Kisah ini bertunjang pada tiga watak utama - Lang Surya, Rimau Seru dan Cempaka Suri, masing-masing dengan konflik tersendiri.
Konflik Lang Surya dengan ibunya menjadi topik utama. Setelah diusir oleh ibunya, dia bertekad mencari ayahnya, Lang Merah - bekas Laksamana Indera Wangsa yang diyakini masih hidup walaupun ramai yang mengatakan ayahnya telah mati ditelan sihir Hutan Jardi. Dia percaya, ayahnya dapat menjernihkan kembali hubungannya dengan ibunya. Dari detik itu, bermulalah pengembaraan penuh magis dan teka-teki. Waizuri Rengga Api mencadangkan agar dia mencari seorang pendeta di pergunungan Tujupuri, bagi mendapatkan maklumat tentang ayahnya. Namun jalan yang memimpin ke arah pendeta itu tidaklah semudah yang dirancang. Godaan-godaan khayalan harus ditempuh sebelum dia dapat bertemu pendeta yang mendiami Gua Khayalan di Banjaran Tujupuri.
Rimau Seru adalah seorang pembunuh upahan yang setia pada prinsip yang unik. Setelah membunuh gurunya sendiri, dia mengembara ke seluruh Indera Wangsa bagi mencari sesuatu yang sangat diidamkan. Sewaktu di Indera Puspa, dia didatangi oleh seorang pengupah yang inginkan dia membunuh keluarga Lang Merah, tetapi Rimau Seru menolak upahan itu. Dia mahu meninggalkan dunia seorang pembunuh upahan. Seorang nenek tua di Indera Nila memberikan klu kepada pencariannya, dan dia bermati-matian mempertaruhkan nyawa bagi merebut pencariannya.
Cempaka Suri punya mimpi yang istimewa. Mimpinya adalah realiti, namun dia bisa berfantasi menggerakkan mimpi mengikut kemahuannya. Magis di dalam mimpi adalah senjata utamanya. Mimpi-mimpinya mempertemukan dia dan Lang Surya, yang menyimpan bunga cempaka pemberian Puteri Kenanga Mulya. Dia mengembara ke dalam mimpi bagi mendapatkan kembali bunga cempaka miliknya.
Plot demi plot menyatukan pengembaraan mereka hingga ditimpa musibah yang tidak terjangka. Dapatkah Lang Surya menembus godaan-godaan sepanjang perjalanan ke Gua Khayalan? Berjayakah Rimau Seru dalam pencariannya, juga meninggalkan pekerjaannya sebagai seorang pembunuh upahan? Mampukah mimpi-mimpi Cempaka Suri mengembalikan bunga cempaka miliknya? Apakah mereka bertiga lolos daripada malapetaka yang menimpa mereka?
Buku ni mengisahkan pengembaraan Lang Surya dalam mencari ayahnya yang telah lama hilang. Dan dari situ pertemuan dengan watak-watak lain seperti Cempaka Suri, Rimau Seru dan lain-lain sangat mengujakan. Buku ini ada tiga siri dan ini yang pertama. Sebenarnya buku ni dah lama keluar, cuma aku je yang baru baca. Yelah, kalau nak harapkan kat tempat aku jumpa buku-buku sebegini, jangan mimpilah hahaha... Ini pun seorang abang tu bagi recommended, masa acara tukar buku anjuran RAMfc. Kalau tak, aku pun tak tahu buku ni pernah wujud. Hee...
Ketebalan buku ini kalau dilihat pada sifat fizikal ia memang sangat nipis, tapi kalau difikirkan, sebenarnya mukasuratnya lebih kurang sahaja dengan buku-buku keluaran fixi. yang membezakannya kertas yang digunakan berbeza. menampakkan buku ni sangat nipis berbanding buku fixi.
Bahasa yang digunakan oleh penulis memang bahasa baku. Peerrgghh, aku tak tahu nak kata apa. memang terbaik. Memang sesuai dengan cerita fantasi dan kalau orang yang sakit kepala ketika membaca buku apabila terjumpa ayat-ayat baku dan tak pernah ada kat dalam kepala otak, buku ni pasti lama untuk dihabiskan... haha.. (Macam aku ke?). Lagi satu, kenapa penulis macam tergesa-gesa nak habiskan cerita setiap bab? Takut meleret ke atau apa?
Jalan ceritanya tersusun. Watak-wataknya semua punyai kekuatan masing-masing. Tapi satu yang aku tak suka, buku ni tergantung! Kena cari siri yang kedua dan seterusnya. Tapi kat mana nak cari yang kedua? Aku pusing kedai buku, takde jumpa buku ni dan sirinya. Aaarrgghh! Geram! Haha.
Oh ya, cover buku ni taklah mengujakan aku sebagai seorang pembaca mahupun pembeli. Sebab kekadang pembeli akan melihat dahulu cover buku baru baca blurb kat belakang kalau nak membeli. So, mungkin bila orang tengok cover buku ni nampak seperti buku komik pendekar yang ketika kecil dulu menjadi kegilaanku, pasti membuatkan pembeli mengabaikan buku ini. Mungkin mereka beranggapan buku ini buku untuk kanak-kanak dan tidak sesuai untuk orang dewasa membacanya. Tapi kat situ mereka silap, kata orang don't judge the book by it's cover kan? hehe... so, point aku kat situ, kita memang ketinggalan dari segi reka kulit depan buku dengan negara-negara luar. terutama negara barat. Walaupun ia adalah buku fantasi, cuba buat cover yang nampak kedewasaan dan buat orang teruja, pasti buku ini banyak yang membacanya. Mungkin?
Apa-apapun buku ini tidaklah menghampakan... kalau jumpa, jangan segan untuk membacanya haha... Don't judge the book by it's cover... sekian!
Novel Fantasi yang patut diketengahkan. Cukup saja saya katakan yang saya jatuh cinta dengan gaya penceritaan dan gaya bahasa novel ini. Tahniah kepada Penulis. Menanti siri yang terakhir. Saya sentiasa menyokong. :)
My younger self will enjoy this book. Kalaulah baca masa muder remajerr, this one going to be 5 ⭐️ read.
Jalan cerita best, idea bestt, ayat puitis tapi straight forward 🤌🏻 . Tapi memandangkan baca ni pun masa dh dewasa, rasa macam tak cukup. Kita nak detail, kita nak tragedi yang betul2 mencucuk dihati😂. Tapi yelah buku pun ditulis untuk remaja.
Cerita ni berkisar kembara 3 watak iaitu Lang Surya, pengembara yang hilang 10 tahun di dunia magis tapi hanya 10 hari di dunia manusia. Bayangkan balik ke dunia realiti tapi dengan badan dewasa mak mana yang x terkejut. Cempaka suri pula yang boleh jadikan mimpinya menjadi realiti, dan pembunuh upahan Rimau Seru yang melampaui kehebatan guru.
Dorang ni ada kembara masing2 tapi end up together-gether. Tapiiiiii baru mula mengembara buku dah habis. Acano niiii. 200 page je mana cukuppp!! 😂
Saya sangat suka pada naratifnya yang seolah-olah seperti bertemu seseorang dan bercerita secara bersemuka dengan pembaca. Rasa sangat "personal". Gaya bahasanya sangat cantik dan penceritaannya sangat menarik.
Saya cuma terkesan sedikit tentang bahagian ibu Lang Surya yang tidak mengenali anaknya sendiri sebab saya juga seorang ibu dan selalunya ibu mempunyai satu "instinct" yang kuat dan boleh membezakan siapa anaknya dan siapa pula bukan. Namun, kalau ibunya Lang Surya terus mengenali Lang Surya, pasti tidak ada pengembaraan Lang Surya mencari ayahnya, kan?
Apa-apapun, kudos to the writer for such an epic journey! I really, really enjoying myself and can't wait to continue my next adventure : Duyung Pulau Kenchana!
Pendeta Gua Khayalan siri pertama bagi trilogi Kembara Lang Surya. Sewajarnya Siri ini dilengkapkan agar saya tahu perkembangan Lang Surya dan Cempaka Suri seterusnya. Saya juga ingin tahu pengakhiran gelodak perasaan Rimau Seru antara tugasan yang perlu dilunaskan dengan pesanan perempuan tua yang sebaliknya. Saya ingin tahu juga takdir ibu dan bapa Lang Surya yang terpisah lama. Karya ini mencetus banyak persoalan yang hanya boleh dijawab dengan terbitnya siri kedua dan ketiga.