A. Samad Ismail adalah seorang tokoh yang merentas dunia kewartawanan, politik dan kesusasteraan dengan keberanian dan ketajaman intelektual yang jarang dimiliki. Dilahirkan pada tahun 1924 di Singapura, beliau merupakan seorang pejuang kebebasan bersuara, dan antara individu penting dalam penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pengalamannya sebagai wartawan semasa pendudukan Jepun, penahanan di bawah ISA, dan keterlibatannya dalam gerakan kemerdekaan menjadikan karya - karyanya umpama rakaman zaman yang hidup dan bernafas. Patah Sayap Terbang Jua bagi aku, adalah antara karya beliau yang paling jujur dan tajam dalam menggambarkan zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura.
Dalam novel ini, beliau merakamkan denyut zaman dengan ketelitian seorang wartawan dan kepekaan seorang seniman. Berlatar pendudukan Jepun di Singapura dan Tanah Melayu, novel ini mengisahkan Wahab, seorang pemuda berusia 19 tahun yang bekerja di akhbar Warta Malai (gabungan Utusan Melayu dan Warta Malaya). Di tengah kekangan perang dan propaganda penjajah, Wahab bergelut dengan idealisme, semangat setiakawan, dan dilema moral sebagai penulis dalam sistem yang menindas. Kehidupan di bilik penyuntingan akhbar menjadi medan pertembungan antara ego, prinsip dan kelangsungan hidup. Cuma, seperti yang digambarkan oleh A. Samad Ismail, hidup lelaki muda sebenarnya tak sepenuhnya kelam bila ada lampu neon dan perempuan kabaret.
Watak Wahab dibina dengan kejujuran yang jarang ditemui dalam naratif sejarah. Dia bukan wira, dia hanyalah seorang anak muda yang sedang mencari makna dalam dunia yang sedang runtuh. Dia kagum dengan perjuangan kemerdekaan di Indonesia, tapi masih terikat dengan realiti pekerjaan dan kelangsungan hidupnya. Perjalanan pendek ke Semenanjung Tanah Melayu menjadi titik perubahan dalam kesedarannya. Watak - watak lain seperti wartawan senior, rakan - rakan penyunting, dan individu yang terlibat dalam propaganda penjajah, semuanya berfungsi sebagai cermin kepada pelbagai lapisan masyarakat yang juga terperangkap antara harapan dan ketakutan. A. Samad Ismail tidak memaksa simpati, tapi membiarkan watak - wataknya hidup dalam ambiguiti moral yang sangat manusiawi.
Gaya bahasa dalam novel ini bersahaja tetapi tajam. A. Samad Ismail menulis dengan kejelasan seorang wartawan, tanpa mengorbankan keindahan naratif. Dialognya hidup, suasananya dibina dengan teliti, dan naratifnya bergerak dengan ritma yang sesuai dengan ketegangan zaman. Unsur slice-of-life yang disisipkan - dari perbualan santai di bilik berita hingga ke suasana malam di kota yang muram - menjadikan novel ini umpama dokumen sejarah yang memotretkan kehidupan yang sebenar zaman itu. Gaya ini sangat memikat sebab ia tak berlebihan, mudah hadam dan mudah digambarkan.
Ini sebuah karya tentang kesedaran politik dan nilai kebebasan. Pendudukan Jepun, walaupun pada awalnya disambut dengan harapan, akhirnya menjadi mimpi ngeri yang membuka mata masyarakat kepada keperluan menentukan nasib sendiri. Memang benar, kekejaman dan ketakutan boleh menjadi pemangkin kepada kesedaran nasionalisme. A. Samad Ismail tak menulis dengan nada propaganda, tapi dengan renungan yang jujur dan tajam.
Cuma, aku perasan ada banyak watak sampingan yang aku rasa seperti bayang - bayang yang muncul dan pergi, tanpa ada keperluan untuk wujud pun, ada bahagian naratif yang bergerak terlalu cepat, tanpa memberi peluang untuk aku berfikir pun. Aku rasa ia boleh diperkaya dengan lebih banyak lapisan emosi, terutama dalam menggambarkan konflik batin Wahab sebagai penulis muda yang bergelut antara idealisme dan realiti. Cuma apa yang aku sebutkan ini tak menjejaskan kekuatan keseluruhan karya pun.
Aku suka karya historical fiction begini. Ia penting dari sudut sejarah, juga dari sudut kesusasteraan. Novel boleh menjadi medan rakaman zaman, dan sastera yang jujur akan sentiasa hidup dalam ingatan pembaca. Terima kasih Fixi kerana terbit semula novel ini.
4.5 / 5 stars