Dari segumpal bayu yang lunak, lembut dan sering mengusap wajah, ianya berubah menjadi angin yang deras, ribut yang kencang dan taufan yang gawat; siapsiaga melanda sebarang penindasan, ketidakadilan dan kepalsuan.
Demikian berkembangnya watak Suman dari seorang anak desa yang paling simple, seorang abang yang cukup mesra berubah cepat menjadi pemuda berang bersaga biji mata, utuh urat saraf serta sedia pula mempamerkan keberangannya itu sehingga tumpu menjadi wira yang berwibawa mencurah harapan dan cita-cita yang optimistik kepada anak buah sedesanya.
Perubahan ini banyak puncanya: keinsafan, berdikari, kenal diri, jemu mengemis, hilang kesabaran, tak selera memamah gadung. Dan segalanya bertunjangkan kemiskinan yang amat tak tertanggung.
Juga perubahan itu tertiup dari kota Pulau Pinang. Bahana kotaraya dibawa pulang ke kampung oleh Fatah, seorang penarik beca dan Suud, seorang bekas tentera. Maksiat yang membalut setiap hidup kota, penindasan di luar kemampuan daya manusia, keringat yang tak pernah mengenal detik dan tempat. Segala itu tertiup ke desa memberi bibit-bibit kesedaran baru dalam perjuangan.
Semuanya memadukan tenaga, mencantum suara, menyimpul jeritan, meluput kesabaran. Dan dengan satu tekad, satu paduan, satu cita-cita dan satu tenaga kebulatan yang tak pernah terduga oleh sesiapa terbentuk dengan ikatan darah dan cinta senasib. Tumbuh satu generasi baru yang berani melenting, menjerit, melaung dan akhirnya mengepal tinju. Di belakang ribuan anak buah memberi sokongan.
Shahnon Ahmad dalam novelnya Seluang Menodak Baung ini menidakkan struktur dan plot yang konvensional untuk membuahkan karya yang disumbat dengan rentetan emosi, sentimen yang penuh dengan ruapan dendam di luar kawalan dalam bentuk dan gaya yang tersendiri dan paling unik pernah tercipta.
Dato' Haji Shahnon bin Ahmad (born 1933 in Sik, Kedah) is a Malaysian writer, a National Laureate, and a former Member of Parliament. He was awarded with the National Literary Award in 1982. He is also a Professor Emeritus at Universiti Sains Malaysia in Penang.
Shahnon has written a number books, one of the most notable being Shit @ PukiMak @ PM (1999), a controversial political satire. The book makes allegorical references to the ruling coalition government, Barisan Nasional (BN), its major component party, United Malays National Organisation (UMNO), and former Malaysian Prime Minister Mahathir bin Mohamed. There were attempts by the government to ban this book and to strip Shahnon of his literary title.
Some novels written by Shahnon include Ranjau Sepanjang Jalan (1966)—which has been adapted into a film called Rice People directed by Cambodian film director Rithy Panh, Rentong (1965), Srengenge (1973)—which won the Malaysian Novel of the Year in 1970, and Terdedah (1965).
Shahnon is also a member of opposition political party PAS. In the 1999 general election, he contested in the Parliamentary constituency of Sik (P.13) in which he won. He did not contest in the 2004 general election which saw PAS losing that seat to BN.
Kisah-kisah penduduk Kampung Terenas yang memperjuangkan hak mereka untuk mendapatkan tanah yang sekangkang kera. Mereka hidup bertahun-tahun dengan kedaifan serta bergelumang dengan penyakit disebabkan pemimpin yang culas serta tidak cakna dengan kebajikan rakyat.
Saya suka gaya penceritaan Shahnon Ahmad yang sungguh terperinci, dari suasana hutan yang mempunyai kepelbagaian flora dan fauna sehingga terasa keindahannya. Tambah-tambah dalam dialek daerah. Setiap watak-wataknya pula mempunyai kekuatan yang tersendiri dan tersingkap pelbagai kisah yang kadangkala terasa seperti diri ini berada di tempat watak-watak tersebut.
Karekter Suman anak kepada Salam yang berusaha untuk meningkatkan taraf hidup keluarga serta Fatah yang tegas pendiriannya wajar dijadikan contoh dan masih relevan dengan zaman sekarang. Mereka tidak sewenang-wenangnya meletakkan seluruh nasib mereka pada takdir tetapi bertungkus-lumus mencari jalan untuk mengubah nasib mereka.
Shahnon Ahmad - salah 1 suara paling lantang dan berpengaruh dalam kesusasteraan Melayu moden. Beliau seorang intelektual yang mengangkat suara rakyat marhaen melalui pena yang tajam dan berani. Karya - karya beliau yang aku dah baca seperti Ranjau Sepanjang Jalan dan Srengenge, boleh dikatakan sebagai teks - teks penting dalam memahami penderitaan dan perjuangan masyarakat desa pasca merdeka. SNSA menulis selalunya untuk menggugat dan menyedarkan, bukan untuk hiburan. Dalam karya ini, beliau memperkukuh reputasinya sebagai penulis yang tak tunduk kepada konvensi, malah menolak struktur naratif tradisional demi menyampaikan emosi dan sentimen yang membuak - buak dari jiwa rakyat yang tertindas.
Novel ini mengangkat kisah Suman, seorang anak desa yang pada awalnya bersifat sederhana dan mesra, namun berubah menjadi pemuda yang berani dan berapi - api dalam menentang penindasan. Perubahan watak ini tak berlaku secara tiba - tiba, tapi hasil daripada keinsafan, pengalaman, dan pengaruh dari kota Pulau Pinang yang dibawa pulang oleh Fatah dan Suud. Kota menjadi simbol kepada maksiat, ketidakadilan dan kelelahan hidup yang akhirnya menyuntik kesedaran baru kepada masyarakat desa. Kampung Terenas, latar utama novel ini, adalah medan perjuangan kolektif apabila suara - suara yang selama ini terpendam mula bersatu, melaung dan mengepal tinju menentang kezaliman. SNSA tak menulis dengan plot yang naratif berkembang seperti arus sungai yang deras, penuh liku dan kejutan.
Watak - watak dalam novel ini adalah representasi kepada kelas sosial dan psikologi masyarakat desa yang berbeza. Suman, Fatah, Suud dan Salam adalah watak - watak yang membawa beban sejarah dan harapan kolektif. Dorang bukanlah hero dalam erti kata konvensional, tapi wira dalam makna yang lebih dalam - dorang ni suara yang selama ini dibungkam, kini bangkit dengan semangat yang tak lagi mahu bersopan santun kepada sistem yang menindas. SNSA membina watak - watak ni dengan latar budaya Melayu yang kaya, menjadikan dorang hidup dalam fiksyen seperti realiti pembaca yang mengenal denyut nadi desa.
Gaya bahasa SNSA dalam novel ini adalah antara yang paling kompleks dan padat dalam kanon sastera Melayu yang pernah aku baca. Beliau menggunakan diksi yang berat, metafora yang dalam, dan struktur ayat yang berlapis - lapis. Susah nak habiskan novel ni tanpa rujuk Mr Google. kau kena banyak berbasar. Perlu diingatkan yang SNSA menulis dengan emosi yang meluap, dan adakala emosi tu mengatasi kejelasan naratif. Bagi aku, mungkin dalam konteks perjuangan dan penindasan yang dibawa, gaya ni harus sebagai strategi retorik yang berkesan, cuma sungguh, kau kena banyak bersabar.
Dari segi pemikiran, novel ini adalah manifestasi kepada etnografi semantik SNSA - bagaimana beliau menggunakan fiksyen untuk membicarakan struktur budaya, perilaku sosial dan sistem nilai masyarakat Melayu. Selain menggambarkan kemiskinan dan penindasan, beliau juga cuba mengkritik sistem yang membenarkan keadaan itu berlarutan. Beliau menolak romantisme desa dan menggantikan dengan realisme yang keras dan boleh dikatakan brutal. Novel ini menjadi wacana intelektual yang mengangkat suara rakyat kepada elit politik, menjadikan sastera sebagai alat perubahan sosial.
Ini sebuah karya yang penting - sesiapa yang ingin memahami penderitaan rakyat desa dan juga kekuatan jiwa mereka pada era itu, kau kena baca. Ia menuntut kita untuk banyak berfikir, dalam masa yang sama aku harus ingatkan yang pemilihan diksi seorang SN ni agak berat dan isinya juga sangat padat - boleh jadi cabaran besar kalau kau tak biasa.
Mungkin aku boleh katakan ini bukan sekadar novel biasa - lebih kepada dokumen budaya, falsafah dan perjuangan.
Highly recommended untuk bacaan bulan kemerdekaan.
Buku ini hasil dapatan daripada Inisiatif Belanjawan 2023, terbitan JIWA iaitu sebuah imprin dibawah Jejak Tarbiah.
5 muka surat pertama sahaja sudah berjaya membawa saya ke alam kehidupan Salam dan keluarganya. Allahyarham Shahnon Ahmad berjaya menghadirkan perasaan dan emosi kepada pembacanya (baca: saya) seolah-olah seperti saya sendiri berada bersama Salam dan ahli keluarganya di rumah daif mereka di Kampung Terenas dek kerana tiada tanah sendiri asbab daripada keculasan daripada individu yang dianggap sebagai seorang pemimpin.
Setiap watak yang diceritakan di dalam buku ini mempunyai jiwa mereka sendiri. Salam yang terlalu tunduk dan redha akan "takdir", Fatah si pemberani melawan realiti kehidupan, Suman yang berjiwa pemberontak tetapi masih taat dirotan si ayah, anak-anak kecil yang hidup dalam penyakit yang menggelikan, Waibi si pemimpin yang keji dan bermacam lagi.
Saya tiada sebarang tanggapan terhadap buku ini sejurus selepas membaca sinopsis di belakang kulit buku selain daripada buku ini mengisahkan tentang kemiskinan tapi siapa sangka, ada cerita di balik buku yang berjaya menumpahkan air mata. Setiap tajuk kandungan selari dengan jalan penceritaan dan saya amat berterima kasih kepada penulis untuk itu kerana ia membantu saya untuk "setting my expectations" dengan baik.
Buku ini membawa saya berfikir - tipu kalau saya katakan tiada lagi kehidupan seperti Fatah, Suman dan lain-lain di Malaysia sekarang cumanya, pada tahap manakah mereka ini mampu untuk keluar daripada penindasan or maybe the real question is, how far have we been progressing as a developed country? In which I believe this requires more in depth discussion for an ignorant mind like mine.
Oh ya, banyak kosa kata Bahasa Melayu lama yang saya tak pernah jumpa jadinya sedikit mengganggu bacaan saya tapi ada disediakan Daftar Istilah di akhir buku.
Saya percaya masih ramai lagi di luar sana yang hidup dalam ketakutan dan pasrah seperti Salam, doa saya moga Allah SWT sentiasa menjaga mereka dalam perjalanan kehidupan yang penuh pancaroba ini.
Sebuah novel yang wajib dibaca untuk semua golongan umur, terutama untuk mereka yang ingin merasai erti kemiskinan daripada sebuah penulisan yang saya percaya, berdasarkan pengalaman kehidupan penulis ini sendiri.
Membawakan kisah petani dengan berlatarbelakangkan tahun 70 an, naskah ini menceritakan kisah Samad sekeluarga beserta penduduk Kampung Terenas. Masing-masing hidup dalam keadaan serba daif. Kais pagi makan pagi kais petang makan petang.
Membaca naskah ini membuatkan SH bersyukur hidup di zaman ini. Kadangkala dengan keselesaan dan kesenangan yang ada, masih ada juga keluhan yang terkeluar dari mulut. Walhal keluarga Salam hanya mampu berfikir tentang masa depan sampai keesokkan malam sahaja. Tidak mampu memikirkan masa depan dalam jangka masa yang lama.
SH membaca naskah ini di kala hampir menjelangnya bulan Ramadhan. Oleh itu terbayang di mata SH betapa banyaknya pembaziran makanan dalam waktu ini. Manakala penduduk Kampung Terenas kekurangan makanan hingga terpaksa memakan ubi gadung yang mempunyai racun. Namun mereka bukanlah makan dengan racun-racunnya namun berikhtiar untuk membuang racun ubi tersebut supaya selamat untuk ditelan.
Jika kita di zaman ini penuh dengan segala jenis vitamin untuk mencukupkan apa yang terkurang dalam nutrisi kita, namun mereka terpaksa hidup dalam keadaan begitu. Perut buncit bercacing, bisul tumbuh silih berganti, nanah dan kuping menguasai telinga dan sebagainya.
SH suka bagaimana penulis memaparkan kita harus keluar dari tempurung kita untuk lebih mengenal dunia luar. Tanpa Fatah dan Suud yang tahu serba sedikit kehidupan di bandar, di luar lingkungan hidup kampung Terenas, mungkin mereka masih juga begitu. Tiada yang akan berjuang untuk mendapatkan sesuatu dalam hidup mereka. Akan terus berada dalam tempurung Kampung Terenas.
Karya pertama Cikgu Shahnon yang saya baca. Keindahan bahasa, pemilihan kata dan perkembangan jalur cerita sangat sinonim dengan para sasterawan; hal yang tidak boleh disangkal.
Walau bagaimanapun, dalam karya ini, beliau terlalu banyak bermain dengan unsur personafikasi dan asindeton (pengulangan kata) sehingga merencatkan jalan cerita. Beliau keterlaluan mengheret pembaca untuk terjun ke dalam perasaan watak berhubung kemiskinan dan pengorbanan. Penafian: saya bukan ahli dalam analisis novel kesusasteraan, ini sekadar pandangan peribadi.
Selepas Ombak Bukan Biru, ini karya sastera yang saya kira mampu membuka mata generasi masa sekarang. Berkisar tentang ketabahan masyarakat kampung dalam berusaha mendapatkan hak mereka. Susunan ayat yang sedap dibaca menjadikan karya ini antara karya terbaik penulis selepas Ranjau Sepanjang Jalan. Untuk mereka yang sedang mencari karya karya terdahulu, tulisan Shahnon Ahmad perlu dimasukkan dalam senarai anda.
Shahnon mengabadikan sebuah kegagalan urusan birokrasi surat-menyurat dalam sebuah cerita sepanjang 303 muka surat, yang (malangnya) masih relevan hingga kini. Turut terakam minda kepatuhan dan jiwa kerdil orang-orang kita yang takut untuk menuntut hak sendiri demi mengelak pertentangan.
Jika kau tak pasti apa maksud bab 15 buku ini, pada pendapat aku gambar rajah itu sebenarnya sebuah tempat terbitnya makanan/minuman untuk Adik yang baru lahir.
Shahnon Ahmad di fasa William Faulkner. Waktu ini Shahnon sudah mula eksperimen dengan penggunaan sudut pandang pelbagai watak, inspirasi daripada novel terkenal Faulkner "As I Lay Dying." Lebih bagus dan matang daripada novel "Tok Guru" dan "Sutan Baginda." Tetapi tidak sehebat "Tunggul-Tunggul Gerigis."
Bahasa dia bukan puitis macam MAY tapi banyak description yang agak macam ei apa ni. Tapi bila dah baca tu memang tak boleh stop.
Terfikir masih ramai lagi orang susah bukan orang fakir miskin dekat luar sana. Kadang bersyukur dapat hidup dengan tenang, ada rumah sendiri, dapat makan 3 kali sehari.
Ending dia macam tu je? Tak ada balasan apa pun pada waibi? Dah la bertahun-tahun dia tak usulkan tanah tu kepada pihak atasan, katanya nak berpesta ke rumah waibi hari ahad tapi tak ada apa pun. Cerita panjang dan berulang tapi last2 gitu je.
This entire review has been hidden because of spoilers.
"Kita dah lama bersopan santun. Tok nenek kita dulu pun bersopan santun sampai tergadai semua tanah kepada orang lain. Dan kita semua jadi peminta sedekah di tanah air kita sendiri."
🔹🔹🔹
Naskhah dari Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dato' Shahnon Ahmad yang berkisahkan penduduk-penduduk Kampung Terenas yang memperjuangkan hak mereka meminta tanah yang sekangkang kera cuma. Berkisahkan masyarakat yang hidup dalam kemiskinan yang melarat dan bergelumang dengan penyakit.
Baru beberapa minit membaca, saya masuk ke dalam dunia Salam dan keluarganya. Geli!!! Seolah-olah saya berada di rumah daif Salam dan menyaksikan anak-anaknya yang penuh kudis, hingus, cacing dan bisul. Sedih dan kasihan!!! Penulis menulisnya dengan rasa dan emosi yang dapat saya hayati. (Kalau yang membaca pun rasa begitu, bagaimanalah mereka yg perlu hidup di dalam keadaan itu)
Tidak cukup di desa Terenas, penulis membawa saya melihat kehidupan Fatah di bandar dan mengikutnya mengayuh beca dan lihat penindasan di sekitar bandar, sehinggalah mengikutnya pulang ke tempat tinggalnya bersama keluarga di sebuah gubuk di tempat pembuangan sampah. Di situ, anak-anak perempuannya menyelongkar mencari rezeki di dalam timbunan sampah — sehinggalah mereka dihalau dan gubuk mereka dimusnahkan.
🔹🔹🔹
Saya suka gaya penceritaannya yang cukup terperinci. Dari ceruk dapur rumah daif Salam, hingga ke luasnya hutan dengan segala isi & keindahannya, hingga ke Lurah Glugor dengan kesibukan kotanya dan tinggi bangunannya.
Setiap watak di dalam naskhah ini juga membawa jiwa dan kekuatan tersendiri sekaligus menjadi roh bagi cerita ini. Saya percaya, masih ada Salam, Suman, Fatah, malah Waibi di masa kini. Watak Salam, yang sentiasa akur dan patuh pada takdir yang telah pun ditetapkan, namun anaknya, Suman berjuang untuk melihat keluarganya hidup senang. Watak Fatah yang berani pula membuka mata supaya kita jangan selesa ditindas.
Saya juga percaya tidak berapa ada pemimpin yang peduli sangat akan kebajikan rakyat. Yang culas dalam tanggungjawab dan buat-buat tak nampak akan kesusahan rakyat. Seperti Waibi.
🔹🔹🔹
Saya suka buku ini. Allahyarham Shahnon Ahmad menulis realiti dalam kesederhanaan tetapi penuh nilai.
"Tok nenek kita dulu pun bersopan santun sampai tergadai semua tanah kepada orang lain. Dan kita semua jadi peminta sedekah di tanah air kita sendiri."
Premis ceritanya adalah tentang penduduk di Kampung Terenas yang berjuang meneruskan hidup mereka dalam kesulitan. Ibaratkan, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Keluarga Salam antara yang menjadi tonggak cerita. Anaknya Suman, ingin mengubah kehidupan mereka sekeluarga.
Keluarga Fatah, hidup terpinggir di pekan. Fatah mencari nafkah dengan menarik beca. Ada pelanggan, adalah duitnya. Tidak mengira siapapun mereka, asalkan dia dapat bayaran untuk setiap penat lelahnya mengayuh beca. Itulah rezeki yang akan dibawa pulang untuk anak-anak dan isterinya. Tapi, Fatah perlu pulang ke kampung, bila rumah yang dia duduki sekarang akan dirobohkan pihak berkuasa. Dia tiada pilihan lain.
Kesusahan dan kemiskinan yang digambarkan dalam novel ini amat nyata. Anak-anak kecil tidak mampu menjalani kehidupan yang selesa. Makan dan pakai seadanya. Hidup di kampung, sesama jiran saling tolong menolong. Hidup di pekan, kena berusaha sendiri selagi termampu.
Bahagian cerita Fatah dan penduduk kampung yang ingin memohon tanah dengan pegawai DO, yang dirancang begitu lama, rupanya permohonan sebelum ini tidak pernah diterima. Salah faham atau mainan politik yang menyebabkan isu tersebut tertangguh dan yang menjadi mangsa adalah penduduk kampung tersebut.
Itulah realiti, apabila kita tidak bersuara untuk hak kita sendiri.
Naskah ini agak berat. Memaparkan kedaifan penduduk Kampung Trenas yang terbelenggu oleh kemiskinan. Kisah ditumpukan kepada keadaan keperitan kehidupan keluarga Pak Salam di tengah - tengah persekitaran yang kotor, penyakit yang dihidapi oleh anak - anak serta 9 tembolok yang perlu diisi.
Dalam kesempitan tersebut, wujud warga Kampung Trenas yang bersifat pemikir dan meniupkan semangat penduduk dalam usaha mendapatkan sebidang kecil tanah yang belum diteroka sekaligus memutuskan tali kemiskinan yang membelenggu.
Naskah ini memperjelaskan sisi kedaifan di bandar dan desa dengan realistik sehingga pembaca seakan sama - sama dapat mengalami sendiri, menghidu dan merasa setiap latar yang diketengahkan oleh penulis dengan sebegitu rapi dan jelas.
Perbezaan ketara juga ditonjolkan antara golongan miskin dengan yang berharta.
p/s :Yup..kurang 1 bintang kerana naskah ini agak perlahan pada awalnya sehingga sedikit menurunkan mood untuk terus membaca.
NOTA :
Telah memohon kepada Goodreads Librarian untuk mengemaskini edisi terbaharu di bawah cetakan JIWA.
Edisi terbaharu selesai dikemaskini pada 28 Julai 2024.
Sebuah penceritaan yang sangat menggugah jiwa, berkisarkan perjuangan para papa kedana dalam menambah baik kehidupan sehari-hari. Mereka cuma mahu hidup senang, bukan kaya. Sangat terkesan dengan isu-isu kemiskinan yang wujud sekitar tahun 1970-an dan jurang besar antara orang kaya dengan orang miskin. Miskin di sini bermaksud mereka yang tidak pasti adakah pada malam esok, mereka masih mampu menyediakan makanan untuk lapan perut di rumah.
Watak-wataknya hidup, walaupun bayi satu hari. Saya paling suka watak Suman; anak muda yang teguh berprinsip tetapi masih menghormati orang tuanya yang jumud.
Secara peribadi, saya lebih suka naskhah ini berbanding Ranjau Sepanjang Jalan.
Si ayah hidup dengan menyerahkan semuanya kepada takdir, namun tidak bagi si anak. Di saat si ayah bergelumang di bendang dan hutan mencari rezeki untuk sesuap nasi, Suman mencari alternatif lain supaya warisan kemiskinan tidak diteruskan untuk generasi selepasnya. Bersama-sama dengan Fatah, anak kampung yang pulang dari kota...mereka bersepakat untuk mengambil jalan di luar kebiasaan, untuk mengubah nasib mereka.
Novel ini mengingatkan saya akan hakikat sebuah kehidupan kita kini. Walau disaji dengan pelbagai aspek kemajuan, di sebaliknya masih terdapat golongan yang tertindas dan tercicir dari arus kemodenan ini. Apa yang kita kejarkan sebenarnya? Mengajar di sekolah di sebuah kawasan yang sedang membangun, anak-anak masih lagi ke sekolah dalam keadaan yang tidak terurus dan sempurna. Dengan uniform sekolah yang lusuh, kasut koyak, latar belakang keluarga yang berpecah belah...di mana kedudukan mereka dalam masyarakat?
Adakah nasib mereka ini diberi perhatian sepenuhnya oleh mereka yang berada di atas? Dan adakah mereka yang berada dalam jurang kemiskinan ini berjuang untuk mengubah nasib mereka sebagaimana Suman berjuang untuk mengubah nasib keluarganya ?
Pengajaran : 1. Apapun dugaan dan cabaran yang dihadapi dalam hidup, tidak mematahkan semangat kita untuk menunaikan segala tanggungjawab. Walau dihimpit kemiskinan dan kesusahan, Salam tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Bekerja keras untuk mengisi perut anak-anak dan isteri.
2. Kemiskinan tidak bererti kita pasrah. Tidak bererti nasib itu tidak boleh diubah. Usaha mesti diambil. Jalan keluar mesti diusahakan. Suman berkeras. Apapun yang terjadi, nasib keluarga mesti diubah. Sekurang-kurangnya tapak rumah yang mereka diami sekeluarga mesti menjadi hak milik mereka.
3. Menjadi pemimpin adalah satu kelebihan dan tanggungjawab yang berat menanti untuk dilunaskan. Berperananlah dengan sebaiknya terutamanya kepada mereka yang memerlukan supaya nasib mereka terbela.
Ceritanya singkat sahaja, tapi kerawang-kerawang cerita tu yang jadikan buku ni tebal. Ulang-ulang lukisan sama. Dah tau kenapa nak ulang banyak kali. Memang dari dulu lagi orang Melayu ni orang miskin yang suka berharap pada orang politik. Boleh buat sendiri tapi masih nak guna orang politik.