Siapakah yang tidak inginkan nikmat kesihatan tubuh badan luaran dan dalaman? Anugerah kesihatan acapkali diabaikan oleh kebanyakan orang ketika mereka berada dalam keadaan sihat. Apabila sudah terhantuk, barulah nak mengadah.
Ketika saya membaca buku ini, saya baru sahaja selesai membeli ubat-ubat bernilai LE 240 (RM 120) di sebuah farmasi setelah mencabut gigi bongsu. Dan dalam buku ini, Ray Strand sekali lagi menyanggah kesalahan sebahagian pengamal perubatan yang hanya bermudah-mudahan bergantung kepada preskripsi ubat-ubatan dalam merawat pelbagai jenis penyakit popular masyarakat abad ke-21 ini seperti sakit jantung, diabetes, kanser dan osteoporosis berbanding turut menawarkan nasihat kepada pesakit untuk mengambil supplement yang mencukupi, diet yang seimbang dan membuat senaman fizikal.
Graduan Colorado Medical School yang telah bergelumang dengan selok-belok dunia perubatan selama 23 tahun ini pada awalnya turut terjebak dalam kebanyakan pengamal perubatan yang hanya menawarkan preskripsi ubat semata dan sedikit nasihat-nasihat lain. Setelah meneruskan pengkajiannya selepas itu selama tujuh tahun berkenaan kesan nutrisi kepada pesakit, beliau menawarkan satu tesis - bukan semua penyakit mampu dirawat dengan ubat.
Ini terbukti dengan betapa ramainya pesakit beliau daripada segenap penyakit kronik yang boleh disenaraikan, mula pulih dengan pengambilan beberapa supplement seperti vitamin A, C, E, ekstrak biji anggur dan glucosamine sulfat. Semuanya menurut kadar dan bergantung kepada jenis-jenis penyakit itu sendiri yang saya tidak berhajat untuk memanjangkannya di sini.
Idea asas yang dibawa oleh penulis ialah tubuh badan manusia sendiri mempunyai sistem ketahanan yang tersendiri - seperti yang kita sedia maklum - dan apabila wujud faktor-faktor luar yang boleh mengancam sistem ini seperti pertambahan umur, terdedah kepada sinaran matahari dalam jangka masa yang lama dan bahan-bahan kimia daripada kepulan-kepulan asap, maka secara automatik sel-sel di dalam badan kita akan mengalami satu proses iaitu 'oxidative stress' yang bakal menatijahkan penyakit-penyakit kronik.
Pada sudut yang lain, kritikan tajam penulis terhadap institusi perubatan dan farmasi yang tidak mengesyorkan pengambilan sesetengah nutrisi yang boleh didapati dalam buah-buahan, sayur-sayuran dan seumpamanya, bahkan masih menawarkan ubat - yang sudah tentu mempunyai kosnya yang tersendiri - walaupun nutrisi asas ini lebih efektif, harus kita berikan perhatian. Hal ini wujud kerana sifat ingin melariskan produk dan mengaut keuntungan yang masih wujud dalam sesetengah institusi kesihatan. Bahkan, apabila seseorang doktor memberikan preskripsi satu dua ubat, ia tampak seakan-akan telah memberikan solusi bagi menyembuhkan pesakit tersebut dan nasihat-nasihat lain tidak lagi diperlukan. Bayangkan berapa banyak wang yang mampu kita jimatkan apabila kita melakukan tiga triad ini sebetulnya; pengambilan diet yang seimbang, pengambilan supplement yang mencukupi dan senaman yang berkala berbanding hanya bergantung kepada ubat-ubatan semata-mata untuk memulihkan penyakit kita.
Kata-kata pensyarah Perubatan Komuniti kami sewaktu mengingatkan kami untuk membuat ulangkaji bagi bab pencegahan dan rawatan untuk penyakit berjangkit dan tidak berjangkit (communicable disease and non-communicable diseases) kembali menjengah ke dalam kolam fikiran saya. Katanya,
"You all should revise by heart the prevention and treatment for all of these communicable (dengue fever, rabies etc.) and non-communicable diseases (diabetes, cancer, lung diseases etc.) because we, as a public health practitioner has put a lot of effort on these programmes."
Kita boleh lihat entah berapa banyak kempen kesedaran berkenaan penjagaan kesihatan, ratusan ribu wang yang ditawarkan untuk pembuat poster, komik dan video bertemakan kesihatan serta pekerja yang turun padang membuat penyemburan gas-gas beracun bagi membasmi tempat pembiakan nyamuk-nyamuk dan seumpamanya. Semua ini sangat signifikan bagi menjimatkan peruntukan pihak kerajaan dalam jangka masa panjang. Sekiranya ramai rakyat yang sakit parah, sudah tentu perbelanjaan kos rawatan yang tinggi dan kos mesin yang mahal diperlukan. Usaha besar yang kita tidak nampak inilah perlu kita sedari dan hargai sebenarnya.
Bagi menutup sudut pandang ringkas ini, penulis - seperti buku-bukunya yang lain - cuba sedaya upaya untuk menyampaikan mesej-mesej kesihatannya dalam bahasa orang awam dan gaya penulisannya dengan membawakan info diuruti kisah-kisah pesakit yang dirawatnya turut menarik perhatian pembaca. Ia mungkin bacaan ringan bagi mahasiswa perubatan dan bacaan tahap sederhana bagi kebanyakan orang awam. Saya perlu mengesyorkan bahan bacaan ini bagi sesiapa yang ingin meningkatkan nilai kesihatan mereka.