Cinta Fansuri adalah sebuah novel yang menyimpang dari segala jenis naratif cinta konvensional yang pernah aku baca (sebenarnya jarang baca novel cinta, kecuali classic). Ia mengisahkan hubungan antara Fansuri, seorang lelaki yang idealisme, dan Fahiyaton, wanita yang menjadi objek cintanya, juga sumber kekecewaan dalam pencarian cinta. Kisah dorangbermula di bengkel seni di Malaysia, berlanjutan ke Singapura dan Perancis, merentasi ruang dan waktu yang tak linear.
Fahiyaton, yang pada awalnya bersumpah setia kepada Fansuri, membuat keputusan mengejut dengan berkahwin dengan seorang pemilik ladang lada hitam. Setelah menjadi janda, dia berkahwin pula dengan pakcik kepada suami pertamanya. Fansuri menolak Fahiyaton apabila dia kembali, dan apabila luka hati Fansuri sembuh 3 tahun kemudian, Fahiyaton pula menolak Fansuri. Akhirnya, dalam hujan di atas dek kapal, Fansuri bersumpah tak mahu mengenal lagi wanita bernama Fahiyaton ni.
Ini kali ke-2 aku menelaah novel ini setelah gagal peroleh apa - apa konklusi pada percubaan pertama, mungkin… 15 @ 20 tahun dahulu. Setelah “berkawan baik” dengan karya Pak Samad lebih dari sedekad, aku telah memutuskan untuk menafsir novel ini berdasarkan pengalaman aku bergelumang dengan karya beliau selama ini.
Pertamanya, novel ini bukan novel cinta. Ia lebih kepada meditasi falsafah tentang cinta sebagai pengalaman eksistensial. Pak Samad dalam novel ini menghalusi cinta yang diuji oleh waktu, ego, dan pilihan moral. Fansuri dan Fahiyaton mewakili 2 kutub: idealisme dan pragmatisme. Cinta dorang tidak berakhir dengan penyatuan, tetapi dengan penolakan dan kesedaran bahawa cinta tak semestinya membawa kebahagiaan.
Kalau diteliti secara perinci, ada sesuatu yang hendak disampaikan melalui pilihan nama “Fansuri” tu, Pak SamadM/b> seolah - olah mengangkat Hamzah Fansuri, seorang tokoh sufi Melayu abad ke-16, sebagai inspirasi nama dan semangat watak utama. Hamzah Fansuri terkenal dengan puisi - puisi “mistik” yang menekankan pencarian Tuhan melalui cinta dan kefanaan dunia. Maka, Cinta Fansuri juga boleh dibaca sebagai alegori pencarian spiritual, di mana cinta manusia menjadi cermin kepada cinta ilahi yang tak tercapai.
Pak Samad menggunakan gaya penulisan yang fragmentari, introspektif, dan penuh simbolisme dalam novel ini. Naratifnya tak linear, dan watak - wataknya sering berbicara dalam monolog dalaman yang mendalam. Ini mengingatkan aku kepada gaya James Joyce dalam Ulysses dan Virginia Woolf dalam To the Lighthouse yang menekankan kesedaran dalaman dan aliran fikiran.
Pak Samad juga bermain dengan ruang antara realiti dan metafizik, menjadikan cinta sebagai sesuatu yang tak dapat dijelaskan sepenuhnya. Novel ini juga mempunyai elemen eksistensialisme - di mana watak-watak bergelut dengan absurdi pilihan dan makna hidup. Permukaannya tampak mengarut, tapi ia wujud, dan kewujudan itu dirai oleh karyawan - karyawan agong seperti Pak Samad.
Intipati yang aku peroleh pada pembacaan kali ke-paling focus ini antaranya:
1. Cinta tidak semestinya berakhir dengan penyatuan; boleh jadi ia adalah proses kehilangan dan penemuan diri. Pilihan dalam hidup juga sering bertentangan dengan janji dan harapan.
2. Fahiyaton berkahwin bukan atas dasar cinta, tetapi atas tekanan dan keadaan. Dia mengetepikan soal kebahagian, dan mendahulukan kelangsungan hidup.
3. Fansuri pula bukan hanya mencari Fahiyaton, tetapi mencari dirinya sendiri dalam dunia yang tidak pasti.
4. Seperti puisi sufi, cinta dalam novel ini adalah bayangan sesuatu yang lebih tinggi, tetapi tidak dapat digapai.
Aku telah cuba sedaya upaya menafsir karya ini melalui pemahaman aku sendiri. Mungkin Pak Samad akan tertawa dengan kemerepekan aku tapi ini cara aku - kalau aku tak nampak ikan timbul, aku sanggup menyelam dengan pukat biarpun baru sahaja kenal sifat air.
Secara peribadi, ini karya Pak Samad yang menuntut pembaca untuk merenung, bukan sekadar membaca. Ia menolak naratif cinta yang mudah dan menawarkan lapisan makna yang kompleks. Sebagai SN, Pak Samad menulis bukan untuk menyenangkan, tetapi untuk mengganggu dan mencabar pemahaman kita tentang cinta, pilihan, dan kehidupan.
Jika kau juga seperti aku, gemar karya yang berakhir dengan open-ending, novel ini adalah medan tafsiran yang kaya. Ia tidak memberi jawapan, tetapi membuka ruang untuk perdebatan yang lebih dalam.
Sastera itu hidup kerana diperdebatkan, kan?
5 / 5 stars