Anak Titiwangsa -barangkali- ialah antara karya Keris Mas, sasterawan negara yang pertama, yang agak masyhur. Dalam senarai Goodreads, karya ini menduduki carta ketiga berdasarkan bilangan pembaca yang mengulas (atau menilai) iaitu sebanyak 86 penilaian. Yang pertama dalam carta ialah Saudagar Besar dari Kuala Lumpur dan Rimba Harapan pula pada kedudukan yang kedua.
Cerita ini terbina berdasarkan plot utama: Sudin ingin mencari kawannya, Karim yang berada di Kuala Lumpur. Karim melarikan diri dari kampung setelah mencuri duit ibunya sebanyak beberapa ratus, jumlah yang agak besar andai diukur pada zaman tersebut, 60-an. Plot bergerak dengan sangat perlahan dan banyak babak yang saya rasakan tidak perlu dimuatkan—hanya berfungsi sebagai filler; dijadikan sebagai antara babak dalam cerita, sekadar untuk memanjangkan cerita dan tiada pula pengajaran yang diperoleh daripadanya. Dalam cerita ini, watak Hanim ialah salah satu filler.
Walaupun cerita ini bergerak dengan sangat perlahan, ia mulai menjadi rancak apabila Sudin bertemu dengan Malik, salah seorang rakan wartawan di tempat dirinya bekerja. Malik—walau perwatakannya kasar—namun banyak mengejar Sudin akan sepak terajang dunia, terutamanya dalam hal-hal kewartawanan. Berkawan dengan semua orang, sentiasa mencatat dan peka dengan keadaan sekeliling, harus pandai berbohong dan pandai mereka-reka cerita—antara nasihat Malik. ‘Etika’ seorang wartawan yang masih tidak berubah sejak daripada dahulu hingga kini. Pencarian Karim semakin membuahkan hasil dengan bantuan Malik, walau Sudin sering kali diolok-olokkan. Di akhir cerita, Karim berjaya ditemui oleh Pak Cik Samad, YB Ah Kaw dan Inspektor Razi. Syukurlah Karim berjaya diselamatkan sebelum terjerumus lebih dalam ke dalam ‘dunia orang jahat’.
Saya tidak berniat sebenarnya ingin mengulas plot cerita, tapi sudah terlajak pula. Cuma, ada beberapa hal yang menarik perhatian saya.
Pertama, mengenai apa yang dikatakan Sudin terhadap peribadi Pak Cik Samad: “Sangkanya dia benar-benar orang besar yang tugasnya memberi syarahan dan membentangkan berbagai bagai teori tentang masyarakat. Yang berhak menentukan tugas-tugas orang dalam dunia ini hanya dia. Dia mahu menyelamatkan dunia. Dia mahu menyelamatkan orang kampung, orang bandar, budak-budak sekolah, anak-anak muda dan kaum perempuan juga. Tetapi apakah yang dia rasakan tentang Karim? Kosong.” (h. 40).
Babak ini menarik kerana turut membuatkan saya berasa terpukul. Kelompok terpelajar atau intelektual ini begitu giat sekali berteori perihal masyarakat. Ribuan, bahkan jutaan perbincangan, diskusi, teori dan wacana yang menghiasi bibir mereka. Namun, persoalannya, adakah mereka benar-benar tulus untuk menyelamatkan masyakarat, atau mereka hanya digemar dilihat sebagai ‘pakar’ masyarakat? Andai ada gelandangan yang menguis-mengemis meminta dibelikan makanan kerana sudah tiga hari tidak makan, adakah kelompok ini sanggup membawa dan menemani pengemis tersebut makan sementara dirinya memakai pakaian yang bersih, kemas, bertali leher dan berkasut kulit? Atau adakah, sekurang-kurangnya, mereka masih ada sisa empati untuk menghulurkan sekeping wang 10 ringgit agar pengemis tersebut boleh membeli sesuap untuk untuk menampung hari-hari seterusnya yang kejam terhadap manusia terbuang?
Kedua, Karim yang terlibat dengan pelbagai jenayah seperti mencuri, merompak, memeras ugut dan berkelahi—hakikatnya kerana tidak mendapat penjagaan, perhatian dan pendidikan yang selayaknya. Manusia seperti Karim masih berlambak lagi di luar sana. Siapakah yang bakal menjadi penyelamat mereka?
Ketiga, sikap Sudin yang mencerminkan darah pemuda yang bergemuruh—terburu-buru, lekas naik darah, tidak bersabar, mudah berprasangka, lurus dan masih tidak merasai sepak terajang dunia sebenar. Begitulah fasa-fasa yang akan dihadapi oleh setiap pemuda. Namun, sedikit demi sedikit, dirinya mulai matang. Sepanjang penceritaan hingga ke akhir, Sudin akur dengan nasihat yang diberikan Malik dan kagum dengan keupayaan Pak Cik Samad yang berjaya membantu pencarian Karim walau hanya duduk di pejabat sahaja.
Berdasarkan perkara ini, tergambar jugalah perkara keempat dan terakhir yang mencetuskan perhatian saya iaitu kuasa itu segala-segalanya. Sama ada kuasa dalam bentuk kenalan, jawatan, wang, peribadi dan pengetahuan—persis takrifan ‘kuasa’ yang diberikan oleh Harrison (2011) dalam Power & Society: bagaimana satu pihak mempengaruhi satu pihak yang lain untuk menuruti kehendaknya.
Karya ini pada awalnya hanya akan dinilai sebagai dua bintang. Namun, pembacaan pada babak-babak akhir merubah fikiran saya. Tiga bintang lebih layak. Masih ada pengajaran yang berjaya disampaikan oleh Keris Mas pada akhir cerita.