Orang Kota Bharu merupakan novel pertama karya S. Othman Kelantan di bawah Geran Bantuan Penulis, DBP. Novel ini mengisahkan pelbagai ragam kehidupan manusia Kota Bharu yang terdiri daripada pelbagai golongan para peniaga beras-kertas, para peraih ikan dan sayu-mayur, pengatih teksi dan.... Semuanya memberi nafas kepada Kota Bharu yang harmoni dan damai dengan air Sungai Kelantannya, sekali gus memercikkan riak dan ruas kegelisahan, kemeriahan dan kehirukpikukan penghuninya di pasar, di gudang, di pengkalan motor, di stesen bas dan kereta api. Semua memeriah dan mempercepat pertumbuhan Kota Bharu.
Dilahirkan sebagai Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Setelah lulus Ijazah Sarjana, S. Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ ATMA. Jawatan terakhirnya yang disandang ialah profesor madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai pensyarah kontrak di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999).
S. Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja. Antaranya ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1976), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003). Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian. Selain menulis cerpen dan novel, S. Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa). Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam ujana kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003). (Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka)
Buku ini saya beli bukan di Kota Bharu tetapi di talian dari dawama.com. Kesukaran mencari kedai buku yang menjual buku-buku tentang Kelantan juga penulis-penulisnya menyebabkan saya lambat menemui dan membaca buku ini. Alangkah bagusnya jika ada kedai buku yang menjual semua yang berkaitan dengan Kelantan, bukunya, penulisnya, seni budayanya, ulamak dan pemikirnya,sejarahnya.
Orang Kota Bharu buat saya lebih kasih akan tempat saya mencari rezeki ini. Penulis menarik pembaca menyelusuri sejarah negeri Kelantan, membawa pembaca ke segenap ceruk dan lorong di Kota Bahru merasa denyut dan getarnya. Wajah hitam, puitih dan kelabu Kota Bharu dibentang di kelir ditayangkan bagai sebuah visual yang memukau.
Membaca buku ini juga membawa pembaca membaca sejarah Tanah Melayu dan negara Malaysia dari renungan orang Kota Bharu. Malaya Merdeka, pembentukan Malaysia, Konfrontasi, 13 Mei, Darurat di Kelantan juga politik di Kelantan sangat menarik dibincangkan.
Buku ini saya syorkan sebagai bacaan wajib buat orang Kelantan juga yang mahu mengenali Kelantan.
Buku ini sudah lama saya jenguk, akhirnya berjaya ke pangkuan juga.
Magnum opus SN S. Othman Kelantan ini merupakan kajian sosiologi dan sosiografi terhadap orang Kota Bharu khususnya dan Orang Kelantan Amnya.
Latar masa buku ini ialah tahun 1950an membawa ke tahun 1980an, pra dan pasca merdeka.
Penulis SN menggambarkan keadaan Kota Bharu ketika itu yang digelar Paris Malaya, dengan kewujudan ibu pusat hiburan, Biaritz Park (so). Ditonjolkan juga watak-watak gedebe di Kota Bharu antaranya Jali Sabak, Mat Sin Golok dll.
Perlahan-lahan, penulis membawa pembaca kembali ke zaman pasca merdeka, disinilah cerita ore gedebe berubah menjadi cerita ore politik, yang akhirnya menggugat periuk nasi ore gedebe.
Saya sangat suka apabila penulis menggunakan bahasa dan dialek Kelantan untuk memaknai mesej yang ingin disampaikan. Antaranya gedebe, baju gumbang, ambo, balaisah, jenegha dll.
Selepas cerita ore gedebe KB. Penulis membawa pembaca utk mengamati suasana politik di KB dan politik Tanah Air. Orang KB walaupun jauh di Pantai Timur, turut menerima bahang politik Tanah Air, sebelum dan selepas Merdeka. Dilahirkan disini watak Habib, Tajul dan Mahmud, ore mudo dari KB yang bergiat aktif dalam politik, mereka tidak ketinggalan akan perkembangan politik kebangsaan pada waktu itu. Diskusi kedai kopi menjadi medan meneroka dan mengkritik isu politik semasa.
Penulis meriwayatkan dengan lengkap perkembangan politik pada waktu itu, dari pilihan raya pertama tahun 1955 hinggalah tahun 1978. Diceritakan dengan takzim juga kisah jatuh bangun kerajaan PAS di Kelantan, termasuklah penggabungan PAS & UMNO. Akhirnya tahun 1978, gabungan ini terlerai, bukan itu sahaja, PAS terpaksa membayar harga lebih mahal apabila ianya terpecah menjadi 3 parti, Berjasa & Hizbul Muslimin. Lebih tragis, PAS tumbang dalam PRU tahun 1978.
Turut dibabadkan juga saat politik meruncing di KB, kota ini dilandai hantu darurat pada tahun 1970an, dek kerana 80,000 rakyat Kelantan membuat demonstrasi & rusuhan akibat tidak berpuas hati dengan tindakan PAS memecat Dato' Mohammed Nasir sebagai MB ketika itu.
Kemudian, ceritanya beralih pula kepada perihal banjir besar yg melanda KB di awal tahun 1960an.
Secara ringkasnya, buku ini telah menceritakan hampir segala peristiwa signifikan bagi tempoh 1950-1980 di KB, dari Biaritz Park, ke pesta kesenian Sambutan Puja Umur Sultan, kancah politik, bah besar, keadaan di pondok-pondok dsb.
Karya yang menarik daripada pengarang Malaysia. Naratif yang sememangnya unik. Tiada watak 'aku' yang mewakili suara pengarang atau watak protagonist. Sememangnya sebuah karya yang kaya dengan pendedahan kemasyarakatannya. Darihal selok-belok perniaga tempatan, ekonomi, budaya, seni, permainan, kegiatan persuratan, pentadbiran dan istana, aktiviti haram dan gedebe, sistem pondok, bah besar dan kegiatan parti politik tempatan di Kelantan. Selain perihal negeri ini, pengarang juga menjalin hubung dengan peristiwa-peristiwa besar di peringkat negara dan serantau bagi memudahkan kefahaman kita tentang sebab dan akibat sesuatu peristiwa sehingga membuahkan rentetan yang akan menyentuh Kelantan secara khasnya.
Menyingkap pelbagai episod yang berlaku dan melibatkan orang Kota Bharu khususnya dan orang Kelantan umumnya sejak selepas Perang Dunia Ke-2 sehingga akhir dekad 1970-an.
Sebelum ini, beberapa serpihan kisah-kisah ini (bah besar 1967, darurat kerana pertelingkahan politik 1974, perpecahan UMNO-PAS, samseng Kota Bharu yang mengatuk orang dengan kapak bungkus dan binjai manis) ada saya dengar daripada orang tua sendiri dan senior-senior. Justeru, rakaman pelbagai peristiwa ini adalah satu dokumentasi yang mengujakan, kerana ia boleh dilihat sebagai gambaran sejarah sosial masyarakat Kota Bharu yang nostalgik tetapi penting untuk memahami jiwa dan corak kehidupan mereka.
Boleh dikatakan sebagai sebuah dokumentasi yang lengkap tentang sosiobudaya di Kota Bharu pada era pramerdeka sehingga tahun 1980-an. Dari sifat dan sikap orang Kota Bharu sehinggalah peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di sana seperti bentuk sosiobudaya masyarakatnya daripada yang bebas dan gedebe sehingga muncul pimpinan Islam dan peraturan undang-undang yang mengawal dan membetulkan segala kepincangan. Begitu juga dengan isu-isu pentadbiran, banjir, politik dan sebagainya. Skeptikal masyarakat luar terhadap orang Kelantan hampir terjawab melalui buku ini. Bentuk penceritaan dipecah-pecahkan mengikut peristiwa dan watak menjadikan buku ini mudah dibaca dan difahami tanpa plot yang rumit.
Begitulah orang Kota Bharu digambarkan oleh penulis berdasarkan pengalaman peribadi dan pengamatannya sendiri.
Banyak perkara dan sejarah Kota Bharu tercatat dalam buku ini. Catatan dalam buku ini ditulis lebih dalam bentuk dokumentari, diselitkan di sana sini adegan-adegan budaya dan kegiatan/perayaan rakyat di Kota Bharu.