca" dan "menulis" di Malaysia.
📌 “Dua sayap ilmu adalah membaca dan menulis. Dengan membaca kita berbicara dengan generasi lalu, dengan menulis kita berbicara dengan generasi akan datang.”
Buku yang sangat baik kerana dapat menyuntik semangat membaca dan memberi motivasi kepada insan yang berjinak-jinak menulis buku. Bahasa yang digunakan oleh penulis juga mudah difahami walaupun isi yang ingin disampaikan agak berat. Penulis turut memberi tips dan ilmu cara menulis ulasan secara kritis. Jika ditanya tentang penambahbaikan yang perlu dibuat aku cadangkan agar penulis meneliti semula beberapa isi yang diulang tulis. Aku tak pasti tujuan isi yang diulang tulis tersebut mungkin sebagai penegasan oleh penulis.
Aku baca buku ini di app cereka jadi rasa tak puas sebab tak dapat nak highlight isi penting dan kata-kata yang aku gemari. Nak kena beli buku fizikal juga nampaknya.
Saya mula berkenalan dengan tulisan Syed Ahmad Fathi melalui bukunya Berfikir Tentang Pemikiran, terus terjatuh hati dengan buah fikir dan gaya bahasa yang digunakan dalam buku tersebut kerana tidak terlalu santai dan tidak pula terlalu berat. Buku ini merupakan buku kedua beliau yang sempat saya habiskan walaupun sudah terlebih dahulu memulakan bacaan beberapa buku beliau yang lain seperti Lalang di Lautan Ideologi dan Intelektual Yang Membosankan. Bagi saya buku Dua Sayap Ilmu telah menonjolkan dengan baik sekali tentang kepentingan membaca dan menulis, dan bagaimana penulis membentuk dan membangunkan diri beliau sebagai seorang penulis.
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan..". Sebenarnya dengan membacalah satu tamadun itu terbina. Juga jika tiada bahan bacaan yang bermutu, maka runtuhlah ketamadunan.