Membongkar kezaliman dan kekejaman para komando rejim Israel yang telah menyerang, membunuh, menangkap, menculik dan memenjarakan para sukarelawan secara kejam. Pendedahan rahsia kekuatan jiwa sukarelawan dan kehadiran ‘pertolongan daripada Allah’ yang membantu mereka mengharungi saat-saat getir ‘neraka’ ciptaan komando rejim Zionis Israel.
Terkesan dan tercabar. Itu dua patah kata yang terakhir tersemat di hati saat penutup buku ini. Terima kasih kepada tuan penulis yang mengambil inisiatif untuk berkongsi kisah dan pengalaman dengan masyarakat berkenaan pengalaman beliau dan juga perjuangan dan pengorbanan yang melewati batasan agama, bangsa dan bahasa.
Buku ini bukan sahaja berkisah tentang pengalaman flotila kemanuasiaan itu sendiri, tetapi tetap diselitkan sejarah beradaban yang sudah lama ditinggalkan oleh manusia-manusia yang menggelar diri mereka 'orang yang baik'. Namun pada dasarnya merekalah manusia-manusia yang berhati keras malah sungguh angkuh.
Bagaimana kejam dan zalimnya mereka sehingga tanpa sedikit pun perasaan kemanusiaan tersentuh di hati mereka sehingga mereka bertindak melepasi batasan kemanusiaan sejagat. Tembakan dan segala tindak tanduk yang hilang nilai manusia sejagat dan juga sikap angkuh yang menjunjung segala tindakan mereka adalah tindakan yang betul. Tetapi mereka terlupa bahawa pertolongan untuk orang-orang yang berjuang di jalan Allah itu sentiasa ada.
Terfikir, di mana pertubuhan antarabangsa yang sepatutnya mengambil tindakan undang-undang kepada negara dan komandonya yang zalim ini. Kenapa sehingga ke saat ini, selepas hampir 4 tahun berlalu peristiwa ini bagaikan tiada langsung pembelaan? Sungguh, manusia akhir zaman sudah semakin jauh dengan Allah dan semakin takut dengan kuasa manusia.
Teruslah berjuang wahai sekalian umat Islam untuk saudara kita yang sedang tertindas. Insya Allah pertolongan Allah sentiasa ada untuk kita. Semoga darah pada syuhada tidak akan pernah kering mengalir dalam diri kita walaupun kita tidak pernah mengangkat senjata di medan perang.
Perkongsian gambar-gambar juga membantu dalam pemahaman pembaca untuk berkongsi rasa dan juga memahami sukarnya cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh sukarelawan flotila Mavi Marmara. Namun begitu, kalau penulis memberi pencerahan yang lebih terperinci berkenaan dengan kapal-kapal lain adalah lebih baik. Kerana hingga akhirnya, KakChik tertanya-tanya adakah para sukarelawan dalam kapal-kapal yang lain turut menerima nasib yang sama seperti kapal Mavi Marmara.
Buku 69 Jam Di Neraka Zionis: Pengalaman Berdarah Sukarelawan Negara karya Noorazman Mohd Samsuddin tidak memerlukan pengenalan panjang lebar kerana serangan ganas Israel ke atas misi kemanusiaan Mavi Marmara pada 31 Mei 2010 belum lekang daripada ingatan.
Apatah lagi buku yang ditulis berdasarkan pengalaman Noorazman ini dibaca ketika bumi Gaza buat kesekian kalinya digempur lagi oleh tentera regim Zionis Israel, pada 1 Muharam lalu dan berterusan sehingga ke hari ini.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan tiada seorang Muslim pun di negara ini tidak tersentuh hatinya menyaksikan kekejaman regim Zionis di Israel, meskipun hanya melihat mangsa serangan di kaca televisyen.
Tidak hairanlah Noorazman yang ketika kecilnya, sempat mengikuti peristiwa tragik penyembelihan umat Palestin di Kem Pelarian Sabra dan Satilla, Lubnan, menyuburkan simpatinya meskipun terpendam disebabkan sibuk dengan tugasnya sebagai pelajar di New York, Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, serangan Operasi Cast Lead oleh regim Zionis ke atas bumi Gaza yang dikepung dalam 'penjara terbesar dunia' pada Disember 2008, menyentak jiwanya untuk menyarung jaket sukarelawan di bawah HALUAN Palestin.
Pastinya, beliau tidak menyangka simpati yang terpendam dan jiwa yang tersentak itu ibarat jeti yang membawanya ke geladak kapal Mavi Marmara di bawah panji kemanusiaan, Life Line for Gaza (LL4G), sekali gus melayari bahtera perjuangan menuju ke pantai Gaza.
Membaca catatan pengalaman bergaul dengan aktivis di atas Mavi Marmara bagaikan tidak puas kerana masakan tidak, kapal bersejarah itu dihuni 688 aktivis termasuk ahli parlimen, pensyarah, wartawan, pengarang, wakil NGO, tokoh agama dan sukarelawan.
Bagaimanapun, perasaan itu cepat dilupakan apabila menyelak halaman yang memperincikan serangan tidak berperikemanusiaan kerana Israel menghantar satu pasukan armada laut yang lengkap dengan dua kapal selam, tiga kapal perang, tiga helikopter dan lebih 30 bot Zodiak.
Noorazman memperincikan detik serangan bertubitubi komando Israel yang menggunakan peluru hidup dan getah, bom asap serta penembak tepat, meskipun sukarelawan mempertahankan diri berbekalkan tembakan air, bawang dan ubi kentang!
Sukar untuk tidak berasa sebak atau mengelakkan air mata tergenang apabila beliau bukan saja merakam kembali rakan sukarelawannya yang mati syahid dan cedera parah, bahkan turut berkongsi kisah dengan individu yang rapat dengan mereka syahid seperti Furkan Dogan berusia belasan tahun; Ketua Jawatankuasa Kecemasan, Cetin serta Ketua Media, Cevdet.
Kekejaman tentera Israel berterusan walaupun sukarelawan ditawan kerana perjalanan ke Pelabuhan Ashdod yang dirakam dan disifatkan Noorazman sebagai penculikan di laut terbesar di dunia, sekali gus membuktikan jiwa tentera berkenaan hanya dipenuhi serakah haiwan buas.
Tidak mudah untuk meringkas dan mengulas pengalaman sukarelawan itu yang diseksa secara fizikal, psikologi dan seksual, tidak mendapat rawatan sempurna walaupun ditempatkan di hospital serta dipenjarakan tanpa sebab yang sah kerana mereka sebenarnya masih berada di perairan antarabangsa.
Buku ini turut menampilkan gambar eksklusif yang diambil sepanjang perjuangan sukarelawan seluruh dunia itu mempertahankan misi kemanusiaan berkenaan yang menggambarkan semangat jihad mereka dan kekejaman regim yang berjaya diseludup keluar daripada tahanan.
Justeru, buku ini wajib disusuri sendiri pembaca dalam menumbuhsuburkan perasaan persaudaraan dan kemanusiaan kepada umat Palestin, sekali gus memperbaharui kebencian terhadap kekejaman regim Zionis Israel supaya kita bersedia menghulur doa, harta dan diri.
Buku ini membongkarkan kisah benar serangan ke atas kapal Mavi Marmara yang membawa sukarelawan Fortila oleh Komando Zionis Israel di Perairan Cyprus pada 31 Mei 2010. Dimana, Komando Zionis Israel telah menyerang, membunuh, menyeksa, menawan dan memenjara para sukarelawan yang datang dari pelbagai bangsa dan negara untuk menghantar barang keperluan dan misi kemanusian ke Gaza.
Buku ini menceritakan saat-saat getir apabila Komando Zionis Israel menyerang kapal Mavi Marmara dengan peluru hidup di segenap penjuru kapal, dan para sukarelawan cuba mempertahankan kapal hanya dengan tangan kosong. Mereka mempertahankan kapal tanpa rasa takut. Malah, mereka juga dapat menawan tiga orang askar Komando Zionis Israel dan merampas senjata merela, lalu senjata tersebut dicampak ke dalam laut. Malah, askar-askar Komandor yang ditawan diberi rawatan. Ketika pergelutan dengan askar-askar komando tersebut, jelas terpancar rasa takut yang amat sangat di wajah mereka, sehingga ada askar yang terkencing di dalam seluar. Diceritakan juga, askar komando Zionis ini memakai sehingga tiga lapis baju...iaitu baju yang di penuhi peluru, baju kalis peluru dan baju yang mempunyai pad keras. Sedangkan para sukarelawan hanya memakai jaket keselamatan.Malah, zalimnya mereka apabila peluru yang mereka gunakan akan meletup dalam tubuh para sukarelawan yang ditembak hingga menyebabkan luka dalaman yang teruk.
Apabila Komando Zionis Israel berjaya merampas dan menawan kapal, mereka bertindak menembak doktar yang memberi rawatan kepada tiga askar komando yang cedera dan menyeksa para sukarelawan lain secara mental dan fizikal. Para sukarelawan terpaksa duduk dengan tangan terikat selama berjam-jam tanpa diberi makan dan tidak dibenarkan ke tandas. Namun, kesemua mereka menghadapi semua itu dengan tenang dan sabar. Setiba di penjara, mereka diberi makan tanpa mengetahui makanan tersebut telah diletakkan racun arsenik. Alhamdulillah, kerana mereka hanya di penjara dalam tempoh yang sebentar sahaja.
Sukarelawan dari Turki, Mehmet Ali Zeyber menceritakan ketika dia di rawat di hospital, datang seorang Pegawai Komando bernama Azeri yang menyoal tentang dimana lagi enam orang yang dilihat berada di atas kapal ketika serangan sedang berlaku, enam orang itu berpakaian serba putih dan mempunyai ketinggian 2 meter. Mehmet Ali yang keliru menjawab, "Bukankah kamu telah menggeledah dan menangkap semua orang di atas kapal". Subhanallah, rupa-rupanya Allah menghantar askarnya sehingga membuatkan rasa takut dalam hati musuh Allah itu.
Peristiwa tersebut mengakibatkan sembilan sukarelawan terbunuh, 23 cedera parah ditembak, 80 cedera ditembak dan puluhan mengalami trauma. Tahniah kepada yang terselamat kerana peristiwa tersebut berjaya membuka mata dunia untuk melihat betapa zalimnya Zionis Israel. Al-Fatihah....
Dalam keadaan Gaza cuba dimusnahkan sehabis boleh oleh Israel sejak beberapa bulan yang lalu, buku ini boleh menggambarkan dengan jelas - meski pun sedikit - betapa Israel buka berolok-olok tentang Palestin. 69 Jam di Neraka Zionis ditulis oleh Noorazman Mohd Samsuddin, ketua Misi Pasukan Asia Tenggara dalam Freedom Frotilla serta Pengerusi Life Line For Gaza yang turut menyertai misi ini. Sukarelawan yang bersama dalam kapal Mavi Marmara dan lima kapal lain yang menyertai Freedom Frotilla, menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin menggunakan jalan laut sebagai alternatif kepada jalan darat. Peristiwa serangan pasukan komando Israel ke atas Mavi Marmara seawal subuh 31 Mei 2010 menjadi satu kenangan pahit yang pasti tidak dapat dilupakan oleh 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi ini. Serangan ini berlaku di perairan antarabangsa, bukannya di perairan Israel seperti yang didakwa. Mereka ditembak bertalu-talu menggunakan peluru hidup dan peluru getah menyebabkan kematian 9 sukarelawan, 23 cedera parah dan 80 cedera ringan. Mereka yang cedera dihantar ke hospital untuk dirawat (tetapi secara sambil lewa) manakala yang lain ditahan di penjara Israel. Beberapa footage dan gambar serangan yang tersebar luas di seluruh dunia berjaya menggentarkan Israel menyebabkan para tahanan ini dibebaskan tanpa menjalani hukuman penjara yang lebih panjang. Begitu pun, sepanjang dibawa dari Mavi Marmara ke Israel menjadi pengalaman yang menakutkan. Sukarelawan diikat speanjang perjalanan, tidak diberikan makan atau minum, tidak dibenarkan solat malah tidak boleh menggunakan tandas. Sukarelawan yang cedera 'dibedah tanpa bius' di atas kapal dan peluru yang digunakan dikeluarkan segera. Adalah difahamkan Israel menggunakan peluru yang dilarang dan segera dikeluarkan supaya tidak dapat dikesan sekiranya dirawat di hospital lain. Apatah lagi, kebanyakan sukarelawan yang cedera ditembak memberi laporan yang sama terhadap kecederaan mereka - peluru yang ditembak apabila terkena tulang akan berkecai kepada berbelas bahagian dan menyebabkan kecederaan lebih parah di bahagian dalam badan. Namun begitu Israel tidak pernah mengakui kesalahan mereka malah melalui media masa yang mereka kuasai jelas menuduh sukarelawan ini membawa senjata dan bertindak menyerang komando terlebih dahulu.