AZIZ AFKAR (1942 - 2007), penulis. Dia lahir pada 12 Disember 1942 di Kampung Pasir Panjang, Kuala Terengganu, Terengganu. Nama sebenarnya ialah Abd. Aziz @ Hussin bin Ismail tetapi lebih dikenali dengan nama Aziz Afkar. Dia mendapat pendidkan awal di kampung kelahirannya dan mula bergiat dalam bidang penulisan ketika masih di bangku sekolah lagi.
Tidak perlu masa lama untuk menyudahkan cerita ini, saya habiskan sepanjang perjalanan MRT Sri Damansara Barat ke Putrajaya sentral, dan dari situ pula bertukar kepada KLIA Ekspres menuju lapangan terbang, bersambunh dalam pesawat menuju Kuching. Sebuah cerita yang lancar naratifnya, bahasa yang kemas dan konfliknya mendekam, meski sudah boleh diagak pengakhiran cerita ini.
Perkembangan hubungan antara watak juga terasa semulajadi, walau ada kekurangannya. Saya boleh faham mengapa novel ini digilai pada zamannya, dan kalau saya baca Hartini pada tahun 80/90an, barangkali dada saya akan sebak dan tersedu-sedan membacanya. Sebuah novel yang baik & berjaya menyentuh, tapi mungkin tidak akan diulang baca.
HARTINI dalam naratif kisah cinta terhalang kerana sikap dan perasaan yang terpendam. Plot yang buat aku ralit dengan laras bahasa penulis yang puitis dan penuh emosi, agak intens dengan babak-babaknya yang bagi duka dan pengajaran berkait hal sosial, moraliti dan persahabatan. Berlatar di Kuala Terengganu sekitar tahun 60an, HARTINI bawa aku dalam dunia seorang bakal guru, Hartini yang memuja bakat seorang penulis novel bernama Amli; dari hal pertolongan Hartini yang mahu bakat Amli dikenali ramai sehingga mampu mengubah Amli yang sebelum ini dihimpit kemiskinan ke utusan surat-surat Amli-Hartini yang penuh kata semangat dan rahsia hati yang terpendam.
Suka perkembangan plotnya yang simple dan mudah dijangka tapi penuh drama dan konflik yang menggugah emosi dan menyentuh perasaan; tentang hal salah sangka dan orang ketiga, kemahuan hati yang ditahan kerana fikirkan perbezaan taraf juga sikap masing-masing yang gemar sembunyikan isi hati. Agak menarik layan perangai Amli dan Hartini sepanjang pembacaan yang kadang menguji kesabaran dan sangat suka dengan watak Arman yang lebih bijak menilai dan tegas. Dah agak apa akan jadi lepas tahu perangai Sudin dan Azimah, agak lega bila Arman masuk campur dan buat Amli sedar tentang perasaannya sendiri.
Ada selitan hal budaya juga isu kesusasteraan pada naratif Amli yang bagi sedikit gambaran tentang perkembangan penulisan dan perihal kepengarangan yang dihadap penulis sejak di tahun 60an dulu. Termenung jugak lepas habis baca HARTINI; sebak dengan penghujung cerita, terkilan juga dengan apa yang jadi dan impaknya kepada Amli. Naratif sarat emosi dengan refleksi realiti tentang kisah cinta yang tak kesampaian dengan eksplorasi isu kesihatan mental, depresi dan kemurungan yang deskriptif dan mencengkam.
Rekomendasi kalau mahu baca naskhah lokal atau klasik dan gemar plot melodrama dan fiksyen kisah cinta! 4/5*
Aziz Afkar adalah seorang penulis yang lahir dari Terengganu dan menulis dengan jiwa yang sarat pengalaman hidup.
Novel ini berlatar pada dekad 1960an, di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Di sinilah bermulanya kisah antara 2 jiwa yang berbeza latar dan nasib: Hartini seorang guru pelatih yang hidupnya serba lengkap dan penuh kasih sayang. Amli pula, seorang penulis muda berbakat yang bergelut dengan kemiskinan dan stigma sosial. Hartini ni periang, kemas, dan menarik, dengan minat mendalam terhadap karya - karya yang menyentuh penderitaan dan kekecewaan. Amli pula selalu dianggap sasau oleh orang kampung sebab suka mengelamun dan bercakap sendiri, tapi dia sebenarnya ada jiwa seni yang halus dan keinginan untuk berkarya sebagai jalan keluar dari kesempitan hidup.
Perkenalan dorang bermula secara tak langsung - melalui karya Amli yang menyentuh hati Hartini. Dari situ, hubungan dorang berkembang melalui surat - menyurat yang penuh dengan luahan rasa, harapan, dan keraguan. Cuma, seperti mana - mana kisah cinta yang dinovelkan, perjalanan mencari dorang ni tak mudah. Salah faham, kehadiran orang ke-3 yang juga merupakan sahabat Hartini sendiri, dan tekanan sosial menjadi penghalang kepada penyatuan dua hati ni. Ketika Amli mula menempa nama sebagai penulis, persoalan mula timbul: adakah dia akan lupakan Hartini, atau adakah cinta itu cukup kuat untuk bertahan?
Ini bukan novel dengan kisah cinta yang ideal dan romantik. Ia lebih kepada pengembaraan emosi yang perlahan, mendalam, dan adakalanya menyakitkan. Hartini ni wanita yang menunggu, dalam masa yang sama dia belajar untuk sembuh dan tumbuh dalam diam. Kekuatan wataknya terletak pada kesenyapan dan kesetiaan yang tak menuntut pujian. Amli pula adalah lambang seniman yang terpinggir, yang mencari makna dalam dunia yang tak memahami jiwanya. Di sebalik naratif cinta, Hartini adalah sebuah renungan tentang eksistensi, harga diri, dan kekuatan yang tak selalu hadir dalam bentuk yang lantang.
Gaya bahasa Aziz Afkar dalam novel ni amatlah lembut, puitis dan introspektif. Ia tak menagis bersimpati, tapi mengajak kita untuk menyelami dan memahami. Naratifnya dramatik, tapi pada lapisan emosi yang halus dan mendalam. Setiap ayat seolah - olah ditulis dengan kesedaran bahawa kita bukan nak tahu apa yang berlaku, tapi mahu merasai apa yang dirasai. Pengalaman pembacaan aku kontemplatif – sesuai dengan jiwa matang yang mencari makna di sebalik cerita.
Novel ini menawarkan renungan tentang kekuatan wanita, harga diri seniman, dan makna cinta yang tak semestinya berakhir dengan penyatuan. Ia juga menyentuh tentang eksistensi - bagaimana manusia mencari tempatnya dalam dunia yang secara duniawinya tak adil. Hartini dan Amli adalah 2 jiwa yang bertemu bukan untuk menyatu, tapi untuk saling menyentuh dan mengubah.
"Apakah cinta itu harus dimiliki, atau cukup sekadar difahami?"
Sebenarnya agak klishe jalan ceritanya - Hartini yang terperangkap dalam konvensi naratif cinta klasik - salah faham, orang ketiga, cinta yang tidak terucap, tapi tema ini diangkata dengan kejujuran dan pengalaman. Mungkin novel ni akan lebih kuat sekiranya konflik dibina dengan lebih kompleks dan tak terlalu bergantung kepada trope cinta yang biasa.
Cinta tidak semestinya berakhir dengan penyatuan - kadangkala, cukup sekadar ia pernah wujud dan mengubah kita.
Novel ini sememangnya mempunyai nostalgia dan mesej yang tersendiri. Walaubagaimanapun, berkenaan jalan cerita saya tidak begitu suka. Mungkin atas faktor saya sebagai pembaca yang sudah merentas masa dan sempadan.
Pada pengamatan saya, ini sebuah cerita cinta tragik kerana perbezaan darjat. Tidak tahulah saya jika ia benar-benar mahu ditonjolkan oleh sang pengarang. Ini kerana, watak Amli seperti mengalami daya negative spiral terhadap dirinya. Atas alasan kemiskinan dan rasa rendah hati, Amli berjaya mencipta alasan untuk menolak rasa jiwa sebenar terhadap Hartini. Memang malang sekali, hanya apabila Amli tahu dia abang sepupu Hartini. Baru dia mampu meluahkan hati dan perasaan kepada si dara. Tapi sudah terlambat. Stigma kemiskinan merendahkan keyakinan Amli, seterusnya menghancurkan kedudukan hubungannya dengan Hartini.
Saya juga menolak keras dengan peringatan "miskin" Arman kepada Amli. Ia langsung tidak membantu dan memberi lebih banyak tekanan!
Selain itu, saya terdorong juga kepada gaya act of love. Sebenarnya act of love tidak boleh kurang antara ucap & aksi sahaja. Melihat kepada keadaan Azimah yang menagih cinta Amli. Amli tak pernah ucap, jadi sebarang kelakuan Amli terhadap Azimah, dia anggap cinta. Ini parah. Begitu juga dengan Hartini yang hanya memberi aksi tetapi tidak mengucapkannya. Lantas Amli tidak berdaya untuk menangankan rasa cinta Hartini. Dan ya, Amli juga melakukan perkara yang sama. Faham kan?
Alahai. Itulah cinta anak muda. Cinta dengan hati yang keras. Berego-ego. Cinta guna andaian kepala semata-mata tanpa ada tindakan rasional. Cinta seharusnya menjadikan kita manusia yang lebih segar. Bukan sebaliknya.
Babak sedih dalam novel ini, sesungguhnya tidak memberi kesan pada saya. Mungkin kerana ia berlangsung dengan terlalu pantas dan saya berasa seperti dipaksa-paksa.
Awal kata saya telah kongsikan, Hartini mempunyai nostalgia. Ia pada corak penulisan, penghidupan watak dan keriuhan zaman. Saya menghargai usaha penerbitan semula novel yang pernah langka ini. Sesekali dapat juga merasai fantasi roman orang dulu.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Novel pertama yang buat saya jatuh cinta kepada watak fiksyen - cikgu hartini..owh..hahaha. Dan novel ini juga buat saya suka menulis surat. Heheh.
Ceritanya biasa-biasa saja sebenarnya, agak terlebih melodrama, tapi Aziz Afkar tahu bagaimana menyentuh hati anak-anak muda yang idealis dalam semua hal, termasuk hal-hal penulisan, perempuan dan cinta.
5 bintang untuk kenangan membaca buku ini ketika reaksi kimia di otak anak muda sedang di kemuncaknya. ; )
Membaca sejarah penerbitan Hartini menambah rasa ingin menyelami penulisannya. Walaupun teringin memiliki versi lama, tetapi melihat pada harga yang ditawarkan sebagai sebuah buku langka yang dikejar orang, terpaksa reda dengan versi/cetakan baharu oleh Fixi.
Selesai membaca Hartini dalam dua tiga hari mengikut kelapangan walaupun setelah bermula, sukar hendak melepaskan. Ketika memulakan bacaan, sudah terdetik di hati kekaguman terhadap penulisan buku ini. Bahasanya mengikut zaman ia dilahirkan. Plot penceritaan juga begitu. Memapar keadaan sosio-ekonomi watak-wataknya. Malah, menzahirkan perspektif keadaan masyarakat pada zaman tersebut, yang saya kira sekitar 70-an latar masanya.
Hartini mengisahkan seorang pelajar maktab perguruan, bernama Hartini yang tentu-tentu akan memegang status pendidik atau guru, telah jatuh cinta pada sebuah kisah novel yang dibacanya. Novel yang membuatkan dia tenggelam sepenuhnya dalam dunia watak. Menghayati kemiskinan dan segala kekangan watak dalam kehidupan yang melarat. Sehinggalah Hartini dikenalkan dengan penulisnya.
Melihat dan mengenal Amli, si penulis novel itu, kasih Hartini tertumpah tanpa sengaja. Tumbuh mekar bunga-bunga rasa di dalam hati gadis bakal bergelar guru. Daripada kasihan, menjadi kasih yang tersimpan. Daripada niat ingin melihat pemuda itu meneruskan penulisan, sehinggalah mereka berkasih dalam rasa yang terpendam. Kedua-duanya saling menyintai, tetapi keraguan terhadap keadaan diri menahan masing-masing daripada berterus-terang.
Hartini tulus membantu walau Amli itu buta akan perasaan Hartini padanya yang mekar. Hartini menghadiahkan Amli dengan barangan untuk memudahkan Amli terus menulis. Malah, memandu Amli terhadap dunia penerbitan sehingga daripada seorang pemuda miskin yang rendah diri, menyisih daripada masyarakat kerana malu dengan diri yang miskin hina, Amli menjadi terkenal dan kehidupannya mulai berubah.
Dia tidak pernah melupakan Hartini. Malah, tulus mencintai gadis itu. Tetapi, kerana salah sangka dan tidak pula ingin bertanya, Amli melepaskan keinginan memiliki hati Hartini. Sebaliknya, dia menyerahkan hatinya kepada Azimah, rakan serumah Hartini yang mulai menggilai Amli setelah Amli terkenal. Sedangkan, sebelum itu, Amli itu tidak langsung dipandang.
Hartini kecewa. Namun, kerana niatnya hendak melihat Amli bahagia, dia abaikan rasa sedih, pilu, kesal yang semakin menekan. Hartini berpindah ke Kota Bharu kerana ditugaskan mengajar di sana. Jarak menjadi duri, malah membutakan Amli dalam melihat perasaan Hartini padanya.
Semakin hari, semakin kedua-duanya menderita. Walau Amli sudah ada Azimah, tetapi hatinya masih pada Hartini. Hanya kerana kedua-duanya berahsia, maka masing-masing menanggung derita.
Kisah ini juga menaikkan keadaan hidup penulis pada zaman tersebut. Malah, masih relevan pada zaman ini apabila penulis tidak mengetahui hak mereka dalam setiap karya yang dihasilkan.
Diceritakan juga bagaimana punca ilham dan desakan penulisan berlaku. Bagaimana kematian jiwa, turut mengorbankan ilham dan rasa ingin mengarang seorang penulis itu. Diceritakan juga apakah aktiviti yang melingkungi kehidupan seorang penulis. Yang membantunya dalam membina jaringan perhubungan dalam masyarakat penulis itu sendiri. Lalu, membuka pandangan baharu terhadap dunia penulisan. Mulai memiliki ilmu-ilmu dalam hal tulis dan terbit. Tidak lagi boleh dipermain dalam memelihara karya.
Buku ini seeloknya dibaca oleh setiap penulis. Belajar daripada kehidupan Amli. Belajar daripada cara Aziz Afkar mengolah dan mengangkat isu masyarakat dalam kalangan penulis dan dunia penerbitan.
Pengakhiran kisah yang tragis namun memberi pengajaran dan membuka mata terhadap sesuatu hubungan selain dunia penulisan dan penerbitan.
Aku tersenyum bila buku fixi keluarkan karya ini sebab dulu aku boleh tengok dalam almati/rak cermin dekat rumah Yana di Pasir Panjang. (Tekalah siapa Yana ini. Hahaha) Aku pun tak berani nak sentuh atau usik dan hanya mampu google je buku macam mana. Hahah. 13 tahun berlalu, aku memnag terkejut sangat Buku Fixi keluarkan karya ini. Terima kasih buat Buku Fixi terbikan kembali karya ini. Terima kasih.
Aku menangis setitik dua untuk beberapa bab di dalam karya ini. Aku termenung sekejap bila habis membaca karya ini. Lama sikit nak habis baca, kitonyo busy.
Bagi aku, karya ini page turning juga lah. Lari daripada yang lain. Ending memang aku tak dapat nak agak. Walaupun jalan cerita untuk watak utama nya boleh di cerna ending. Pengunaan perkataan-perkataan yang jarang ada di dalam karya-karya yang lain yang begitu sedap di baca. Sedap nak mati bila baca. Tiap baris dan kata memang sedap. Hebat.
Emosi di dalam karya ini memang ada. Sedih itu paling banyak. Sebak sungguh bila baca. Aku suka bila penulis menggunakan telur di awal cerita dan di akhir cerita.
Ikhlas dari Budak Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, Tingkatan 6 yang jiwa remaja nya tengah menyembuh kerana dapat membaca karya ini.
Novel sastera lama yang menyentuh hati. Novel koleksi ayah (cetakan ketiga - 1975) dan dibaca masa sekolah rendah. Akan disimpan untuk kenangan masa hadapan. Very precious & has sentimental value for me.
sebenarnya dah lama aku kenal tajuk Hartini ni. kenal dari pak cik aku. dia cakap dia baca time zaman sekolah. cara dia review buat aku tercari2 sampailah one day jumpa kat PBAKL 2025, terus beli.
bila baca macam.. ehh aahlah. Ceritanya sedap sangat… aku suka <3 (T_T)
paling aku suka penulisan surat2 dalam buku ni penggunaan bahasa lembut, puitis, dan sangat menyenangkan jugalah bila dibaca. Aku pun terfikir betapa struggle-nya Amli nak jadi penulis. Rasanya semua penulis mesti ada struggle masing2 nak terbitkan karya. cuma zaman dulu cara dorang lain tak ada komputer. Internet apatah lagi..
Hartini pula baik sangat, sentiasa support Amli. Tapi bila tahu Amli ada hubungan dengan kawan dia… aku ikut patah hatiii. Karya ni memang best, aku akan simpan! Love <3
Sebuah novel yang meruntun jiwa dan menyayat hati dengan bahasa penulisan yang cukup menyentuh perasaan. Syabas Buku Fixi atas usaha menerbitkan semula karya-karya lama yang layak dinobatkan anugerah sastera untuk dinikmati pembaca zaman sekarang.
Buku yang pertama dibaca semenjak sekolah rendah.. walaupun buku satera klasik, tapi tetap ulang baca & setiap kali baca setiap kali tu akan mengalir air mata... walaupun dah baca 25tahun lepas, setiap watak & jalan cerita masih terimbau & membawa kesan yang mendalam. Masih ingat siapa Hartini, Amri, Azimah & seorang nenek buta... Best book ever... kalau ada 10 bintang, 10 bintang akan diberi... watak, plot, sub-plot, olahan, garapan, bahasa- semua best! Perfecto!