Suhaidah, janda derita yang resah menantikan kehidupan bayi keduanya; Wagima, bekas pejuang yang masih terus bersemangat cuba memahami kecemasan tanah airnya; Rasimah yang cuba berupaya menjadi seorang isteri yang setia, tapi masih terus terdera; Dzulkifli, seorang pewaris amanah untuk membangunkan sebuah madrasah sedang merancangnya sesetia mungkin. Inilah kelompok manusia yang terlibat dalam satu gelora era yang menceritakan bagaimana sebuah negara menghadapi zaman pancarobanya yang getir. Kelompok manusia inilah, berselang-seli, malah terkadang tertembung langsung, dalam kehidupan yang mencabar dan mematangkan. Kisah sekelompok manusia dekad 40-an ini menekuni kehidupan gementar dan terdera pada ketika sebelum meledak bom pertama di Malaya.
Mereka adalah himpunan manusia yang memang gamam di bawah sergahan awan perang mencemaskan. Secara berdikit, kalungan kisah-kisah sederhana seputar mereka menyerlahkan makna kehidupan sebuah masyarakat kecil pelbagai kaum, pelbagai budaya, pelbagai kerenah. Pengalaman perih mereka dapat menginsafkan generasi penyambungnya.
Abdul Samad bin Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A. Samad Said ialah Sasterawan Negara 1986. Beliau juga pernah dianugerahkan dengan "Anugerah-anugerah Menulis Asia Tenggara" (SEA Write Awards).
Dilahirkan di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, A. Samad mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946) dan Institusi Victoria, Singapura (1956). Seorang yang berminat dalam penulisan sejak di bangku sekolah, beliau telah menulis banyak karya yang terkenal, termasuknya novel-novel berikut:
* Salina * Langit Petang * Sungai Mengalir Lesu * Hujan Pagi * Bulan Tak Bermadu di FatehpurSikri. * Adik Datang * Cinta Fansuri
Antara antologi puisinya ialah Suara Dari Dinding Dewan (2003), Dirgahayu Dr. Mahathir dan Rindu Ibu (2004).
Antologi Esei terbaru adalah Ilham Di Tepi Tasik (2006).
Datuk A.Samad Said pernah juga menggunakan nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir.