Buku faham multibudaya atau multiculturalism ini ditulis berasaskan kajian dan sudut pandang penulis yang berpusat di benua Eropah. Mungkin tajuk ini nampak mudah bagi kita rakyat Malaysia kerana masyarakat majmuk dalam Negara kita telah lama hidup harmoni walaupun kita semua berbilang bangsa. Ini adalah buku kedua tulisan Ali Rattansi dalam siri buku Pengenalan RIngkas (A Very Short Introduction). Buku sebelum ini; Racism: A Very Short Introduction. Tapi memandangkan ITBM terbitkan Faham Multibudaya je setakat ni, jadi aku ulas pasal faham multibudaya je la.
Integrasi bukanlah asimilasi. Secara longgar; integrasi budaya boleh difahami sebagai sesuatu kaum imigran itu meninggalkan budaya asal mereka dan mengamalkan budaya Negara hos dalam norma kehidupan meraka. Manakala asimilasi pula diertikan sebagai, kelompok imigran terus mengamalkan budaya kehidupan asal mereka dalam Negara hos dengan pengubahsuaian supaya cocok dengan norma setempat. Namun begitu proses asimilasi ini dianggap sukar, walaupun tidak mustahil, atas 3 faktor utama: (1) kelainan sesuatu ras yang berkait rapat dengan perbezaan luaran fisiologi dan sempadan budaya yang tidak mungkin diubah; (2) kebencian yang ditunjukkan oleh penduduk “kulit putih” terhadap imigran “kulit berwarna”; dan (3) ketidakrelaan komuniti imigran itu sendiri untuk meninggalkan semua aspek kelainan budaya mereka supaya selari dengan aspek budaya masyarakat setempat.
Terdapat 4 polisi atau model pendekatan faham multibudaya di Negara Eropah yang dibincangkan. (1) dasar “pilarisasi”, polarisasi dan integrasi di Belanda; (2) “ras”, “esensialisme” dan perubahan politik pengiktirafan di United Kingdom; (3) sekularisme, imigrasi dan faham multibudaya de-facto di Perancis; dan (4) bangsa berasaskan “etnik” tunduk kepada tuntutan kewargaNegaraan di Jerman. Antara kata kunci yang boleh dicerap dari hujahan yang disampaikan adalah; Belanda = pilarisasi, United Kingdom = jus soli, Perancis = laisisasi, dan Jerman = ius sanguinis. Ada juga beberapa Negara Eropah lain yang disebut tetapi tidak dihuraikan seperti Austria, Denmark, Sweden, Itali dan Sepanyol. Buku “The Multiculturalism Backlash” tulisan Vertovec dan Vessendorf ada banyak maklumat tentang Negara berkenaan. Dah kalau semua 44 Negara Eropah tu dia kena tulis satu per satu dasar faham multibudaya setiap Negara macam mana; tak jadi “Pengenalan Ringkas” la pulak tajuk buku ni. Aku nak habiskan 216 muka surat ni pun dok tersengguk macam belatuk buat sarang! Haha.
Ada beberapa krisis atau konflik sehingga meragut nyawa penduduk setempat pernah berlaku rentetan dari salah cara menangani isu dan perasaan tidak puas hati golongan imigran minoriti yang dicatatkan. Antaranya ialah rusuhan pekerja kilang (2001) dan insiden pengeboman (2005) di Britain; kontroversi 9/11 (2001) di Amerika Syarikat dan diskriminasi ke atas golongan minority yang mencetuskan konflik perkauman (2005) di Perancis. Pihak kerajaan sana telah memberi jawapan berkaitan insiden pengeboman di London (2005) dalam laporan Our Shared Futures (2007). Islamophobia masih wujud di sana. Hal ini berlaku sebagaimana pepatah ada menyebut, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Yang buat masalah tu mungkin tidak ramai, tetapi meraka ibarat “loud minority”. Sedangkan “silent majority” yang hidup aman damai bersama komuniti setempat jarang mendapat liputan media.