Buku TANPA AMPUN : TIGA TAHUN DIBURU JEPUN DI RIMBA MALAYA.
Bilangan Halaman : 433 Halaman.
Mula Dibaca : Isnin, 10 Jamadil Akhir 1447 Hijrah, 01 Disember 2025.
Tamat Dibaca : Isnin, 01 Rejab 1447 Hijrah, 22 Disember 2025.
Setiap kali membaca atau mendengar kronologi sejarah penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu semasa Perang Dunia Kedua, kisah-kisah yang sering disebut sudah pastinya kepahlawanan Leftenan Adnan memimpin sepasukan askar Melayu memperlahankan kemaraan tentera Jepun di Bukit Chandu, kisah-kisah kezaliman tentera Jepun atau kisah 'comfort women'. Percaturan strategi perang yang sangat kontra antara General Yamashita dan General Arthur Percival sering dibahaskan.
Tetapi, jauh di dalam hutan belantara yang sangat tebal juga menyimpan begitu banyak kisah. Keseluruhan buku ini adalah catatan penulis sebelum, semasa dan selepas berlangsungnya penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu dan inti pati utama adalah memoir tiga tahun penulis bertahan hidup di dalam hutan belantara.
Tiba-tiba aku teringat dengan kata-kata seorang pesara tentera di dalam sebuah audio siar bahawa jika kita mengenali hutan maka hutan akan menjadi kawan kita. Begitu juga catatan di dalam buku ini. Hutan tidak mengenal siapa. Hutan bersifat natural sama ada terhadap kawan atau lawan.
Penulis yang juga seorang komando tentera British dihantar bertugas ke Malaya dan merangka satu pelan untuk membina pasukan-pasukan kecil yang akan dipimpin oleh pegawai British atau nama lainnya dipanggil sebagai pasukan gerila. Tetapi sayang, seperti mana-mana kerenah birokrasi di dunia, pegawai tinggi tidak bersetuju dengan pelan tersebut kerana mereka begitu bodoh dengan menganggap Jepun tidak akan mampu menyerang Malaya. Sudahnya, pelan itu diperam begitu sahaja sehinggalah British tidak mampu menahan kemaraan tentera Jepun yang bermula dari utara Semenanjung Malaya. Sudah sangat terlambat dan tidak cukup masa untuk melatih walau satu pasukan kecil dan pelan itu mula dijalankan dalam keadaan tiada persediaan yang tersusun.
Membaca buku ini walaupun ia adalah bukan fiksyen tetapi gaya tulisannya itu mirip sebuah novel fiksyen berlatarbelakangkan suasana peperangan, cuma yang membezakannya sudah tentu realiti yang tidak seindah fantasi. Harus aku akui, cukup banyak aku tertipu dengan filem-filem genre peperangan dari Barat kerana hakikat sebenar peperangan itu penuh kesengsaraan. Peperangan di Malaya yang tidak memihak kepada British pada waktu itu mendorong penulis untuk melaksanakan operasi yang paling tidak pun, mampu memperlahankan kemaraan tentera Jepun sehingga pasukan bantuan Tentera Berikat tiba di Malaya.
Penulis bersama sepasukan kecil anggota cuba melaksanakan operasi-operasi sabotaj terhadap keperluan logistik pihak musuh seperti memasang bahan letupan di landasan keretapi dan menyerang hendap konvoi tentera Jepun di jalanraya. Operasi yang dirancang dengan teliti dan penuh kepayahan tidak semestinya membuahkan hasil yang diidamkan. Walaupun hasil dari operasi-operasi sabotaj ini berjaya membunuh sangat ramai tentera Jepun dan bukan sedikit keperluan logistik mereka yang musnah tetapi ia seperti tidak memberi apa-apa kesan. Tentera Jepun tetap mara dengan pantas hingga Singapura dan berjaya menakluki keseluruhan Malaya dalam tempoh yang sangat singkat.
Penaklukan Jepun bukan sahaja membawa kesengsaraan dan keruntuhan ekonomi di Malaya tetapi turut mencambahkan benih ideologi sesat dan radikal yang menimbulkan masalah berpuluh tahun lamanya selepas tamat Perang Dunia Kedua. Gerakan Komunis yang disalut dengan nama Malayan People's Anti Japanese Army (MPAJA) bertebaran di seluruh negara dengan kem-kem mereka dibina jauh di hutan tebal, di lokasi yang dianggap sukar ditemui tentera Jepun. Pada zahir, gerakan gerila ini bertujuan mengusir tentera Jepun dari Malaya tetapi objektif utama mereka adalah menubuhkan sebuah Republik Malayan dan cuba membawa ideologi Komunis yang memerintah Tanah Besar China.
Tentera Jepun pada waktu itu mampu bergerak jauh di dalam hutan belantara untuk memburu gerila Komunis. Mungkin dari maklumat yang diperolehi dari perisik atau mereka yang ditangkap oleh tentera Jepun yang ada kaitan dengan gerila. Pada bab-bab awal, beberapa kali dicatatkan tentera Jepun melaksanakan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Cina. Boleh jadi untuk memutuskan bekalan makanan kepada gerila dan pada bab yang lebih jauh ke hadapan, penulis menceritakan pengalamannya ditangkap kemudian diburu tentera Jepun jauh di dalam hutan. Orang Sakai turut menjadi mangsa kekejaman Jepun kerana kaum orang asli ini turut membantu gerila Komunis.
Dalam usaha menyelamatkan diri dari buruan tentera Jepun, penulis mencatatkan dengan terperinci kepayahan yang dialami semasa berpindah dari satu kem ke kem yang lain. Setiap kem berbeza cara pengurusan. Ada yang tersusun dan ada juga yang cacamarba. Tiga tahun meneruskan kelangsungan hidup di hutan tidak mudah. Penulis beberapa kali jatuh sakit akibat diserang demam malaria dan pernah mengalami cirit-birit serta sakit gigi yang dahsyat, mungkin kerana penulis memakan apa sahaja yang diperolehi asalkan dapat meneruskan hidup. Itu belum lagi cerita perjalanan penuh azab berhari-hari meredah hutan tebal di mana penulis terpaksa mendaki dan menuruni curam yang sangat berbahaya, menggigil kesejukan akibat tidak berjaya menemui tempat perlindungan yang selesa semasa hujan lebat turun mencurah-curah dan meredah sungai berarus deras.
Di dalam hutan tebal, penulis banyak dibantu oleh kaum asli Sakai yang memang terbukti mahir selok-belok kelangsungan hidup di hutan malah penulis banyak mencatatkan perihal cara hidup kaum asli ini termasuklah binaan rumah mereka yang kemas dan efektif walau kita tahu kaum asli ini tidak pernah mempelajari ilmu seni bina di dunia moden yang asing bagi mereka. Memburu dan bercucuk tanam merupakan cara mereka menyara kehidupan, bermakna mereka menguasai keilmuan dalam kedua-dua bidang tersebut juga tanpa diajar oleh mana-mana manusia bertamadun. Kehidupan lasak melahirkan generasi yang memiliki daya tahan dan kemahiran yang tidak dikuasai oleh masyarakat bandar yang terbiasa dengan kehidupan penuh keselesaan. Mungkin salah satu teknik rawatan yang sesuai buat mereka yang bergelut dengan bermacam jenis penyakit emosi dan mental perlu dibawa untuk menikmati kehijauan alam yang jauh dari keserabutan bandar.
Penulis pernah mendengar seorang Sakai pernah membacakan sesuatu yang alunannya begitu menakjubkan, seperti sebuah doa. Adakah orang Sakai itu membacakan ayat Al-Quran? Wallahua'lam.
Pada peringkat awal, ramai orang Cina yang menyertai gerila dengan semangat yang meluap-luap untuk menentang tentera Jepun tetapi ada yang tidak bertahan lama kerana kehidupan di kem gerila tidak jauh bezanya dengan kehidupan di luar yang penuh sengsara. Penulis sendiri menyatakan dia cukup benci dengan ideologi politik yang cuba dibawa pemimpin-pemimpin gerila dan mereka sebenarnya lebih peduli dengan penubuhan Republik Malaya berbanding mengusir tentera Jepun keluar. Penulis mencatatkan rutin harian di kem gerila yang sungguh membosankan. Ada waktunya anggota gerila perlu belajar menyanyi dan mereka tidak berminat dengan latihan-latihan asas pertempuran seperti menembak dan memasang bahan letupan sebaliknya lebih sibuk untuk mengetahui hal-hal yang belum sampai masanya untuk mereka pelajari. Ibarat tidak mahu menguasai sifir asas matematik tetapi sibuk nak tahu teori-teori dalam bidang Fizik atau Kimia.
Sepanjang berpindah-pindah antara kem gerila selama tiga tahun ini, penulis banyak menghasilkan buku panduan pertempuran di hutan dan mengajar latihan asas kepada gerila. Mungkin aku boleh kata, penulis adalah punca atau penyebab kepada kesengsaraan yang dialami rakyat Tanah Melayu semasa era Komunis bermaharajalela dalam tempoh puluhan tahun selepas Perang Dunia Kedua? Di penghujung buku pun penulis menyebut bahawa ada tanda-tanda gerila tidak dapat dikawal sejak tentera Jepun menyerah kalah. Aku tidak setuju apabila penulis menyebut peralihan kuasa dari Jepun kepada British berlaku secara aman, boleh jadi bukan semua maklumat sampai kepada penulis. Di beberapa tempat di Tanah Melayu pada waktu itu terjadi beberapa siri pertempuran antara orang Melayu dengan Komunis seperti di Batu Pahat, Johor dan Sungai Manik di Perak.
Jika sebelum ini aku pernah membaca kekejaman Chin Peng membunuh anggota pasukan keselamatan dan pernah meletupkan Tugu Negara, buku Tanpa Ampun ini mendedahkan penglibatan peringkat awal si musuh negara ini dalam gerila Komunis yang berperanan mengatur laluan bekalan makanan dan banyak membantu urusan anggota tentera British. Sampai hari ini pun pihak-pihak yang ingin mengiktiraf Komunis sebagai pejuang kemerdekaan belum lagi berhenti dari terus memesongkan naratif sejarah, maka kita sebagai umat Islam lebih perlu menguasai sejarah supaya segala hujah mereka dapat terus dipatahkan. Jika lapan puluh tahun lalu, generasi awal Komunis di Tanah Melayu hidup jauh di dalam hutan rimba tetapi sekarang mereka hidup selesa mencatur pelbagai agenda demi menjayakan matlamat mereka. Agenda Republik Malaya belum terkubur dan Komunis belum kalah, mereka cuma dalam fasa gencatan senjata.
Hubungan yang dijalin antara British dan gerila Komunis tidak lebih dari sekadar memanfaatkan kelebihan antara satu sama lain dalam menentang musuh yang sama iaitu Jepun. British menyediakan segala kelengkapan perang buat gerila dan gerila pula perlu membantu British dari banyak segi sepanjang operasi ini berlangsung. Tetapi, apabila Jepun menyerah kalah, gerila Komunis mula jelas kelihatan mahu buat 'kepala' sendiri. Gerila Komunis ibarat anjing yang dilatih dan dijaga tuannya tetapi apabila ikatan di lehernya terlerai, anjing ini mula menggigit sesiapa sahaja termasuk tuannya sendiri.
Selain gerila Komunis, ada beberapa lagi faksi lain yang turut memainkan peranan dalam landskap penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu. Aku tidak pasti sama ada kumpulan penjahat yang dicatatkan dalam buku ini adalah geng kongsi gelap tetapi mungkin kumpulan seperti ini lahir dari kesengsaraan hidup akibat peperangan. Kumpulan penjahat ini kerjanya cuma merompak dan menjarah dan pernah juga terlibat dalam pertempuran dengan gerila Komunis. Mereka tidak peduli siapa, asalkan boleh dapat makanan dan keperluan lain, mereka sapu bersih. Mereka pernah meminta penulis supaya melatih dan membekalkan mereka dengan senjata untuk memerangi tentera Jepun hingga penulis sendiri memuji kumpulan penjahat ini lebih cekap mengendalikan senjata api berbanding gerila Komunis.
Ada satu lagi faksi yang tidak pernah aku dengar iaitu kumpulan pembunuh kepada pembelot. Mereka pernah membunuh lebih seribu orang yang dianggap sebagai perisik dan tali barut kepada Jepun. Mereka tidak peduli dengan agenda Republik Malaya, yang mereka mahu cuma bertempur dengan tentera Jepun. Sepertimana gerila Komunis, kedua-dua faksi ini turut membina kem di dalam hutan belantara. Aku terfikir, menarik juga jika sebuah novel atau filem fiksyen diilhamkan dari kisah sebenar pergolakan antara faksi dan penjajah ini. Masing-masing ada agenda sendiri. Berpakat dan menentang sesama sendiri demi mencapai objektif yang sama.
Bukanlah niat aku menulis rumusan buku ini untuk menyanjung penulis tetapi ada beberapa sifat penulis yang kita sebagai umat Islam lebih patut amalkan dan jadikan sebagai rutin harian. Sepanjang tiga tahun berada di hutan, penulis mengisi masa dengan mengamati dan merekodkan pilihan jenis burung. Kajiannya itu mahu dijadikan sebagai satu sumbangan dalam bidang keilmuan. Walaupun menjalani kehidupan penuh kepayahan dalam suasana peperangan, penulis cuba mencari masa untuk membaca buku dan tidak betah duduk diam tidak berbuat apa-apa. Jika tidak keluar memburu, tangan penulis ligat membina peralatan yang memudahkan kehidupan di kem seperti perabot dan ketuhar.
Sebuah bangsa yang pernah hidup dalam zaman gelap, tidak kenal apa itu sabun mandi dan berus gigi yang kemudiannya terhutang budi dengan dunia Islam, hari ini mereka menguasai dunia kerana mereka tidak mengenal erti penat dalam mengembangkan ilmu. Umat Islam mutakhir ini dibuli dan ditekan kerana tidak memahami ajaran Islam yang sebenar yang meletakkan kepentingan menimba ilmu di tempat yang tinggi.
Tidak malukah kita?
Harga senaskhah buku ini sangat berbaloi dengan saiz buku yang besar dan kualiti kertas halaman yang tebal. Ini baru betul buku yang menepati cita rasa aku yang cerewet! Pengalaman membaca buku ini sungguh nikmat kerana hampir tidak ada perkataan yang ditulis di dalam buku sekadar untuk memanjangkan penulisan. In Shaa Allah aku akan cuba membaca buku-buku lain terbitan IBDE, tetapi kena kumpul duit dulu.
#mohdnoorbuku
#mohdnoor