Jump to ratings and reviews
Rate this book

Budaya Membaca di Malaysia: Satu Tinjauan Terkini

Rate this book
“Bagaimana sibuk sekalipun, anda mesti mencari masa untuk membaca, jika tidak anda akan kalah dengan jalan kejahilan yang anda pilih sendiri.” ~ Confucius

Budaya Membaca di Malaysian: Satu Tinjauan Terkini merupakan hasil penelitan ilmiah tentang budaya membaca di Malaysia dari pelbagai perspektif. Terdapat pelbagai penulisan yang merangkumi budaya membaca dari sudut ekonomi, sosial, psikologi dan gender. Terdapat juga penilaian tentang isu-isu yang berkait rapat dengan budaya membaca seperti isu akses kepada bahan bacaan dan peranan perpustakaan. Buku ini dapat membantu memberi gambaran terkini kepada para penyelidik dan penggubal dasar budaya membaca di Malaysia.

Malaysia kini menghampiri halangan yang terakhir tetapi paling sukar dalam mengecapi kekayaan dan kemakmuran ekonomi; iaitu dalam membentuk sebuah masyarakat berasaskan pengetahuan yang dianggotai oleh rakyat yang berfikiran kreatif, kritikal dan inovatif. Hasrat murni ini harus diletakkan sebagai tanggungjawab bersama oleh setiap individu. Tabiat membaca mampu dapat mempertingkat status sosio-ekonomi diri demi merealisasikan impian Malaysia untuk menjadi negara maju dan bersaing tinggi.

314 pages, Paperback

Published January 1, 2023

3 people are currently reading
4 people want to read

About the author

Ratings & Reviews

What do you think?
Rate this book

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
3 (23%)
4 stars
5 (38%)
3 stars
5 (38%)
2 stars
0 (0%)
1 star
0 (0%)
Displaying 1 - 3 of 3 reviews
Profile Image for Dieyana Ayuni.
93 reviews15 followers
September 10, 2023
Banyaknyalah typo. Sakit mata saya. Walaupun ini buku kompilasi kertas-kertas kajian, kurang-kurang editor baca, sunting dan baikilah sikit. Baru lancar kita nak baca.
Profile Image for Emmy Hermina Nathasia.
530 reviews
May 28, 2023
Kumpulan artikel yang berkongsi hasil dapatan dan statistik mengenai tabiat membaca di Malaysia. Baru tahu rupa-rupanya kadar literasi dan minat membaca rakyat Indonesia rendah berbanding Malaysia dan Singapura. A good read, recommended bagi mereka yang ingin mengetahui tentang trend dan mencari data tentang membaca.
Profile Image for Book Surgeon.
19 reviews2 followers
May 19, 2024
Resensi Buku – Budaya Membaca di Malaysia, Satu Tinjauan Terkini, terbitan Kenyalang (sebuah imprin The Biblio Press).

Menghampiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024, saya terpanggil untuk meneliti budaya pembacaan rakyat Malaysia. Selain mengkritik jenis buku yang digemari dan mungkin digilai sebahagian pembaca di Malaysia, saya juga tertanya-tanya apakah antara kayu ukur untuk menyukat tahap pembacaan rakyat Malaysia? Sukar untuk saya berpuas hati dengan kajian-kajian lama yang dikeluarkan sebahagian pihak, merujuk kepada kajian lapan hingga sepuluh tahun kebelakangan, namun apakan daya, kajian-kajian yang ada berkenaan budaya membaca rakyat Malaysia agak terhad.

Pemikiran saya kembali tenang sedikit apabila buku ini saya baca, lantas saya berazam untuk menghabiskan pembacaan saya sebelum PBAKL 2024 memulakan rentaknya.

Teguran awal saya kepada barisan pengkaji dan penerbit buku ini ialah sepatutnya kajian-kajian yang dinyatakan dalam buku ini dipantau gaya penulisan dari sudut ketertiban tatabahasa dan kesalahan ejaan kerana saya dapati pada bab yang terakhir terutamanya, banyak kesalahan ejaan dan tatabahasa yang tidak dibetulkan. Sungguhpun bab akhir buku ini menjelaskan isu yang amat penting dalam dunia buku iaitu hak cipta berserta penjelasan dari sudut pandang perundangan, namun, kesalahan tatabahasa dan ejaan yang amat banyak, mencacatkan keterujaan saya dalam memahami isu tersebut. Sudah tentu saya sudah maklumkan teguran ini kepada saudara Kiridaren Jayakumar dan mengharapkan tindakan sewajarnya diambil untuk penerbitan akan datang.

Seawal halaman 12, kajian tulisan Nor Faridah Abdul Manaf menyatakan sesuatu yang amat penting untuk dijadikan kiblat pemikiran pembaca di Malaysia iaitu kesedaran tentang nilai-nilai agama dan Ketuhanan tidak akan dicapai jika tidak dimulakan dengan budaya membaca. Halaman seterusnya memberikan data yang dibawa daripada kajian lampau iaitu berkenaan jumlah buku yang dibaca oleh rakyat Malaysia pada tahun 1996, 2005 dan 2015.

Minda saya bertambah teruja apabila membaca bahagian berikut :

“…sekalipun terdapat pembelian yang tinggi, ia masih belum dapat diterjemahkan dalam bentuk pembudayaan pembacaan dalam kalangan rakyat Malaysia dengan baik.” (Halaman 21)

Saya amat bersetuju dengan pernyataan di atas bahawa hanya disebabkan terdapat banyak bahkan mungkin terlampau banyak rakyat Malaysia yang berkunjung ke PBAKL dan membeli buku-buku dengan membawa bagasi besar (menandakan banyaknya jumlah buku yang dibeli) sudah memadai untuk mengatakan bahawa budaya membaca rakyat Malaysia sedang mekar dengan galaknya.

Namun jika hal itu bukan ukuran, maka apakah kayu ukurnya?

Saya bertemu indikator yang saya fikir wajar dijadikan kayu ukur, pada halaman 26.

“Badan Perpustakaan Negara Singapura (BPNS) memainkan peranan yang aktif dalam menyediakan laporan berkenaan tabiat membaca rakyatnya, berbanding badan perpustakaan Malaysia dan Indonesia. Badan ini melaporkan pada tahun 2018 yang secara purata, 89% orang dewasa di Singapura membaca paling kurang 30 minit dalam seminggu pada hari-hari kebiasaan berbanding hanya 80% pada 2016.”

Setakat hari ini, saya belum berpeluang membaca kajian atau data keluaran Badan Perpustakaan Negara Malaysia berkenaan jumlah jam rakyat Malaysia membaca dalam sehari, seminggu atau dalam mana-mana ukuran sela waktu. Mohon dipanjangkan kajian itu kepada saya, mungkin saya terlepas pandang (jika data itu wujud).

Satu hal yang menyedihkan tetapi merupakan kebenaran dan hakikat ialah berkenaan kemampuan kewangan rakyat negara-negara tertentu yang terkekang membuatkan mereka tidak berkemampuan untuk berbelanja membeli buku-buku habuan jamahan minda mereka.

“Tidak semua rakyat mempunyai kemampuan untuk membeli buku dan masa untuk membacanya kerana peratus rakyat masih memikirkan soal-soal asas berhadapan dengan kemiskinan.” (Halaman 25, saya nukilkan mengikut ayat yang ditulis secara harfiah.)

Halaman 63 memuatkan sebuah kenyataan yang perlu semua pembaca dan bakal pembaca sematkan dalam minda masing-masing dan bulatkan sebagai tekad dalam hati berkenaan budaya membaca.

“Membaca bukan sahaja untuk kepentingan individu tetapi ‘membaca penting untuk pembinaan masyarakat yang lebih maju, harmoni dan berdaya saing’. Tanpa ilmu masyarakat tidak akan maju kerana terpaksa bergantung kepada orang lain, iaitu sentiasa menjadi konsumer kepada produk yang dihasilkan oleh ilmu yang dibangunkan orang lain. Jadi asas kepada sebuah negara yang maju dan mampu diri adalah membaca.”

Ternyata, lebih banyak pembaca perlu dilahirkan untuk memajukan negara setanding dengan negara-negara maju yang lain. Hal ini jika dikaitkan dengan rantau ASEAN, membawa satu teguran yang lebih kuat kesannya iaitu sepatutnya Malaysia selaku salah sebuah negara di rantau ASEAN, berusaha untuk mempergiat budaya membaca rakyatnya ke tahap yang lebih tinggi supaya rakyat Malaysia tidaklah menyusahkan rakyat negara serantau apabila mereka semua sudah memajukan diri dengan teknologi sedang kita masih ketinggalan kerana budaya membaca rakyat kita yang masih kurang.

Bab ke-3 dalam buku ini adalah bab yang menjadi kegemaran saya. Pertama, kerana bahasa penulisnya amat sedap dan cantik untuk dibaca. Kedua, kerana penulis mengetengahkan isu bagaimana memupuk budaya suka membaca dalam kalangan kanak-kanak. Untuk seorang bapa, bab ke-3 ini amat dekat di hati saya.

“Huruf atau abjad merupakan simbol abstrak yang tidak memberikan apa-apa makna kepada kanak-kanak di usia prasekolah. Menggarap kemahiran literasi memerlukan kanak-kanak didedahkan terlebih dahulu dengan ‘keseronokan’ dan rasa ingin tahu yang tinggi untuk meneroka sesuatu maklumat dengan lebih mendalam.” (Halaman 89)

Daripada penulisan pada halaman 97 ini, dapat saya fahami bahawa perkara pertama untuk menyemai budaya membaca yang konsisten dalam diri kanak-kanak sehingga mereka dewasa kelak ialah dengan membacakan buku-buku yang sesuai dengan kefahaman mereka, menggunakan kaedah penceritaan yang menarik sehingga kanak-kanak jatuh cinta yang teramat dalam dengan cerita tersebut. Apabila kecintaan ini dipasak dalam diri kanak-kanak, apabila mereka semakin membesar, mereka akan mengingati perasaan cinta kepada cerita yang dikisahkan kepada mereka, sebelum kecintaan itu dipupuk untuk menjadi tabiat gemar membaca secara serius.

Bab 5 buku ini mengundang persoalan saya yang lebih kritis iaitu berkenaan pemberdayaan wanita dalam politik. Sejujurnya saya tidak percaya kepada keseimbangan gender, malah saya lebih percaya akan fungsi manusia mengikut jantina yang telah Allah S.W.T berikan. Sepatutnya melalui pembacaan yang lebih matang, kita lebih terbuka dengan fungsi manusia mengikut kemampuan dan jantina yang telah dianugerahkan. Bukannya membuat percubaan ‘menyeimbangkan’ sesama jantina. Itu pandangan saya.

Bab 6 cuba membicarakan konsep Keusahawanan Sosial tetapi malangnya perbincangannya terlalu terawang-awang dan sebenarnya boleh diringkaskan kepada hanya satu atau dua halaman.

Kurang lebih inilah resensi saya berkenaan buku ini, pasca Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024. Besar harapan saya bahawa dalam PBAKL 2024, pengunjung membeli buku berkualiti, tidak kira buku fiksyen, non-fiksyen atau puisi, asal sahaja buku tersebut memberikan kualiti dan dampak yang besar kepada proses menguatkan rakyat Malaysia melalui pemupukan budaya membaca yang kritis dan berterusan. Suka untuk saya ingatkan diri saya dan seluruh bakal pengunjung PBAKL 2024 untuk memilih buku yang ingin dibeli berdasarkan nilai tambah yang boleh diperolehi, bukan dengan rasa jiwa kontang yang ingin terus dipeluk dengan perasaan lemah longlai dalam perangkap percubaan membataskan hidup kepada sebaris ayat berbaur konsep falsafah.

Wallahua’lam.

Selamat berpesta buku ya!

Talhah Wasabi
Salah seorang Book Surgeon.

14/5/2024
1509

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize
#CreatingCriticalReaders
#AzamTerpalingBaca
Displaying 1 - 3 of 3 reviews

Can't find what you're looking for?

Get help and learn more about the design.