Tersebutlah kisah bahawa sejarah adalah ditulis dengan ‘tangan’ Tuhan; cerita tentang peristiwa-peristiwa yang menimpa ‘anak-anak’-Nya yang terpilih, berjuang dan menderita demi menjulang ajaran Langit.
Kemudian, sekumpulan manusia membawa perisytiharan Langit ke lantai bumi yang landai. Atas nama Pencerahan mereka menggantikan penilaian Baik-Jahat dengan kayu ukur baharu: Budaya, Sistem, Masyarakat, Geografi...setapak demi setapak menuju kepada kemajuan dan keberadaban.
Fikir mereka, sejarah itu bergerak secara lurus, ibarat mata anak panah yang dilepaskan dari busur. Busur itu ‘tangan’ Tuhan; anak panah itu Kemanusiaan. Sasarannya? Bintang-bintang di atas.
Sekonyong-konyong lahirlah manusia baharu mendeklarasikan: Semua itu palsu! Makna di sebalik sejarah segalanya adalah ciptaan dan rekayasa manusia: mentalite, ideologie, paradigm. Langit tiada peduli dan Tuhan telah mati!
Tiada sejarah melainkan apa yang disebutkan oleh si penulis sejarah!
Kalian membahagi zaman kepada bagian-bagian kecil. Kalian mencerakinkan sebab-akibat kepada sosial, ekonomi, budaya dan politik. Kalian menelaah segelintir manusia-manusia dan merumus kesimpulan bagi baki majoriti yang lain.
Siapa kau, peniru suara Langit?!
Dunia hanya ditanggapi lewat bahasa. Dan, bahasa adalah rekayasa manusia.
Lantas: Tiada fakta, hanya tafsiran!
***
Aku perlu jujur untuk berkata ini: jikalau bukan kerana minatku kepada perbahasan historiografi, iaitu bidan sejarah kepada (penulisan) sejarah, buku ini adalah bernilai empat bintang paling tinggi.
Walaubagaiamanpun sudah agak banyak bahan bacaan historiografi yang sempat aku ladeni, tetapi ini adalah buku pertama yang aku dapati penulisnya begitu berani berhadapan dengan fenomena penyusupan masuk faham-faham pasca-modenisme di dalam bidang penulisan sejarah historiografi.
Penulis tidak segan untuk menamakan soldadu-soldadu pascamodenis yang ditujukan permusuhannya: Hayden White, Dominick La Capra, Beverly Southgate, Keith Jenkins.
Beliau juga tidak segan untuk mengkontradiksi rujukan-rujukan utamanya, nama-nama yang paling ketara disebut adalah E.H Carr lewat bukunya ‘What Is History’ (1961) serta kritikan Sir Geoffrey Elton kepada karya tersebut lewat ‘The Practice of History’ (1967) yang mana ia sendiri akhirnya menjadi suatu karya klasik di dalam bidang historiografi.
Hal ini memberikan buku ini suatu aura polemikal. Agak jarang satu-satu buku sejarah mampu membangkitkan satu-satu persengketaan dengan bahasa penulisan yang begitu tajam dan terang dalam sasaran permusuhannya.
Sejarah moden, menurut Richard Evans, adlaah bertitikmula dengan anjakan-anjakan epistemologikal dan metodologikal yang dipelopori oleh cendekiawan-cendekiawan berbangsa Jerman.
Mulanya adalah Leopold Von Ranke (1795-1886) yang mempasakkan bidang sejarah pada fondasi yang mandiri. Ranke sebenarnya lebih tepat digambarkan sebagai filologis atau ahli bahasa, dan ini terjelma di dalam penggarisan-penggarisannya terhadap agenda-agenda yang sepatutnya melatari mana-mana perusahaan pengkajian sejarah.
Menurut Ranke, tugas sejarahwan adalah untuk memahami masa silam sebagaimana difahami oleh mereka yang hidup di masa tersebut; dokumen-dokumen atau artifak-artifak yang menjadi sandaran kepada pembangunan teori-teori baru perlu ditentu-sahkan dengan jitu sebelum dimanfaatkan sebagai sumber sejarah.
Pemantapan susulan aspek teori di dalam bidang historiografi sepertin yang dilaksanakan oleh Theodor Mommsen (1817-1903) yang membezakan antara sumber primer dan sumber sekunder telah mewujudkan mantera baru di dalam bidang penulisan sejarah: kumpul bahan-bahan berkaitan, disusuli dengan aksi pengkritikan sumber disamping menentu-sahkan keaslian artifak – inilah batu-batu asas yang harus disantuni mana-mana proses penulisan sejarah.
Kehadiran ‘scientific method’ pada era moden pula tidak menggugat relevansinya malah hadir sebagai penguat di dalam aspek pembentukan hipotesis, pengungkapan soalan, dan penggunaan hasil ujikaji (statistik, arkeologi dll).
Pascamodenisme tiba di dalam bidang penulisan sejarah agak baharu sebenarnya iaitu sekitar penghujung tahun 60-an. Asalnya dari bidang kritikan sastera, pengaruhnya telah menjalar masuk ke dalam segenap bidang humanitas, berkadaran dengan perkembangan-perkembangan meruncingkan yang berlaku di dalam dunia sebenar pada setiap tataran: politik, sosial, budaya.
Pascamodenisme, dengan penekanannya terhadap bahasa dan penghasilan makna (semiotik atau semantik), telah mencabar sejarahwan-sejarahwan kontemporari yang angkuh - yang menulis tentang masa silam seolah-olah ia berlaku sama benar dengan apa yang tertitip oleh dakwat hitam mereka itu.
Manusia hanya mengenal Dunia melalui perantaraan bahasa dan bahasa pula tidak lebih daripada suatu binaan sosial, ujar pascamodenis. Justeru:
- Sebab-akibat adalah khayalan sang sejarahwan. Terlalu banyak kebetulan-kebetulan sejarah (historical accidents) yang walau kenampakan runcit telah mendatangkan bah yang besar terhadap halatuju sejarah. Metodologi sejarah, baik tradisional yang bertumpu kepada manusia-manusia Agung, ataupun saintifik yang bertumpu kepada sampel yang besar -sepertinya institusi, komuniti, bangsa- takkan sesekali mampu menggarap hal yang sedemikian.
- Terdapat tidak terkira jumlah fakta sejarah berlaku pada satu-satu detik di dalam sejarah. Yang membuatkan satu-satu fakta silam diberikan perhatian manusia kontemporari adalah kerana ia diulang-sebut pada masa kini oleh sang sejarahwan. Dan penilaian tersebut -fakta mana yang perlu disebut, fakta mana yang perlu dinyah-sebut- adalah dibuat berdasarkan penilaian sang sejarahwan, yakni tafsirannya. Lalu: ketahuilah bahawasanya tiada fakta di dalam sejarah, yang ada hanyalah hasil-hasil tafsiran ahli sejarah!
- Penulisan sejarah merujuk kepada teks-teks silam yang bahasanya takkan mampu kita fahami dengan sebenar-benar faham. Peralihan medan makna yang telah berlaku samada intra-teks mahupun ekstra-teks, dari satu zaman ke zaman yang lain, telah menyebabkan penafsiran sang sejarahwan menjadi tidak lebih daripada agak-agakan. Inikan pula apa yang bakal difahami berikutnya oleh sidang pembaca!
- Pembinaan naratif oleh sejarahwan lebih selalu adalah dibina berpandukan nilai estetik: yang umum sebelum yang khusus, yang mudah sebelum yang rumit, yang signifikan sebelum yang tidak relevan. Apa jaminannya bahawa ia adalah naratif yang jujur lagi benar? Dunia sebenar takkan sesekali mampu diperkotak-katikkan dengan khayalan kebocah-bocahan sebegini.
Respon Evans kepada pernyataan-pernyataan seperti di atas adalah tepat walau bersederhana:
- Kecenderungan generalisasi terkandung secara azalinya di dalam bahasa. Kerana itu hal tersebut adalah sesuatu yang tidak mampu dielakkan di dalam mana-mana perbahasan sejarah memandangkan satu-satu penulisan sejarah hanya terhasil rentetan kepada kewujudan suatu wacana (eg kebangkitan sains, pembentukan sistem birokrasi moden, kejatuhan rejim-rejim diktator, pertentangan kelas antara gologan pekerja dan kapitalis dll).
- Kendatipun, bahasa tiada pula merujuk kepada dirinya semata bahkan ia merujuk juga kepada sesuatu di luarnya. ‘Dog’, ‘kalbun’ dan ‘hund’ adalah nama berbeza di dalam bahasa berbeza namun ketiga-tiganya merujuk kepada objek yang sama. Tambahan, kita tahu bahawasanya bahasa berkembang selari dengan objek rujukannya (signifier) maka disana faktor ekstra-tekstual tetap ada.
- Begitu pula halnya dengan peralihan medan makna yang berlaku dari zaman ke zaman. Bukanlah suatu kemustahilan untuk sang sejarahwan menemukan jalinan antara aneka medan makna lantas mengenalpastinya. Antara caranya adalah dengan meneliti ribuan dokumen sejarah yang menggunapakai istilah-istilah tersebut dan menangkap nuansa-nuansa berbeza yang dibangkitkannya.
- Pascamodenis telah terkeliru akan perbezaan fakta dengan bukti. Fakta yang berlaku di dalam satu-satu tempoh sejarah memanglah tidak terkira, namun selagi mana ia belum ditentu-sahkan kejadiannya (occurence) lalu ditempatkan ditengah-tengah rantaian satu-satu naratif ia belum lagi menjadi bukti. Pemilihan fakta tersebut pula memanglah dipandu antaranya oleh teori dan interpretasi yang menilai relevansinya, tetapi tanpa teori/interpretasi fakta tersebut tetapi berdiri dengan sendiri.
- Pasca-modenis telah terlebih anggar kemampuan sang sejarahwan dan terkurang anggar kecerdikan khalayak pembaca. Tiada sejarahwan yang mendakwa versi sejarahnya adalah yang paling benar sepertimana tiada pembaca yang begitu goblok mempercayai setiap untaian kata penulisan sejarah yang dibacanya.
Penghujung buku ini penulis mengendurkan kritikannya dengan menunjukkan bagaimana pasca-modenisme memang ada mendatangkan manfaat kepada bidang historiografi terutama di dalam mengembangkan daya imaginatif satu-satu karya sejarah tersebut – namun itu hanyalah untuk seketika.
Muka surat-muka surat seterusnya menyaksikan Evans bergerak melabrak racun-racun yang telah diusung ke dalam bidang penulisan sejarah lewat faham-faham pasca-modenisme. Upacara yang terkemudian itu dilakukannya dengan sungguh ‘rakus’ dan ‘kejam’ sekali, sungguh berbeza dengan nada yang digunapakai sebelumnya; pembaca tertanya-tanya samada ada bahagian itu masih ditulis oleh penulis yang sama.
Hakikat tersebut adalah simptomatik kepada permasalahan yang melatari penulisan buku ini. Terdapat perasaan bahawa Evans menyiasat topik ini secara imbas-kembali (retrospektif), bukan lewat renungan falsafi yang mendalam. Ini boleh dilihat antaranya sewaktu Evans membahaskan persoalan kausaliti di dalam penulisan sejarah dan bagaimana satu-satu sebab di dahulukan oleh sang sejarahwan dan sebab lain dikemudiankan. Jujur kata, siasatannya jauh untuk disifatkan sebagai halus di dalam bab ini.
Tentu sekali ini berbalik kepada latar belakang Evans, seorang sejarahwan Amerika yang berkhidmat di lapangan sejarah Eropah (terutamanya Jerman pada abad 19 dan 20). Objek permusuhan beliau adalah pada suguhan pasca-modenisme sebagai suatu mod kognitif di dalam bidang historiografi, bukan sebagai suatu ‘barah’ atau penyakit ketamadunan. Ini membolehkan Evans menumpukan perhatian kepada persoalan metodologikal dan teknikal sekaligus mengelak persoalan-persoalan yang melibatkan bentuk-bentuk pertentangan yang berskala kosmik.
Samada hal itu sesuatu yang mendatangkan kelegaan atau kekecewaan adalah bergantung kepada hajat asal para pembaca yang membeleknya.
Namun penulis tetap sahaja berjaya mempermasalahkan isu-isu yang menarik dan tidak kurang penting: Apakah sejarah akan berhenti ditulis? Apakah seseorang itu boleh dilatih menjadi sejarahwan? Apakah penulisan sejarah di masa hadapan boleh dilakukan oleh komputer?
Hatta persoalan ‘apakah itu sejarah?’ yang kelihatannya sudah dijawab tuntas oleh EH Carr pada 1961, tampaknya telah lapuk dek zaman. Menurut Evans, dengan kemunculan bidang-bidang baru seperti feminisme, homoseksualiti, peristiwa holocaust, pascakolonialisme dan yang sepertinya di dalam bidang humanitas, satunya-satunya definisi sejarah yang terpakai untuk kesemua bidang baru ini adalah: perubahan dari zaman ke zaman.
Tiada tujuan moral, atau penyuguhan gagasan ideologikal sebagai matlamat utama penulisan sejarah, hanya perubahan.
Di hujung hari, sejarahwan perlu akur dengan keterhadan yang mereka hadapi. Kerena semua sejarahwan adalah putera zamannya maka sejarah akan senantiasa ditulis dengan masa kini di dalam ingatan.
Tahap kesarjanaan penulisan sejarah bagaimanapun tetaplah perlu dipelihara sesuai dengan tuntuan bidang yang mana tujuan utamanya adalah pencarian Kebenaran. Proses pembuktian dan peranan fakta perlu diketengahkan di dalam mana-mana perbincangan historiografi. Objektiviti perlu diperjuangkan walau pada harga apa sekalipun. Usahlah pula kelirukan ia dengan neutraliti. Antara dua kutub itu, ruang untuk berdakyah perlu dikawal di dalam norma-norma perbahasan akademik.
Menduga dalamnya lautan Kebenaran dengan kail panjang sejengkal - aku kira, begitulah sumpah bagi manusia-manusia yang menghabiskan sisa hidupnya menyiasat perihal Kemanusiaan.