Penulis melalui Membaca Dirimu mengajak khalayak menilai dengan lebih mendalam tentang peristiwa yang berlegar dalam dirinya; sama ada bersifat sejagat, nasional mahupun peribadi – hanya melalui puisi.
Sahrunizam memperolehi pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Kuala Triang (1977-1982), kemudian belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak (1983-1987) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh. Pada 1991-1993, beliau mengikuti Kursus Perguruan Asas di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda (bidang Kesusasteraan) di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2002.
Beliau pernah memenangi pelbagai hadiah; antaranya pernah dipilih sebagai pemenang Sayembara Menulis dan Mendeklamasi Puisi Puteri Pos Kebangsaan (2000), Sayembara Menulis Puisi Perpaduan Darul Iman (2001), Sayembara Menulis Puisi Berunsur Islam Kuantan (2002), Hadiah Sastera Utusan Exxon Mobile bagi penilaian 2002, 2003, 2004 dan 2010, Sayembara Penulisan Puisi Kepenggunaan Kebangsaan (2006), Sayembara Mengarang Puisi Klasik Nasional dan KEKKWA (2007).
Kumpulan puisi beliau, Bahasa Senjata memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2002/2003.
Pelajaran pertama yang saya kutip apabila membaca kumpulan puisi ini ialah jangan bermusuh dengan penyair yang pendiam; apabila pena jadi wahana, kertas jadi pentas, beliau akan menikam-nikam kita hingga bikin kita tergamam seperti dua puisi awal dalam kumpulan ini.
Sahrunizam banyak menyimpan kemarahan khususnya terhadap kebobrokan politik kayu dan penghinaan kepada bahasa Melayu tetapi kemarahan itu disampaikan secara bertapis dan berlapis. Ini membezakan beliau dengan penyair senegerinya, Marsli N.O.
Lebih menarik, puisi Sahrunizam juga boleh dipetik dan dikutip dengan meninggalkan keseluruhan karyanya yang asal tetapi masih boleh berdiri sebagai pesan yang berharga.
Bukan sesuatu yang janggal untuk masyarakat Barat mengambil sepenggal dua kalimat yang bererti, lalu diungkapkan dengan suara yang lebih gigih. Namun, manusia Timur (baca: Malaysia) lebih menginginkan pengarang berada di tengah-tengah medan perjuangan tetapi terlupa yang lebih bererti adalah kata-kata yang diungkapkan dalam karya pengarang itu sendiri.
Penghargaan tidak semestinya menanti pengarang itu sendiri berdiri di tengah-tengah manusia pejuang, sebaliknya karyanya mesti terlebih dulu dibawa ke tengah-tengah perjuangan.
Adalah malang seandainya karya-karya pengarang itu tidak dibaca dan diterjemah kecuali terburu-buru berbuat demikian selepas pengarang itu sendiri dibawa ke tengah. Lebih malang lagi, kehadiran pengarang itu pun belum tentu karyanya dibaca dengan lebih bererti dan bermakna!
Sejujurnya, puisi-puisi dalam buku ini terlalu mendalam maknanya pada hamba. Hamba perlu membaca berkali-kali untuk mendapat gambaran apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh penulis dan terus-terang ada beberapa puisi yang sehingga kini hamba belum ketemu maksud tersiratnya.
Mungkin hamba masih belum cukup pengetahuan untuk menyingkap apa dan siapa yang dimaksudkan oleh penulis. Mungkin fikiran hamba masih mentah untuk benar-benar mengerti mesej di dalamnya.
Namun, ya, Membaca Dirimu membuat hamba berfikir lebih tentang isu sejagat dan nasional dan diri sendiri. Kebanyakan puisi Sahrunizam Abdul Talib lebih kepada teguran dan kritikan kepada golongan tertentu di sekeliling kita. Mungkin semuanya dari sudut pandang penulis sendiri tetapi hamba bersetuju dengan pendapatnya (kebanyakannya).
Dan, bait-bait ini mencuri perhatian hamba:
Kau miliki segalanya tapi yang tak kau punya akal seorang melayu merdeka. (petikan Buat Sorang Lelaki Berjiwa Hamba, Sahrunizam Abdul Talib ~ Membaca Dirimu, m/s 22)
Belajarlah membaca tindakan dengan fikiran bukan perasaan. (petikan Masa Depan di Genggam Mereka, Sahrunizam Abdul Talib ~ Membaca Dirimu, m/s 62)
Sesaat pincang tingkah semalam kini sehayat generasiku disimbah petaka. (petikan Sekawan Angin Songsang, Sahrunizam Abdul Talib ~ Membaca Dirimu, m/s 86)
Benarlah seorang penyair yang pendiam selalu bisa kata-kata dalam puisinya. Sejujurnya saya menyenangi kumpulan puisi ini walaupun pembaca disogokkan dengan bahasa yang mudah tetapi, tidak mudah pada makna dan maksud yang cuba disampaikan. Penulis malah pada halaman prakata menyatakan bahawa dia bukanlah menghidangkan penawar untuk penyakit tetapi, berjujur dengan hakikat yang berlaku disekeliling kita. Ya, setelah mengusaikan kumpulan ini, kita akan menyedari hakikat meskipun pahit, adalah hakikat yang perlu ditelan. Malah menjadi ubat yang paling mujarab untuk mendepani dunia.
Sindirannya halus menyucuk benak dan bila direnung jauh-jauh ada juga benarnya di balik bait-bait bersahaja. Aku, kau, dia, kami, mereka dan kita sekalian juga barangkali terkena tempias sarkastik. Semoleknya buka mata, buka hati dan kita jadikan iktibar kerana apa yang dikata ada betulnya. Jika bukan dari sudut pandang kau, sekurang-kurangnya bagi aku.