KELEDANG mengisahkan pengalaman getir dan cemas - tapi penuh harapan - sekumpulan penduduk kampung yang terjebak dalam cengkaman penjajahan Jepun. Dalam novel ini dipaparkan bagaimana di tengah-tengah ancaman - malah penipuan - penjajah dan warga sendiri, sekelompok orang Kampung Bukit Keledang masih tetap gigih bertahan mengharungi dan meyakini masa depannya.
Abdul Samad bin Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A. Samad Said ialah Sasterawan Negara 1986. Beliau juga pernah dianugerahkan dengan "Anugerah-anugerah Menulis Asia Tenggara" (SEA Write Awards).
Dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, A. Samad mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946) dan Institusi Victoria, Singapura (1956). Seorang yang berminat dalam penulisan sejak di bangku sekolah, beliau telah menulis banyak karya yang terkenal, termasuknya novel-novel berikut:
* Salina * Langit Petang * Sungai Mengalir Lesu * Hujan Pagi * Bulan Tak Bermadu di FatehpurSikri. * Adik Datang * Cinta Fansuri
Antara antologi puisinya ialah Suara Dari Dinding Dewan (2003), Dirgahayu Dr. Mahathir dan Rindu Ibu (2004).
Antologi Esei terbaru adalah Ilham Di Tepi Tasik (2006).
Datuk A.Samad Said pernah juga menggunakan nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir.
Seperti kebiasaan cerita tentang keadaan masyarakat Melayu di tengah-tengah kancah pendudukan Jepun di Malaya. Tetapi kali ini bukan di Singapura tetapi di semenanjung walaupun tidak jelas di mana. Kegelisahan seorang isteri yang sedang sarat mengandung yang kehilangan jejak suami yang dibimbangi ditangkap untuk menjadi buruh paksa di Siam. Cerita dan bahasanya tidak terlalu rumit seperti kebiasaan novel-novel Pak Samad yang lain tetapi tetap dapat melukiskan suasana dengan berkesan.
Jika pernah menikmati Sungai Mengalir Lesu, pasti lancar sahaja meneguk novel Keledang. Ia karya yang memfokuskan kelemut masyarakat ketika era penjajahan Jepun. Bezanya, Keledang tentang penduduk kampung yang terpisah dengan kekejaman bom dan kelaparan yang dahsyat.
Persekitaran di kampung walaupun terlihat tenang dan selamat, penduduknya tetap digeruni dengan gambaran bahaya. Mereka ditekan dengan keperitan peperangan dan pemerintahan kuku besi Jepun. Pak Samad mampu memindahkan dirinya dalam watak-watak lelaki, wanita, tua dan anak-anak kecil. Perasaan takut, hiba dan ada ketika fikiran tak keruan dicetuskan dengan baik sekali.
Masalah tekanan jiwa antara dapat saya rasai. Mana tidaknya kerana perang, keluarga terpisah hidup atau mati. Malah ada hilang tanpa khabar berita. Hubungan cinta dan keluarga ranap kerana ketamakan kuasa asing. _____________________ Isu-isu halus yang muncul dalam Keledang sebenarnya memberi kunci untuk saya memahami kesulitan penduduk kampung. Memang ada masa saya jenuh dengan dua tiga pengulangan peristiwa yang boleh sahaja ditamatkan. Kendatipun, ia sebenarnya menayangkan pada saya ketika perang, memori dan ilusi masa hadapan menjadi lantai harapan untuk meneruskan hidup.
Membaca Keledang dan Sungai Mengalir Lesu memberi saya pengalaman menjadi manusia-manusia terasing semasa zaman yang penuh derita. Novel ini dinukil sendiri dari kenangan perih A. Samad Said. Bagi saya kenangan begini antara rekod sejarah yang wajar diteliti oleh semua. _____________________
Sebagai apakah kita waris yang terlahir selepas era yang begitu menyesakkan akan bersyukur kerana takdir Ilahi begitu Penyayang melepaskan kita dari mendenai laluan yang berisi tragedi? Bacalah Keledang. Kerana harapan penulisnya begitu merayu supaya kita belajar menghargai.