Cita sempurna itu adalah satu pandangan hidup yang menyeluruh bertujuan untuk mencapai masyarakat sempurna. Cita ini juga menggerakkan usaha yang hebat bagi menjayakannya. Dalam sejarah manusia, apa yang dianggap sebagai cita sempurna telah menjelma dalam pelbagai rupa. Lahir dan bangkitnya tamadun Islam pada kurun ke-6 dan ke-7 di Timur Tengah dapat dianggap contoh yang jelas sekali. Namun cita sempurna bukanlah sesuatu ideologi yang lengkap seperti dasar kenegaraan kapitalisma liberal, sempurna itu relatif pada waktu dan tempat. Tetapi landasan nilai dan gerakan emosi yang merupakan arus di bawah sungai itu adalah universal dan tidak relatif. Apa pun sistem masyarakat, keadaan apa pun yang berlaku, pada waktu manapun dalam sejarah, unsur cita sempurna yang mutlak harus dipisahkan dari meluasnya sesuatu nilai (value) di merata dunia (universal) dan semua waktu dalam sejarah. Mereka yang percaya pada falsafah relativisma tidak percaya adanya nilai yang absolute dan universal. Mereka sebetulnya salah faham dengan pengertiannya tentang nilai. Yang relatif adalah manifestasinya dalam budaya dan masyarakat setempat bukan intisari daripada nilai itu. Dari segi konsep intisari cita sempurna, kekejaman itu kekejaman. Yang menjadi soal apakah kekejaman itu berkuasa atau tidak, bukan kekejaman itu adalah kebaikan. Pentingnya disedari perbezaan antara yang mutlak dan relatif kerana yang relatif itu selamanya perlu didasarkan atas yang mutlak. Jika dilupakan dasar yang mutlak maka kehendak zaman yang merupakan penjelmaan cita sempurna akan diabaikan dalam lingkungan keadaan sejagat yang bersifat relatif tadi. Cita sempurna itu dihalangi oleh apa yang boleh disebut sebagai cita bencana. Cita bencana mempunyai tiga bahagian, yang pertama berkaitan dengan jenayah, yang kedua berkaitan dengan amalan perseorangan seperti salah guna dadah, gila judi atau ketagihan alkohol, dan yang ketiga berkaitan dengan nilai institusi, dan kepercayaan masyarakat, yang akan diruntuhkan oleh cita bencana ini. Sifat cita sempurna para pemimpin berkait rapat dengan cita sejarah. Definisi cita ini adalah konsep sempurna yang dipancarkan ke atas sejarah. Sebahagian meliputi suatu zaman, sebahagian didukung oleh suatu negara atau bangsa, dan sebahagiannya lagi menggerakkan diri perseorangan. Masalah cita sejarah ini saya kaitkan dengan persoalan pembasmian rasuah dan penindasan. Pemimpin perlu dipengaruhi oleh cita sejarah yang mengandung unsur moral yang tinggi. Jika cita sejarahnya tidak mengandung unsur moral yang tinggi dan penuh dengan kemanusiaan, maka kesannya akan buruk dan berbahaya bagi masyarakat.
Syed Hussein Alatas (September 17, 1928 – January 23, 2007) was a Malaysian academician, sociologist, founder of social science organizations, and former politician. He was once Vice-Chancellor of the University of Malaya in the 1980s, and formed the Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan). Syed Hussein wrote several books on corruption, multi-racialism, imperialism, and intellectual captivity as part of the colonial, and post colonial, project, the most famous being The Myth of the Lazy Native.
Teguran halus penuh hikmah oleh Syed Hussein Alatas terhadap politikus-politikus dunia melalui lensa sejarah. Model-model pemimpin yang dibawa cukup menggambarkan sesebuah kepimpinan sejahtera (pemimpin yang benar-benar menghidupkan budaya ilmu, bebas korupsi dll) yang diidam-idamkan oleh rakyat jelata. Jika syarahan yang memfokuskan perbincangan terhadap sosok tubuh penguasa pun sudah begini, apatah lagi jika perihal urus tadbir mereka diperbahaskan oleh sosiologis kritis ini pada kemudian hari!
Review ringkas ini ditulis hanya selepas hampir sebulan lebih yang lalu saya tamat mmbaca karya Syed Hussein Alatas ini.
Pembacaan ini dibuat sebagai persiapan bagi sesi Postcolonial Reading Session yang kami di Imagined Malaysia anjurkan. Setiap sesi kami akan membedah beberapa esei atau teks ringkas yang membahaskan hal-hal yang berkait dengan subjek pascakolonial. Teks ini antara teks pilihan dan dibahaskan pada sesi lalu.
Umumnya, saya sedikit musykil dengan ide 'Cita Sempurna Warisan Sejarah' yang cuba digagaskan oleh Prof Syed Hussein Alatas. Adakah ianya satu visi moral? Apakah perkaitan universal dengan 'particular' dalam gagasan moral yang dibawakan Syed Hussein ini? Prof ada meringkaskan beberapa contoh dan senarai prinsip-prinsip moral yang beliau hujahkan sebagai sesuatu yang universal, antaranya bersikap ihsan pada binatang( contohnya menyembelih mereka dengan etika yang betul, etc) .
Barangkali saya yang membaca buku ini dari sudut pandang falsafah, saya agak musykil apabila prinsip-prinsip universal yang digariskan oleh prof tidak dinyatakan hujahnya mengapa ianya universal? Apakah foundasi ide-ide moralitas ini?
Pastinya, saya fikir, kemusykilan ini bisa dijawab oleh prof. Barangkali terjawab dalam tulisan-tulisan beliau yang lain yang saya tidak ketahui. Dan teks ini juga merupakan satu syarahan, atau barangkali seperti manifesto, yang menggesa masyarakat kembali berpijak pada landasan moral tertentu.
Namun saya juga kadangkala kaget dengan sikap sesetengah pembaca yang tidak mahu membaca karya-karya prof dengan kritis. Paling malang sekali, gagasan 'Cita Sempurna Warisan Sejarah' ini menjadi cogan yang tiada arah tuju oleh sebahagian pembacanya, seperti lirik sorakan yang boleh didendangkan pada setiap meja diskusi bagi melengkapkan syarat untuk nampak intelektual.
Dalam buku ini Alatas banyak membawakan cerita-cerita dulukala dan juga kini atau moden (pada zamannya). Raja-raja zalim dalam Islam juga didedahkannya tanpa perlu bersikap apologetik seperti kebanyakan ahli akademik Kanan terutama di Malaysia hari ini. Dan itu bukanlah sifat khusus kepada raja-raja zalim dalam Islam sahaja, bahkan juga di Barat suatu masa dahulu. Absolute power selalunya menatijahkan corrupt absolutely, bak kata Lord Acton (jika aku tak salah). Jadong, Cita Sempurna, Cita Bencana, antara yang cuba dihuraikan dalam naskhah nipis yang jarang-jarang boleh dijumpai ini. Alatas juga masih meneruskan 'kempen'nya yang tak langsung iaitu, sosialisme di dunia ini, bukan hanya ada dalam bentuk Marxisme, bahkan juga ada dalam bentuk-bentuk yang lain, disebutkannya tentang seorang sosialis dari Jepun iaitu Kawai Eeijiro, seorang sosialis yang bukan Marxis. Persoalan Relativisme versus Absolutisme juga dipertentangkan dalam naskhah ini, yang mana Alatas agak bersungguh dalam mengkritik hal-hal yang dikatakan relativisme (dalam bab moral, budaya dan nilai-nilai). Baginya baik buruk itu bukan sesuatu yang relativisme, tetapi absolute lagi universal, dulu, kini dan selamanya.
Buku ini lahir dari syarahan umum Prof. Alatas, ianya tentang konsep cita sempurna, cita bencana dan cita sejarah. Malah dari buku ini juga menjelaskan tentang sifat jadong (jahat, bodoh, sombong) penguasa dan empat jenis pemimpin. Setelah bermesra dengan idea konsep ini, saya amat tertarik dengan cita sejarah. Bagi saya cita sejarah amat mustahak diperlukan dengan keadaan masyarakat kita yang sekarang.
“Pemimpin-pemimpin perlu dipengaruhi oleh cita sejarah yang mengandungi unsur moral yang tinggi.”
Kandungan isi sejarah seperti yang dinyatakan oleh Prof. dapat mempengaruhi pemimpin meneruskan cita sempurna. Bukan sahaja pemimpin, rakyat terutamanya anak-anak muda amat wajar diteraskan dengan pembelajaran sejarah yang tidak dihukum tentang salah atau benar, tapi mengangkat nilai moralnya. Cita sejarah juga bukanlah sudut fakta semata-mata. Sejarah sekunder atau cerita fiksyen baik dan selain bahan bacaan sekalipun mampu menyiapkan cita sempurna.
Demi menghidupi cita sempurna kini, dari pandangan peribadi saya, jadilah rakyat yang lebih pandai dari pemimpin. Kita mampu membanteras dari dijadongkan oleh mereka. Bahkan contoh empat jenis pemimpin dalam buku ini boleh dijadikan sebagai check & balance melihat gerak-geri peribadi kepada sistem tunjangan pentadbiran.
Sebenarnya untuk mengharapkan jawapan cita sempurna itu hadir dari naskhah ini sahaja tidak memadai. Saya mengharapkan ada ahli-ahli bijak yang lain mentafsirkan, mengkritik atau memanjangkan lagi konsep ini sesuai dengan keperluan masyarakat kini. Bila hal jadong semakin berleluasa dan hal cita sejarah disenyapkan, mana mungkin dunia boleh sempurna.
SEBAGAI ahli sosiologi, Allahyarham Syed Hussein Alatas adalah ilmuwan paling berkredibiliti dalam merenung perwatakan khalifah Islam dan menuangkan kajian dan cerakinan beliau ke dalam syarahan perdananya, Cita Sempurna Warisan Sejarah yang turut dibukukan dengan judul yang sama.
Daripada cita sempurna yang bermaksud pandangan hidup yang menyeluruh bertujuan untuk mencapai masyarakat sempurna itu, beliau menyelongkar sejarah khalifah bermula daripada yang empat sehinggalah permata yang muncul daripada lembah besar khilafah Islamiah.
Beliau turut melawankan cita sempurna dengan cita bencana yang terlalu banyak sempadan yang boleh dilihat dalam sejarah panjang ketamadunan Islam. Ia bukanlah atas dasar untuk memburukkan keagungan Islam, sebaliknya sebagai peringatan kepada pemimpin dunia Islam pada masa kini.
Buku ini mengingatkan kita empat cita yang dikemukakan boleh dilihat tersalin pada ketokohan dan perwatakan pemimpin sedia ada terutama cita ketiga yang memperlihatkan kontradiksi pada sumbangan dan keperibadian seperti yang ditampilkan melalui Khalifah Walid bin Abdul Malik dari Khilafah Bani Umaiyah - memberikan sumbangan yang besar daripada ketamadunan tapi punya keperibadian yang muncul daripada jiwa yang bengis dan kejam serta dikelilingi wazir dan gabenor yang jahat (kecuali Umar bin Abdul Aziz yang kemudian membetulkan alur sejarah).
Didalam buku ini, Syed Hussien Alatas menekankan bahawa cita sempurna itu adalah pandangan hidup yang menyeluruh untuk melahirkan masyarakat yang sempurna. Deklarasi hak manusia "dihadapan dan di bawah lindungan Yang Maha Kuasa" yang telah diluluskan oleh Majlis Kebangsaan Perancis pada 26 Ogos 1789 sudah ditekankan oleh Saidina Ali RA dalam suratnya kepada Malik Al-Ashtar berkenaan melaksanakan keadilan kepada rakyat. Apa yang ditekankan oleh Saidina Ali ini adalah lanjutan daripada kepimpinan Rasulullah SAW dan Khulafa Ar-Rasyidin yang lain berkenaan falsafah pentadbiran Islam.
Best introduction to Prof. Syed Hussein Alatas's philosophy because if you read this, you will gain deeper understanding of his other works like the core, the base of his thoughts, the summary that summarizes the rest of his scholarly works (hah).
But, i have to admit, I am not a fan of religious humanism but i can take this well.
Buku ini ialah syarahan Profesor Syed Hussein Alatas (seterusnya Alatas) yang disampaikan pada tahun 2000 dalam siri Syarahan Umum Bangi. Syarahan ini juga menggagaskan konsep cita sempurna dan jadong buat pertama kalinya.
Banyak perkara yang saya kurang bersetuju dengan buku (atau syarahan ini). Namun, sebelum sanggahan dilakukan, mari kita meninjau terlebih dahulu inti sari buku ini.
Cita sempurna ditakrifkan sebagai “pandangan hidup untuk mencapai masyarakat sempurna”. Cita sempurna bersifat mutlak, walaupun kadangkala nilai penerapannya boleh berubah (relatif). Justeru, Alatas menegaskan bahawa “mutlak” itu ialah “meluasnya sesuatu nilai (value) di merata dunia (universal) dan semua waktu sejarah”. Pada bahagian inilah, Alatas menyanggah kelompok yang berpegang kepada fahaman relativisme. Ujar Alatas, yang relatif itu ialah manifestasi dalam budaya dan masyarakat, bukan intisari nilai itu. Misalnya, pembunuhan itu mutlak walau berubah zaman. Lantas, bukanlah nilai pembunuhan itu yang kita ingin bicarakan, sebaliknya adakah pembunuhan itu turut disadur dengan kekuasaan apabila ia dilaksanakan. Perbincangan soal “kuasa” sering melatari kelompok gagasan ilmu mandiri Alatas (atau sosiolog). Misalnya, sedari bahagian awal buku, telah dinyatakan, bahawa perogolan bukan terjadi kerana nafsu seksual semata-mata, tetapi ia adalah bentuk “kekuasaan” yang diterapkan kepada pihak yang lebih lemah. Saya sendiri kurang mengerti konsep “kuasa” yang mereka bincangkan, maka saya pinggirkan dahulu ia.
Alatas mensabitkan cita sempurna ini kepada 17 hak individu manusia dan warganegara yang digunapakai oleh Majlis Kebangsaan Perancis 26 Ogos 1789 (sejurus selepas Revolusi Perancis 1789 meletus). Walau bagaimanapun, sekiranya diamati dengan teliti, begitu banyak ambiguiti (kekaburan) pada fasal-fasal yang ditetapkan, terutamanya pada enam fasal yang berkaitan kebebasan. Yang menghairankan, Alatas menerima fasal-fasal ini, bahkan menyatakan bahawa fasal ini ialah terjemahan kepada cita sempurna.
Persoalannya, adakah dengan berpasak kepada takrifan “kebebasan” Barat itu melahirkan “pandangan hidup untuk mencapai masyarakat sempurna”? Adakah Barat berjaya melahirkan “masyarakat sempurna?” Jika benarlah sekalipun cita sempurna yang dicanangkan oleh Alatas ini menerima pandangan daripada Barat (kefahaman saya begitu, andai salah, mohon diperbetulkan), bukankah perkara ini bertentangan secara nyata dengan konsep “ilmu mandiri” yang beliau sendiri gagaskan? Menerima epistemologi Barat yang sarat dengan kerancuan dan pertentangan, bahkan terbina dengan syak, adakah “ilmu mandiri” menerima perkara ini? Banyak lagi persoalan-persoalan yang saya ingin ajukan, namun yang paling utama ialah, mengapakah Alatas tidak mensabitkan Cairo Declaration on Human Rights in Islam sebagai cita sempurna? Deklarasi ini diluluskan pada tahun 1990, dan syarahan Alatas ini berlangsung pada tahun 2000. Adakah dalam selang masa 10 tahun ini, Alatas tidak pernah mendengar perihal deklarasi ini? Sekiranya pernah, mengapa beliau tidak menerimanya sebagai “cita sempurna”?
Selanjutnya, Alatas menambah bahawa Revolusi Perancis 1789 ini bukan sekadar revolusi, tetapi “regenaration of man” (kelahiran semua manusia). Jelas bahawa Alatas melihat pergolakan di Barat sebagai satu “bentuk pandangan hidup untuk mencapai masyarakat sempurna”, sekali gus mengabsahkan segala persoalan saya pada perenggan di atas. Walhal, pada halaman yang lain, cita sempurna itu ialah “sistem masyarakat yang disusun oleh nilai-nilai kemanusiaan” (h. 23). Bagaimana sebuah revolusi yang meragut nyawa 16,000 manusia itu dinisbahkan sebagai “nilai-nilai kemanusiaan”? Di manakah letakduduk “kemanusiaan” di situ? Sungguh saya benar-benar keliru dengan pandangan ini. Tapi, tidak mengapa. Kita tinggalkan dahulu kekeliruan ini.
Bertentangan dengan konsep cita sempurna ini ialah cita bencana. Alatas menyatakan bahawa cita bencana ini ada tiga bahagian: (1) jenayah, (2) amalan perseorangan seperti dadah, judi dan ketagihan alkohol, dan (3) nilai institusi dan kepercayaan masyarakat. Walaupun pada pendapat saya, konsep cita sempurna ini masih tidak ‘matang’, namun dapatlah difahami bahawa segala yang buruk itu ialah cita bencana dan segala yang baik itu cita sempurna.
Kemudian, buku ini dilanjutkan dengan empat jenis pemimpin. Setiap jenis pemimpin ini diukur dengan cita sempurna dan cita bencana. Jenis pertama, pemimpin yang mempunyai cita sempurna. Alatas mengkelompokkan tiga sahabat Khulafa’ Ar-Rasyidin dalam jenis pertama. Ini saya hairan juga! Mengapa Alatas menggugurkan Saidina Utman Affan رضى الله عنه daripada kelompok ini? Mengapa ada semacam kecenderungan untuk membezatarafkan Saidina Uthman daripada khalifah yang tiga?
Jenis kedua pula ialah pemimpin yang berusaha mendorong cita bencana kepada cita sempurna. Contoh yang diberikan ialah Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan Salahuddin al-Ayubi. Riwayat Salahuddin al-Ayubi dibicarakan dengan panjang lebar di sini.
Jenis ketiga ialah kelompok yang mempunyai cita sempurna dalam pentadbiran, namun buas dan kejam pula dalam tindakan peribadi. Al-Walid bin Abdul Malik atau Al-Walid I (668-715), khalifah keenam Bani Umaiyyah, Ghiyas ud din Balban (memerintah Delhi daripada 1266-1287) dan al-Qahir (khalifah Abbasiyyah ke-19) tergolong dalam pemimpin jenis ketiga. Mereka ini, pada satu sisi memerintah dengan syariah, namun pada yang sama, ribuan manusia mati di tangan mereka. Ada kerancuan identiti pada pemimpin ini saya kira.
Yang terakhir, pemimpin yang menumbuhkan cita bencana, hinggakan mereka selayaknya digelar jadong (jahat, bodoh dan sombong), misalnya Sayf al-Din Khushqadam dan Muhammad bin Tughluq (selama 26 tahun beliau memerintah, 22 pemberontakan telah wujud).
Mengapa para pemimpin yang dibicarakan dalam cita sempurna ini? Alatas berpendapat bahawa tingkat pencapaian masyarakat dipengaruhi oleh golongan berkuasa. Maka, sekiranya mereka tidak mempunyai cita [sejarah] sempurna, bahana buruk akan menimpa masyarakat.
Sejurus selepas saya selesai membaca keseluruhan buku, satu persoalan lagi timbul: mengapa cita sempurna tidak dibicarakan dengan panjang lebar dalam buku ini? Konsepnya masih kabur dan tidak ‘matang’ untuk dijadikan sebagai sebuah konsep, pada pandangan saya. Sebaliknya, cinta bencana lebih banyak dihuraikan dalam menelusuri sejarah Islam.
Namun, melalui perbincangan ringkas dengan teman saya, beliau berpendapat bahawa barangkali idea ‘cita sempurna’ memang masih belum sempurna dan tidak sempat disempurnakan. Barangkali ada benarnya. Idea-idea Alatas yang lain memang lebih utuh dan teguh. Justeru, saya berharap agak generasi ilmu mandiri Alatas yang seterusnya dapat memperkemaskan semula konsep cita sempurna ini.
Penulis menyatakan setiap manusia berhak untuk mendapatkan keadilan sosial. Beliau memberi contoh meletusnya Revolusi Amerika dan Revolusi Perancis. Penulis yang luas pengalaman turut berkongsi dengan pembaca tentang usaha murni berserta contoh-contoh kejadian yang memerihalkan tentang cita sempurna, sama ada di Barat mahupun di Timur dan tidak terkecuali di Amerika Latin. Jauh sebelum itu, penulis menarik kita - pembaca untuk melihat kebaikan dalam pentadbiran yang diusahakan oleh pemimpin Islam terutamanya oleh para sahabat Rasulullah S.A.W. semasa pemerintahan Khulafa al-Rasyidin.
Penulis meletakkan suatu daya kepimpinan dan pentadbiran yang baik berdasarkan cita sempurna. Cita yang menggalakkan kebaikan, kesejahteraan, kebebasan, pendamaian, keadilan dan seumpamanya. Pertentangannya ialah cita bencana yang lebih banyak menjadi 'pendamping' pemimpin di mana-mana tamadun, empayar dan negara. Seterusnya penulis membahagikan 4 ciri jenis pemimpin dengan menggunakan contoh-contoh pemimpin dalam tamadun Islam, sama ada di India, Tanah Arab, Mesir mahupun di Turki. Cita sempurna akan memberi kebaikan kepada rakyat dan masyarakat dan cita bencana akan memberi kesan sebaliknya.
Cita Sempurna is Prof Alattas' last big idea before his demise but it felt unfinished - maybe the whole idea was to have it continued my his disciples and future scholars.
Cita sempurna was anchored on humanism and somehow that makes it felt 'imperfect' as one will encounter contradictions of ideas throughout the monograph.
Buku ini secara ringkas menerangkan idea cita sempurna/cita bencana/cita sejarah dalam sesebuah pemerintahan. Yang menjadikan buku ini menarik adalah fakta sejarah yang diguna pakai buat menerangkan idea cita sempurna/cita bencana/cita sejarah. Gagasan cita sempurna masih banyak kekurangan. Bagaimana pun buku ini mencapai maksud tajuknya. Cita Sempurna Warisan Sejarah.
Buku yang ringkas ini sangat ringkas. Tak keterlaluan kalau mengatakan isinya seperti berada di permukaan sahaja. Mungkin saya tidak mampu menangkapnya sebagai seorang pembaca namun saya tidak mampu untuk memahami makna di sebalik cita sempurna warisan yang ingin disampaikan oleh SHA. Mungkin ada karangan SHA yang lain yang perlu dibaca sekali dengan naskhah ini.