Saya suka filem-filem atau cerita yang diolah daripada kisah benar. Jadi saya agak teruja untuk membaca novel sejarah ini.
Sukar untuk tak rasa bias. Dengan undang-undang yang tak menyebelahi Nadra, Aminah dan Mansoor, saya asyik terfikir bagaimana agaknya kalau waktu itu Nadra sudah berumur 18 tahun? Bagaimana kalau ada surat bukti penyerahan Nadra sebagai anak angkat kepada Aminah yang ditandatangani oleh Adelaine, ibu kandung Nadra? Mungkin pengakhiran kisah Nadra berbeza? Nadra menderita sehingga akhir hayatnya. Membawa kepada poin kedua.
Berapa peratuskah kebenaran versi Nadra yang ini? Berapa banyakkah lagi cerita-cerita yang tercicir dan tidak ditulis? Sepanjang pembacaan, saya juga tertanya-tanya betul ke begini perasaan watak-wataknya? Itukah apa yang ada dalam hati mereka. Watak-watak ini bukan watak ciptaan. Mereka semua wujud. Saya tak tahu kenapa saya rasa terganggu dengan dialog dan cetusan hati watak-wataknya. (Ini pengalaman saya saja. Orang lain tentu berbeza) Tapi secara keseluruhan, saya rasa novel ini tetap berbaloi untuk dibaca :)
Atas Nama Cinta, saya tidak sangka, saya boleh memperolehinya dengan begitu mudah sekali di kedai buku Popular. Apa yang menyebabkan saya begitu ‘terhegeh-hegeh’ mencari novel ini ialah kerana ia adalah sebuah novel epik sejarah yang menceritakan kisah benar perebutan seorang gadis yang bernama Nadra di antara dua orang ibu (Adelaine yang beragama Kristian Katolik dan Aminah seorang yang beragama Islam). Kerajaan Belanda turut masuk campur-tangan kerana menganggap isu ini sebagai isu agama. Akhirnya, tercetuslah rusuhan yang begitu hebat Singapura di antara orang Islam dan bukan Islam (orang kulit putih).
Saya biasa mendengar kes Nadra meniti di bibir-bibir penceramah terutama untuk ceramah-ceramah isu murtad. Namun saya tidak pasti, bagaimanakah sebenarnya peristiwa itu dan apakah kesudahan hidup Nadra. Tapi, saya sedikit keliru, kerana sebelum ini mereka memanggil Nadra dengan Natrah. Apa yang pasti Nadra dan Natrah adalah orang yang sama. Terdapat CD yang disertakan sekali dengan novel ini yang mengandungi 3 buah lagu puisi (Atas Nama Cinta, Kasih Seorang Seniman dan Aksara Cinta di Hari Raya). Sedap juga telinga saya mendengarnya sambil mengiringi penulisan resensi ini.
Mula membaca Atas Nama Cinta pada 2 Januari 2007. Dimulakan dengan membelek helaian demi helaian. Ada ruangan kata-kata semangat dari Malaysia, Singapura dan Kemboja. Ada peta Malaya-Singapura 1940-1950 dan Malaya-Singapura-Indonesia 1940-1950. Juga ada nama insan-insan dalam sejarah dan lirik lagu puisi. Cara pembahagian bab juga menarik pemerhatian saya. Setiap bab akan dilabelkan dengan nama manusia, tarikh, tempat dan bait-bait puisi. Contohnya Bab 24:- 24 masjid hati bersangkar biara impian suci terpadam sisa
PUTIH Sejak 2 Disember 1950, biara The Good Shepherd, Koloni Singapura
Novel ini sentiasa membawa saya menikmati keindahan Bahasa Melayu. Itulah pandangan pertama saya tentang novel ini - gaya bahasa yang mengagumkan. Baru saya menyedari, bahasa Melayu cukup indah apabila dituturkan dengan baik. Namun, pembacaan pada kali ini cukup meletihkan dan oleh kerana itu pembacaan di selang seli dengan tidur ( itulah akibatnya apabila membaca sambil baring). Untuk 2 Januari, cuma mampu membaca sebanyak 160 halaman sahaja.
Sambung pembacaan pada 3 Januari. Kerja amat meletihkan pada sebelah siangnya. Namun, tekad sudah dipasang untuk menghabiskan pembacaan Atas Nama Cinta malam itu juga. Tapi, apakan daya, termakan tulang ikan pula malam itu dan sekaligus mematikan selera membaca buku. Tulang ikan tidak dapat dikeluarkan, terpaksa tidur mengiring untuk menghilangkan kesakitan dan mata dipaksa tidur dengan harapan kepedihan itu akan hilang keesokannya bila bangun dari tidur. Entah dari mana saya belajar kaedah ini. Ini yang dinamakan kaedah putus asa setelah sedaya upaya mengeluarkannya!
4 Januari, Atas Nama Cinta selesai dibaca. Saya mengakhiri pembacaan novel ini dengan kekecewaan.Kecewa yang amat sangat. Kecewa kerana penghujung jalan cerita Nadra adalah sedemikian!
Aminah ialah seorang wanita dari Malaya. Dia berkahwin dengan Encik Abdul Ghani yang merupakan Setiausaha Peribadi Sultan Terengganu. Dia pernah mengikuti suaminya ke Jepun dan menetap di sana selama 12 tahun. Oleh kerana itu, Aminah fasih berbahasa Jepun. Jodoh mereka tidak panjang. Encik Abdul Ghani meninggal dunia kerena sakit batuk kering. Selepas itu, Aminah berkahwin pula dengan Encik Ma’arof bin Haji Abdul iaitu seorang saudagar intan permata dari Bandung dan Aminah berpindah ke Bandung mengikuti suaminya. Jodohnya dengan suami kedua juga tidak panjang. Mereka bercerai. Aminah tidak dikurniakan anak untuk kedua-dua perkahwinannya itu.
Tentera Jepun telah berjaya mengalahkan tentera Belanda. Ini memaksa tentera Belanda meninggalkan wilayah jajahan mereka di Hindia Timur Belanda (Bandung termasuk kawasan ini). Pada ketika itu, kehidupan masyarakat di Bandung amat susah terutama untuk para isteri tentera Belanda yang ditinggalkan. Tentera Jepun akan menangkap sesiapa sahaja orang kulit putih jika ternampak mereka. Adelaine adalah salah seorang isteri tentera Belanda yang ditinggalkan. Dia sendiri tidak tahu tentang nasib suaminya. Mungkinkah sudah ditangkap tentera Jepun?
Ibu Adelaine adalah seorang penganut Islam. Dulu, Adelaine juga beragama Islam. Tetapi setelah berkahwin dengan Adrianus (tentera Belanda), dia menukar agamanya ke Kristian Katolik. Semenjak suaminya hilang entah ke mana, Adelaine menetap di rumah ibunya. Kehidupan yang mencengkam ketika itu, memaksa dirinya menyerahkan Maria (5 tahun) kepada Aminah atas nasihat Nor Louise.
Aminah sangat menyayangi Maria. Dia memanggil Maria dengan nama Putih. Atas persetujuan Adelaine, Putih dikhitan dan diberi nama Nadra binti Haji Ma’arof. Setelah beberapa tahun menetap di Bandung dan Batavia, Aminah akhirnya mengambil keputusan untuk kembali ke Terengganu. Di sana Putih mula bersekolah. Pada masa yang sama, Adelaine telah bertemu semula dengan suaminya, Adrianus di Bandung. Adrianus sangat kecewa kerana Maria diberikan kepada keluarga Muslim. Dia bertekad untuk mencari Maria. Akhirnya mereka sekeluarga kembali ke Bergen Op Zoom. Namun begitu, Adrianus masih terus berusaha menjejak Maria dengan bantuan kerajaan Belanda.
Pada sekitar 1949, atas tipu helah Tuan Arthur Locke iaitu seorang Pegawai Pentadbiran Bahagian Timur Terengganu menyebabkan Aminah dan Nadra ke Singapura untuk mendapatkan surat rasmi pengambilan Nadra sebagai anak angkat dari Konsulat Belanda. Rupa-rupanya itu cuma satu helah sahaja bagi memudahkan Nadra dibicara mengikut undang-undang Belanda di Singapura. Ini kerana, jikalau Nadra masih berada di Terengganu, Nadra tidak boleh diadili disebabkan Terengganu bukan jajahan Belanda.
Bermula April 1950, berlaku cubaan merampas Nadra dari Aminah dengan menggunakan kekuatan undang-undang. Alasan utama yang digunakan ialah Nadra masih berada dibawah umur iaitu 13 tahun dan Aminah tiada sebarang surat rasmi penyerahan penjagaan Maria kepadanya. Nadra mula ditempatkan di Rumah Kebajikan Masyarakat di York Hill dan seterusnya di Biara The Good Shepherd untuk pendidikan semula ke atasnya. Sepanjang berada di Rumah Kebajikan Masyarakat, Aminah dibenarkan bertemu dengan Nadra. Nadra pula masih bersolat, membaca quran dan berpuasa. Tetapi berbeza ketika berada di biara , dia cuma dibenarkan bersolat untuk satu tempoh yang sekejap dan di sana semua perkara berada di luar kawalannya, segala-gala terpaksa. Di situ, Aminah tidak dibenarkan melawatnya. Cuma Adelaine sahaja!
Bab 10 – Bab 31:- adalah bab yang menceritakan rentetan perbicaraan Nadra. Secara keseluruhannya, perbicaraan itu tidak memihak kepada Aminah. Manakala, Bab 32:- sebanyak 15 halaman menceritakan tentang rusuhan di Singapura. Rusuhan berlaku selama 3 hari dan sepanjang itu diisytiharkan darurat. 18 orang terbunuh, 173 orang cedera, 119 kenderaan musnah dan 72 kes pembakaran. Rusuhan reda pada 14 Disember 1950.
4 Januari 2007 – Atas Nama Cinta selesai dibaca. Saya masih berfikir apakah agama anutan Nadra @ Maria kini?
Saya tertarik untuk membaca kisah tragis yang pernah berlaku di Nusantara Melayu, Singapura, Malaya dan Hindia Timur (Indonesia) 1942 – 1950 di waktu Nusantara Melayu sedang bergolak. Bahang kebangkitan bangsa yang sekian lama dijajah mula dirasai oleh Inggeris dan Belanda. Tatkala semangat patriotik mula subur di jiwa rakyat yang inginkan kebebasan. Zaman era kebangkitan rakyat yang ingin mentadbir tanahair ini dengan acuan kita sendiri. [Mungkin generasi muda hari ini sudah lupa dengan peristiwa yang pernah berlaku ini]
Pegangan agama, maruah bangsa dan semangat kemerdekaan menjadi latar yang mencengkam jiwa kepada kisah Nadra [Natrah, nama yang saya pernah tahu]. Ia sebuah kisah tentang perebutan hak penjagaan anak berbangsa Belanda yang dibesarkan oleh keluarga Melayu Islam. Kisah perebutan antara ibu angkat yang mahu anak itu tetap akidahnya dengan ibu kandung yang mahukannya kembali ke pangkuan keluarga sebagai Maria Hertogh. Tanpa dipinta, gadis manis ini menjadi rebutan dua dunia – dunia Islam dan dunia Barat.
Kisah tentang keperitan yang terpaksa dihadapi oleh penduduk ekoran dari cengkaman dan perebutan kuasa untuk menakluki gugusan kepulauan melayu sebagai jajahan takluk kuasa asing. Sebagaimana yang digambarkan berlaku di Tjimahi sebuah daerah di Indonesia yang pada waktu itu sedang bergolak. Di daerah ini mereka dipertemukan oleh takdir. Indonesia yang dalam cengkaman Belanda juga terpaksa akur oleh pengambilalihan kuasa oleh Jepun. Akibatnya, Adrianus bapa Maria yang berpangkat sarjan dalam pasukan tentera Belanda telah ditawan.
Di sini bermula segala permasalahan yang mengundang sengketa. Adeliene Hunter, Ibu Maria hilang tempat bergantung, terpaksa melepaskan Maria ke tangan Aminah yang akhirnya telah menukar nama Maria ke nama Nadra. Untuk mengelakkan Nadra dituntut kembali, Aminah membawanya pulang ke kampung halaman di kemaman, Terengganu. Terengganu yang pada waktu itu merupakan salah sebuah negeri Melayu Tidak Bersekutu (Unfederated State) & bukan negara Kolonial British.
Nadra dibesarkan sebagai gadis muslim yang hidup dalam suasana aman dan harmoni dipayungi oleh rahmat ilahi. Nadra membesar sebagai anak gadis yang cantik, bersopan santun dan patuh pada ajaran Islam, hinggalah di suatu ketika... peristiwa tragis bermula…!!!
Dengan helah si penjajah British, Nadra di bawa ke Singapura yang pada waktu itu di bawah konsulat Belanda untuk dibicarakan [oleh kerana Terengganu bukan di bawah kuasa Belanda, undang2 Belanda tidak boleh digunapakai di negeri tersebut].
Bermula rentetan peristiwa demi peristiwa, insiden demi insiden selama tempoh Nadra dibicarakan yang dengan jelas tidak pernah memihak kepada Aminah sebagai penjaganya. Hingga tiba ke satu peringkat, rusuhan berlaku ekoran ketidakpuasan hati rakyat tempatan yang bersimpati dengan nasib Aminah, yang merasakan islam diperkotak-katikkan oleh mahkamah Belanda, yang merasakan ini bukan pertentangan antara dua ibu tetapi antara 2 agama yang berakhir dengan Singapura diisytiharkan darurat. Atas Nama Cinta, kesucian agama Islam dan maruah bangsa harus dibela… Bangsa yang dijajah sudah tidak gentar lagi.
Di sini sejarah bermula… di sini peristiwa tragis berlaku… dengan helah, kuasa dan percaturan politik penjajah, Aminah hilang Nadra, dengan kuasa, Nadra diserahkan kepada ibu kandungnya sebagai Maria… Atas Nama Cinta, ikatan perkahwinan Nadra terjalin namun dirampas oleh mahkamah penjajah, dan Atas Nama Cinta, Nadra kehilangan dirinya sendiri… Nadra dipaksa untuk kembali ke Belanda.
Atas Nama Cinta merupakan sebuah kisah Epik Sejarah yang telah melakar sejarahnya yang tersendiri yang kesannya masih terasa hingga ke hari ini & kekal terpahat rapi dalam lipatan sejarah bangsa. Berserta dengan peta gugusan tanah Melayu dan nama-nama tokoh yang terlibat, saya seumpama membaca Sejarah Tanah Melayu di era kebangkitan dalam bentuk 'cerita'.
Namun tatkala saya tiba ke noktah terakhir, saya masih tertanya-tanya… apakah akhirnya pegangan agama Nadra…??
I have very mixed feelings about this book, and part of that may be due to the English translation. The English is sometimes shaky to say the least. The theme is an interesting one: the conversion of a Christian girl to become a Muslim, but it seems to be seen only through the eyes of a Muslim, and some details that are shocking for me are passed over extremely lightly, e.g. the circumcision of the girl. The parents that want their daughter back are clearly the 'baddies' from the start and that doesn't change. In fact, all whites are bad here. Very sketchy characters, pure black and white.
Atas Nama Cinta, novel sejarah karya Penerima Anugerah Penulisan Sea 2006 dari Singapura, Isa Kamari, merakam peristiwa tragik yang terpaksa dilalui Maria Hertogh atau nama Islamnya, Nadra Ma'arof.
Nadra Ma'arof pernah menggemparkan Tanah Melayu kerana wanita mualaf itu menjadi rebutan antara keluarga angkatnya yang mewakili dunia Melayu-Islam dengan keluarga sebenarnya, mewakili dunia Barat.
Novel setebal 34 bab termasuk bab Prolog dan bab Epilog ini, dimulakan dengan babak Maria dibicarakan Mahkamah Daerah Bergen op Zoom atas tuduhan cuba membunuh suaminya, Johan Geradus Wolkenfelt.
Perbicaraan itu sekali gus membuka lipatan sejarah mengenai tekanan pera saan yang dialami wanita itu pada zaman penjajahan Inggeris di Tanah Melayu selepas beliau dijadikan anak angkat oleh keluarga Melayu.
Desakan zaman perang apabila Jepun menjajah rantau Asia Tenggara termasuk Indonesia menyebabkan ibu Maria, Adelaine terpaksa menyerahkannya kepada wanita berasal dari Terengganu, Aminah, di Desa Tjimahi, pinggir kota Bandung.
Maria ketika itu berusia lima tahun menjalani kehidupan sebagai orang Islam dan memakai nama Nadra manakala nama timangan, Puteh, berhijrah ke Kemaman, Terengganu kerana Aminah berasa sukar untuk hidup di perantauan.
Bagaimanapun, kehadiran Nadra di tengah-tengah masyarakat Melayu berjaya dikesan penjajah Inggeris melalui Pegawai Pentadbiran Bahagian Timur Terengganu, Arthur Locke, yang licik lalu memasang perangkap `merampas' kembali Nadra.
Aminah terpedaya dengan strategi licik penjajah, membawa Nadra ke Singapura, sekali gus memberi kuasa kepada Inggeris untuk membawa kes perebutan Nadra ke mahkamah kerana penjajah tidak mempunyai kuasa yang luas di Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Kes perebutan Nadra menjadi isu bangsa, agama dan negara apabila sampai kepada pengetahuan pertubuhan berkaitan orang Melayu seperti Persatuan Kebajikan Wanita Islam, Persatuan Kebajikan Muslim di Singapura, Liga Muslim Singapura, Persatuan Dakwah Islam SeMalaysia dan Kesatuan Melayu Muda.
Sudah lama menyelesaikannya, sampai lupa tanggal dan harinya. Sungguh kisah yang mengharu biru, mengambil seting tiga negara (eh, malah empat nding) Indonesia, Singapura, Malaysia dan Belanda.Kisah seorang gadis, Nadra namanya yang berakhir dengan tragis. (harus di baca lagi, sudah hampir lupa jalan ceritanya)
Agak perlahan juga hendak menghabiskan buku ini ( kerana gaya bahasa yang berlainan). Perlukisan alamnya ditulis dengan teliti dan terperinci. Tidak rugi menghabiskan novel sejarah ini.
Kisah Nadra/Maria Hertogh diceritakan dalam bentuk cerita. Bahasa yang mudah digunakan. Berguna untuk mereka yang tidak tahu tentang kisahnya dan ingin membacanya dalam bentuk santai.