Buku ini ialah autobiografi Presiden Korea, Lee Myung-Bak yang berkhidmat untuk republik tersebut pada penggal ke-17. Beliau merakamkan kejayaan hidupnya keluar daripada kemiskinan sehingga menjawat jawatan tertinggi dalam kerajaan.
Tarikan pertama buku ini tentu sahaja sebuah negara yang bernama Korea. Walaupun bukan peminat tegar drama dan filemnya, tetapi gelombang Hallyu atau populariti budaya Korea di seluruh dunia memang tidak asing lagi sehingga kimchi pun berjaya mengetepikan produk tempatan dan menduduki rak di pasar raya kita.
Ini yang menimbulkan pertanyaan; bagaimanakah orangnya pemimpin rakyat Korea? Mungkin bukan atas jasa beliau semata-mata kebangkitan budaya Korea berlaku, tetapi salah seorang pemimpin besar mereka Lee Myung-Bak inilah. Lagipun, bukankah ada pepatah Arab mengatakan,
الناس على دين ملوكهم
yang mencerminkan besarnya pengaruh pemimpin terhadap manusia, tidak jauh berbeza dengan pepatah kita, bapa borek anak rintik yang menekankan peranan ketua keluarga dalam mencorakkan anak-anak.
Dapat disimpulkan, perjalanan hidupnya memang luar biasa dan beliau sangat kental orangnya. Bukan mudah untuk menerjah keluar daripada kepompong kemiskinan bandar, namun beliau memilih kerja keras dan jalan pendidikan sebagai laluan. Agak meresahkan apabila kita bandingkan dengan trend semasa yang dipupuk oleh kehadiran media sosial; anak muda memilih jalan populariti untuk mencari kesenangan hidup, sesetengahnya sehingga mengabaikan pendidikan.
Kekentalan Lee salah satunya adalah kerana sikap ibunya yang tidak pernah mengalah, mendidiknya dengan kerja keras dan menanamkan integriti yang tinggi. Walaupun miskin, beliau tidak diajar meminta-minta dan berharap belas kasihan orang, malah diajar untuk terus menyumbang tenaga kepada jiran tetangga dan membalas jasa dengan segenap kemampuan yang ada. Sungguh, tahap kemiskinan beliau sehingga boleh menitiskan air mata.
Beliau berjaya masuk ke universiti dengan berhempas-pulas dan berdikari. Semasa belajar, beliau terlibat dalam gerakan aktivis yang menentang kerajaan sehingga dipenjarakan. Akibatnya, beliau terpaksa melepasi cabaran mendapat pekerjaan kerana disenarai hitam sebagai bekas aktivis. Caranya, beliau mengutus surat kepada Presiden negaranya sendiri!
Pekerjaan pertama beliau di Hyundai kemudiannya menaikkan nama dan pengaruh beliau dalam masyarakat sehingga berjaya menjadi datuk bandar Seoul dan akhirnya presiden Korea.
Liku-liku hidupnya memang sangat menarik, malah kisah cintanya telah menjadi inspirasi bagi sebuah rancangan televisyen. Membaca buku ini tidak ubah seperti menonton filem atau drama Korea yang penuh intrig dan kaya dengan adegan yang membangkitkan pelbagai emosi.
Sikap kental dan berani bangkitlah yang memberi warna gemilang kepada kehidupan Lee Myung-Bak. Kecintaannya kepada kebudayaan Korea juga jelas terpapar melalui autobiografi ini, dan mungkin kecintaan orang Korea terhadap budaya sendiri ini menjadi salah satu faktor penyumbang kepada tersebarnya gelombang Hallyu ke seluruh dunia.