Ulasan Kali Kedua (08 Oktober 2021 - 21 Oktober 2021)
Bright Star merupakan novel kedua atau direct sequel kepada novel yang pertama iaitu Sword Point. Masih menampilkan genre yang sama dan gaya penceritaan yang serupa seperti sebelumnya,tetapi,lebih difokuskan kepada watak utamanya iaitu Leftenan Kolonel Scott Dixon. Aspek-aspek lain juga ditonjolkan yang memaparkan konflik antara watak-watak yang tidak ditunjukkan di dalam novel sebelumnya. Selain Dixon,banyak watak-watak yang muncul di dalam Sword Point turut melakukan penampilan semula,sama ada dari pihak protagonis dan antagonis.
Premis atau latar belakang cerita pada novel kali ini adalah berdasarkan atau mengambil inspirasi dari sejarah konflik atau perang sempadan antara Mesir dan Libya yang pernah berlaku pada 21 hingga 24 Julai 1977. Konflik bersenjata antara dua negara ini dipanggil Perang Empat Hari. Penulis membuat satu hipotesis perang antara Mesir dan Libya yang turut melibatkan kepentingan strategik Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet ke atas sekutu masing-masing. Menariknya juga,Bright Star juga merupakan kod nama kepada kerjasama latihan ketenteraan antara Amerika Syarikat dan Mesir yang dilakukan sejak era Perang Dingin lagi.
Ulasan Kali Pertama
Amerika Syarikat dan Mesir bersiap sedia untuk mengadakan latihan ketenteraan antara kedua-dua negara di dalam latihan ketenteraan yang dipanggil Bright Star. Acara kemuncaknya akan dihadiri oleh kedua-dua presiden. Peluang ini digunakan oleh Brotherhood,sebuah gerakan bersenjata Islam untuk membunuh Presiden Mesir dan Presiden Amerika Syarikat. Namun demikian,operasi tersebut berjaya dipatahkan.
Menyedari bahawa Libya merupakan dalang utama,Mesir bertindak menghukum Libya dengan melaksanakan operasi perang terhad merentasi sempadan Mesir-Libya. Namun demikian,perang di antara kedua-dua negara disengit dan disemarakkan lagi dengan penggunaan senjata kimia dan penglibatan tentera Soviet Union dan Cuba menentang tentera Mesir. Amerika Syarikat tidak boleh sewenang-wenangnya menyertai peperangan ini secara terang-terangan. Operasi ketenteraan yang terhad dan terpilih,walau bagaimanapun,dilaksanakan untuk memastikan keselamatan Mesir dan kepentingan Amerika Syarikat di utara benua Afrika terjamin.
Untuk pengetahuan pembaca,Bright Star merupakan novel kedua (selepas Sword Point) yang melibatkan watak utama novel tulisan Harold Coyle,iaitu Scott Dixon,seorang anggota tentera darat Amerika Syarikat berpangkat Leftenan Kolonel.