Karya kedua Keris Mas (atau Kamaluddin Muhammad) yang saya baca. Di dalam buku ini, dihimpunkan dua buah cerita. Walau genre ceritanya berbeza, namun masihlah kedua-duanya berlatarbelakangkan zaman hiruk-pikuk menuntut kemerdekaan, dan menjadikan pengorbanan sebagai tema utama.
Cerita yang pertama, Pahlawan Rimba Malaya mengisahkan seorang pemuda Melayu, Jefri yang bekerja secara diam-diam tapi tekun, untuk menggempur tentera Jepun. Sebak bila saya baca. Satu kalimat yang menyimpan kemas amanat daripada mereka, yakni para pejuang kita: "Meski maut akan datang juga menjemput kita satu persatu, namun cita-cita ini janganlah patah di tengah, janganlah puas dengan satu kemenangan dan janganlah berputus asa dengan satu kematian, sampai cita-cita mendirikan sendi kemuliaan bangsa dan tanah air kita dapat didirikan." (h. 53).
Karya-karya yang menceritakan perihal peperangan dan perjuangan menuntut kemerdekaan, mestilah dibaca oleh generasi kini agar insaf akan segala derita dan jerih payah mereka yang telah mengorbankqn tenaga, harta, masa, bahkan diri mereka demi mengecapi kemerdekaan. Pengorbanan yang dilakukan oleh para pejuang terdahulu wajar kita renungi dan hargai. Harga yang sungguh mahal perlu dibayar!
Cerita kedua, Korban Kesucian pula memaparkan kisah cinta tragis yang dialami para pemuda dan pemudi pejuang bangsa yang cinta akan negara, namun tersalah percaturan pula dalam memperjuangkannya. Dalam perkara ini, siapakah yang perlu dipersalahkan? Cikgu Aini, Ustazah Aminah, Encik Busu atau Encik Asri?
Tiada sesiapa yang layak dipersalahkan sebenarnya, menurut saya. Kesemua daripada mereka telah berkorban demi anak bangsa, hanya sahaja salah percaturan.
Yang paling saya gemar dalam kedua-dua penceritaan ini ialah bahasanya yang “baik sekali, lembut, manis dan berbunga-bunga” persis yang diungkapkan oleh Aminuddin Baki pada ulasan beliau terhadap Korban Kesucian. Terpesona saya dengan bahasa Bung Keris di dalam buku ini. Penceritaan berkenaan derita peperangan juga tidak terlalu terperinci, seperti kebanyakan karya lain yang menceritakan babak darah terpercik ke sana-sini demi menyeret pembaca untuk merasai sama penderitaan watak. Saya tidak gemar dengan penulisan yang sifatnya begitu.