BALADA PYANHABIB (2012) ~ 'ceritanya tak best' tapi buku ini best giler!
Salaam.. 'ceritanya tak best!' ialah salah satu sajak di dalam buku ini, mukasurat 166 iaitu komen seorang 'kutu' kepada seorang penerbit filem apabila diajukan soalan "apasal lu tak tonton lu punya 'star' berlakon?". Sajak itu ditulis oleh seniman Pyanhabib pada Januari 1993, Kuala Lumpur. Siapakah 'star' itu? siapakah penerbit filem itu? dan apakah filem yang dimaksudkan? Mungkin suatu hari nanti saya akan dapat jawapannya apabila berjumpa dengan abang Pyanhabib sendiri..haha!
Buku ini semacam kronologi kehidupan seorang 'kutu' sejak Disember 1975 sehingga 14 Januari 2011 yang kini saya sanjungi sebagai salah seorang seniman tanah air yang sangat dihormati iaitu Pyanhabib. Membaca setiap mukasurat sajak secara rentetan tahun ia ditulis yang digandingkan bersebelahan mukasurat dengan karikatur atau gambar-gambar nostalgia beliau, seolah-olah mengikuti perjalanan susah-senang hidupnya.
Saya teringat filem Kembara Seniman Jalanan (1986) Pyanhabib sebagai Osman Tikus itu umpama gambaran sebenar kehidupannya sebagai seniman jalanan secara fiksyen. Manakala buku ini pula gambaran dalam pengkisahan sebenar dari sajak-sajak beliau. Pengalaman membaca buku ini secara berterusan hanya satu malam sahaja, mampu menjadi sebuah penceritaan yang agak intim ke dalam diri dan hidup Pyanhabib.
Setiap sajak ialah luahan perasaan peribadi beliau kepada sekitarannya. Sesiapa atau apa saja yang melintas di depan mata atau terlintas di fikirannya dirasai, dijadikan sajak yang kadangkala mudah difahami atau perlu dibaca berkali-kali untuk memahami betapa indah atau gundah cerita di sebaliknya. Setiap sajaknya seawal Disember 1975 ialah rakaman diari harian, pendek atau panjang.
Namun saya cuba meneka bahawa selepas beliau berkahwin 1989, sajak-sajaknya berubah dari yang bersifat luahan kehidupan peribadi yang berbagai-bagai rasa kepada lebih 'gembira' dan persepsinya kepada permasalahan masyarakat (berdasarkan buku ini). Tulisan beliau selepas itu lebih kepada catatan panjang atau cerpen atau sajak yang lebih menyentuh perihal kedewasaan dan kritikan politik serta sosial.
Ada beberapa sajak yang bersiri iaitu catatan sebelum tidur i ii iii yang begitu indah sulaman bahasa dan maknanya manakala semadi i & ii yang begitu pendek tetapi padat isinya. Sajak dan catatan iaitu bapakku seorang YB, hello malaysia apa khabar? mukadimah mandeliar, di gurun pasir, apabila itu tandanya dan surat kepada tuan pee emm ialah antara perubahan ketara dalam penulisan beliau yang menegur secara berlapik dalam nada jenaka tetapi begitu pedas. Di samping itu, beberapa sajak juga menyentuh perihal peribadi beliau dengan Tuhan seperti siri catatan sebelum tidur i ii iii, gua, pengabadian, puisi-puisi luka, doa, kuku jari, sebermula, bilah pilu, kalau ia, direnung maut, bilah-bilah dinihari dan berahi abadi (tudiaa! aku dah senaraikan semuanya!)
Selamat membeli dan membaca!
NOTA: cuma saya tak pasti kenapa sajak SELUAR DALAM tiada dalam buku ini eh?
sesuailah dengan zamannya yang sudah usai dan apa yang dia miliki hari ini. suatu yang pernah, ibarat menjentik semalu dan membiarkannya berkembang semula. maka, lihatlah, kalau sekalipun tidak mampu menyelami, bahwa buku ini semalu yang kembali mengembang.
sekali ini saja, kembangnya akan mengingatkan kita sepuluh atau dua puluh tahun akan datang tentang sepuluh atau dua puluh tahun yang hilang.
Sesuatu yang pasti saat menutup Balada Pyanhabib ialah hamba tidak akan sesungguhnya memahami seorang seniman. Namun, buku ini seakan membawa hamba mengenali (sedikit saja tentunya) seorang Pyanhabib yang hamba pernah lihat cuma dua kali – melalui filem Kembara Seniman Jalanan dan Rock OO.
Seperti lazimnya, adalah satu kemestian untuk hamba membaca buku puisi paling sedikit dua kali. Tidak terkecuali Balada Pyanhabib yang hamba baca tiga kali kerana sejujurnya hamba ini buta puisi :P. Namun, sungguh hamba merasakan puisi-puisi dan tidak lupa sedikit nukilan pendek Pyanhabib dalam buku ini bagaikan punya ‘suaranya’ sendiri. Ada antara tulisannya yang masih tergantung tak bertali di fikiran tapi tidak apa kerana sudah hamba katakan tadi, hamba tidak akan sesungguhnya memahami seorang seniman :).
Namun, mungkin kerana puisi-puisinya atau mungkin kerana koleksi gambar-gambar peribadinya atau mungkin juga semata-mata kerana hamba suka dua filem di atas itu, hamba menyukai buku ini. Balada Pyanhabib semacam membawa hamba ke zaman 80-an (kebanyakan puisinya dalam buku ini ditulis sekitar tahun itu) walaupun sebetulnya hamba baru dilahirkan di penghujung zaman itu.
Dari buku ini; ‘Antara Labu dan Berangan’ adalah nukilan ringkas kegemaran hamba selain lain-lain tulisan yang bernada politik seperti ‘Mukadimah Mandeliar – Pancing Undi’ (mungkin kerana musim ‘gila’ bernama pilihan raya baru saja lewat :P). Manakala puisi pula, hamba paling menyukai yang dua ini;
...bapakku seorang YB di negara demokrasi punya empat isteri mahu miliki ramai bini satu hari dibisiknya aku waktu makan nasi - jadi YB, bapak tak habis-habis berkelahi - di Parlimen, bapak tak habis-habis kena maki.
(petikan Bapakku Seorang YB; Pyanhabib; buku Balada Pyanhabib, muka surat 104)
kuhidu wangi perempuan ada bau luka
(puisi Wangi Perempuan, Pyanhabib; buku Balada Pyanhabib, muka surat 130)
p.s Teringat dialog Pyanhabib dalam Rock OO; “Balik pakai seluar, kasi rock.” :D
pada pandangan aku, setakat apa yang aku sudah baca, buku ini amat kuat isinya. imej-imej saudara pyanhabib pada zaman-zaman osman tikus dan jebat boleh dikatakan antara penarik buku ini.
puisi-puisi yang ada dalam buku ini kebanyakan kau boleh kaitkan dengan hidup kau. amat berbaloi untuk dimiliki.
oh ya, aku kerap terbaca puisi dalam buku ini dalam nada pyanhabib. oh my english!
Pyanhabib. Dia hidup dalam puisi dan puisi hidup dalam dia. Bagi aku, buku ini adalah kehidupan dia. Kehidupan yang akan terus hidup walaupun dia sudah mati suatu hari nanti. Balada Pyanhabib menjadikan pembaca seorang pengembara masa.
Kali pertama aku belek & baca buku ini dalam komuter-perjalanan balik dari PBAKL 2012. Tersengih, tersenyum, teruja bila membaca dan melihat gambar-gambar serta tagline-nya. Serius, tidakku tahu sebelum ini bahawa Pyanhabib seorang pelakon.
Apa yang menarik buku puisi/ monolog ini ia ditulis sejak aku belum wujud, masih kecil, tak tahu hal ehwal zaman aku belum lahir dan hal ehwal zaman aku kecil tapi aku dapat merasai beberapa puisi kecuali, kecuali... "syok yang". Harap suatu hari nanti, dapat minta Pyanhabib bacakan puisi ini. ;) Kat youtube pun, boleh yo...
Yang paling best, puisi "sang penyair". Buka minda, dol!
Inilah buku puisi/ monolog yang aku baca paling singkat tempohnya & baca habis pula tu. Ini rekod peribadiku baca buku puisi/ monolog.
Puisi itu bukan sekadar bait-bait yang disusun dan punya rima, puisi perlu punya suara dan boleh ditonton. Aku bau zaman yang dicerita aku dengar suaranya jelas. Tabik. Selamt Ulang Tahun Pyan, 27 Mei.
Penulisan puisi Pyanhabib adalah sesuatu yang sukar atau tidak boleh disangkal lagi. Puisi-puisinya menyentuh dan menjentik setiap aspek dalam kehidupan yang realiti. Berbaloi untuk dibaca, dihayati dan dinikmati
Kumpulan puisi dan foto-foto Pyanhabib benar-beanr buat saya nostalgik. Zaman tahun 80-an Pyanhabib jadi seperti ikon seniman jalanan. Figura beliau sentiasa berada di tengah masyarakat.
puisi dan catatan PyanHabib tentang pengalaman-pengalamannya. Ada tentang Malaysia, ekonomi dan politiknya. Buat saya tertanya dan berfikir semasa membaca.