Jump to ratings and reviews
Rate this book

Ahli Politik

Rate this book
Ahli Politik mempunyai bahasanya yang tersendiri. Juga cerita dan kehidupannya yang tersendiri. Sentiasa apa yang ada dalam dirinya tidak sama dengan apa yang terpamer di wajahnya. Ahli politik menyusur percakapan dalam diri yang selalunya digumpal untuk melahirkan tindakan yang tidak pernah lahir di wajah yang dipamerkan. Ahli politik adalah ahli dalam segala hal; individu, masyarakat, budaya, ekonomi, siasah dan politik. Selebihnya Ahli Politik ialah cerita yang mengalir sesuka hatinya, ia menyumpah dan menyeranah semahunya.

287 pages, Paperback

First published January 1, 2012

5 people are currently reading
60 people want to read

About the author

S.M. Zakir

65 books47 followers
S.M. Zakir nama penuhnya Syed Mohd Zakir bin Syed Othman dilahirkan pada 4 Februari 1969 di Kota Bharu, Kelantan. Dibesarkan di Pulau Pinang dan Selangor. Kini menetap di Selangor. Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra, Kota Bharu, Kelantan hingga darjah empat; Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor, Pulau Pinang; seterusnya ke sekolah menengah Penang Free School, Pulau Pinang; Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi dan menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Tinggi Kajang. Melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi MARA dan Institute of Commercial Management, Bournemouth, England.

Mula menulis pada tahun 1990 dan sehingga sekarang telah menerima puluhan anugerah sastera termasuk Hadiah Sastera Perdana kategori kumpulan cerpen 1994/95 (Merengkuh Langit, DBP 1995) dan Anugerah Sastera Kelantan kategori Buku Kumpulan Cerpen (Sekuntum Kembang di Sayap Jibril, PPN 2001). Antara anugerah sastera tersebut ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Sastera Utusan-ExxonMobil, Hadiah Sastera DBP-Maybank, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBKL, Hadiah Formula Malaysia dan Anugerah Sastera Negeri Kelantan.

Pernah dihantar oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai peserta ke ASEAN Youth Writer’s Conference/Workshop di Bayview Hotel. Pulau Pinang, Disember 1992 dan Bengkel Cerpen MASTERA di Bogor, Indonesia 11-17 Oktober 1998.

Bidang penulisan yang diceburi ialah cerpen, esei, sajak dan novel yang antaranya disiarkan di majalah Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Pelita Bahasa, Bahasa, Dewan Siswa, Jurnal Perisa, Jurnal Malay Literature, Jurnal Pangsura, Milenia Muslim, Pentas, akhbar Berita Minggu, Berita Harian, Utusan Melayu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan pelbagai akhbar serta majalah lagi.

Buku-buku yang diterbitkan ialah novel remaja Di Bawah Lembayung (DBP. 1991), novel klasik Kembang Kanigara (DBP. 1992), kumpulan cerpen Merengkuh Langit (DBP. 1995), kumpulan cerpen-mini Fatamorgana (Sasbadi. 1997), kumpulan cerpen Sekuntum Kembang di Sayap Jibril (Penerbitan Pustaka Nusa. 2001), kumpulan cerpen Menyirat Nirmala (DBP. 2004), kumpulan cerpen Sekeping Ruh di Atas Bantal (PPN2005), kumpulan sajak Memburu Malaikat (PPN 2007), kumpulan sajak Sajak-sajak Petualang: Manusia Cinta (PPN, 2009) dan sebuah buku biografi edisi mewah iaitu Seniman Negara ke-7 Datuk (Dr) Ahmad Nawab (JKKN. 2008).

(Sumber: http://www.suaramalaysia.net/index.ph...)

Ratings & Reviews

What do you think?
Rate this book

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
8 (21%)
4 stars
19 (50%)
3 stars
9 (23%)
2 stars
2 (5%)
1 star
0 (0%)
Displaying 1 - 12 of 12 reviews
Profile Image for Nazmi Yaakub.
Author 10 books279 followers
July 27, 2015
"Politik abad baru ini sedang melalui suatu bentuk perubahan sosial yang sangat kompleks. Masyarakat bukan sekadar pelbagai kaum, tetapi pelbagai dimensi pemikiran, pelbagai bentuk kecerdikan dan pelbagai cita rasa kehidupan. Masyarakat di bandar menjadi begitu berdikari sehingga mereka tidak lagi bergantung kepada politik kepartian bahkan dasar negara.

"Ahli politik boleh sahaja menetapkan apa dasar yang mereka mahukan tetapi penduduk kota yang berdikari ini bukan sahaja mempunyai kebebasan untuk mengikut atau tidak, malah mampu untuk mendesak segala dasar itu menjadi air liur basi yang tidak berguna."

Jangan silap sangka, petikan itu bukan daripada esei politik atau buku kajian sosiologi mengenai perubahan pola siasah, sebaliknya dikutip daripada novel Ahli Politik karya Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir).

Kemudian, SM Zakir melalui watak utamanya, Faruk bermonolog untuk memberikan contoh ciri kelompok itu: "Mereka tidak bergantung kepada ahli politik untuk memberikan dasar yang menjadi sistem kehidupan mereka, malah mempunyai sikap politik individu yang tersendiri bagi kepentingan hidup serta pilihan bebas mereka. Bahkan mereka tidak memerlukan ciri-ciri kebangsaan untuk mereka hormati.

"Bahasa kebangsaan, lambang kebangsaan (lagu, bendera dan sebagainya boleh sahaja mereka cerca dan cemuh), agama rasmi bahkan Perlembagaan juga sentiasa menjadi mainan dan cemuhan mulut serta hati mereka yang liar dan biadab. Mereka hidup untuk menentang konsep negara, kerana mereka manusia individu yang mendokong kedaulatan individu," tulisnya.

SM Zakir memperlihatkan ketajaman pemerhatian terhadap perubahan sosio-politik masyarakat, sebelum menghantar sindiran dengan bahasa sarkastik menggunakan gaya komedi hitam.

Dalam komedi hitam, seluruh gerakan dalam sesuatu karya baik berpunca daripada sifat sinis dan skeptik yang dimiliki oleh watak yang menterjemahkan pandangan hidup pengarangnya sendiri.

Bagaimanapun, kritikan dan sindiran bukan melalui watak yang dibentuk seperti malaikat, sebaliknya Faruk dalam Ahli Politik umpamanya, adalah sebahagian daripada gejala yang mewabak dalam masyarakat itu.

Dalam bab Ahli Siasah, pengarang bukan saja melepaskan kritikan kepada ahli politik, bahkan membentangkan perubahan genting yang berlaku dalam mentaliti dan intelektualiti masyarakat bandar yang semakin membesar kesan daripada urbanisasi, sekali gus pengecilan wilayah luar bandar baik secara luaran mahupun dalaman akibat modenisasi khususnya gelombang globalisasi.

Ahli politik yang menjadi sasaran utama pengarang diberikan wajah paling gelap tetapi menyangka paras mereka sangat jernih dan pada masa sama, kelompok itu meraikan perubahan yang genting itu serta mempertahankannya demi kepentingan politik.

Barangkali secara kebetulan, novel ini saya habiskan beberapa hari sebelum tiga ahli parlimen daripada parti yang menggunakan nama Islam, mengadakan sidang media meminta penjelasan di sebalik fatwa yang berkaitan liberalisme dan pluralisme.

Sebagai pemimpin parti yang mendakwa mahu memperjuangkan Islam, persoalan definisi liberalisme dan pluralisme yang menjadi cabaran sekurang-kurangnya tiga dekad ini sepatutnya tidak lagi menjadi isu.

Ini kerana ilmuwan Islam dalam alam Melayu seperti Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, Dr Khalif Muammar, Dr Mohd Farid Mohd Shahran, Dr Arif Syamsudin dan Dr Ugi Suharto menulis dan menyelenggarakan banyak buku yang membincangkan liberalisme dan pluralisme secara ilmiah.

Malah sebelum itu lagi, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas sudah menjelaskan makna kebudayaan dan pemikiran Barat yang menjadi rahim kepada dua cabaran genting umat Islam itu.

Di sebalik hakikat fahaman itu sepatutnya difahami sekiranya merujuk kepada mereka yang alim dalam bidangnya, ahli parlimen terbabit masih lagi mempersoalkan definisi liberalisme dan pluralisme yang dijadikan asas kepada fatwa berkenaan.

Barangkali, jawapan itu ada pada novel Ahli Politik, iaitu perubahan sosial yang sangat kompleks sehingga masyarakat bandar yang memiliki pelbagai dimensi pemikiran tidak lagi bergantung kepada politik kepartian dan ahli politik untuk memberikan dasar yang menjadi sistem kehidupan mereka.

Sebaliknya, parti dan ahli politiklah yang perlu meraikan dan mengikut kehendak mereka atau sekurang-kurangnya melunakkan apa-apa saja dasar yang dipegang terutama jika ia sebelum ini dilihat tegas dan keras.

Malangnya, mengejar kehendak dan populariti dalam kalangan kelompok liberalisme serta pluralisme tetapi pada masa sama cuba berpegang dengan Islam, ibarat meluru ke arah fatamorgana yang pasti tidak akan digapai.

Sekiranya hal itulah yang menjadi punca, kita akan mengulangi nasib Faruk dalam Ahli Politik seperti Sisyphus dalam dongeng Yunani yang dihukum menolak batu ke atas bukit tetapi bergolek kembali ke bawah yang terpaksa dilakukan selama-lamanya.
Profile Image for Jiwa Rasa.
407 reviews57 followers
September 20, 2012
Novel yang menarik dan menghiburkan dari penulis yang juga hebat.

Karya yang boleh disebut postmodernis, mungkin sedikit absurdism atau mungkin juga surrealism yang disuntik humour. Penulis menulis ikut suka hati beliau. Bahasa yang tidak bertapis, mengeluarkan segala yang bermain di fikiran di atas kertas. Sesekali membaca bagai membaca Catcher in the Rhye karya JD Salinger. Kita seperti dibawa oleh Holden Caulfield di dalam kembara dan apa yang bermain di fikiran budak itu. Lintasan fikiran yang nakal, sinikal, bodoh-bodoh cerdik, pandir ditumpahkan semaunya di dalam novel ini.

Kadang-kadang terasa seperti seperti The Castle tulisan Franz Kafka, adakalanya seperti membaca Candide oleh Voltaire. Adakala tersenyum bila membacanya, adakala marah bila bersetuju dengan pengamatan penukis tentang watak-watak dalam dunia politik.

Sesekali juga terasa seperti membaca semula cerita Pak Pandir dan Mat Jenin bila mengenangkan nasib watak utama dalam novel ini.

Jika saudara rajin membaca status-status berbau politik di Facebook, semuanya bagai terangkum di dalam novel ini. Terasa bagai membaca ulasan politik dari pengulas, pengkritik politik yang ramai di FB yang bermati-matian mempertahankan tokoh dan parti yang dianut, walau tanpa sedar mereka seperti watak utama novel ini. Berdegar-degar mengetuk papan kekunci, tetapi poketnya kosong dan terus menerus menolak batu mendaki bukit seperti dalam dongeng Sisyphus.
Profile Image for Benz.
Author 20 books103 followers
July 28, 2018
Aku tak rasa ini karya terbaik SM Zakir, walaupun aku bukan (atau belum) membaca kesemua karyanya lagi. Karya ini lebih kepada monolog dan pelepasan marah dan sumpah seranah beliau yang membuak-buak terhadap perpolitikan negara (seperti tajuk) dll seperti hipokrit penulis-penulis tua-muda, yang konon nak menampakkan mereka berilmu. Bagaimanapun aku tetap menekuni karya ini sehingga habis dan ia memberikan perspektif lain tentang penghasilan karya sebegini, iaitu cerita satu hari tetapi sarat dengan bebelan dan maki hamunan -tentu, disalut dengan hujah-hujah intelektual dan kritikan sosial- dan ianya ala-ala gaya Affandi Hassan menulis cerita bersambung yang panjang, dan kadang-kadang disalahtanggapi sebagai novel (aku memang peminat betul Affandi Hassan dan gaya penulisan sebegini) sekurang-kurangnya pada penulis, ia tak terbeban pada keperluan untuk mereka-reka plot dsbnya. Terus kritik, kutuk, hentam apa sahaja. Dan kemudian masuk bab seterusnya, dengan cerita yang lain pula, watak boleh sahaja sama, atau watak-watak lain yang bersangkutan dengan watak sebelum ini.

Aku suka dengan idea buku ini.
Profile Image for Luc Abdullah.
Author 6 books61 followers
Read
October 20, 2012
1. Tidak ramai yang mengenali demokrasi walau menjulangnya.
2. Jika terjumpa buku ini di rak buku kedai mahupun di tangan member² mahupun dalam beg malaun mana entah, rembatlah. Barangkali ia sangat berbaloi untuk menghentak isi kepala kau atau barangkali juga kau--dengan penuh ego memperlekehkan monolog panjang si penulis. Ya, monolog panjang dalam skala novel.
Profile Image for Izuan.
80 reviews7 followers
July 22, 2021
Aku diperkenalkan kepada Novel ini melalui buku "Dia dan Nya" karya Sutung Umar RS. Di dalam Buku "Dia dan Nya", Sutung Umar RS ada membuat sedikit ulasan tentang Novel Ahli Politik ini.
Sebuah sindiran terhadap sistem politik di Negara kita. Penulis memberi kritikan terhadap sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia dengan memberi gambaran sebagai "Estet Getah" yang diwarisi dari penjajah Inggeris. Penulis juga mengkritik sistem pemerintahan Negara yang masih mengamalkan dasar "pecah dan perintah" yang juga diwarisi dari pemerintahan penjajah Inggeris yang menyebabkan berlaku ketidakseimbangan antara kaum. Novel ini juga menyentuh tentang isu-isu Kapitalisme yang hanya memberi keuntungan kepada ahli politik dan pemain-pemain industri yang besar yang seterusnya memberi tekanan kepada rakyat. Seterusnya novel ini memberi sindiran kepada Ahli Politik yang lebih mementingkan diri sendiri serta kaum kerabat berbanding dengan kepentingan rakyat.
Secara keseluruhannya, bagi aku novel ini menarik untuk di baca kerana ia memberi gambaran tentang politik negara. Walaupun bagi aku novel ini hanya sekadar pandangan penulis, tetapi apa yang dinyatakan oleh penulis adalah benar, telah berlaku dan masih lagi berlaku hingga ke hari ini.
Profile Image for Fariz Rahman.
6 reviews
December 12, 2019
pertama kali aku baca karya s.m zakir di bawah lembayung.novel remaja bahasanya lembut dan teratur.masa aku baca naskah ahli politik ini aku merasakan wah,bahasanya lepas dan deras. laju dengan seranah,maki hamun,jelas maksud yang dituju. aku menyetujui semua idea dalam novel ini tetapi bukan setuju dengan mengimani semua kata kata dalam ini. secara penuh aku suka karya ini.bagi aku ahli politik memang begitu. dan jiwa aku memamg tidak mempercayai politikus jadi aku tidak akan marah marah dengan setiap isi yang ada dalam novel ini. buku ini memberi apa yang aku fikirkan tidak keseorangan. ya aku wujud, bukan halimunan bagaikan watak farok dalam novel ini dalam istana budaya yang melihat ayam ayam mengerumuni musang.politik tetap terus bermuslihat,hipokrit,najis dan menjengkelkan.
Profile Image for Masyhoor Akram.
41 reviews3 followers
July 5, 2020
Tanpa diduga, seakan-akan penceritaan dalam buku ini mengulas krisis politik tanahair yang berlaku di tahun 2020. Penuh sinis dan tajam namun teguh berfakta. Ada sedikit-sedikit pengulangan ingatan terhadap Saufi yang menyebabkan rasa kurang seronok dan membunuh sedikit mood namun begitu, semakin menghampiri penamat semakin ligat membaca dek tertarik dengan olahan-olahan dan mainan kiasan yang jelas dan tersusun. Terdapat juga monolog yang seakan-akan semakin meleret-leret. Secara keseluruhannya, merupakan karya yang menarik. Agak membosankan pada permulaan, sederhana di pertengahan dan semakin menarik ke arah pengakhiran.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Profile Image for Izzat Isa.
417 reviews50 followers
July 9, 2018
Selepas novel Shit dan Perempuan Politikus Melayu, saya fikir novel Ahli Politik ini merupakan karya politik yang menjadi jaguh dalam memerihalkan tentang suasana dan pelaku-pelaku politik secara individu mahupun kepartian.
Novel ini secara dasarnya digerakkan oleh seorang sahaja watak yang dikenali sebagai Faruk - seorang penulis bebas yang mencari 'makan' dengan mendampingi ahli-ahli politik untuk menghasilkan sebarang tulisan berkaitan mereka. Semestinya tulisan positif yang mengangkat dan menjulang mereka sebagai pemimpin yang berusaha, berjaya dan berjasa kepada rakyat.
Dalam meneruskan kelangsungan hidup, Faruk mengetahui tentang 'buruk' dan 'busuk'nya dunia politik yang menjadi suatu sistem yang besar meliputi hubungan politik, ekonomi, sosial sehinggakan kepada agama.
Profile Image for Nur Asilah.
94 reviews
November 6, 2012
Benarlah yang tercatat di sinopsis. Bahasa tersendiri; bahasa kejujuran yang pastinya. Monolog berperingkat demi peringkat yang menyatakan kemuakkan watak utama dalam arena dunia politik. Entah murni entahkan tidak. Suara ketelusan.
Profile Image for Syukri Sapuan.
Author 2 books14 followers
August 8, 2013
Membuka minda - tentang politik, ekonomi, sosiobudaya, seni dan pelbagai lagi.

Sarat dengan analogi yang bernas.
Profile Image for Mohd Faizal.
6 reviews
December 11, 2012
Jika anda setuju dengan satu hujah dalam monolog panjang ini mungkin anda salah. Tapi jika anda tidak setuju juga mungkin anda salah. Awas, ini naskah yang bijak!
Profile Image for Faaizz Dzul.
68 reviews15 followers
November 29, 2013
"Besoknya, aku pasti ke pejabat Saufi semula, untuk mengulangi dan mengulangi kehidupan Sisipus."

satira bijak dan menendang, padu.
Displaying 1 - 12 of 12 reviews

Can't find what you're looking for?

Get help and learn more about the design.