Buku yang saya baca ini merupakan edisi '2 Novel Dalam 1' terbitan Cresset Editions. Di dalamnya,menampilkan dua buah novel tulisan John Grisham (JG). Dua buah novel itu adalah 'The Pelican Brief' (terbitan asal 1992) dan 'A Time To Kill' (terbitan asal 1989). Berikut merupakan sinopsis ringkas dan ulasan saya mengenai kedua-dua novel tersebut:
1) The Pelican Brief
Kematian dua orang Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) menggemparkan suasana politik di AS. Tambah menghairankan,kedua-dua hakim tersebut mempunyai ideologi politik yang berbeza. Kenapakah mereka berdua dibunuh? Darby Shaw,seorang mahasisiwi di Sekolah Undang-undang,Universiti Tulane di New Orleans,melakukan siasatan peribadi terhadap kejadian pembunuhan tersebut. Hasilnya,dia berjaya menghasilkan sebuah ringkasan yang dipanggil 'Pelican Brief'. Darby mendapati bahawa terdapat faktor lain yang mungkin menjadi motif utama kenapa pembunuhan itu berlaku. Tanpa disangka-sangkanya,dia diburu kerana hasil kajiannya ini! Dia perlu menjadi pelarian (fugitive) untuk menyelamatkan diri dari ditangkap,atau lebih buruk,dibunuh oleh mereka yang mahu menyembunyikan penemuannya itu yang mampu menggegarkan politik AS. Pada masa yang sama,Darby perlu mencari jalan untuk mendedahkan kebenaran atas apa yang berlaku.
The Pelican Brief merupakan novel JG pertama yang saya baca di dalam sejarah hidup saya. Agak sedikit menghairankan saya kenapa novel ini diletakkan di hadapan A Time To Kill sedangkan novel yang kedua (di dalam buku yang saya miliki ini) merupakan novel pertama yang ditulis oleh JG.
Secara keseluruhan,novel The Pelican Brief ini menghiburkan untuk dibaca. Namun,saya beranggapan idea,plot dan jalan cerita novel ini tidaklah unik. Saya boleh kategorikan 'biasa-biasa' sahaja. Idea yang melibatkan watak utama menjadi pelarian (mengelak diri dari ditangkap) dan cuba mendedahkan kebenaran bukanlah sesuatu yang asing dan sering dipaparkan di kebanyakan novel-novel 'thriller' yang ditulis oleh penulis yang lain. Jalan ceritanya juga agak mendatar dan bersifat 'expectable'. Novel ini,saya fikir,bukanlah novel terbaik yang ditulis oleh JG. Namun demikian,novel ini masih menarik dan menghiburkan untuk dibaca. Saya berikan 3 daripada 5 bintang untuk novel ini.
2) A Time To Kill
Akibat perasaan marah yang membuak-buak,Carl Lee Hailey (seorang lelaki berkulit hitam) mengambil keputusan untuk membunuh dua orang lelaki kulit putih yang memperkosa anak perempuannya,Tonya Hailey yang berumur 10 tahun.
Akibatnya,Carl Lee didakwa telah melakukan jenayah yang boleh membawa hukuman mati. Walaupun tidak kurang orang yang bersimpati dengannya dan memahami tindakan berani yang dilakukan,namun,ianya tidak semudah yang dijangkakan. Pekan kecil,Clanton yang terletak di daerah Ford,Mississippi,masih wujud perasaan perkauman yang agak menebal. Jika Carl Lee merupakan seorang berkulit putih,mungkin dia akan mudah dibebaskan oleh para juri di mahkamah yang bersimpati. Tambah memburukkan keadaan,kumpulan ekstremis,Ku Klux Klan turut mengancam sesiapa sahaja yang berusaha untuk membebaskan Carl Lee Hailey.
Bagaimanakah Jake Brigance,yang merupakan peguam kepada Carl Lee mampu mencari jalan untuk mengatasi permasalahan ini? Adakah dia mampu menyakinkan pihak juri bahawa Carl Lee Hailey tidak bersalah?
A Time To Kill merupakan novel yang terbaik di dalam buku ini. Malah,setakat ini,saya beranggapan novel ini merupakan novel terbaik yang pernah ditulis JG! Idea utama novel ini sahaja sudah cukup membuatkan saya merasakan keunikan novel ini. Apakah yang akan kita lakukan sekiranya kita berada di dalam situasi yang dialami Carl Lee Hailey? Adakah kita juga akan mengambil tindakan drastik seperti yang dilakukannya atau hanya membiarkan undang-undang melaksanakan peranannya? Idea utama cerita di dalam novel ini sebenarnya berinspirasikan dari kisah sebenar,berdasarkan sebuah kes mahkamah yang pernah disaksikan oleh JG sendiri. Cuma,JG menambahkan persoalan;apakah yang akan terjadi sekiranya seorang bapa kepada mangsa pemerkosaan membuat keputusan melaksanakan undang-undang di tangannya sendiri (vigilante).
Ibarat bukit,begitulah tempo atau rentak (pace) perjalanan cerita di dalam novel ini. Permulaan novel agak mendatar,kemudian menaik apabila tiba babak pembunuhan dua penjenayah oleh Carl Lee. Seterusnya,kembali mendatar apabila Jake,peguam Carl Lee berikhtiar dan berusaha mencari bukti untuk membuktikan Carl Lee tidak bersalah. Sekali lagi,tempo jalan cerita kemnali menaik dan menjadi 'fast-paced',terutama di bahagian klimaks apabila Ku Klux Klan semakin berani mengancam nyawa Jake Brigance dan orang-orang lain yang bersimpati dengan Carl Lee. Pada tahap ini juga,proses perbicaraan berlangsung dan menjadi antara bahagian yang paling menarik untuk dibaca di dalam novel ini.
Apa yang membuatkan novel ini menarik adalah pembangunan watak yang baik. Terutamanya jika kita melihat pembangunan salah satu watak utamanya,Jake Brigance. Jake bukanlah seorang watak utama atau 'hero' yang bersifat 'larger than life'. Dia juga memiliki sifat gelapnya yang tersendiri. Begitu juga dengan watak-watak yang lain. Masing-masing ada keistimewaannya yang tersendiri dan unik serta tidak tipikal pembangunan watak masing-masing. Dialognya juga amat menarik. Malah,ada juga dialognya yang membuatkan saya tersenyum dan ketawa sendirian,walaupun sebenarnya novel ini sebuah novel 'legal-thriller' yang serius! Dari segi bahasa Inggeris yang digunakan,ianya agak sedikit sukar difahami. Tambahan pula,wujud beberapa istilah undang-undang wujud di dalamnya. Malahan,terdapat juga penggunaan beberapa dialek bahasa Inggeris yang sering digunakan di Mississippi,salah satu negeri yang terletak di selatan Amerika Syarikat.
Saya berikan 5 daripada 5 bintang untuk A Time To Kill
Saya tidak menyesal membaca novel ini walaupun mengambil masa yang agak lama untuk menghabiskannya. Pengalaman pertama kali saya membaca novel yang bergenrekan 'legal-thriller' dan ditulis oleh John Grisham juga tidak mengecewakan saya. Sudah tentu,saya akan terus mencari dan melengkapkan koleksi novel/buku penulis hebat ini!