Pengembaraan Laksamana Sunan bermula sekali lagi pada tahun 1511 dan juga untuk kali yang terakhir! Di dalam perjalanan untuk tiba di Lisbon,Portugis,tanah air Maryam atau Catalina,Laksamana Sunan atau turut dikenali sebagai Saifudin,mendapat tahu bahawa Sang Dewi yang sering menyerunya ke Alam Tidak Berdinding itu sebenarnya isterinya,Ratna! Sukar untuk dipercayai! Namun,hakikatnya,Ratna masih bernyawa dan jiwanya terperangkap di dalam sumpahan Maharani Pulau Utara.
Namun begitu,keinginan Saifudin yang melonjak tinggi untuk menemui dan menyelamatkan Ratna terpaksa ditangguhkan. Terlebih dahulu,dia wajib menunaikan janjinya untuk mengiringi Maryam sehingga sampai ke Lisbon. Akan tetapi,Saifudin mendapati bahawa amanah tersebut bukan suatu yang mudah untuk dilaksanakannya!
Dua puluh tahun kemudian,Laksamana Sunan yang sudah berumur,menghabiskan sisa-sisa kehidupannya dengan menjadi imam di sebuah musolah di pinggir Hulu Melaka. Di samping beribadat kepada Allah s.w.t.,dia juga mengajar ilmu-ilmu agama kepada anaknya,Andika. Namun,umpama bayang-bayang,kejahatan tetap mengekorinya dan mencabar Saifudin untuk terlibat sekali lagi di dalam pertempuran antara kebaikan dan kejahatan!
Sunan Musafir merupakan siri novel terakhir Saga Laksamana Sunan yang dimulai dengan novel pertama Bagaikan Puteri dahulu. Seperti novel-novel yang sebelumnya,Sunan Musafir masih menampilkan tema utama yang asal iaitu melibatkan unsur-unsur ketuhanan,Islamik,cinta,aksi,thriller dan lain-lain unsur yang berkaitan.
Selaku novel terakhir,penamatnya tidak mengecewakan para peminat,terutamanya kepada mereka yang meminati gandingan/pasangan watak utama Laksamana Sunan(Saifudin Jalis)/Ratna. Penamatnya yang 'Happy Ending' melibatkan kedua-dua watak ini di penghujung novel. Saya juga memerhatikan terdapat satu pendekatan penceritaan novel yang baharu digunakan oleh pengarang novel ini,Tuan Ramlee Awang Murshid (RAM). Jika saya tidak silap,gaya penceritaan ini adalah unik dan tidak pernah diaplikasikan di mana-mana novel tulisan Tuan RAM sebelum ini. Gaya penceritaan yang dimaksudkan adalah gaya penceritaan 'cerita di dalam cerita'. Hal ini dapat dilihat di dalam babak-babak yang menunjukkan Saifudin pada tahun 1531 menceritakan kisah pengembaraan Laksamana Sunan pada tahun 1511 kepada anaknya,Andika. Walaupun terdapatnya plot-plot cerita yang berlainan waktu,Tuan RAM berjaya 'menyulamnya' dengan baik tanpa mengelirukan pembacaan. Dari sudut bahasa pula,bahasa yang digunakan tidaklah kompleks walaupun terdapat penggunaan unsur-unsur bahasa Melayu klasik. Kepada para peminat Saga Laksamana Sunan,sudah pasti tiada masalah yang dihadapi ketika di dalam proses pembacaan novel Sunan Musafir ini. Dialog juga ditulis dengan baik dan menampilkan ciri-ciri tipikal yang lazimnya kita temui di dalam setiap novel tulisan Tuan RAM.
Namun begitu,pada masa yang sama,saya juga mendapati terdapat kelemahan di dalam novel kali ini. Saya dapati terdapat beberapa jalan cerita yang tergantung. Sebagai contoh,dinyatakan di dalam novel ini bahawa bangsa Polip didapati telah pupus pada sekitar tahun 1970-an. Namun,apakah penyebab utama perkara itu berlaku? Adakah kerana peperangan,wabak penyakit atau bencana alam? Apakah sebenarnya yang berlaku?
Walaupun demikian,novel Sunan Musafir ini tetap merupakan sebuah novel penamat Saga Laksamana Sunan yang baik. Apa yang diharapkan adalah Tuan RAM akan dapat terus berkarya menghasilkan novel-novel yang mungkin lebih baik dari Saga Laksamana Sunan,insyaAllah. Saya juga mengharapkan persoalan-persoalan (jalan cerita yang tergantung) yang mungkin sengaja ditinggalkan oleh Tuan RAM dapat dijawab oleh Tuan RAM. Saya mencadangkan kepada Tuan RAM untuk menghasilkan beberapa novel sampingan Laksamana Sunan. Novel sampingan ini tidak perlu menampilkan Laksamana Sunan sebagai watak utama. Tetapi,berfungsi sebagai pelengkap untuk mengisi lompang-lompang jalan cerita tergantung seperti yang saya nyatakan di atas. Mungkin juga novel-novel ini menampilkan watak-watak utama yang lain seperti Andika,Indera atau Saifullah dan lain-lain watak yang difikirkan bersesuaian. Perkara ini bukanlah sesuatu konsep yang baharu. Novel-novel terkenal seperti Trilogi Lord of The Rings dan Star Wars juga menggunakan pendekatan yang sama.