Dunia sastera ribut bila Azmi, penulis baru dari sebuah kampung totok diisytiharkan pemenang Hadiah Sastera. Azmi pun mulai disebut-sebut orang, karyanya diminati ramai, namanya begitu popular sekali, dan dia rasa hidupnya dalam kampung sudah tidak sesuai lagi. Udara kota ternyata lebih sesuai baginya, terutama sekali bila dia terpikat pada Kartina, gadis genit yang cantik dan ayu itu.
Malangnya suasana kota bukan seperti yang dibiasakannya dalam kampung. Kartina yang memang sejak kecilnya terdidik dalam suasana lepas bebas terus mempengaruhi Azmi dan menarik sedikit demi sedikit ke alamnya. Tetapi jiwa Azmi kerap memberontak terhadap tiap-tiap perubahan yang diminta darinya. Patutkah dia berdiam diri melihat gadisnya atau isterinya dirangkul orang dalam dakapan dansa dan cumbuan-cumbuan atas nama sosial ala barat? Patutkah ia dianggap itu suatu kemajuan yang mesti dianuti?!
Fakta-fakta ini sering bergolak dalam otaknya, manakala hatinya tetap lekat pada Kartina yang dicintainya itu. Pergolakan antara dua rupa hidup ini membawa kepada konflik-konflik yang tak kunjung putus, sehingga berlaku suatu peristiwa yang tak diduga-duga dalam suatu majlis dansa yang sungguh menjadi ilham kepadanya.
AZIZ AFKAR (1942 - 2007), penulis. Dia lahir pada 12 Disember 1942 di Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu, Terengganu. Nama sebenarnya ialah Abd. Aziz @ Hussin bin Ismail tetapi lebih dikenali dengan nama Aziz Afkar. Dia mendapat pendidkan awal di kampung kelahirannya dan mula bergiat dalam bidang penulisan ketika masih di bangku sekolah lagi.