Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulilah selawat dan segala puji ke atas nabi junjungan yang dikasihi, Nabi Muhammad SAW. Akhirnya selesai bacaan saya untuk buku ini - Biografi Agung Rasulullah Sallahu Alayhi Wassalam. Mungkin kalau kita perhatikan, terdapat banyak sebenarnya buku biografi lain yang turut menceritakan mengenai kisah hebat Nabi teragung untuk umat akhir zaman ini.
Tapi pada saya, apa yang istimewanya mengenai buku ini ialah pada maklumat yang cuba disampaikan. Ianya adalah sebuah buku yang cukup menyenangkan untuk dibaca dan ditatap. Lebih-lebih lagi pada susunan ayat/info yang teratur, padat, kertas yang berkualiti dan disertakan dengan gambar-gambar berwarna untuk kefahaman yang jelas.
Apa yang paling menarik, setiap kisah Rasulullah disusun dengan teliti bermula dari awal keturunannya, siapa mereka yang bersama Rasulullah sepanjang hayat beliau (nama setiap ahli keluarga, isteri-isteri, anak, sahabat dan lain-lain), mukjizat yang dimiliki, kehidupan yang dilalui Rasulullah, akhlak dan sifat terpuji Rasulullah, dakwah, peperangan yang disertai sehinggalah pada saat kewafatan Rasulullah. Malah selain itu, pada bab 17 buku ini ada ditambah info-info lain seperti wasiat Nabi, kelebihan berselawat, hadis Rasulullah dan lain-lain lagi.
Terus-terang saya katakan buku ini walaupun ringkas dan padat, ianya cukup memberi kesan kepada sesiapa yang membacanya.
Kelebihan sebagai umat Rasulullah yang diceritakan pada m/s 352 buku ini, merupakan satu peringatan yang baik betapa bertuahnya kita semua yang terpilih menjadi umat Rasulullah. Oleh itu, sebagai tanda bersyukur, marilah kita sama-sama meluangkan masa berselawat ke atas nabi junjungan kita setiap masa kerana begitu besar fadhilat yang diterima.