Bumi Lestari Hishamudin terpaku. Ikrar selagu, senada dengan sumpah Hippocrates sewaktu tamat belajar dahulu meladung rindu. Dia ikut Nullah mengembara meski destinasi tidak serupa.
Ulu Pelangi dan Sungai Gemawan yang kini tinggal nama; tetapi bekas penghuninya belum tinggal pusaka!
______________________________ Novel ini telah memenangi tempat KEDUA Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (ExxonMobil) 2010 Pertama Bimasakti MenariSri Rahayu Mohd Yusop Kedua Bumi LestariRebecca Ilham Ketiga SMSMuhammad Teja
A Malaysian short-story writer and novelist, Rebecca also writes literary essays and travel articles. A bilingual, she translates to/from Malay and English, and is currently learning Korean with an interest in East Asian literature.
Rebecca graduated from the National University of Malaysia with a Master of Art in Malay Letters and a Bachelor of Science (Petroleum Engineering) from Colorado School of Mines, USA.
Bumi Lestari ialah suara kemanusiaan pada pentas global tentang alam sekitar - yang dibawa dengan susah-payah pengarang ke sekeping tanah di buminya. Isu ini sebenarnya sering diungkapkan pengarang dalam genre cerpen - ia tampil kali ini sebagai novel remaja.
Pada masa sama, latar Bumi Lestari besar sebenarnya; dari hak hidup penduduk pribumi kepada ghairah kapitalisme atas nama pembangunan hinggalah alam sekitar.
Bagaimanapun, watak dalam karya ini boleh dianggap banyak untuk novel setebal ini, selain adakalanya mengganggu dengan serpihan plot yang tidak perlu.
Sesekali imbasan peribadi pengarang muncul, kemudian hilang di sebalik watak lelaki yang mencuri tumpuan watak utama.
Bagaimanapun, mengingatkan ia adalah cubaan pertama pengarang untuk tampil dalam karya yang lebih panjang berbanding cerpen yang dilaziminya sebelum itu, buku ini wajar dijadikan bacaan kepada pembaca remaja.
Untuk mereka yang meminati kisah rakyat Sabah dan Sarawak, yang diambil hak hidup dan keselesaan mereka atas nama kemewahan berpaksi definisi Barat, novel ini amat sesuai untuk membuka mata kita bahawa mereka di sana sentiasa dinafikan hak sebagai rakyat. Penjelasan ringkas dan pasti membuat kita rasa, "apa patut aku buat untuk bantu mereka?" Dunia kapitalis dan rakus, Tengku Adli dan Amira tahu mereka tidak boleh mengawal orang besar namun pasti ada jalan untuk mengubah nasib rakyat di Ulu Pelangi walau hanya sebagai marhaen.
Segar dan informatif. Sayangnya, novel ini agak pendek. Namun, sebagai novel pertama Rebecca Ilham ia amat menjanjikan. Lantaran novel ini secara relatifnya pendek, banyak watak tidak mendapat ruang yang cukup untuk dikembangkan.
Isu alam sekitar, Empangan Gemawan, penduduk asli vs kapitalisme @ konglomerat bukanlah isu baharu. Namun, Rebecca memberikan perspektif yang berbeza.
Sebetulnya sebelum novel ini, saya belum pernah membaca karya kreatif Rebecca Ilham walaupun nama beliau sering dilihat sebagai penulis itu ini. Novel ini pernah menjadi pemenang ketegori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada tahun 2010 jadi saya rasa ianya satu pendedahan dan permulaan yang wajar. Untung-untung jiwa saya sesuai dengan gaya penulisan beliau, bertambah peminat karya beliau nanti, bukan?
Novel ini mengisahkan tentang seorang remaja perempuan bernama Amira; sayangnya dia dengan Ulu Pelangi, konflik yang melanda dirinya tatkala mengetahui bapa kepada teman rapatnya menjadi dalang pembinaan Empangan Gemawan, dan rindunya kepada kasih sayang bapanya.
Di sebalik diri seorang gadis yang tegas, ada rasa yang terpendam sehingga akhirnya, rasa itu terluah jua.
Hishamudin mendera jiwa anaknya yang tidak cukup zat kasih sayang, menghukum Amira dek kejadian masa lalu yang tidak boleh diubah lagi. Panjang mana masa yang Tuhan beri, siapa kita untuk tahu, lalu mengapa dia seperti tidak redha dengan pemergian isteri dan dua orang anak-anaknya? Hishamudin patut bersyukur, dia masih punya Amira.
Setelah tamat membaca novel ini, saya rasa novel ini masih perlu dipanjangkan sedikit ceritanya, seperti ada yang tertinggal kerana saya rasa tidak puas membacanya, Bumi Lestari 2 mungkin?
Novel yang sarat dengan sinis terhadap ketamakan orang politik. Aku ingin ulas panjang-panjang kerana penceritaannya boleh dikatakan masih berlaku sekarang, tetapi aku tidak mahu "penyokong politik" menindas karya bagus ini. Jadi, aku hanya berikan beberapa isi penting (atau lebih tepat lagi, ilmu baharu) dalam novel ini:
1. Aneroxia nervosa. Ada jelaskan beberapa simptom, perilaku pesakit & cara rawatan.
2. Peperangan dari segi kemajuan teknologi dengan khazanah sejarah. Bukan setakat di Malaysia sahaja, malah di Australia juga memiliki masalah ni.
3. Macam biasa, ketamakan orang politik. Semakin aku baca, semakin aku faham kenapa sesetengah politik "gemar" menjual hasil hutan sampai botak hutan kita.
4. Ada selitkan ilmu Sains Kehidupan, iaitu sains biologi yang juga ada kaitan dengan geografi.
5. Boleh belajar teknik berfikir dalam ni. Ada beberapa Thinking Hats yang digunakan oleh kesemua watak. Walaupun tidak disebut jenis-jenis Thinking Hats itu, tetapi boleh dilihat melalui corak pemikiran watak-watak tersebut.
6. Dapat belajar sudut psikologi dalam perubatan.
7. Membuka mata kita bahawa peribumi di Sarawak masih tidak dapat hak bersuara dan hak penempatan daripada pihak-pihak bertanggungjawab.
Rebecca Ilham di dalam Bumi Lestari...penceritaan berkisah tentang beberapa watak yang berpalut kompleksiti didalam kehidupan masa kini...berkait dengan teraju utama yang menghidapi anoreksia nervosa kesan amukan mental yang menerjah hidupnya, dia cuba menjadi wira dalam menjamin kehidupan warga desa yang ditindas licik golongan atasan...melestarikan atau mengekalkan atau membekukan sesuatu yang menjadi pegangan masyarakat bertamadun sesuatu yang sukar bila materi semata yang dianggap sebagai bernilai...kepupusan cara hidup berbudaya dengan hambatan cara hidup yang lebih mendesak, menekan warga desa sehingga mereka tersungkur di tanah pusaka sendiri...tetapi itu kata mereka, bukan kata pemaju dan pembangun kawasan...dan kesibukan melarikan diri dari tugas hakiki, menjadi igauan dan mimpi ngeri yang menghancurkan segala moment-moment alias detik-detik manis yang sepatutnya terangkum dalam bingkai hidup yang kekal lestari didalam korpus memori seorang manusia...✨ (fuhhh acah betui sinopsis kali ni...😂😂😂)
Ini kali pertama saya membaca novel karya Rabecca Ilham. Saya suka gaya penulisannya. Selepas saya membaca, saya ingin mencari karya-karya beliau. Saya di fahamkan novel ini merupakan novel sulung Rebecca Ilham yang memenangi HSKU 2010, kalau tidak silap saya. Bagi saya Rebecca Ilham antara penulis berbakat besar yang memiliki banyak cerpen di dada akhbar.
Novel yang memenangi tempat kedua ini menyentuh kemanusiaan, kekeluargaan dan alam sekitar. Amirah kekurangan kasihsayang bapanya, Hishamudin setelah kematian ibunya. Amirah seperti mengasingkan diri dan memendam perasaan dari bapanya. Amirah tersepit dengan konflik dirinya dan permasalahan yang menghimpit antara dua sahabatnya. Jai anak Buang, rakan sekecilnya mengadu akan empangan akan musnah manakala kapitalis yang memusnahkan alam sekitar adalah bapa kepada sahabatnya sendiri.
Suatu lagi novel menarik tentang memelihara alam sekitar dan mengekalkan khazanah bumi yang sedia ada. Definisi kemajuan dipersoalkan. Adakah dengan membina bangunan yang tinggi-tinggi, menggunakan elektrik dan teknologi yang tinggi, bererti sesebuah masyarakat itu sudah maju? Wajarkah kita memperkecilkan cara hidup orang asli yang bertahun-tahun lamanya mampu menyara hidup mereka dan bahagia tanpa merosakkan hutan kediaman mereka? Wajarkah kita menuduh mereka mundur? Siapakah sebenarnya yang mundur? Sedangkan kita begitu mudah menerima idea-idea barat bulat-bulat yang lebih banyak merosakkan. Mengikut cara Barat secara membuta tuli - tidakkah itu membuat kita mundur?
Bumi Lestari memaparkan lenggok bahasa dan kesempurnaan mekanik nahu yang ampuh. Cuma saya rasa jalan cerita dikaburi oleh deskripsi yang tidak perlu. Mungkin dalam novel akan datang Rebecca boleh naikkan pertaruhannya dan meletakkan hero dan heroinnya di hadapan mulut bulldozer pengganas ekologi yang bertopengkan kapitalisme? Biar mereka berdarah dan patah-patah.