Mutakhir ini masalah kemurungan, kegelisahan, kesunyian sudah menjadi perkara biasa. Hidup dan perhubungan sesama insan diracuni perasaan hasad dengki, tamak haloba dan mencintai kebendaan yang melanda hati kita. Perkauman, peperangan, penduduk melarat dek kerapuhan ekonomi: petanda besar bahawa kelemahan dari segi kerohanian kian menjurus ke lembah kehancuran. Maka, apakah jawapan bagi semua masalah ini? Kita perlukan kebangkitan rohani; kesembuhan kalbu yang mampu memulih semula alam ini. Mengenal semula iman kita—inilah yang diperlukan.
Dengan berlandaskan al-Quran dan as-Sunah, naskhah ini menghidupkan semula kerohanian Islam yang sebenar dengan menghimpun dan menerangkan empat puluh hadis berkaitan penyakit hati dan penyucian jiwa. Naskhah ini merupakan buku mengenai tazkiyah, usaha diri serta sebuah projek untuk mengubah nasib hidup sambil meningkatkan keimanan. Nasihat praktik akan anda temui: bagaimana caranya untuk membersihkan hati dan membawa perubahan kepada hidup anda. Jikalau hati kita dijaga, maka hidup kita kelak akan terjaga.
Bacalah naskhah ini dengan niat untuk mengubah hidup dan apa yang ada di sekeliling anda. Jika anda sedang menjalani proses kaunseling, sedang bergelut dengan isu-isu yang tidak diketahui orang, sedang mencari hidup yang lebih bersifat kerohanian—karya inilah yang anda sedang mencari. Percayalah, Allah akan membantu anda. Pintalah kepada-Nya dan sesungguhnya Dia akan menjawab.
Buku ini menghimpunkan 40 hadis berkaitan penyucian jiwa atau tazkiyatun nafs. Setiap hadis yang dihimpunkan mempunyai satu persamaan, iaitu menekankan betapa pentingnya hati dalam menentukan siapa diri kita dan bagaimana kita bertindak.
Dengan hadis-hadis sebagai sandaran, buku ini menekankan kepentingan bagi kita, khususnya sebagai seorang Muslim, untuk melakukan perkara-perkara yang baik demi menjaga kesucian hati serta mengelakkan perbuatan yang boleh merosakkannya.
Pada pendapat saya, buku ini sangat menarik untuk dibaca kerana dalam zaman yang penuh dengan keseronokan dan tipu daya dunia, penting untuk kita kembali kepada asas yang menjadi nadi utama dalam kehidupan seorang Muslim, iaitu hati dan jiwa.
Ia membuatkan saya merenung kembali: apakah yang perlu kita lakukan untuk menjaga hati supaya hati tidak mengawal anggota badan kita ke arah perkara-perkara yang boleh menyebabkan kita semakin jauh daripada jalan Allah?
Bagi saya, buku ini bukan sekadar mengajak kita mengetahui tentang tazkiyatun nafs, tetapi lebih penting lagi, mengajak kita untuk melihat semula keadaan hati kita sendiri.