SN Abdullah Hussain adalah antara Sasterawan Negara yang paling aku sanjungi. Novelnya Imam, Interlok dan novel ini Konserto Terakhir adalah karya sastera Melayu yang telah lama diangkat sebagai teks penting dalam khazanah kesusasteraan Melayu moden. Aku pertama kali baca novel ini dalam edisi pelajar, 25 tahun lalu, mungkin? Jadi secara peribadi, novel ini sangat nostalgik.
Ia mengisahkan perjalanan hidup seorang pemuda kampung bernama Hilmi yang berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki dan akhirnya menjadi seorang seniman muzik yang terkenal. Naratifnya dibina dengan latar sosial yang kompleks, memperlihatkan pertembungan antara kelas, darjat, dan nilai kemanusiaan dalam masyarakat pasca-kolonial Malaysia.
Hilmi hanya bersekolah setakat darjah 4, dia menumpang di rumah Datuk Johari, seorang tokoh elit bandar. Kehadirannya tak disenangi oleh Datin Salmah yang memandang rendah kepada orang kampung. Melalui ketekunan dan bakat seninya yang tersendiri, Hilmi mula menonjol sebagai individu yang berjiwa besar. Hubungan rapat antara Hilmi dan Hayati, anak dara Datuk Johari, menjadi titik konflik - antara cinta, darjat, dan kehendak keluarga. Walaupun berjaya, kehidupan Hilmi terus menerus dilanda tragedi - rupa -rupanya Hilmi ni sebenarnya anak kandung Datuk Johari pula! Ini menambah lapisan dramatik dan ironi dalam dalam ceruta ini.
Dari segi gaya bahasa, SN Abdullah menggunakan pendekatan naratif yang bersih dan jelas, strukturnya konvensional tapi berkesan. Dialog dalam novel ini realistik dan berfungsi sebagai alat untuk memperlihatkan konflik sosial dan psikologi watak. Gaya penulisan beliau tak terlalu eksperimental dalam novel ini, dan cukup kuat untuk menyampaikan emosi dan mesej yang mendalam. Novel ini juga kaya dengan simbolisme – piano sebagai lambang seni dan kebebasan, rumah Datuk Johari sebagai simbol kekuasaan dan penindasan, serta hospital sebagai ruang peralihan antara kehidupan dan kematian. SN Abdullah berjaya mengangkat seni muzik sebagai medium perjuangan dan ekspresi diri, sesuatu yang jarang disentuh dalam sastera Melayu ketika itu.
Cuma pengalaman aku menelaah karya ini pada tahun 2024, dengan lensa alaf 21 - subconciuos mind aku tak berhenti mengatakan stereotaip watak dalam novel ini terlalu hitam putih. Datin Salmah umpamanya, digambarkan sebagai antagonis sosial dengan cara yang agak exaggerate, tiada ruang langsung diberikan kepadanya untuk perkembangan watak. Begitu juga dengan Hayati yang terlalu idealistik, dia ni umpama alat naratif untuk mengangkat Hilmi dalam novel ni, bukan sebagai individu yang berdiri sendiri. Even konflik kelas dalam novel ini kadangkala terasa terlalu didaktik, seolah-olah - novel ini memang ditulis untuk menyampaikan mesej moral secara langsung tanpa membiarkan pembaca membuat tafsiran sendiri. Ada beberapa babak yang aku rasa seperti ceramah sosial, bukan pengalaman sastera yang organik.
Tambahan pula, walaupun novel ini mengangkat seni muzik sebagai tema utama, pengolahan terhadap dunia muzik itu sendiri agak cetek. Hilmi, sebagai genius muzik, tetapi proses kreatifnya tidak diperincikan dengan mendalam. Jadi kejayaannya adalah mitos bagi aku, bukan hasil perjuangan artistik yang kompleks. Kalau dinilai dalam konteks sastera moden alaf 21 yang menuntut kedalaman psikologi dan realisme, aspek ini boleh dianggap sebagai kelemahan naratif.
NAMUN, TETAPI, secara keseluruhan, novel ini tetap penting sebagai karya yang membuka ruang kepada perbincangan tentang identiti, seni, dan keadilan sosial dalam masyarakat Melayu pada era itu. Dan ini telah menghalalkan matlamat pengangkatan novel ini sebagai bahan Komsas. Above all that, aku baca karya ini sebagai cerminan semangat zaman dan perjuangan seorang SN dalam membina naratif bangsa. SN Abdullah Hussain telah memberikan aku sebuah konserto – bukan sekadar muzik terakhir, tetapi gema panjang tentang makna kehidupan dan seni dalam dunia yang penuh ketidakadilan.
4.5 / 5 stars