KEMISKINAN menjadi masalah perdana di Malaysia pada masa ini. Di dalam buku ini Profesor Ungku A. Aziz, seorang tokoh ekonomi, yang telah menumpukan perhatiannya kepada masalah kemiskinan desa selama lebih dari dua puluh tahun menghuraikan pendapat Pendita Za'ba tentang kemiskinan orang Melayu yang ditulis lima puluh tahun dahulu.
Buku ini merupakan buku "wajib baca" bagi peminat dan pengkaji Za'ba selepas membaca buku Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri, Mencapai Keluhuran Budi, Mencapai Ketinggian Dunia Akhirat, Pengembaraan ke Kedah, Perlis dan Kelantan serta Za'ba: Ahli Fikir dan Ahli Bahasa kerana buku ini menyingkap sisi-sisi ekonomi yang ada pada Za'ba.
Dalam buku ini, Prof. Ungku Aziz mempamerkan bagaimana Za'ba dikurung akalnya dan ditekan jiwanya (brainwashing) oleh pihak penjajah British serta tali barutnya dalam kalangan Melayu iaitu Haji Abdul Majid bin Zainuddin (Prof. Ungku menyarankan pembaca untuk merujuk buku The Origins of Malay Nationalism oleh W. Roff) dan N.H. Hashim pasca penghasilan esei Za'ba "The Poverty of Malays" yang kemudian diterjemahkan semula oleh Za'ba sendiri menjadi "Kemiskinan Orang Melayu" bagi meraikan rakyat kebanyakan yang tidak mahir bahasa Inggeris.
Menurut Za'ba, kemiskinan orang Melayu berpunca daripada tiga perkara iaitu berpuas hati, bersederhana dan segan (contented, modest and inarticulate). Pesan yang sama dibawa oleh Za'ba iaitu orang Melayu ini terlalu bergantung kepada orang lain seperti yang termanifestasi apabila mereka mengharapkan biasiswa daripada pihak kerajaan untuk terus belajar, mengharapkan pertolongan orang besar-besar dan pegawai-pegawai atasan serta mendambakan pendidikan percuma tidak ubah seperti anak-anak yang mengharapkan serba-serbi belaian dan didikan daripada ibu bapa!
Za'ba juga turut menyinggung budaya pembelajaran dan pendidikan agama yang tidak serius di masjid-masjid yang asyik selesa mengulang takah pembelajaran dan aktiviti yang sama sahaja dari dahulu sehingga kini, tetapi gagal mencapahkan skop ilmu sehingga ke ilmu tafsir, ilmu hadith, ilmu tasyri', ilmu tarikh dan seumpamanya yang merupakan akar umbi pengajian Islam itu sendiri.
Klasifikasi ilmu menurut Za'ba pula dibahagikan kepada empat iaitu ilmu kependetaan (ilmu falsafah, bahasa, kitab-kitab, karang-mengarang, ilmu agama, falak, tawarikh dsb.), ilmu pertukangan (ilmu kejuruteraan, ukur-mengukur, ilmu elektrik, jentera, ilmu membuat barang dsb.), ilmu perusahaan (ilmu perniagaan, ilmu hasil mahsul, ilmu bercucuk tanam, ilmu berternak, lombong, ilmu kejadian binatang dsb.) dan ilmu pencarian yang khas (ilmu perubatan, undang-undang, kewangan dsb.).
Setelah membedah secara ringkas aspek-aspek ekonomi yang ada pada Za'ba, Prof. Ungku Aziz mula mengembangkan perbahasan tersebut dengan eseinya berjudul Zahir dan Batin Ekonomi Melayu. Menurut Prof. Ungku Aziz, terdapat tiga punca yang memperparah kemiskinan masyarakat Melayu di desa.
Pertama, hasil usaha yang kecil jika dibandingkan dengan pulangan, kemudahan jentera dan keluasan tanah yang ada di negara-negara luar seperti negara Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah.
Kedua, faktor penindasan yang berlapis-lapis bermula daripada saudagar yang tidak ubah seperti lintah darat yang hanya mengambil kesempatan memonopoli dan mengaut keuntungan berlebih-lebihan hasil titik peluh para petani, nelayan dan buruh. Tidak cukup dengan itu, para petani dikerah untuk membayar sewa tanah dan duit teh (syai) jika tidak mahu dihalau sehingga melorong kepada penindasan gaji dan mereka terpaksa bekerja sebagai buruh.
Perlu diingat, penindasan ini tidak mengenal kaum kerana lebih satu pertiga petani (yang merupakan strata terendah dalam pemerolehan pendapatan) merupakan bukan Melayu walaupun sebagaimana yang kita sedia maklum (jika kita telaah buku The Colour of Inequality dan The Myth of Lazy Native), orang Cina dengan populasinya sekitar 38.5% pada 1970 mendominasi 65.3 - 72.1% sektor berpendapatan tinggi seperti sektor perusahaan-pembuatan, pembinaan dan perniagaan ketimbang orang Melayu yang hanya menguasai sekitar 21.7 - 28.9% bagi setiap sektor ini.
Ketiga, hal ehwal masyarakat Melayu khususnya di desa terbiar dek kerana kerajaan yang terlalu ghairah mengalirkan wang secara berlebihan dalam membangunkan kawasan bandar sehingga nasib masyarakat kampung terbiar. Terbiar yang dimaksudkan di sini adalah dari segenap aspek baik kesihatan, perhubungan dan pelajaran. Manifestasi kesenjangan ekonomi ini masih mengalir pekat pada hari ini dengan melihatkan limpahan kemudahan (pengangkutan dsb.) dan keistimewaan yang terdapat di Kuala Lumpur dan Selangor ketimbang kawasan-kawasan desa di negeri-negeri lain.
Prof. Ungku Aziz meluncurkan beberapa solusi umum seperti para petani perlu mengetahui jenis tanaman yang mendatangkan pendapatan yang baik buat mereka selain kerajaan perlu mengutamakan bantuan kepada para petani seperti yang dibuat oleh negara Scandinavia, Jepun dan New Zealand.
Kedua, perjanjian sewa-menyewa tanah padi mesti didaftarkan dan undang-undang perlu dikuatkuasa pelaksanaan hukumannya dan bukan sekadar pada atas kertas sahaja. Kerajaan juga perlu masuk campur dan wujudkan jabatan sekiranya wujud monopoli oleh para pedagang selain perlu mengurangkan sewa bagi tanah sawah ladang dan kebun getah. Faedah sebanyak 60% setahun oleh kedai-kedai pajak yang terdapat dalam lembaran perundangan pula perlu dikurangkan menjadi 6% sahaja.
Ulasan penulisan Zaaba oleh Ungku Aziz. Kebanyakan penulisan Zaaba adalah berkenaan kemiskinan, kedaifan, keterbelakangan Melayu dan juga cara-cara untuk mengatasi permasalahan tersebut.
Pandangan Za'ba tentang ekonomi Melayu pada zaman sebelum kemerdekaan ternyata mempunyai asas yang releven dan pandangannya disokong oleh Ungku Aziz, cendekiawan dalam bidang ekonomi.
Saya mencari buku ini selepas mengkhatamkan buku 'Antara Dua Darjat' yang juga merujuk buku ini.
Malah, rasanya tidak lengkap kalau tak baca kedua-dua naskah ini sekiranya pembaca berminat dengan sejarah ekonomi orang melayu dan sanggahan terhadap stereotaip kemiskinan. Walhal, fakta2 menunjukkan bukti yang sebaliknya. Bahawa kemiskinan tidak mengenal kaum, begitu juga penindasa tak mengenal warna kulit!
Agak mencabar untuk membayangkan ulasan ekonomi dan kemiskinan Melayu dan Malaya dalam perbahasan yang berlegar pada garis masa kira-kira 100 tahun lalu. Negara dan bangsa telah banyak berubah, beberapa kekecewaan seaakannya masih relevan. Sisi pandang polisi dan pergeseren peribadi berbeza dari kebiasaan yang menginsafkan.
Apabila Za’ba menulis tentang ekonomi Melayu, seawal 1923 lagi dalam sebuah akhbar Inggeris dan pada 1927 dalam majalah berbahasa Melayu, dia menerima kesan yang sangat kuat lantas mendatangkan rasa trauma padanya hingga ke akhir hayat. Za’ba telah dihalang untuk terlibat secara langsung dalam politik orang Melayu, termasuklah yang ada kena mengena dengan ekonomi dan sosial. Selepas menulis tentang ekonomi, antara lain yang sempat Za’ba sertai ialah pertemuan pertama menentang Malayan Union. Selepas itu, pena Za’ba dipencilkan hanya kepada bidang bahasa, terjemahan dan agama manakala hidupnya kongkong oleh pandangan mata-mata (spy). Mulutnya telah ditutup, kakinya telah diikat. Dia tidak lagi dapat menegur bangsanya. British telah ‘memenjaranya’. Malah Prof Diraja Ungku Aziz dalam buku ini memuji Za’ba, dan berkata bahawa Za’ba ‘patut menerima penghormatan daripada generasi ahli-ahli ekonomi Malaysia sekarang’
Buku ini patut dibaca. Malangnya, selepas diterbitkan dua kali (1987, 2007), siapakah yang perasan apa yang Prof Ungku tulis tentang Za’ba?
Dalam bab Jejak-Jejak di Pantai Zaman, Prof Ungku Aziz memberikan pengenalan yang amat baik mengenai idea kemiskinan desa (rural poverty) yang difahami oleh Zaaba serta yang menjadi tumpuan kajian beliau. Idea-idea Zaaba dan beliau sangat relevan bagi pembuat dasar untuk mereka bentuk dasar pembasmian kemiskinan, atau yang lebih khusus agenda pembangunan Bumiputera sehingga masa kini.
Menurut Prof Ungku Aziz, sekiranya Zaaba melanjutkan perbahasannya mengenai sosioekonomi dan diambil perhatian oleh pemimpin Melayu pada ketika itu, keadaan sosioekonomi khususnya orang Melayu akan menjadi lebih baik berbanding apa yang berlaku sebelum peristiwa 13 Mei. Satu penemuan penting Prof Ungku ialah betapa tekanan politik yang hebat dikenakan terhadap Zaaba sehingga beliau tidak melanjutkan wacana dan pandangan ekonomi beliau kepada umum, walaupun beliau menulis tema ini sewaktu berusia lewat 20-an.
Za'ba - sebuah nama yang penting dalam senarai tokoh yang berjasa dengan keringat perjuangannya. Kekuatan fikiran beliau telah membuatkan penulis, Ungku A. Aziz melahirkan semula karangan-karangan beliau disamping karangan penulis sendiri yang dihasilkan ketika pra merdeka, bercakap tentang nasib orang Melayu dan pembangunan bangsa itu melalui penstrukturan semula ekonomi negara. Idea yang paling besar ialah kewujudan suatu sistem berkumpulan iaitu koperasi. Idea ini bertitik-tolak daripada kajian terhadap kelemahan bangsa Melayu sejak zaman-berzaman. Dari karya ini, pembaca juga akan mendapat tahu tentang 'rintangan halus' yang dipasang oleh penjajah dalam membelenggu fikiran Pendeta Za'ba daripada terus mencabar senario ketika itu. Terima kasih kepada penulis yang melahirkan karya yang merakam zaman - era awal pembinaan bangsa Melayu moden.
Sebuah penulisan yang bertujuaan apresiasi khas kepada Za'ba daripada Prof Diraja Ungku Aziz. Buku ini mencungkil sisi ketokohan ekonomi Za'ba yang mungkin hanya beliau sorang sahaja yang mengetengahkan isu kemiskinan melayu pada zaman itu. Za'ba memandang serius hal ini dan jika tidak dibasmi awal dua masalah utama melayu iaitu kefahaman agama yang kurang dan perangai lemah yang diwarisi sejak nenek moyang natijah perabdian kepada pemerintah-pemerintah dahulu, maka semakin lama lah kita dapat melihat kebangkitan melayu daripada kemiskinan. Selain itu, Za'ba juga tidak terlepas dari memberi penghargaan kepada "tentera kiriman tuhan" iaitu British yang bagi beliau telah mendatangkan tertib dalam tanah melayu. Mungkin ini penyataan ini agak kontroversi namun mungkin ada sebab kenapa beliau melaqabkan British sebagai "tentera kiriman tuhan".
Di awal buku ini, saya kurang tertarik dengan perbincangan yang dibawakan Ungku Aziz. Mungkin kerana saya kurang minat terhadap perbincangan ekonomi.
Namun setelah membaca secara perlahan setiap ulasan Ungku terhadap Za'ba, saya hanya mampu tersenyum dengan kesimpulan yang dibawakan oleh Ungku. Sayang benar Ungku terhadap Za'ba -- hero nasionalisme Melayu yang kurang didendangkan.
Penjelasan tentang mengapa tajuk buku ini dipilih 'Jejak-Jejak Di Pantai Zaman' adalah satu penutup yang cukup puitis dan sempurna.
"Tetapi Za'ba betul-betul meletakkan jejaknya di pantai zaman -- marilah kita beramai-ramai mengenal rupa jejak itu sebelum pasang surut lautan sejarah memadamnya."
Al-Fatihah untuk kedua-dua tokoh hebat bangsa Melayu ini -- Za'ba dan Ungku Aziz.