Mengandungi lebih daripada 80 buah sajak terbaik Raihani Mohd Saaid, penyair muda yang konsisten dan menjanjikan. Antara sajak yang dimuatkan di dalam koleksi ini ialah "Muda Jauhari", "Janji Si Muda Lela", "Setelah Menonton Puteri Gunung Ledang" dan beberapa sajak lagi yang sangat mewakili diri kepenyairannya.
Pemilik nama penuh Siti Raihani Mohamed Saaid ini lahir pada 12 Jun 1979 di Kuala Lumpur. Puteri sulung kepada sasterawan Dr. Zurinah Hassan ini mula serius menulis sejak tahun 1994 dalam genre puisi, cerpen, esei dan skrip.Karya-karya pernah tersiar di Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Tunas Cipta, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, InTrend, Eh! dan banyak lagi. Penghargaan yang pernah diterimanya dalam dunia sastera tanah air ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011 (kategori puisi-hadiah penghargaan), tempat kedua Hadiah Sastera Berunsur Islam 13 (kategori lirik), Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009,Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004/2005, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007, Hadiah Saguhati Pertandingan Menulis Novel Remaja DBP 2007, Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003, Hadiah Cerpen Esso-GAPENA 1997, Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-GAPENA 1995, Hadiah Sastera Siswa 1997 dan 1998 serta 3 siri pertandingan Penulisan Skrip Filem anjuran FINAS. Merupakan graduan Akademi Seni Kebangsaan dalam bidang Penulisan dan Universiti Malaya dalam bidang Seni Persembahan. Gemar mengisi masa lapang dengan membaca, menonton filem dan bermain piano.Selain menulis,boleh dipanggil untuk mengendalikan bengkel drama untuk remaja,kerja-kerja terjemahan dan voice over. Karya persendirian yang sudah diterbitkan dalam bentuk buku ialah kumpulan cerpen Badrul Bambi dan kumpulan sajak Terminus A Quo (terbitan Rumah Buku Rania) serta novel Dari QM Ke DM (terbitan DBP). Kini sedang melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana di Akademi Pengajian Melayu, UM dalam bidang kajian filem P.Ramlee.
Puisi-puisi rebel dan mengisahkan perjuangan yang getir: memang sukar ditulis. Kesukarannya bukan pada menggali cerita dan fakta. Tetapi pada cabaran untuk mengadun sentuhan rasa kepada narasi-narasi yang keras. Bukan mudah.
Ini adalah bentuk-bentuk puisi yang saya sendiri tidak reti menulisnya. Meski pun saya bergelinjang di atas tujuh buah lautan. Saya tidak nampak langsung bayang-bayang kepengarangan saya sendiri dalam mana-mana puisi. Tapi saya suka amat dengan kumpulan ini.
Kumpulan puisi Raihani Mohd Saaid yang sangat-sangat saya nantikan. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Ini hidangan paling lazat. Puisi bukan forte saya tetapi saya menyukai puisi-puisi Raihani sejak dulu lagi!
Ia mengambil masa yang agak lama untuk saya menghadam kegemaran Raihani Saaid dalam penggunaan frasa-frasa "fancy" dalam tiap karya beliau. Kekadang saya samar dalam menilai keperluan kata "fancy" tersebut bilamana ada kata mudah yang mungkin lebih jelas untuk digunakan. Namun pada pengamatan akhir, saya memeluk hakikat mungkin itulah tabii'e baliau, dan pembaca juga penilai harus menerimanya sebagai suatu nilai distinctive Raihani, walaupun ia bukanlah sesuatu yang organik.
Frasa "fancy" itu sendiri menerjah kita dengan judul buku puisi ini, yang diberi nama Terminus A Quo.
Seperti biasa Raihani merupakan penulis sajak yang gigih mengadun nilai intelektual dalam bait puisinya. Makanya kita jangan berharap ia sebuah buku yang boleh mengkhayalkan, apatah lagi mengalirkan airmata.
Ia sarat dengan titik-titik sejarah, warisan dan nilai insan. Bagi saya ia adalah suatu idea yang murni, tetapi persoalannya adalah,
"adaKah garapannya cukup bagus untuk memberi kesan kepada pembaca?"
Untuk menjadi jujur, saya katakan buku pemikir untuk manusia berfikir.
Hari ini kita boleh melawat mana-mana toko buku, dan betapa banyaknya buku puisi di pasaran, tambah lagi dengan kelelongan penerbitan bawah perdana yang begitu mudah memberi label penulis kepada sesiapa sahaja yang mampu menulis.
Saya kira buku puisi Raihani seperti Terminus A Quo (atau Sidang Kultus) adalah pilihan terakhir remaja kita yang ketagih digula-gula cuma khayal bahasa, melayan perasaan murah dalam bait-bait puisi indah, bukannya dahagakan keilmuan.
Saya tidak katakan ianya suatu fenomena yang tidak baik, tetapi dengan buku puisi berteraskan intelektual seperti Terminus A Quo, ianya menawarkan kita dengan sesuatu yang berbeza.
Dalam genang airmata hati kita menikmati puisi-puisi lainnya, minda menjerit maukan sesuatu yang mampu mencabar akal kita dalam ruang legar yang sama.
Tidak keterlaluan jika saya kata Terminus A Quo adalah jawapannya.
Sajak-sajak sejarah memang makanan Raihani! Melalui sajak-sajak beliau kita semakin bijak merenung diri, falsafah sejarah dan menginsafi hakikat peristiwa.